Anda di halaman 1dari 17

1.

Pendahuluan

Sebagai makhluk sosial, manusia sentiasa menginginkan hubungan dengan manusia lain. Tujuan hubungan ini adalah untuk mengelakkan diri manusia itu sendiri terasing daripada kumpulan masyarakat yang sememangnya secara fitrah lahir naluri saling bergantungan antara satu sama lain. Jelasnya, manusia yang kurang atau tidak sama sekali berhubung dan berkomuniksi sesama sendiri akan menyebabkan mereka terpinggir dari kumpulan masyarakat tersebut. Akhirnya, keadaan ini akan menyebabkan individu yang terisolasi itu menghadapi tekanan mental atau masalah jiwa yang tidak seimbang. Dr. Everett Kleinjan dari East West Center Hawaii menjelaskan bahawa komunikasi merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sebagaimana keperluan manusia untuk bernafas. Terangnya disini, manusia itu wujud dan kekal kerana keperluan itu tadi dan andainya keperluan itu tidak dipenuhi, maka manusia itu sendiri umpama makhluk yang lain seperti binatang atau tumbuhan yang hidup tanpa berinteraksi walhal haiwan atau binatang sekalipun berinteraksi sesama sendiri untuk memenuhi keperluan hidup dengan bahasa dan gerak geri yang difahami oleh kumpulan haiwan itu sendiri. Profesor Wilbur Schramm menerangkan bahawa komunikasi dan masyarakat adalah dua kata kembar yang tidak boleh dipisahkan. Alasannya, tanpa komunikasi mustahil bagi sesebuah masyarakat itu untuk terbentuk pada masa yang sama masyarakat juga memainkan peranan yang penting kerana tanpanya, komunikasi itu sendiri tidak akan mungkin berkembang (Schramm; 1982). Terdapat dua faktor yang menyebabkan manusia terdorong untuk berkomunikasi dengan manusia lain. Teori dasar biologi menjelaskan bahawa wujud dua matlamat manusia untuk berkomunikasi.Pertamanya adalah untuk meneruskn kelangsungan hidupnya dan seterusnya menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya.

1.1

Definisi Komunikasi

Pelbagai takrifan dan pendefinisian yang wujud dalam bidang komunikasi ini oleh kerana kepentingannya dalam memperkembangkan sesebuah bidang ilmu yang lain. Kajian mendapati bahawa, takrif komunikasi itu sendiri hadir dalam pelbagai konteks mengikut bidang kepakaran tokoh yang mengkajinya umpamanya komunikasi melalui pemahaman psikologi, sosiologi, antropologi, ilmu linguistik, kewartawanan dan sebagainya. Sememangnya, banyak sarjana yang meneliti aspek komunikasi serta menghasilkan takrifan yang berbeza antara satu sama lain. Istilah komunikasi berpangkal daripada perkataan Latin Communis yang membawa erti membuat kebersamaan atau membangunkan kebersamaan antara dua manusia atau lebih. Komunikasi juga berasal daripada kata dasar bahasa Latin iaitu Communico yang membawa maksud memberi. (Cherry dalam Stuart, 1983). Harold D. Laswell juga turut menerangkan bahawa kaedah tepat untuk menjelaskan maksud komunikasi itu adalah dengan menwujudkan persoalan siapa yang menyampaikan, apa yang disampaikan, melalui saluran apa, kepada siapa dan apa pengaruhnya. Kelompok sarjana yang mengkhususkan diri dalam bidang komunikasi telah menjelaskan bahawa konsep komunikasi antara manusia (human communication) itu merupakan satu proses transaksi, proses simbolik yang mengkhendaki orang-orang mengatur lingkungannya dengan membangun hubungan antara sesama manusia melalui pertukaran informasi serta menguatkan sikap dan tingkah laku orang lain disamping berusaha mengubah sikap dan tingkah laku tersebut. (Book, 1980). Everett M. Rogers merupakan pakar Sosiologi Pendesaan Amerika yang telah banyak memberikan penelitian terhadap konsep komunikasi itu sendiri dengan mengkhususkan kajian komunikasi dalam aspek penyebaran informasi. Beliau menyatakan bahawa komunikasi adalah proses yang mana suatu idea itu dialihkan dari sumber kepada satu penerima atau lebih, dengan maksud untuk mengubah tingkah laku mereka.

Takrif tersebut kemudiannya diperkembangkan oleh Rogers dan D. Lawrence Kincaid (1981) sehingga mewujudkan definisi baharu iaitu komunikasi merupakan suatu proses yang mana dua atau lebih membentuk atau melakukan pertukaran informasi dengan satu sama lain, yang pada gilirannya akan tiba pada saling pengertian yang mendalam. Segala bentuk takrifan yang telah diutarakan oleh para pengkaji tersebut jelas memberikan kita pemahaman serta gambaran yang lengkap mengenai konsep komunikasi. Di samping itu, kajian yang meluas terhadap bidang ilmu ini juga turut berkembang serta melahirkan subbidang yang lain

umpamnyaa kajian terhadap bahasa verbal, bukan verbal dan sebagainya. Tuntasnya, komunikasi wujud hasil daripada gabungan beberapa elemen yang mempunyai penjelasannya yang tersendiri. Elemen tersebut adalah sumber atau pemberi maklumat, informasi atau maklumat yang hendak disampaikan, saluran atau medium yang hendak digunakan dan elemen terakhir adalah penerima. Jelasnya, komunikasi merupakan satu proses menyampai mesej daripada sumber kepada penerima melalui saluran tertentu dalam satu keadaan dengan tujuan tertentu di samping adanya halangan dan peluang untuk mendapatkan maklum balas daripada penerimanya. 1.2 Definisi Budaya

