Anda di halaman 1dari 12

Amalan yang pertama yang dianjurkan oleh Steven Covey ialah menjadi insan yang proaktif.

Menurut Covey, proaktif bermaksud bertanggungjawab keatas diri sendiri dari sudut tindakan mahupun pemikiran. Segala tingkah laku yang dilakukan adalah hasil daripada tindakan diri sendiri tanpa melibatkan orang lain dan persekitarannya. Melalui proaktif, sikap sabar dapat diwujudkan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kisah Steven, Sandra dan anaknya. Apabila Steven pulang ke rumah, dilihatnya rumah bersepah-sepah. Hal ini kerana, anaknya ingin membantu ibunya mengemas rumah, namun caranya adalah berbeza kerana tidak tahu untuk mengemas. Sandra melihat telatah anaknya tanpa memarahinya kerana beliau tahu akan niat baik anaknya. Oleh itu, tindakan yang ditunjukkan oleh Sandra kepada kita ialah bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Sekiranya sikap sabar tidak dapat dibentuk, maka wujudlah kemarahan Sandra kepada anaknya oleh kerana menganggap anaknya menyepahkan rumah tanpa mengetahui niat baik anaknya. Menurut Covey pula, individu yang berlawanan sikapnya dengan individu proaktif ialah individu reaktif. Individu reaktif merupakan individu yang sering kali dipengaruhi oleh persekitaran fizikalnya. Segala tindakan yang dilakukannya akan dituju kesalahannya kepada faktor luaran terutamanya persekitaran. Misalnya, sesorang individu yang cepat marah pada sesuatu masa akan mengatakan kemarahannya berpunca daripada cuaca yang kurang elok. Hal ini menunjukkan bahawa, individu ini tidak langsung mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap perbuatan yang dilakukannya malah akan menyalahkan perkara lain terhadap perbuatan yang telah dilakukannya.

Bagi amalan kedua pula ialah mulailah dengan akhir di fikiran (begin with the end in mind). Amalan ini sangat berkait rapat dengan imiginasi. Ianya menerangkan bahawa segalanya akan bermula dengan imiginasi dan akan terlaksana melalui perbuatan seseorang individu. Melalui fahaman saya, amalan ini memerlukan seseorang untuk berfikir secara ke hadapan. Amalan ini juga menanamkan sikap yang positif pada diri seseorang individu supaya mendidik diri untuk mempunyai misi dan visi dalam kehidupan seharian. Hal ini akan mendorong seseorang individu bagi merealisasikan impian yang diingini seterusnya akan berusaha ke arah mencapai misi tersebut. Selain itu, mulailah dengan akhir di fikiran juga membawa maksud, memulai kehidupan seharian dengan satu matlamat yang jelas. Hal ini bertujuan supaya kehidupan seharian dapat dilakukan mengikut matlamat yang telah ditentukan dengan melakukan sesuatu yang seiring bagi mencapai matlamat dan tujuan diingini. Ianya juga dapat membantu diri supaya menjadi seorang yang terarah dan menjadikah kehidupan seseorang kehidupan yang terancang. Di samping itu, matlamat yang jelas dalam kehidupan juga dapat mengelakkan seseorang individu daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Misalnya, seseorang yang bercita-cita menjadi seorang guru pasti akan berusaha untuk memasuki institut perguruan dan bukanlah dengan melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti menghisap rokok dan dadah sehingga menyebabkan individu tersebut memasuki pusat serenti. Tambahan pula, akhir di fikiran juga membawa maksud tujuan hidup yang ingin kita tetapkan pada penghujung hidup. Ini menunjukkan bahawa apa yang seseorang individu inginkan pada akhirnya, haruslah dibuktikan melalui perbuatannya. Apa yang diingini tidak akan berlaku sekiranya tidak ditunjukkan melalui perbuatan dan tindakan. Sekiranya tiada tindakan diambil, kehidupan yang diingini pada penghujung hidup tidak akan tercapai dan ianya hanya akan berlalu begitu sahaja dengan penyesalan yang tiada kesudahannya.

