Anda di halaman 1dari 22

HIGHLIGHTS & TRANSKRIP

ISU : PPSMI MASIH RELEVAN?


TETAMU

Y.BHG DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM


KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Y.BHG PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN


PRESIDEN MAJLIS PERMUAFAKATAN PERSATUAN IBUBAPA DAN GURU NASIONAL

PROF DR. TEO KOK SENG


PENSYARAH KANAN PUSAT PENGAJIAN BAHASA, KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN, UKM

30 DISEMBER 2008, 9:00 MALAM (RTM 1)


PERANTARA

SHUHAIMIN MOHAMED

DISEDIAKAN OLEH :

BAHAGIAN PENERBITAN DASAR NEGARA


JABATAN PENERANGAN Malaysia

HIGHLIGHTS

1.

Setelah 5 tahun Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran, keberkesanannya telah menampakkan keberkesanannya melalui beberapa peperiksaan yang dilalui oleh para pelajar sama ada di sekolah menengah mahupun rendah.

2.

Dalam era globalisasi, rakyat Malaysia perlu mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini bagi mencapai kemajuan. Kebanyakan bahan-bahan pembelajaran seperti buku, Internet dan lain-lain penerbitan, bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Sumber ilmu yang berada di pasaran dunia kebanyakannya berbahasa Inggeris. Sesiapa yang mahir menguasai Bahasa Inggeris merupakan insan yang dapat bersaing di pasaran dunia serta mampu memperoleh ilmu dengan cemerlang.

3.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, beberapa forum, persidangan dan seminar telah dilakukan untuk mencari penyelesaian serta jalan yang terbaik serta kebaikan kepada para pelajar. Keprihatinan kerajaan untuk mendengar teguran dan keluhan orang ramai turut dilaksanakan melalui beberapa kajian dan perbincangan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mencapai kebaikan untuk semua.

4.

Dalam melaksanakan sesuatu dasar, masa perlu diambil bagi melihat kejayaannya. Tidak ada satu dasar atau kempen yang dilaksanakan

mencapai kejayaan dalam masa yang singkat. Kejayaan negara Jepun, Rusia, Jerman dan Eropah menjadi gergasi dalam bidang teknologi juga mengambil masa yang agak lama untuk berjaya.

5.

Walaupun Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, namun pembelajaran lain lain subjek masih menggunakan bahasa Malaysia.

6.

Bahasa Malaysia masih terus dijadikan bahasa pengantar untuk semua sekolah bantuan penuh kerajaan. Perkara ini telah dilaksanakan sejak dahulu lagi berdasarkan peruntukan Perlembagaan negara.

7.

Perpaduan rakyat negara ini akan terus terjamin melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah sama ada bantuan penuh kerajaan mahupun di sekolah sekolah jenis kebangsaan.

8.

Namun begitu ada segelintir rakyat masih sangsi dan merasakan tidak yakin dengan dasar yang telah menampakkan kejayaan. Mereka ini merasakan negara akan kehilangan identiti jika pelaksanaan dasar ini berterusan.

9.

Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai imbuhan dan insentif kepada para guru yang mempunyai penguasaan dalam Bahasa Inggeris seperti

menyediakan bonus, imbuhan dan lain-lain galakan bagi mencapai tujuan tersebut.

10.

Rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dan semangat yang tinggi bagi mencapai hasrat dan wawasan negara. Negara Jepun telah membuktikan bahawa kejayaan mereka hasil daripada penguasaan bahasa Ibunda dan mempelajari Bahasa Inggeris

11.

Perpaduan rakyat Malaysia akan sentiasa terjamin dan berkekalan sekiranya amalan-amalan murni dan Perlembagaan negara terus dihayati dan difahami oleh semua rakyat. Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah penghalang kepada perpaduan dan semangat kenegaraan yang berterusan.