Budaya amnya ditakrifkan sebagai cara hidup manusia dan tingkah laku manusia dalam sesebuah kelompok yang tertentu. Idea ini menjelaskan bahawa sesebuah kumpulan manusia atau sesebuah kelompok masyarakat tersebut boleh dibezakan melalui tataran pengetahuan, pengalaman, kepercayaan, nilai, sikap, makna, hirearki, agama, waktu, peranan, hubungan ruang, konsep alam semestar, harta atau material yang dikongsi bersama dari sesebuah generasi kepada generasi yang lain. Budaya sesebuah masyarakat dapat dibezakan melalui aspek-aspek tersebut kerana setiap kumuniti yang wujud di dunia ini mempunyai tatacara kehidupannya yang tersendiri serta menjadi identiti yang tidak boleh dihapuskan sama sekali bagi menjamin kelangsungan hidup sesebuah budaya. Cara hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat merupakan menifestasi daripada tingkahlaku dan tatacara kehidupan generasi yang terdahulu serta disampaikan secara berperingkat kepada generasi yang seterusnya.

Walau bagaimanapun, evolusi telah menjadikan sesetengah aspek dalam sesebuah kebudayaan mengalami pembaharuan selaras dengan perkembangan persekitaran yang memerlukan manusia untuk mengadaptasi kehidupannya hasil pengaruh tersebut. Pembaharuan dan evolusi yang wujud ini merupakan hasil daripada pertembungan keperlbagaian budaya di dunia yang mengkhendaki manusia untuk berinteraksi sesama sendiri. Keadaan ini menyebabkan manusia perlu mempelajari budaya lain serta menyesuaikan diri mereka agar mampu untuk meneruskan kelangsungan sesebuah budaya tersebut. Keadaan ini tidak juga mengancam keaslian sesebuah budaya tersebut kerana lazimnya jati diri sesebuah masyarakat akan tetap mempertahankan cara hidup serta pandangan mereka terhadap masayarakat Hal ini adalah kerana, budaya merupakan identiti serta lambang kemegahan sesebuah budaya. Jelasnya disini, keperluan manusia untuk berkomunikasi antara masyarakat yang lain ditekan oleh kepentingan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup, pada masa yang sama perlu meletakkan budaya sebagai latar belakang kendiri yang perlu dipertahankan ketulenannya. Jelasnya, budaya dan komunikasi tidak boleh dipisahkan kerana masyarakat akan sentiasa bertindak aktif dalam memenuhi keperluan hidup serta maju dalam pelbagai hal. Budaya pula akan mempengaruhi mereka dalam proses komunikasi serta menjadi aspek utama yang perlu dikaji terlebih dahulu sebelum memulakan interaksi sosial. Senario ini akan menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif dalam proses komunikasi. Kesannya, apabila wujud kepelbagaian budaya serta beraneka ragam cara hidup manusia, maka akan wujudlah pelbagai kaedah atau taktik-taktik komunikasi agar mewujudkan komunikasi yang lebih berkesan. 2.0 Hubungan Budaya dan Komunikasi

Ringkasnya, Komunikasi merupakan proses yang berterusan serta melibatkan dua pihak yang saling bertukar maklumat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun ketika proses tersebut berlangsung, terdapat beberapa kekangan yang mampu menjejaskan keberkesanan proses komunikasi. Antara faktor dominan yang menjadi halangan dalam proses tersebut adalah seperti halangan persepsi, bahasa, fizikal, budaya, personaliti, kekurangan maklumat, prasangka dan juga perbezaan daripada aspek budaya. Budaya ditakrifkan sebagai cara hidup dan tingkahlaku sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan
4