Maksud end of the end juga boleh diertikan sebagai pengakhiran kita di dunia ini. Seperti yang kita tahu, pengakhiran kita bukanlah di dunia sahaja, malah akan lebih jauh lagi iaitu di akhirat kelak. Oleh itu, sudahkah kita membuat persediaan yang lengkap bagi menghadapi pengakhiran kita kelak? Bagi amalan ini, ianya mengajarkan kita supaya lebih bersiap sedia untuk menghadapi masa hadapan (akhirat). Segala perancangan dan usaha (amal perbuatan) ke arah hadapan haruslah dirancang dengan rapi bagi memastikan apa yang diingini tercapai (mencapai syurga). Oleh itu, matlamat yang jelas haruslah dibuat dan dibina dahulu sebelum melakukan sesuatu tindakan dan tingkah laku.

Bagi amalan ketiga pula ialah dahulukan yang utama (put first things first). Menurut Covey, untuk meneruskan hidup yang sejahtera, setiap individu harus menyedari bahawa setiap perkara yang datang tidak dapat dilakukan semuanya. Hanya sesetengah perkara sahaja yang dapat dilakukan dalam sesuatu masa. Hal ini kerana, hanya perkara yang begitu penting dan yang memberi manfaat sahaja dapat dilakukan. Melalui amalan ini, setiap perkara yang akan dilakukan haruslah dinilai baik buruknya dan juga kepentingannya. Ini bertujuan bagi memastikan setiap perkara yang dilakukan adalah bermanfaat dan berfaedah bagi individu tertentu. Dalam kehidupan ini, Put First Things First sangat bergantung kepada sistem nilaian manusia. Sistem nilai inilah yang akan menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga akan diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga akan diketepikan. Selain itu, amalan ini juga menekankan supaya setiap individu melakukan satu jadual khusus bagi memudahkan individu tersebut mengelaskan setiap aktiviti yang ingin dilakukan pada setiap hari. Jadual tersebut dapat membantu seseorang individu bagi memastikan apa yang dilakukan adalah yang terbaik pada sesuatu masa tertentu. Jadual yang disarankan mempunyai empat kuadran yang melibatkan urgen dan penting, urgen dan tidak penting, tidak urgen dan penting serta tidak urgen dan tidak penting. Jadual ini juga dapat membantu seseorang individu dari sudut pengurusan masa dan kerjanya. Dahulukan yang utama juga mampu melatih seseorang individu untuk menyusun jadual hariannya dengan lebih teratur. Setiap perkara yang ingin dilakukannya akan dinilai dahulu kepentingannya. Sekiranya perkara yang ingin dilakukan tidak membawa faedah, berkemungkinan perkara tersebut tidak akan dilakukan. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan seseorang individu daripada membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan tidak penting.

Amalan keempat ialah fikir menang-menang (think win win). Amalan ini menekankan kebaikan bagi kedua-dua belah pihak. Secara umumnya, sesetengah manusia mempunyai sikap pentingkan diri sendiri. Oleh itu, amalan fikir menangmenang tidak dapat diamalkan oleh manusia yang bersifat pentingkan diri sendiri. Bagi amalan ini, ianya sering diamalkan bagi manusia yang inginkan kebaikan bersama. Menang-menang bermakna persetujuan atau penyelesaian untuk kepentingan bersama dan kepuasan bersama. Melalui menang-menang, semua pihak akan berasa puas hati tentang keputusan yang dibuat dan mempunyai komitmen terhadap pelan tindakan. Misalnya, kerja yang dilakukannya oleh seseorang mesti membawa kebaikan kepada orang lain supaya manfaat dapat diperolehi secara bersama dan memudahkan kerja orang lain. Selain itu, pemikiran menang-menang juga memerlukan keberanian dan sikap timbang rasa untuk membina manfaat bersama. Terdapat tiga ciri akhlak yang ditekankan dalam paradigma menang-menang iaitu integriti, kematangan dan mentaliti kelebihan. Kematangan ialah imbangan antara keberanian dan timbang rasa. Ianya merupakan keseimbangan yang menandakan kematangan benar. Di samping itu, pemikiran menang-menang juga mampu menyatukan seseorang individu dengan individu yang lain. Hal ini kerana, dengan