TRANSKRIP

PERANTARA : Assalamualaikum dan salam muhibah. Salam pembuka bicara daripada saya Shuhaimi Mohamed secara langsung dari studio 1 Wisma TV Angkasapuri. Tentunya dalam rancangan Isu, pada malam ini bersama saya Shuhaimi Mohamed dan untuk makluman saudara pada malam ini Isu mengetengahkan satu isu yang cukup menarik yang sedang hangat diperkatakan khususnya dalam sektor pendidikan pada hari ini iaitu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan secara ringkasnya PPSMI Masihkah Relevan. Itu tajuk kita dan di studio bersama saya tiga orang tetamu dan sebelum itu saya mengalukan saudara untuk menyertai perbincangan kami secara interaktif. Hantarkan SMS anda, sebarang soalan, komen menerusi SMS dengan menaip ISU jarak Nama jarak lokasi dan hantar ke 32776 dan pada malam ini Isu telah mengundang 3 orang tetamu jadi bersama saya ketika ini, di sebelah kiri saya ialah YBhg Dato Hj Alimuddin Hj Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Assalamualaikum Dato. Dan di tengahnya YBhg Prof Madya Datuk Hj Mohammad Ali Hassan, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional, dan di sebelah hujung ialah Y.Bhg Prof. Dr. Teo Kok Seng, Fellow Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selamat Datang Prof. Jadi kalau kita perhatikan sebenarnya pada malam ini PPSMI telah pun diperkenalkan pada tahun 2003, dan untuk kita imbas kembali sejarah pelaksanaan PPSMI ini ada baiknya saya ajukan kepada Dato ya, sedikit Sejarah PPSMI kerana kemelutnya bermula semasa pengenalan PPSMI itu sendiri. Silakan.

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM : Terima kasih En. Shuhaimi ya, jadi sebelum kita memperkatakan tentang PPSMI ini, saya perkenalkan sikit latar belakang bagaimana PPSMI ini dilaksanakan. Jadi sebenarnya sebelum dilaksanakan pada 2003 banyak badan-badan pemikir misalnya MTEN, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, MAMPEN, Majlis Perundingan Ekonomi Negara, ISIS, Institute of Strategic and International Studies telah memberikan pandangan-pandangan ataupun cadangan-cadangan mereka, kerana kita sedang menuju ke arah Wawasan 2020. Jadi negara memerlukan K-workers, memerlukan K-ekonomi dan memerlukan puluhan ribu saintis, engineer dan juga pakar-pakar tertentu untuk memajukan Negara ke arah Negara maju tahun 2020.
4

Jadi dalam hal itu telah dicadangkan untuk mencapai

hasrat tersebut kita mesti

menyediakan pelajar-pelajar sejak dari awal di dalam bidang sains dan matematik. Dan kita dapati bahawa untuk mendapatkan maklumat yang lengkap berkaitan dua-dua bidang ini tersebar luas dalam Bahasa Inggeris melalui internet, jurnal. Jadi difikirkan bahawa dengan penguasaan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris kita mengharapkan kita akan dapat melahirkan ramai pakar-pakar sains dan juga technical dan sebagainya untuk mencapai Wawasan 2020. Jadi pada bulan Julai 2002, pengumuman telah dibuat di mana tindakan melaksanakan PPSMI dan ianya telah dilaksanakan pada tahun 2003 bermula pada tahun satu dan diikuti dengan tingkatan 1 juga tingkatan 6. Tahun berikutnya ia meningkatlah dari tahun ke tahun. Itulah latar belakang awal bagaimana PPSMI itu dilaksanakan. Jadi ingin juga saya menerangkan, apabila kita melaksanakan dasar baru ini ada 4 aspek penting diberikan penekanan. Yang pertama dari segi guru dan di antaranya kursus-kursus Bahasa Inggeris, kursus ICT dan kursus pedagogi telah diadakan kepada semua guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini. Kemudian dari segi bahan pengajaran di antaranya pengisian atau software, peralatan ICT, seperti laptop dan ICD disediakan untuk guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini. Bahan-bahan sokongan seperti buku-buku tambahan dan diikuti dengan buku teks telah disediakan untuk keperluan pelajar-pelajar. Yang ketiganya dari segi kurikulum, kita juga menyediakan kurikulum yang lengkap termasuklah huraian sukatan pelajaran untuk memudahkan guru-guru melaksanakan tugas dan diikuti dengan peperiksaan dan disediakan juga peperiksaan setelah pelajarpelajar mengikuti mata pelajaran ini. Dan ke empatnya sokongan dan bimbingan. Jadi penyebaran maklumat, pemantauan, bimbingan dan kajian-kajian dibuat untuk menjadikan pengajaran ini menjadi lebih baik dari masa ke masa. Itulah lebih kurang latar belakang awal PPSMI ini dilaksanakan.