keunikan yang tersendiri. Hal ini bergantung kepada kelompok masyarakat itu sendiri yang mana sekiranya mereka lebih mementingkan kebudayaan dan kesenian, maka aspek tersebut akan menjadi identiti induk yang mampu mengangkat martabat mereka dalam kalangan masyarakat yang lain. Berbeza pula bagi kumpulan masyarakat yang mementingkan pengetahuan teknologi dan Sains sebagai identiti utama mereka. Contohnya, masyarakat Eropah yang mengutamakan perkembangan teknologi maklumat dan kajian saintifik yang bertunjangkan ilmu Sains akan menjadikan medium tersebut sebagai elemen untuk mencapai kemajuan. Antara aspek lain yang menjadi fokus kepada masyarakat dalam memperkembangkan identiti mereka adalah kemajuan daripada aspek intelektual umpamanya masyarakat Jepun dan China. Mereka meletakkan ilmu pengetahuan sebagai kriteria utama dalam kehidupan melebihi aspek yang lain. Jelasnya, perkara ini akan mengklasifikasikan mereka sebagai kumpulan masyarakat yang berilmu pengetahuan. Hubungkait antara budaya dan komunikasi dapat dilihat daripada aspek kepentingan kewujudan sesebuah budaya tersebut dalam kelompok masyarakat yang pelbagai. Hal ini dapat dikenalpasti melalui peranan sesebuah budaya tersebut dalam memenuhi kepentingan budaya lain. Contohnya, dalam konteks masyarakat Malaysia sendiri, kaum Melayu, India dan Cina saling bergantung satu sama lain. Ketiga-ketiga kumpulan masyarakat tersebut memiliki identiti yang tersendiri serta menjadi tarikan kepada budaya lain untuk memahami perlakuan budaya tersebut. Umpamanya, di Malaysia masyarakat Cina sendiri lebih dominan dengan penguasaan mereka dalam aspek perniagaan, Masyarakat Melayu pula mementingkan kebudayaan, kesenian dan perkembangan agama manakala masyarakat India pula lebih cenderung dengan tenaga mahir serta kepakaran mereka dalam sesebuah bidang dan aktiviti harian umpamanya membekalkan tenaga kerja dalam pembinaan dan perladangan. Sememangnya, perbezaan ini akan menyebabkan wujudnya interaksi antara budaya yang bermatlamatkan untuk memenuhi keperluannya agar lebih berkembang. Walau bagaimanapun tanpa komunikasi juga, sesebuah budaya juga tidak akan kekal lama. Umpamanya masyarakat Iban yang tinggal di kawasan pedalaman malahan terpinggir dari kelompok masyarakat dominan. Sekiranya masyarakat Iban hanya tinggal di kawasan tersebut
5

tanpa sebarang mobilisasi, nescaya masyarakat Malaysia pada hari ini tidak akan mengenali budaya kaum Iban yang pelbagai dengan seni tarinya serta amalan hariannya yang unik dan penuh makna. Tuntasnya, budaya dan komunikasi merupakan ciri yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain. 3.0 Kepentingan komunikasi antara Budaya

Komunikasi melibatkan dua pihak yang saling bertukar maklumat dan pengalaman. Jika dihubungkan dengan konteks komunikasi antara budaya, adalah menjadi keperluan kepada para pengkaji untuk meneliti fungsi serta peranan komunikasi tersebut. Pertamanya adalah atas faktor penghijrahan dan migrasi. Penghijrahan masyarakat di seluruh dunia sekarang ini semakin kerap berlaku. Senario ini melibatkan perjalanan sesebuah kelompok masyarakat dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain atau dari satu benua ke satu benua yang lain. Berhijrah ke lokasi yang lain samalah juga berhijrah kepada budaya lain dengan matlamat untuk mengenali kawasan dan budaya masyarakat lain yang sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri di samping mengambil peluang untuk meningkatkan ekonomi. Hal ini juga telah menjadikan bentuk hubungan antara peribadi berubah menjadi antara budaya. Jelasnya, pentingnya seseorang individu itu untuk menguasai bidang komunikasi adalah untuk memudahkan migrasi dan penyesuaian diri dengan kelainan budaya yang dihadapi. Di samping itu, komunikasi antara budaya juga penting kerana keadaan ekonomi dunia yang saling bergantung antara sebuah negara dengan negara yang lain. Misalnya, sebelum ini ekonomi Amerika Syarikat banyak berkaitan dengan Negara Eropah yang mempunyai budaya yang hampir sama. Namun, sekarang ini banyak kegiatan perdagangan Amerika dalam bidang peralatan teknologi khususnya saling berkaitan dengan Negara di Asia Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan yang budayanya sangat berbeza dengan Amerika Syarikat. Kelangsungan ekonomi Amerika bergantung kepada kemampuan bangsanya berkomunikasi secara efektif antara dua budaya yang berbeza ini. Hal ini juga berlaku kepada bangsa-bangsa lain di dunia termasuk Malaysia. Justeru itu, komunikasi ini adalah medium yang perlu dikuasai oleh sesebuah masyarakat sebelum berhubung dengan masyarakat lainnya.

Tambahan daripada itu, kepesatan teknologi komunikasi dewasa ini telah membawa budaya luar yang adakalanya asing bagi kita masuk ke dalam minda kita. Filem-filem luar yang di tayangkan di kaca televisyen telah mendedahkan kita kepada adat, cara hidup dan asal-usul bangsa lain. Berita-berita dari luar negara merupakan sesuatu perkara yang biasa. Setiap malam kita dapat menyaksikan apa yang terjadi di luar Negara melalui televisyen. Selain itu, telefon juga menjadi salah satu media komunikasi dengan dunia luar. Semua teknologi ini telah membuatkan komunikasi antara budaya menjadi lebih signifikan, mudah dan praktis. Tidak dapat di nafikan bahawa kestabilan politik telah menjadikan komunikasi antara budaya semakin penting. Ketika ini kestabilan politik sangat bergantung kepada kestabilan politik budaya atau Negara lain. Ketidakstabilan politik di sesetengah Negara lain seperti Amerika Selatan, Poland dan Timur Tengah sedikit sebanyak mempengaruhi keamanan Negara kita. Contoh lain yang dapat menggambarkan situasi ini dengan lebih jelas adalah senario politik yang berlaku di Malaysia. Jelasnya, masayarakat di Malaysia terdiri daripada tiga bentuk budaya yang berbeza. Hal ini akan menyebabkan perlunya komunikasi dilaksanakan dengan efektif bagi menjamin keharmonian tersebut. Oleh itu, komunikasi dan kefahaman antara budaya merupakan tunjang kepada kestabilan politik yang mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu. 4.0 Pengaruh kepelbagaian Budaya terhadap Komunikasi

Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam proses perkembangan dan kelangsungan sesebuah budaya. Sesebuah masyarakat atau individu tersebut perlu memiliki kemahiran komunikasi yang efektif sebelum mula berinteraksi. Walau bagaimanapun terdapat beberapapa faktor atau keadaan yang mempengaruhi proses komunikasi dan sering kali keadaan ini menjejaskan proses komunikasi yang berlangsung. Antaranya adalah aspek kepelbagaian bahasa antara budaya, cara hidup, sistem kepercayaan, sistem sosial serta pembangunan dari aspek teknologi maklumat dan seumpamanya. Pertamanya, bahasa merupakan pengaruh utama dalam proses komunikasi. Dalam konteks interaksi antarabudaya, bahasa memainkan peranan yang penting kerana ia mempengaruhi keberkesanan komunikasi. Umpamanya, masyarakat asing yang datang ke Malaysia sememangnya mempunyai keinginan yang tinggi untuk mendalami budaya serta cara hidup masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, komunikasi dengan penduduk sekitar tidak
7

akan berlaku dengan mudah sekiranya para pelancong tidak mengetahui bahasa natif penduduk lokasi tersebut. Jelaslah bahawa bahasa memainkan fungsi yang penting dalam interaksi antarabudaya. Jika dilihat dari sudut budaya masyarakat Malaysia sendiri yang terdiri daripada pelbagai kaum sebagai contoh Melayu, Cina dan India, usaha untuk mewujudkan persefahaman antara budaya tersebut memerlukan keberkesanan dalam aspek komunikasi. Perkara yang menjadi halangan adalah kepelbagaian bahasa yang wujud. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara atas alasan untuk memudahkan proses integrasi antara masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu, cara hidup sesebuah budaya juga mempengaruhi proses komunikasi. Setiap budaya mempunyai tatacara kehidupan masing-masing serta mengamalkan prinsip-psinsip hidup yang berbeza. Umpamanya dari aspek cara pemakaian sesebuah budaya. Jika dilihat dari sudut budaya masyarakay di Malaysia, masyarakat Cina dan India lebih gemar memakai pakaian yang ringkas, singkat dan bercirikan kemodenan. Berbeza pula dengan masyarakat Melayu yang lebih gemar mengenakan pakaian yang menutup aurat, labuh, bertudung dan bersifat tradisional. Sekiranya dua budaya ini bertembung, lazimnya untuk mencapai keberkesanan dalam komunikasi tidaklah mudah kerana akan wujud perasaan kekok atau kurang selesa dengan penampilan rakan bicara kerana bertentangan dengan cara pemakaian masing-masing. Di samping itu, sistem kepercayaan yang berbeza-beza juga mempengaruhi proses komunikasi. Umpamanya masyarakat majmuk di Malaysia terdiri daripada pelbagai kumpulan agama seperti Agama Islam, Agama Kristian dan Agama Buddha. Sebagai contoh, dalam Islam, penganutnya perlu menunaikan solat lima waktu sehari semalam berbeza dengan agama lain yang perlu melaksanakan kewajipan mereka sehari dalam seminggu. Senario ini dengan jelas membuktikan bahawa sebelum kita mula berinterasksi dengan seseorang individu tersebut, perlu dilihat kepada keutamaan mereka untuk pergi menunaikan kewajipan sebelum berinteraksi. Hal ini adalah bagi menjamin keberkesanan komunikasi kerana bimbang individu tersebut akan rasa terganggu dengan kehadiran kita pada waktu sembahnyang mereka. Tambahan daripada itu, komunikasi juga dipengaruhi oleh sistem sosial yang pelbagai. Sistem sosial dalam masyarakat Malaysia umpamanya, terdiri daripada golongan pemimpin atau golongan pentadbir, tenaga profesional, tenaga mahir, serta masyarakat biasa. Lazimnya,