mengaplikasikan pemikiran ini, permusuhan dapat dielakkan. Pemikiran ini menekankan konsep timbang rasa antara satu sama lain dan dapat membantu seseorang yang dalam kesusahan supaya mencari jalan penyelesaian bagi mencapai kebaikan bersama. Bagi mempraktikkan pemikiran menang-menang, ianya bermula pada amalan 1 iaitu Be Proactive yang bermaksud berpemikiran positif dan cenderung kepada manfaat dan penyelesaian. Dorongan bagi habit 1 pula ialah terletak pada Begin with the End in Mind kerana Lose-Lose adalah kesudahan yang dijanjikan bagi pertembungan Win-Lose yang tegar. Bagi langkah mempraktikkannya pula ialah Put First Things First iaitu beri keutamaan kepada kepentingan ramai dan kejayaan bersama, berbanding kelakuan kanak-kanak yang tidak mahukan kekalahan atau perkongsian.

Amalan yang seterusnya ialah berusaha untuk memahami baru minta difahami (seek first to understand then to be understood). Amalan ini merupakan suatu amalan yang sangat penting. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya salah faham terhadap info yang diberikan. Sesetengah manusia sering kali mendengar sesuatu tanpa cuba memahami isinya. Terdapat juga segelintir manusia yang sering kali membuat pemahamannya dan pandangannya sendiri terhadap maklumat yang diperolehi. Oleh hal yang demikian, berlakulah salah faham dan tokok tambah hasil pencernaan idea diri sendiri tanpa cuba memahami maksud asal isi tersebut. Melalui amalan ini, ianya menekankan kita supaya meluangkan sedikit masa untuk cuba memahami apa yang ingin disampaikan oleh seseorang. Sekiranya, sedikit masa dapat diberikan untuk menafsir maklumat-maklumat tersebut, berkemungkinan besar maklumat yang kita perolehi adalah maklumat yang betul dan sempurna. Misalnya, sekiranya A mengatakan ingin ke kedai komputer untuk membeli alat-alat komputer, kita akan memahami bahawa A hanya akan membeli barang-barang yang melibatkan komputer sahaja. Sekiranya kita tergesa-gesa tanpa memahami maksud kata-kata A, berkemungkinan besar kita akan menyuruhnya untuk membeli barang-barang keperluan peribadi tanpa mengetahui bahawa A hanya akan ke kedai komputer sahaja. Selain itu juga, amalan ini juga mengajarkan kita supaya mendengar maklumat daripada sesorang sehingga habis hujahnya, bukanlah mencelah hujah seseorang demi menyatakan idea sendiri. Sekiranya konsep mencelah idea orang berlaku, berkemungkinan besar salah faham terhadap maklumat yang ingin disampaikan akan berlaku. Hal ini kerana, maklumat yang ingin disampaikan belum habis dibicarakan. Oleh hal yang demikian, kita digalakan untuk mendengar sehingga habis dahulu percakapan seseorang sebelum ingin mencelah. Situasi ini sering sahaja berlaku apabila seseorang itu tergopoh-gapah dalam memperolehi sesuatu maklumat yang dia minati.