PERANTARA : Jadi kalau kita hendak perhatikan juga, Dato dari segi penentangan perancangannya telah bermula sebelum pelaksanaannya,

penentangan pelaksanaan PPSMI.

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM : Saya rasa perbincangan ataupun pandanganpandangan ini sejak akhir-akhir ini sahaja. Dari sejak awal tidak ada penentangan kerana kita belum lagi melihat kejayaan. Penentangan-penentangan ini saya kira di akhir-akhir ini apabila ia telah sampai satu pusingan.
5

PERANTARA : Jadi bagaimana dari segi pendapat Dato, dari segi penentangan. Adakah Persatuan PIBG Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional memang telah melihat ini pada awalnya sebagai suatu isu yang positif untuk pembangunan para pelajar masa depan Negara.

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Pada pihak saya, kami melihatnya satu, ada dua isu sebenarnya yang berkaitan inilah satu tentang penguasaan ilmu matematik dan sains. Kedua kita lihat daripada penguasaan bahasa dan saya rasakan, saya melihatnya dari perspektif ibu bapa penjaga dan juga perspektif profesional yang juga barang kali kita terlibat secara langsung melahirkan, melatih, membimbing profesional saintis terutamanya bidang sains, ekonomi ataupun geologi. Jadi dua perkara yang saya lihat agak berbeza. Penumpuan di sini perlu penekanan berbeza. Pertama ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Kita lihat setelah sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam misalnya. Di Malaysia ini mahu tidak mahu soal penguasaan bahasa itu belum dapat dikuasai oleh murid-murid dan malah saya lihat sekarang ini persoalan bahasa. Sekarang pun barang kali kita lihat enam tahun dilaksanakan di sekolah rendah kemudian dilaksanakan juga di sekolah menengah dari tingkatan satu hingga enam tahun kemudian ke universitas. Saya rasa penguasaan bahasa belum nampak menonjol. Profesional, pihak luar misalnya, kami dari sektor minyak, penggalian, masih lihat ada kelemahan komunikasi dalam Bahasa Inggeris sangat jelas terutamanya terutama bila dia menjalin komputer bila dia membentangkan resumenya, agak jelas masih lagi lemah. Itu satu soal bahasa. Kedua tentang penguasaan ilmu matematik dan sains. Ini ilmu kita rasakan amat perlu pemahaman yang lebih mendalam. Kita lihat misalnya soal penguasaan ilmu matematik mesti difahami dari asas lagi. Dan kita lihat dunia keseluruhannya, bila kita lihat polemik sekarang pun bila soal ok mungkin semua kebiasaannya wait and see dengan izin perkataannya. Ia melihat setelah sudah enam tahun dirasai bahawa penguasaan untuk menguasai dengan baik, dengan berkesan dengan dapat penekanan pemikiran yang baik dengan bahasa ibunda. Sekarang jelas kita lihat, mahu tidak mahu dari pelbagai persatuan-persatuan banyak yang memperkatakan bahawa mahu pengajaran bahasa sains dan matematik sekolah dan jenis kebangsaan cina hendakkan dalam bahasa ibundanya. Sekolah Tamil hendakkan bahasa ibundanya. ini pun ramai persatuan, majlis permuafakatan walaupun tidak menyeluruh ada memperkatakan hendakkan patut diadakan bahasa sendiri. Saya lihat kalau dari segi bukti jelas penguasaan profesional yang kita lahirkan sekarang dengan Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu
6

tidaklah jauh bezanya dengan yang diajar atau didedahkan dalam Bahasa Inggeris. Jadi di situ di mana kelemahannya kalau diajar dalam Bahasa Malaysia kita rasakan. Kejayaan jelas, kita lihat di dunia luar Negara Jerman, Perancis, Korea, saya mempunyai anak saudara yang pergi menuntut di Jerman. Menghendaki kejuruteraan misalnya bahasa Jerman, saya mempunyai anak saudara yang menuntut di negara Jepun untuk menuntut kerjaya dalam profesional sains dan teknologi, kejuruteraan khususnya. Sekali lagi bahasa Jepun.

PERANTARA : Sekali lagi pendiriannya Dato pada ketika ini tidak bersetuju Sains dan Matematik diteruskan dalam Bahasa Inggeris?

