Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 15/03/2001

SMK Lohan -- Keindahan landskap `silaukan' mata

Pokok kelapa ditanam berhampiran kolam-kolam ikan bagi pelajar mempelajari cara menternak ikan di SMK Lohan, Ranau, Sabah.

MESKIPUN terletak jauh di pedalaman, namun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lohan, lima kilometer dari pekan Ranau, Sabah itu adalah antara sekolah gred A tercantik dan terbaik di Malaysia. Memasuki sahaja ke dalam kawasan sekolah itu sudah pasti mata pengunjung akan berasa `silau' dengan keindahan landskapnya bagaikan berada di dalam sebuah taman bunga. Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa SMK Lohan adalah ibarat sekolah dalam taman bunga, apatah lagi persekitaran daerah Ranau yang dikelilingi bukit bukau menghijau itu menambahkan lagi keceriaan semula jadinya. Malah perkataan `Semelor' bagi singkatan kepada SMK Lohan, Ranau yang bermula di bangunan baru sejak tahun 1992 itu juga adalah mirip kepada nama bunga melor yang sering menjadi hiasan taman dan berbau harum. Justeru SMK Lohan adalah antara sekolah yang turut dipilih untuk menyertai Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K) 2001 anjuran Kementerian Pendidikan. Sebelum ini beberapa pengiktirafan terutama dari segi pencapaian akademik, kebersihan dan keceriaan peringkat negeri dan kebangsaan telah dicapai oleh SMK Lohan.

Pengetua SMK Lohan, Masduki Shahri berkata, antara pengiktirafan yang pernah diterima ialah sebagai Sekolah Harapan Negara peringkat kebangsaan kategori sekolah luar bandar pada tahun 1995. SMK Lohan juga pernah memenangi johan landskap terbaik anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) peringkat negeri Sabah dua tahun berturut-turut pada tahun 1997 dan 1999. Pada tahun 1997 SMK Lohan memenangi naib johan landskap terbaik yang juga dianjurkan oleh KKKP. Menurut Masduki, SMK Lohan juga pernah menduduki tempat kelima dalam Karnival Seni Jauhi Dadah peringkat kebangsaan pada tahun 1999. ``Rahsia kejayaan yang menjadikan SMK Lohan berkeadaan bersih dan ceria adalah hasil kerjasama erat di antara guru- guru, para pelajar dan tidak ketinggalan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat umum,'' katanya. Di samping itu katanya, pihak sekolah telah mengupah khas tukang kebun serta tukang sapu sampah untuk menjamin SMK Lohan sentiasa berkeadaan bersih dan ceria. Jelasnya, sampah itu dikumpul di satu kawasan tertentu sebelum dipungut oleh pekerja yang diberi elaun khas atas inisiatif sekolah memandangkan kawasan SMK Lohan tidak termasuk di dalam kemudahan lori sampah Majlis Daerah Ranau. ``Satu usaha lain bagi menjamin kebersihan tandas, pihak SMK Lohan ini telah mengenakan peraturan tandas berjaga dan berbayar sebanyak 5 sen sekali masuk dengan menggunakan kupon bulanan yang ditebuk seperti tiket bas setiap kali digunakan,'' katanya. Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat menjaga kebersihan dan menambah tabung sekolah, malah boleh mendisiplinkan pelajar supaya tidak ponteng kelas dengan membuang masa di dalam tandas. Untuk menjamin kesihatan pelajar, maka pemakanan mereka di kantin sekolah dan asrama sentiasa diawasi tahap kebersihannya. Dari segi keselamatan pula, pihak sekolah yang juga mempunyai 350 orang pelajar tinggal di asrama itu telah mendapatkan khidmat jaga serta pengawasan Rela. ``Kami bersyukur kerana SMK Lohan mempunyai tahap disiplin yang tinggi sekali gus turut membantu pencapaian akademik menerusi setiap kali peperiksaan,'' ujarnya. Pencapaian akademik SMK Lohan bagi keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2000 mendapat 41.7 peratus, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1999 mendapat 66.2 peratus dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2000 mendapat 97.8 peratus. Mengenai kokurikulum pula SMK Lohan terkenal dengan aktiviti projek khas sejak tahun 1993 berupa ternakan ikan air tawar seperti tilapia merah dan hitam menerusi tujuh buah kolam yang diusahakan dengan perolehan melebihi RM1,000 sekali tuaian selepas enam bulan diternak. Masduki berkata, ternakan ikan itu bukan sahaja dapat dijual, malah turut memberi pendidikan akualkutur sebenar serta membekalkan protein bagi keperluan majlis-majlis jamuan SMK Lohan atau dijual kepada pihak luar.