Tabiat keenam pula merujuk kepada bersinergi. Sinergi ini boleh diertikan sebagai saya datang dengan pandangan saya dan awak datang dengan pandangan awak, tetapi kita berdua terbuka bukan hanya kepada memilih antara dua pandangan berbeza yang kita ada, sebaliknya bersedia untuk mencari sesuatu yang lebih baik dari cara saya dan cara awak. Kebanyakan orang tidak pernah mengalami tahap sinergi yang sederhana dalam kehidupan keluarga atau dalam interaksi yang lain. Hal ini kerana, mereka telah dilatih dan diajar komunikasi defensif dan perlindungan atau kepercayaan bahawa kehidupan atau orang lain tidak boleh dipercayai. Akibatnya, mereka tidak terbuka kepada tabiat ini dan prinsipnya. Secara logiknya, seluruh alam bersinergi untuk keperluan masing-masing. Tanpa sinergi, kita tidak mungkin akan menjadi insan yang sempurna. Hal ini dapat dibuktikan bahawa tujuan penciptaan manusia yang berbeza-beza jantinanya adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain. selain itu, kita juga memerlukan haiwan dan tumbuhan untuk dijadikan sumber makanan bagi menyalurkan tenaga buat kita. Tanpa haiwan dan tumbuhan, kita pasti mati kerana tidak mempunyai sumber makanan dan tenaga. Melalui tabiat ini, ianya juga mengajarkan kita supaya pandai mencari alternatif ketiga sekiranya menghadapi situasi yang tidak dijangka. Misalnya, perancangan untuk mengajar telah dibuat dengan begitu rapi. Namun demikian, perancangan tersebut tidak dapat dijalankan kerana mempunyai masalah-masalah teknikal seperti ketiadaan elektrik. Oleh itu, sebagai seorang guru, kita haruslah sentiasa memikirkan alternatif baru bagi mengatasi masalah tersebut supaya pengajaran yang telah dirancang dapat juga dijalankan walaupun ianya tidak begitu sempurna. Selain itu, sinergi juga dikenali sebagai sepadu upaya. Ianya merupakan konsep kerjasama yang diamalkan dalam mengembangkan idea atau alternatif. Kebaikan yang diperolehi daripada amalan ini ialah, kita dapat menukar idea dan pandangan dengan adanya konsep kerjasama yang diamalkan. Idea yang dikemukakan juga dapat dinilai dengan baik dan dapat digunakan sekiranya ianya diperlukan.

Dalam Islam juga, kita digalakkan untuk memberi kerjasama dalam membuat kebaikan. Kenyataan ini dapat dirujuk pada ayat Al-Maidah ayat 2 yang menyatakan Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaan-Nya. Melalui ayat tersebut, dapat difahami bahawa, kerjasama dapat memberi kebaikan pada diri dan orang lain. Sekiranya amalan ini tidak diamalkan, kita tidak mungkin dapat mengatasi masalah yang berlaku dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana, konsep kerjasama dalam mencari alternatif baru tidak dapat dicapai dan diperolehi. Oleh hal yang demikian, masalah tidak dapat diatasi dengan kadar yang segera oleh kerana tidak memperolehi idea yang bernas.

Amalan yang ketujuh pula merujuk kepada mengasah gergaji. Amalan ini menekankan supaya seseorang individu mengasah kebolehan diri sendiri yang terdapat dalam diri. Setiap individu telah dikurniakan potensi dan akauntibiliti masingmasing. Oleh itu, setiap individu haruslah menggunakan potensi yang ada dengan sebaik mungkin. Melalui amalan ini, terdapat dua situasi yang telah diutarakan, iaitu mengenai dua orang manusia yang memotong pokok. Seorang manusia memotong pokok tanpa berhenti sedangkan seorang lagi memotong pokok dan kemudiannya berehat sebentar untuk mengasah gergaji dan kemudian meneruskan kembali usahanya memotong pokok. Melalui situasi tersebut,kita haruslah menjadi manusia yang kedua iaitu, berehat sebentar bagi mengasahkan gergaji. Hal ini kerana, sekiranya kita meneruskan usaha memotong pokok, gergaji yang digunakan akan tumpul dan akan melambatkan kerja-kerja kita. Oleh itu, berhenti sebentar merupakan cara yang terbaik bagi membuat sesuatu pekerjaan. Begitulah juga dengan kebolehan dan potensi manusia. Setiap manusia perlu mengasah bakat mereka sebelum mampu menjadi seorang yang hebat dalam kariernya. Sekiranya seseorang individu tidak dapat mengasah kebolehannya, individu tersebut hanya akan menjadi individu yang biasa sahaja. Beliau tidak mampu memperbaharui kebolehan dan bakat yang terpendam dalam dirinya kerana tidak tahu untuk mengasah bakat yang sedia ada. Oleh itu, produktiviti kerjanya tidak dapat mencapai ke tahap yang memuaskan.