golongan tersebut dibezakan mengikut tahap pendidikan dan kepakaran dalam bidang masingmasing. Masyarakat biasa pula bertindak sebagai anggota pelaksana rancangan kumpulan yang memimpin serta berperanan sebagai sumber tenaga kepada negara. Walau bagaimanapun, sekiranya hendak mencapai kemajuan, semua pihak perlu berkerjasama serta memainkan peranan masing-masing, pendek kata masyarakat perlu berinteraksi sesama sendiri. Pada tahap ini komunikasi akan dipengaruhi oleh status masingmasing. Misalnya seorang rakyat biasa yang hendak berkomunikasi dengan pemimpin masayakat lazimnya perlu menghadapi prosedur-prosedur tertentu. Seterusnya, komunikasi antara dua pihak tersebut melibatkan laras bahasa komunikasi yang tinggi kerana perbincangan melibatkan pemimpin masyarakat. Akhir sekali, pembangunan sesebuah budaya dan masyarakat juga turut mempengaruhi keberkesanan komunikasi. Jika dilihat dari konteks global, negara-negara di dunia ini terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan tersebut terbahagi kepada negara maju, negara membangun dan negara mundur. Jika diperhatikan dari aspek penyaluran maklumat, lazimnya maklumat dari negara maju akan mengalir masuk ke negara membangun atau negara mundur. Pendek kata, pembagunan serta kemajuan negara tersebut akan mempengaruhi pembangunan negara lain yang mana menjadikan negara tersebut sebagai role model kepada mereka. Budaya juga akan mneghadapi perubahan akibat proses modenisasi yang berlaku. Negara-negara yang membangun dan mundur berkemungkinan mengalami dominant culture atau pun penaklukan budaya disebabkan pengaruh budaya yang kuat dari negara maju. Negara yang membangun perlu memahami budaya, cara hidup, bahasa serta status ekonomi masyarakat negara maju supaya matlamat negara untuk menjadi sebuah negara maju tercapai. Di sesetengah negara, berlaku juga fenomena budaya yang disebut sebagai melting pot theory iaitu apabila terdapat banyak budaya di sesuatu tempat yang diamalkan secara bersamasama. Berbeza pula dengan teori cultural mosaic. Teori ini merupakan sebuah teori yang mengemukakan bahawa masyarakat harus mendorong kumpulan-kumpulan etnik untuk mempertahankan kepelbagaian etnik dan identiti mereka. Penyertaan dalam sukan dapat mengukuhkan identiti etnik, misalnya, ketika sebuah pasukan terdiri daripada anggota dari satu latar belakang etnik bersaing dengan pasukan lain dengan ahli dari latar belakang etnik yang

berbeza. Secara tuntasnya, kesemua teori-teori ini secara tidak langsung memerlukan interaksi antara dua budaya tersebut. 5.0 Halangan Komunikasi antara Budaya

Dalam berkomunikasi, mengabaikan perbezaan yang wujud antara sesebuah budaya dengan budaya yang lain merupakan perkara yang ammpu menjejaskan komunikasi. Jelasnya, Seseorang itu menganggap tidak terdapat perbezaan dalam setiap budaya, yang ada hanyalah persamaan. Senario ini adalah tepat sama sekali. Hal ini kerana, semua budaya yang wujud di dunia ini ada perbezaannya. Contoh halangan tersebut dapat dilihat apabila seorang rakyat Amerika mempelawa rakannya seorang rakyat Filipina untuk makan malam di rumahnya.Rakannya itu menolak dengan sopan. Rakyat Amerika tersebut berasa sakit hati lalu menganggap bahawa rakyat Filipina tersebut tidak mahu menjalinkan hubungan persahabatan yang akrab dengannya. Manakala rakyat Filipina tersebut pula berasa sakit hati kerana rakannya itu tidak tulus mengajaknya makan malam di rumahnya. Hal ini kerana, bagi orang Filipina adalah menjadi kebiasaan untuk mendapat undangan beberapa kali sebelum menyatakan persetujuan. Seterusnya, masyarakat lazim melanggar adat kebiasaan budaya lainnya.Setiap negara mempunyai adab berkomunikasi yang berbeza. Di beberapa buah negara, tanda hormat ketika berkomunikasi adalah dengan prilaku mengelakkan pertentangan pandangan. Namun ada Negara lain yang menganggap mengelakkan pertentangan pandangan ketika berkomunikasi adalah tidak sopan kerana seolah-olah tidak berminat untuk berkomunikasi. Sebagai contoh, seorang gadis Amerika berkomunikasi dengan seorang lelaki Indonesia yang lebih berusia. Dalam situasi ini, bagi masyarakat Indonesia pertentangan pandangan adalah tidak sopan. Selain itu, sikap prejudis juga merupakan antara halangan yang dominan dalam proses komunikasi. Halangan tersebut akan muncul apabila seseorang menilai perbezaan budaya negara lain yang berbeza dengan budayanya sebagai sesuatu yang negatif. Umpamnya, prilaku meludah. Orang Melayu menganggap perbuatan tersebut sekiranya dilakukan di khalayak ramai adalah tidak sopan. Manakala di Barat pula menganggap perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan. Namun bagi suku masyarakat Masai di Afrika, meludah merupakan tanda afeksi. Bagi suku
10

Indian di Amerika pula menganggap meludah sebagai sifat ramah-tamah. Terdapat juga dukun suku Indian yang meludahi orang sakit dengan tujuan untuk menyembuhkan penyakitnya. Di samping itu, tindakan mengabaikan perbezaan antara kelompok budaya yang berbeza juga akan menyebabkan sesebuah komunikasi itu tergendala. Dalam setiap kelompok masyarakat yang berbeza budaya terdapat jurang yang amat besar dan ketara. Sekiranya kita mengabaikan perbezaan ini, kita akan terjebak dalam stereotipe. Kita mengandaikan bahawa semua orang yang menjadi anggota kelompok yang sama (kelompok bangsa atau ras) adalah sama. Misalnya, dalam budaya masyarakat Melayu itu sendiri terdadap kumpulan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar besar dengan juga penduduk kawasan luar bandar. Isu yang sering menjadi persoalan adalah budaya berjabat salam antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim. Orang melayu di bandar besar walaupun tidak semua, menganggap perkara tersebut sebagai satu perkara biasa. Mereka tidak merasa janggal melakukan hal tersebut. Namun bagi penduduk luar bandar yang masih berpegang kuat kepada adat kesopanan menganggap perkara tersebut sangat janggal dan tidak wajar dilakukan sesuka hati. Hal ini telah menghalang sesuatu komunikasi daripada berlaku kerana tidak biasa dengan budaya dan cara hidup masing-masing. Akhir sekali, tindakan mengabaikan perbezaan dalam sesebuah makna juga akan menjejaskan proses berinteraksi. Konsep makna tersebut tidak terletak pada kata-kata yang digunakan (semantik). Walau bagaimanapun, fokus diletakkan pada individu yang menggunakan kata-kata itu. Kita perlu peka terhadap prinsip ini dalam komunikasi antara budaya. Hal ini kerana, jika perkara ini diabaikan, komunikasi antara budaya dalam bentuk subbudaya akan gagal. Misalnya, seorang doktor berkomunikasi dengan pesakitnya yang merupakan seorang petani. Doktor tersebut menerangkan tentang penyakit pesakitnya menggunakan istilah saintifik yang langsung tidak diketahui dan difahami oleh petani tersebut. Perkara ini jelas akan menimbulkan konflik dalam berkomunikasi kerana maksud atau maklumat yang ingin disampaikan oleh Doktor tersebut tidak difahami dan tidak mampu diterjemah oleh penerimanya.