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Yes.

PERANTARA : Jadi lontaran suara daripada Prof Teo sendiri berhubung dengan PPSMI ini, bagaimana?

PROF DR. TEO KOK SEONG : Secara profesional dan juga secara peribadi saya berpendapat kita patut balik kepada yang asal iaitu mendidik anak-anak kita dalam Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Negara dan bahasabahasa etnik lain seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Jadi dalam hal ini anak-anak kita, kita boleh ajar dalam bahasa apa-apa pun. Asalkan frasa rananya lengkap dan betul. Iaitu cara implementasinya, guru-gurunya dan juga tahap kecerdasan pada anak-anak. Jadi dalam hal ini menggunakan dalam Bahasa Inggeris pun boleh menggunakan dalam Bahasa Melayu pun boleh, menggunakan bahasabahasa etnik pun boleh. Jadi saya kira, bagi saya kita perlu menggunakan Bahasa Melayu berbalik kepada asal kerana Bahasa Melayu itu dari segi linguistiknya sudah pun mencapai tahap bahasa moden seperti yang dianugerahkan ataupun seperti yang dimiliki oleh Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa besar di dunia. Jadi dari segi ilmu linguistik itu, ilmu bahasa itu, Bahasa Melayu sudah mampu menjadi bahasa ilmu sudah dapat pengiktirafan bahasa moden itu. Tapi sayangnya rakyat kita tidak

mempercayainya kerana tidak ada badan yang boleh menganugerahkannya seperti World Gunnies Book of Record ke dan sebagainya. Tapi itulah hakikatnya dan dari segi kompas Bahasa Melayu itu sistem ejaannya sudah matang yang dilancarkan pada tahun72 sampai sekarang sudah hamper 38 tahun tidak pun pernah diperkemas. Jadi
7

sistem ejaannya mantap. Sistem tulisannya dua lagi Bahasa Inggeris yang hebat pun ada satu. Jadi dari segi kosa katanya pun bertambah saban hari, istilahnya digubal sehingga sejuta setakat ini untuk ratusan bidang ilmu. Tatabahasanya dibakukan dan sebutannya pun pernah dibakukan dan dimansuhkan. Jadi ini, kita harus yakin. Satu lagi saya ingin tambah, model kita yang menggunakan Bahasa Melayu, bahasa sendiri, bahasa Negara sendiri untuk pendidikan ini sudah teruji di dunia. Di barat, Rusia gah menggunakan bahasa Negara itu. Kalau di Asia Jepun dan Korea. Jadi sudah teruji. Jadi saya kira kita perlu berhati-hati dalam menggunakan istilah bahasa ibunda sebagai kaedah yang baik untuk pendidikan sebab, saya rasa ada kekeliruan di sini, kalau kita hendak memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu untuk sains dan matematik kita harus gunakan, bercakap dalam rangka-rangka Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Rasmi. Kalau kita gunakan istilah bahasa etnik jadi itu perjuangan yang sempit sekali perjuangan budaya. Jadi kita mesti guna istilah Bahasa Kebangsaan bahasa rasmi. Saya kira kepercayaan bahawa kaedah mendidik dalam bahasa ibunda itu kaedah yang terbaik, itu satu mitos. Paling baik separuh mitos. Kita boleh lihat di depan mata kita sendiri anak-anak cina, anak-anak India yang ke sekolah kebangsaan itu belajar dalam Bahasa Melayu ,itu bukan bahasa ibunda mereka dan mereka berjaya. Anak-anak Melayu yang pergi ke sekolah cina belajar dalam bahasa cina mereka berjaya. Anakanak Melayu yang pergi ke sekolah agama mereka belajar dalam bahasa Arab berjaya. Jadi anak-anak ini ajarlah dalam bahasa apa pun tidak menjadi masalah. Tapi bagi Negara kita, kita mahu Bahasa Melayu, kita mahu kerangka-kerangka yang lebih besar.

PERANTARA : Ok, jadi dalam isu Pelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini dianggapkan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa ilmu pada peringkat awalnya. Tapi ada tak ada satu indicator, atau satu fatwa yang mengatakan bahawa Bahasa Inggeris ini adalah bahasa ilmu.