Salah satu amalan yang telah saya praktikkan melalui 7 habits highly effective people ialah dahulukan yang utama (put first things first). Amalan ini merupakan amalan yang paling penting dalam kehidupan saya sebelum melakukan sesuatu perkara. Melalui amalan ini, ianya mengajarkan saya bahawa pentingnya membuat perancangan dan strategi sebelum melakukan sesuatu. Hal ini kerana, sekiranya kita melakukan strategi pada awalnya, kita akan memikirkan dahulu perkara yang paling utama untuk dilakukan di samping melakukan perkara yang kurang penting keutamaannya. Di samping itu, melalui amalan ini juga, saya dapat membuat jadual harian. Jadual harian tersebut dapat membantu saya bagi melakukan perkara-perkara yang ingin dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Namun begitu, jadual tersebut tidaklah begitu ketat. Hal ini kerana, setiap perkara yang tertulis di dalam jadual boleh diubah dan ditukar mengikut keutamaan sekiranya perlu. Selain itu, amalan ini juga mengajarkan kita untuk melakukan jadual khusus yang melibatkan unsur penting dan urgen dan juga unsur tidak penting dan tidak urgen. Jadual ini dibuat bagi membolehkan kita mengklasifikasikan perkara-perkara mengikut keutamaannya sama ada urgen dan penting, urgen dan tidak penting, tidak urgen dan penting atau tidak urgen dan tidak penting. Berdasarkan jadual yang dibuat, kita akan menemui hasilnya yang dapat membantu kita dalam menguruskan urusan seharian dengan lebih jelas dan teratur. Hal ini kerana, setiap perkara akan dinilai kepentingannya dahulu sebelum kita dapat melakukannya. Sekiranya perkara tersebut tidak urgen dan tidak penting, berkemungkinan besar, perkara tersebut tidak akan dilakukan pada hari tersebut dan berkemungkinan juga perkara tersebut akan dilakukan pada hari berikutnya sekiranya perlu. Amalan ini amat berkait rapat dengan pengurusan masa bagi setiap individu. Bagi individu yang mengamalkan amalan ini, pengurusan masanya akan berjalan dengan efisien dan teratur. Hal ini kerana, individu tersebut dapat membezakan perkara-perkara yang dapat memanfaatkan masanya dengan perkara-perkara yang akan membazirkan masanya sekiranya individu tersebut melakukannya sesuatu perkara.