11

6.0

Mewujudkan keberkesanan dalam Komunikasi Antarabudaya

Komunikasi yang berkesan amat penting bagi mewujudkan hubungan antarabudaya. Tanpa komunikasi, sesebuah budaya tidak akan berkembang malahan akan menyebabkan sesebuah budaya tersebut akan terhapus. Walau bagaimanapun, senario hari ini menunjukkan masyarakat di dunia sedang berusaha untuk memperkembangkan budaya masing-masing kerana kemajuan memberikan kelebihan kepada mereka di samping mampu meningkatkan status budaya masingmasing. Sekiranya ingin berkembang, sesebuah budaya tersebut perlulah berinteraksi dengan budaya lain serta mempelajari keunikan dan kelainan yang menjadi amalan sesebuah budaya.

Selain itu, sekiranya hendak mewujudkan komunikasi yang berkesan antara budaya, perlunya tiga aspek ini dipenuhi. Pertamanya adalah pemahaman serta pembelajaran terhadap budaya lain selain daripada budaya sendiri, keduanya adalah sikap keterbukaan dan toleransi serta yang ketiga adalah penguasaan bahasa yang dipersetujui oleh kedua-dua budaya. Aspek pertama menjelaskan sebelum berinteraksi dengan budaya lain, kita perlu memahami dan mempelajari budaya teman bicara tersebut. Hal ini bagi menjamin keberkesanan komunikasi supaya tidak terjejas akibat daripada berlakunya salah faham antara amalan yang diamalkan oleh kedua-dua pihak. Umpamanya, masyarakat Melayu perlu memahami cara percakapan Bangsa Cina yang lazimnya dipertuturkan dengan lebih nyaring, manakala masyarakat India pula berbicara dengan lebih pantas. Hal ini akan memudahkan komunikasi kerana masing-masing memahami bentuk komunikasi budaya lain dan ia akan memudahkan lagi proses komunikasi.

Di samping itu, masyarakat perlu bersikap terbuka dan bertoleransi ketika berkomunikasi dengan budaya lain. Sememangnya, setiap budaya memiliki gaya dan cara hidup masing-masing dan sebahagian daripadanya mungkin bercanggah dengan budaya lain. Oleh itu, masyarakat perlu bersikap lebih terbuka dan memahami situasi yang berlaku. Umpamanya, dalam budaya Cina, mereka biasa bercakap ketika sedang menjamu selera, berbeza pula dengan masyarakat Melayu yang tidak bercakap ketika makan. Perkara ini dianggap biadap bagi budaya masyarakat Melayu. Jika orang Melayu tersebut mengundang temannya yang berbangsa cina untuk makan, dan sekiranya berlaku situasi yang dibincangkan tadi, maka teguran boleh dibuat tetapi hendaklah diberikan dengan cara berhemah kerana bimbang akan menjejaskan hubungan antara
12

budaya tersebut. Sama juga seperti sikap toleransi perlulah diamalkan sekiranya hendak berkomunikasi dengan budaya lain.

Selain itu, masyarakat juga perlu bertindak menguasai bahasa yang telah menjadi kebiasaan atau pertuturan sehari-hari masyarakat sekeliling. Jika dilihat dari konteks masyarakat antarabangsa, kita perlu menguasai bahasa Inggeris untuk memudahkan komunikasi antara masyarakat setempat dengan masyarakat luar. Dalam aspek negara Malaysia sendiri, penguasaan terhadap bahasa rasmi (Bahasa Lingua Franca atau Bahasa Kreol) adalah perlu bagi menjamin keutuhan integrasi dan memupuk perpaduan antara kaum. Sememangnya penguasaan bahasa amat perlu bagi menjamin keberkesanan komunikasi serta memudahkan sesebuah budaya lebih berkembang.