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Tak ada, Bahasa Inggeris telah mencapai tahap bahasa moden lebih awal. Saya ingin menambah, soalnya sekarang seolah-olah kita tidak yakin dengan Bahasa kita sendiri atau Bahasa Malaysia. Sejarah jelas menunjukkan bagaimana cantiknya, bagaimana harmonisnya Bahasa Melayu digunakan di Nusantara ini. Perlu kita ingat bahawa Bahasa Melayu ini penggunaannya ialah nombor yang ke lima bahasa dunia. Diperkatakan, dipertuturkan lebih kurang 300 juta di Nusantara ini. Kemudian kita lihat betapa confidencenya kita membangunkan
8

istilah-istilah yang telah kita bina, dan setelah kita yakin penggunaannya dari darjah satu hingga ke universitas atau di pengajian tinggi. Bayangkan kalau dulu kita hanya menggunakan misalnya istilah-istilah dari Bahasa Indonesia kemudian kita

membangunkan di atas kreativiti dan inovatif kita sendiri. Jadi kita perlu yakin, membangunkan keyakinan diri. Saya rasa tidak ada masalah. Ini persoalan sama ada kita yakin atau tidak Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa sains dan teknologi dan saya rasa telah terbukti luas. Ini patut kita bangga dan kita patut bangunkan, kembangkan dan kita pertahankan. Satu lagi aspek yang baru kita yakinkan soal perpaduan bangsa.

PERANTARA : Jadi bagaimana agaknya stand ataupun pendirian pihak Kementerian apabila pelbagai pandangan balas yang diberikan berhubung dengan PPSMI ini.

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM : Jadi kalau kita lihat PPSMI ini bukan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, itu kita kena jelas. PPSMI bertujuan untuk memudahkan pelajar-pelajar menguasai ilmu pengetahuan. Sebagaimana kita ketahui kebanyakan ilmu, bahan melalui komputer, internet, jurnal dan sebagainya adalah dalam Bahasa Inggeris. Dan satu lagi aspek ialah globalisasi. Persaingan pelajarpelajar ini bukan sahaja di dalam Negara tetapi persaingan kita di luar Negara. Sekiranya anak-anak kita ini diberikan pendedahan lebih awal daripada peringkat sekolah rendah dan sudah tentu apabila mereka memasuki Institusi Pengajian Tinggi ataupun apabila mereka keluar nanti, mereka boleh bersaing di persada dunia. Pada pandangan saya, dasar PPSMI ini tidak boleh dikatakan tidak berjaya kerana ia baru satu pusingan. Apabila ada pandangan-pandangan yang tidak begitu suka dengan PPSMI beberapa tahun yang lepas, Yang Berhormat Menteri Pelajaran, Dato Seri Hishamuddin telah menyatakan bahawa kita perlu melihat ia dilaksanakan satu pusingan. Adalah tidak adil untuk kita menyatakan ia tidak berjaya, ini belum habis lagi. Satu daripada indicator untuk kita melihat kejayaannya ialah melalui peperiksaan UPSR. Pada tahun 2008, pelajar-pelajar yang mula mengikuti Matematik, Sains di Tahun Satu pada tahun 2003 telah menamatkan pengajian mereka di Tahun Enam dan daripada penilaian yang kita buat dalam Matematik, Sains, didapati pencapaian pelajar adalah membanggakan, meningkat. Lebih daripada separuh pelajar-pelajar telah menjawab soalan peperiksaan itu dalam Bahasa Inggeris. Walaupun sebelum itu,
9

jumlahnya adalah kurang daripada 10% tetapi dalam peperiksaan yang baru lepas, ia telah berlaku peningkatan. Ini bermakna bahawa pelajar-pelajar kita telah yakin diri untuk menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris. demikian juga pagi tadi, kita telah mengumumkan keputusan PMR. Kita dapati pelajar-pelajar PMR telah mendapat keputusan yang baik dalam semua mata pelajaran termasuk Matematik dan Sains. Apa yang membanggakan, demikian juga separuh daripada pelajar-pelajar telah menjawab soalan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahawa perancangan yang kita laksanakan telah menampakkan hasil. Saya rasa hasil yang kita dapat ini, sedikit sebanyak adalah usaha guru-guru kita. Jadi, memang pada peringkat awal ada yang memberikan kritikan kepada guru-guru yang tidak dapat mengajar dengan baik tetapi setelah ia berjalan enam tahun, saya yakin guru-guru kita telah mempunyai keupayaan dan lama-kelamaan, ia saya rasa akan lebih mantap lagi. Itu pandangan saya.