Selain itu, antara amalan lain yang telah saya praktikkan ialah mulailah dengan akhir di fikiran. Melalui amalan ini, saya telah mempunyai satu matlamat khusus bagi memperolehi apa yang saya ingini. Misalnya ialah, saya telah bercitacita untuk menjadi seorang guru pada suatu masa nanti. Oleh hal yang demikian, tindakan yang telah saya lakukan ialah memasuki institut perguruan bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang keguruan. Hasilnya, saya akan menjadi seorang guru pada suatu masa nanti apabila telah tamat pengajian di institut perguruan. Selain itu, amalan ini juga mengajarkan saya supaya mempunyai misi yang jelas. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan misi saya daripada tersasar. Sebagai contoh, sekiranya saya ingin memiliki kereta sendiri pada akhir pengajian saya di institut perguruan, saya haruslah menyimpan duit supaya saya mempunyai kewangan yang kukuh apabila tamat pengajian nanti. Hal ini bertujuan supaya saya dapat memiliki kereta idaman saya dengan menggunakan duit saya sendiri. Dengan itu, saya akan sentiasa terdorong untuk menyimpan duit bagi memenuhi hasrat dan misi saya. Melalui amalan ini juga, saya akan lebih berdisiplin dalam melakukan sesuatu kerja supaya apa yang saya hajati akan diperolehi pada akhirnya. Sekiranya sesuatu kerja yang dilakukan tidak dapat membantu saya dalam mencapai matlamat yang diingini, berkemungkinan besar saya akan meninggalkan kerja tersebut dan meneruskan kerja yang lain yang dapat membantu saya dalam memperolehi hajat yang diimpikan. Amalan ini juga mengajarkan saya supaya membuat amal di dunia dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat yang saya ingini iaitu mendapatan syurga Allah. Oleh itu, bagi memperolehi matlamat tersebut, saya perlulah berusaha dengan gigih supaya matlamat yang diingini akan tercapai. Saya juga haruslah berusaha bagi mengelakkan diri daripada melakukan segala amalanamalan yang dilarang olehNya bagi menghindarkan diri daripada dimurkaiNya.

Bagi amalan yang ingin dipraktikkan dalam hidup saya pula ialah menjadi seorang yang proaktif. Proaktif merupakan nilai positif yang harus dididik dalam diri setiap individu. Antara ciri-ciri individu yang proaktif ialah tidak menyalahkan orang lain sekiranya menghadapi masalah. Ciri ini merupakan antara perkara yang paling sukar untuk saya lakukan. Hal ini kerana, sekiranya berlaku sebarang masalah dalam melakukan sesuatu perkara, saya lebih suka menyalahkan orang lain daripada bermuhasabah diri. Oleh yang demikian, saya harus tanamkan dalam diri supaya saya dapat mengawal diri untuk menjadi insan yang proaktif dan bukannya insan reaktif. Selain itu, amalan ini juga dapat mengajarkan saya supaya bertanggungjawab ke atas diri sendiri terhadap tindakan yang telah saya lakukan sama ada dari sudut pemikiran ataupun fizikal. Dalam erti kata lain, saya perlu membuat keputusan dengan sebaik mungkin tanpa melibatkan orang disekeliling. Oleh itu, amalan ini memerlukan saya supaya berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan diri saya daripada membuat keputusan yang tidak betul. Di samping itu, kesabaran juga dapat dibentuk melalui amalan proaktif ini. Hal ini kerana, kita akan dilatih supaya tidak mudah melatah dan menyalahkan orang sekeliling dengan perkara buruk yang berlaku. Sikap sabar merupakan sifat yang dituntut bagi mengelakkan perkara buruk seperti pergaduhan dan buruk sangka berlaku. Dalam Islam juga, umatnya dituntut supaya bersabar. Hal ini dapat dibuktikan melalui ayat 127 dalam surah Al-Nahl yang berbunyi Dan bersabarlah kamu. Dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan Allah. Oleh itu, hiduplah dalam meletakkan setiap asas perbuatan pada kesedaran diri terhadap Allah, dan dari situlah terbitnya sabar. Tiada konsep proaktif tanpa adanya Allah. Secara kesimpulannya, saya berharap agar dapat mengamalkan ketujuh-tujuh amalan yang dikemukan oleh Steven Cowey bagi menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Namun demikian, amalan-amalan yang diamalkan juga haruslah bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis bagi mengelakkan diri dari jauh dari jalan yang diredhai olehNya. Segala yang dirancang juga hanya akan berlaku dengan izin dariNya.

Anda mungkin juga menyukai