Walau bagaimanapun, pertembungan budaya yang berlaku secara realitinya telah mewujudkan bahasa-bahasa baru selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Umpamanya, dalam konteks masyarakat Malaysia sendiri, apabila masyarakat Cina dan Melayu berinteraksi, komunikasi yang seringkali berlaku tidak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Namun berlaku percampuran kod antara bahasa yang dipertuturkan sebagai contoh penggunaan Bahasa Pasar yang menggunakan lazimnya dipertuturkan menggunakan loghat cina dan sedikit bahasa Melayu pada perkataan yang digunakan. Wujud juga Bahasa Slaga atau bahasa yang lazimnya dipertuturkan oleh golongan remaja dan sememangnya kumpulan masyarakat ini yang memahami intipati kata-kata yang digunakan. Jelasnya, perlunya bahasa-bahasa ini dipelajari bagu memahami cara hidup dan budaya masyarakat yang menuturkannya.

7.0

Stereotipe, labelling dan Prejudis.

Ketika berkomunikasi, perlu difahami bahawa proses tersebut melibatkan dua pihak atau lebih yang saling bertukar maklumat dan pengalaman. Hal ini berlaku atas dua faktor yang utama iaitu untuk meneruskan kelangsungan hidup dan keperluan untuk mengadaptasi kehidupan dengan keadaan persekitaran. Jika dilihat dalam konteks masyarakat pula, kepentingan komunikasi itu adalah bagi menjamin kelangsungan sesebuah budaya atau mempelajari budaya lain yang sememangnya mempunyai kelainan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, ketika proses tersebut
13

berlangsung, manusia tidak akan lepas daripada tiga perkara utama yang seringkali menghalang proses komunikasi. Tiga elemen tersebut berlaku secara tidak langsung ketika proses komunikasi dilakukan dan kebiasaannya berlaku atas faktor persekitaran yang membentuk keadaan tersebut. Tiga elemen tersebut adalah konsep stereotipe, penlabelan dan prejudis. Stereotipe merupakan tanggapan atau persepsi seseorang individu atau sesebuah masyarakat terhadap sesebuah kumpulan atau budaya yang lain. Tanggapan atau persepsi ini tidak boleh diubah atau sememangnya sudah menjadi dasar kepada pemikiran sesebuah masyarakat sebelum memulakan komunikasi dengan kumpulan atau kelompok budaya lain selain daripada budaya sendiri. Umpamanya, sebelum berkomunikasi, individu lazimnya akan bertindak dengan membentuk persepsi terhadap individu yang ingin dijadikan rakan komunikasi. Tanggapan atau persepsi yang akan dibina ini lazimnya dibuat berdasarkan keadaan semasa rakan bicara tersebut atau melalui pengalaman yang dimiliki oleh penemu bicara. Penlabelan pula adalah suatu keadaan yang mana masyarakat atau individu tersebut meletakkan persepsi dan tanggapan mereka itu sebagai suatu yang kekal atau menjadi simbol kepada mereka sebelum berkomunikasi dengan kelompok tersebut. Label, simbol atau tanda yang diberikan kepada kelompok tersebut akan terus menjadi rujukan kepada penemu bicara setiap kali ingin memulakan komunikasi dengan kumpulan tersebut. Konsep prejudis pula menjelaskan bahawa dalam sesetengah masyarakat, akan wujud rasa tidak suka atau kurang senang dengan cara atau budaya sesebuah masyarakat lain. Perkara ini jelas akan mengganggu proses komunikasi antara budaya kerana lazimnya sifat atau ketidaksenangan ini hadir kerana berlaku percanggahan antara budaya yang terlibat dalam interaksi sosial tersebut. Lazimnya, masyarakat tidak akan menunjukkan rasa ketidakselesaan tersebut ketika proses komunikasi kerana bimbang akan menjejaskan hubungan antara budaya. Namun, terdapat juga kumpulan individu yang bertindak menyuarakan rasa kurang selesa tersebut dengan cara yang tertib dan sopan atas alasan untuk menjamin keberkesanan proses komunikasi serta wujud persefahaman antara dua pihak tersebut. Konsep stereotipe, penlabelan dan prejudis dapat dijelaskan dengan menghubungkait antara komunikasi dan budaya. Misalnya, dalam konteks masyarakat Malaysia sendiri, pandangan atau persepsi masyarakat Melayu, Cina dan India terhadap budaya masing-masing sememangnya sudah lama terbentuk atas faktor kesan pemerintahan zaman dahulu. Contohnya
14