PERANTARA: Saya nampak Datuk tersenyum sinis tadi, kenapa Datuk?

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN: Saya punya reaksi, saya khuatir penilaian kita dengan izin, tidak sama penilaian kita. Apple dengan orange misalnya, tidak bezakan yang sama. Kalau betul-betul kita nak meyakinkan kepada dunia kita sendiri misalnya di Malaysia. Cuba kita berbandingkan misalnya pengajaran Sains dan Matematik tahun ini dengan bahasa kita. Saya percaya peratusnya lebih tinggi. Kalau kita sekarang ini, sebab murid-murid atau anak-anak kita terpaksa rela mahu tidak mahu diajar dalam Bahasa Inggeris, peratusan pun belum tinggi sangat. Tidak semua menjawab dalam Bahasa Inggeris, Sekolah Cina pun misalnya walaupun diajar dalam Bahasa Inggeris, pertamanya diajar dalam Bahasa Cinanya atau Bahasa Mandarin dengan izin. Jadi ini ada dua dilema keyakinan diri di antara berbagai-bagai bangsa kita di Malaysia sendiri. Ini saya rasa takut menimbulkan polemik perbezaan antara kita. Kita sebenarnya dalam pendidikan ingin penyatuan dan bukan ingin perbalahan. Kalau hendak betul-betul membezakan ataupun menilai keberkesanan pengajaran dalam bahasa. Dalam tempoh enam tahun, bezakan dahulu enam tahun, dalam pengajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Kita lihat misalnya, yang dahulu pengajaran dalam Bahasa Malaysia, bagaimana pencapaian misalnya profesional-profesional yang kita lahirkan di universiti-universiti kebangsaan sebagai contoh dan universiti yang lain pada masa dahulu, penggunaan Bahasa Melayu tidak jauh bezanya malah meyakinkan
10

dan dunia telah menerima. Saya ambil contoh, anak saya sendiri sebagai contoh pada suatu ketika semua perubahan dalam Bahasa Malaysia, SPMnya pun dalam Bahasa Malaysia, kemudian ambil peperiksaannya dalam Bahasa Malaysia, Sains dan Teknologinya, serta dapat scholarship, ESSO yang berikan kepadanya untuk pergi ke luar negara. Tidak jadi masalah. Balik, dengan izin, with flying colours dan sekarang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Yang penting kedua-dua yang kita kehendaki. Jadi, kefasihan berbahasa Inggeris satu perkara, kegunaan untuk memantapkan ilmu satu perkara yang berbeza.

PERANTARA: Seperti yang dinyatakan oleh Dato Alimuddin sebentar tadi kita bukan untuk mengutamakan Bahasa Inggeris kerana ia tujuan utama PPSMI itu sendiri tetapi bagaimana dari segi pendapat Prof sendiri adakah Bahasa Melayu sebenarnya dah tercicir khususnya dalam sektor pendidikan kita sendiri?

PROF DR. TEO KOK SEONG: Tak ada, Bahasa Melayu ia memang mampu, hanya kita sahaja tidak ada keyakinan terhadap bahasa itu. Seperti yang saya katakan tadi, kalau ditinjau dari segi ilmu bahasa yang dipanggil linguistik itu, Bahasa Melayu sememangnya mampu dan mungkin saya nak balik pada apa yang Dato katakan tadi, peratus yang menjawab dalam Bahasa Inggeris itu meningkat untuk PMR dan UPSR. Saya kira ukuran itu tidak boleh kita jadikan sesuatu yang konkrit sangat sebab soalannya ialah dwibahasa. Soalannya satu bahasa dalam Bahasa Inggeris, itu lain ceritanya. Sekarang soalannya dua, dalam Bahasa Melayu dan juga dalam Bahasa Inggeris. Jadi, pelajar-pelajar yang baca dalam Bahasa Inggeris kurang faham itu, boleh mendapat kefahaman dalam Bahasa Melayu dan boleh menjawab dalam Bahasa Inggeris.

PERANTARA: Jadi, perbincangan kita, kita akan hangatkan sebentar nanti di mana dua orang tetamu, seorang daripada pihak Kementerian dan ketika hendak berehat seketika, kita kembali selepas ini.