dapat dilihat apabila penjajah British pada zaman dahulu mengamalkan dasar pecah dan perintah dalam sistem pentadbiran menyebabkan wujud stereotipe yang jelas terhadap ketiga-tiga kelompok masyarakat tersebut. Pada zaman pemerintahan tersebut, masyarakat Cina, India dan Melayu telah dipisahkan atau dibahagikan mengikut keperluan ekonomi pemerintahan British. Umpamanya, masyarakat Melayu telah dipaksa untuk tinggal di kawasan sawah dan di persisiran pantai, manakala kaum Cina lebih dominan dengan penguasaan aktiviti perniagaan dan kaum India pula menguasai kawasan estet-estet getah dan aktiviti perladangan. Keadaan tersebut jelasnya telah membentuk persepsi dan stereotipe yang kekal dalam minda sesebuah masyarakat terhadap budaya lain. Sebagai contoh, sebelum memulakan komunikasi sekiranya melibatkan orang melayu dan orang Cina, masing-masing akan menganalisis personaliti teman bicara tersebut berdasarkan pengalaman lampau umpamanya masyarakat Cina yang dominan dengan penguasaan mereka dalam aktiviti perniagaan, manakala masyarakat Melayu pula lebih dominan dengan aktiviti pertanian dan perikanan kerana sejarah mempengaruhi persepsi dan stereotipe kedua-dua individu tersebut. Kesannya, persepsi akan mempengaruhi komunikasi kedua-dua pihak. Begitu juga sebaliknya sekiranya masyarakat India terlibat dalam komunikasi tersebut, persepsi masyarakat Cina atau Melayu terus akan melihat kepada sejarah budaya tersebut iaitu kelompok budaya yang menguasai estet-estet getah dan perladangan. Konsep labelling pula memperlihatkan perlakuan masyarakat yang seringkali memberi petanda atau gelaran kepada sesebuah masyarakat lain setelah melihat kepada stereotipe atau persepsi yang telah lama berakar umbi dalam minda sesebuah masyarakat. Umpamanya, gelaran tauke-tauke yang seringkali digunakan ketika masyarakat Melayu berkomunikasi dengan Masyarakat Cina. Gelaran ini wujud atas dasar persepsi masyarakat yang telah lama terbentuk akibat daripada sejarah lampau dengan melihat situasi dominan yang berkait dengan budaya Cina iaitu penguasaan dalam aktiviti perniagaan. Begitu juga dalam keadaan yang melibatkan hubungan dengan kaum India yang mana mereka seringkali ditandai dengan gelaran estetestet. Prejudis pula merupakan sifat atau tingkahlaku seseorang individu yang tidak suka atau kurang gemar dengan sesebuah budaya atau tingkahlaku masyarakat tersebut. Umpamanya, masyarakat Islam yang prejudis terhadap budaya Kristian atau masyarakat bukan Islam yang
15

menjadikan khinzir sebagai makanan atau arak sebagai minuman. Hal ini berlaku kerana tanggapan atau persepsi masyarakat Islam terhadap arak dan khinzir yang mana hukum terhadap memakan atau meminumnya adalah haram. Jelasnya, sikap ini tidak mudah untuk dihapuskan dalam kehidupan masyarakat kita melainkan dengan mempelajari selok-belok sesebuah budaya tersebut. Dengan mempelajari budaya lain, kesannya persepsi kita terhadap budaya tersebut akan berubah kerana setiap perkara yang dilakukan oleh sesebuah budaya tersebut sememangnya mempunyai maksud yang tersendiri.

8.0

Penutup

Kesimpulannya, komunikasi amat penting dalam kehidupan seharian dan komunikasi juga berfungsi dalam menyatukan masyarakat. Komunikasi dan budaya perlu seiring bagi menjamin keberkesanan maklumat, di mana pendengar mendapat input yang jelas dan faham mengenai perihal yang disampaikan melalui komunikasi daripada pengantar. Komunikasi yang baik akan menyebabkan informasi atau maklumat dapat diperolehi dengan berkesan dan tepat walaupun pelbagai budaya diketengahkan. Setiap budaya memiliki cara yang berbeza untuk berkomunikasi hal ini telah menimbulkan pelbagai halangan untuk berkomunikasi dalam sesuatu penyampaian maklumat atau interaksi, maka cara yang berkesan perlu diambil bagi mendapatkan komunikasi yang berkesan. Setiap lapisan masyarakat perlulah mengetahui serta mempelajari budaya lain selain daripada budaya sendiri, hal ini demikian kerana jika budaya lain dipelajari sedikit sebanyak kita dapat mengetahui cara untuk berkomunikasi dengan baik tanpa melukakan hati si pendengar atau penerima tersebut. Hubungan dua budaya yang berbeza perlu dieratkan dengan cara berkomunikasi kerana melalui komunikasi maklumat dapat diperolehi dan disebarkan dengan lebih meluas. Di samping itu, mempelajari budaya dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum amnya. Jelaslah bahawa budaya dan komunikasi merupakan dua elemen yang penting dan saling berkait bagi mendapatkan komunikasi yang berkesan. Setiap orang perlulah mempelajari ilmu komunikasi antara budaya bagi memperolehi hubungan yang baik secara langsung dapat mengekalkan identiti budaya masing-masing.
16

9.0

Bibliografi Dr. Deddy Mulyana dan Drs. Jalaluddin Rahmat (1990). Komunikasi Antarabudaya. Bandung. PT Remaja Rosdakarya Drs. A.W Widjaja (1993). Komunikasi dan Hubunga Masyarakat. Jakarta. Bumi Aksara Hafied Cangara (1998). Pengantar Ilmu Komunikasi. Jakarta. Manajemen PT Raja Grafindo Persada James Lull; Pengantar Parakitri T.Simbolon; Penterjemah A.Setiawan Abadi (1998). Media, Komunikasi, Kebudayaan Suatu Pendekatan Global. Jakarta. Yayasan Obor Indonesia L.E Sarbaugh; Penterjemah Zainon Darois (1995). Komunikasi Antara Budaya. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Budaya Mokhtar Muhammad (2004). Komunikasi dan Perubahan. UITM Shah Alam. Pusat Penerbit Universiti(UPENA) Samsuddin A. Rahim (1997). Komunikasi Asas. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka Wimal Dassayake; Penterjemah Rahmah Hashim (1993). Teori Komunikasi Perspektif Asia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

17