(IKLAN)

PERANTARA: Nama saya Shuhaimi Mohamed dalam Rancangan Isu dan isu pada malam ini membincangkan tentang PPSMI ataupun Pengajaran dan Pembelajaran
11

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan kita ingin menyambung kehangatan dan perbincangan kita pada malam ini seperti yang dikatakan oleh Prof sebentar tadi pemilihan jawapan dalam peperiksaan di mana pelajar-pelajar kita, kalau kita perhatikan lebih cenderung menjawab dalam Bahasa Melayu tetapi peratus yang dinyatakan Dato ada peningkatan. Bukankah ini membuktikan sebenarnya pelajar-pelajar kita ingin mencuba menjawab dalam Bahasa Inggeris dan mereka sebenarnya mahukan sesuatu yang baru dalam pendidikan itu sendiri?

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM: Saya kira begitulah, dalam dunia globalisasi pada hari ini, jadi ilmu pengetahuan terlalu luas. Jadi, untuk menjadikan seseorang itu lebih mudah dapat serap ilmu pengetahuan. Bukan saya maksudkan Bahasa Inggeris sahaja tetapi Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains sangat penting. Kalau kita lihat Internet ataupun buku-buku, kita pergi ke mana-mana perpustakaan di universiti di negara kita, kita dapati sebahagian besar bahan-bahan bacaan itu ditulis dalam Bahasa Inggeris. Jadi, alangkah mudahnya seorang pelajar yang dapat menguasai Bahasa Inggeris dalam Matematik, Sains kerana Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik ini tidak sama dalam Bahasa Inggeris biasa, ada terma-terma ataupun istilah-istilah tertentu yang boleh memudahkan mereka menguasainya. Dalam dunia hari ini nampaknya, mereka yang mempunyai keupayaan dalam berbahasa Inggeris ini akan ada kelebihan dari segi untuk menguasai ilmu pengetahuan. Berbalik kepada dasar kita tadi, Yang Berhormat Menteri Pelajaran, telah menyatakan selain daripada untuk kita melihat keputusan ataupun analisis peperiksaan UPSR dan PMR. Ada satu lagi perkara yang perlu kita dapat input iaitu daripada orang ramai sendiri. Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima Persidangan Meja Bulat yang dihadiri oleh berbagai-bagai pihak. Persidangan Meja Bulat yang pertama kita telah memanggil ahli-ahli akademik daripada universiti dan juga institusi-institusi pendidikan untuk mendapatkan pandangan mereka. Persidangan Meja Bulat yang kedua, kita telah menjemput ahli-ahli PIBG, NGO dan juga individu-individu yang juga terlibat dalam bidang pendidikan. Kemudian, Meja Bulat yang ketiga pula, terdiri daripada guru-guru sendiri. Kita memanggil guru-guru dan pelajar-pelajar daripada Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan juga dari Sekolah Bandar dan Sekolah Luar Bandar untuk melihat apa pandangan mereka terhadap Dasar PPSMI dan yang keempatnya terdiri daripada ahli-ahli politik termasuk juga NGO. Akhir sekali yang kelima, selepas keputusan UPSR diumumkan pada 26 November yang lepas kita telah mengadakan Persidangan Meja Bulat yang terakhir.
12

Daripada ahli-ahli yang menghadiri mesyuarat ini, kita dapati bahawa banyak pandangan bukan sahaja dua pandangan. Selalunya kita melihat ada dua pandangan maknanya, menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya ataupun balik ke dalam Bahasa Malaysia. Kita dapati ada tujuh sekurang-kurangnya; ada tujuh pandangan. Di antaranya ialah diteruskan. Sebahagian daripada peserta-peserta mengatakan teruskan dasar yang sedia ada. Yang keduanya mula dari Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah menggunakan bahasa ibunda. Pandangan yang ketiga, bermula di Tahap Dua iaitu Tahun Empat dan seterusnya sampailah ke peringkat menengah. Yang keempatnya u-turn. Dia balik semula keseluruhannya macam asal menggunakan Bahasa Malaysia. Yang kelima, pilihan oleh sekolah sendiri dan juga ibu bapa. Jadi, maknanya kita pulangkan kepada sekolah sama ada dia hendak melaksanakan PPSMI atau sebaliknya. Yang keenam berperingkat-peringkat. Maknanya pada Tahap Satu. Tahun Satu, Dua, Tiga menggunakan bahasa ibunda. Tahap Dua, Tahun Empat, Lima, Enam; dwibahasa. Menggunakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta Sekolah Menengah dalam Bahasa Inggeris. yang ketujuhnya, satu lagi pandangan mengatakan mata pelajaran Sains itu diserapkan dalam Bahasa Inggeris sejak dari Tahun Satu sampailah ke Sekolah Menengah. Jadi, kita melihat ada berbagai-bagai pandangan daripada pelbagai pihak tentang dasar PPSMI.

PERANTARA: Itu dari dasarnya dan kita nak lihat dari segi prasarana dan saya pasti Persatuan-persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) mempunyai autoriti untuk masuk ke sekolah untuk melihat bagaimana sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi dalam tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI, ini bagaimana PIBG melihat dari segi pengajaran khususnya daripada guru-guru. Adakah guru-guru yang ada ini memang bersedia dari segi bahasa Inggerisnya dan pelajar-pelajar sendiri dengan rela hati belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ataupun mereka sendiri tidak faham dengan istilah-istilah yang digunakan dalam Bahasa Inggeris.

PROF. MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Saya nak menyentuh tujuan resolusi yang dibincangkan semasa persidangan meja bulat. Saya menghadiri antaranya persidangan meja bulat itu. Di antara penegasan kami ialah macam tidak lengkap tentang resolusi itu dan kita mencadangkan bahawa seboleh-bolehnya seperti yang Dato katakan dengan syarat kita katakan, u-turn dengan syarat memperkukuhkan
13

bahasa Inggeris. Persoalannya sekarang ialah kita hendakkan ilmu di mata dunia dan kita kukuhkan bahasa Inggeris. Bukan persoalan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kita ada contohnya misalnya, Jepun, Austria, Germany, China, mereka kukuh bahasanya. Mereka menggunakan bahasa mereka. Dan mereka juga bahasa Inggeris kurang fasih. Ini iktibar yang harus kita ambil. Kita perkukuhkan bahasa Inggeris. Dan kita dari segi sejarah kita melihat bagaimana penyelidikan di Malaysia ini, dahulu kita perkukuhkan bahasa Inggeris termasuk kita ada sekolah rasmi yang ada pengajaran dalam bahasa Inggeris. Kemudian kita ubah. Kita tidak mahu nanti kita dilihat banyak pengajaran kita ajar kembali dalam bahasa Inggeris, kita dilihat seolaholah kembali kepada pengajaran dalam bahasa Inggeris. Jadi ini yang akan kita dipersoalkan nanti. Betul ke sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan? Atau sebahagiannya atau tiga perempat dalam bahasa Inggeris. Seolah-olah mahu kembali kepada medium atau bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris. Dan ini perlu difikirkan semula saya fikir. Jika balik kepada persoalan tadi, soal prasarana, kami melihat misalnya, ketidaksediaan atau ketidakcukupan persediaan guru. Pertama kita lihat bukti, guru-guru kurang cekap dan jika ada yang menyatakan bahawa prasarana sudah disediakan. Soalnya sejauh mana prasarana yang disediakan dapat dimanfaatkan segala prasarana yang disediakan. Saya rasa banyak prasarana yang ada tidak dimanfaatkan dan tidak digunakan. Di luar bandar misalnya, agak getir penggunaannya. Kita lihat juga insentif yang diberikan kepada guru sepuluh peratus dengan izin, tambahan kepada setiap bulan. Jadi guru-guru yang mengajar matematik dan sains. Tapi saya rasa kebanyakannya, tidak memanfaatkan untuk memperbaiki

pengajarannya atau bahasa Inggerisnya. Jadi bagaimana mereka ini tidak sedia dan tidak melakukan dengan komited dan apatah lagi jika guru tidak komited bagaimana hendak membimbing murid-muridnya.

PERANTARA: Dato ada pendapat lain mengenai perkara ini ?

PROF DR. TEO KOK SENG

Saya kira. Seperti yang Dato katakan. Pada era

globalisasi ini, bahasa Inggeris itu penting. Kita tidak menentang. Kita setuju bahawa bahasa Inggeris itu penting dan kita harus meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris itu dengan cara yang lebih berkesan dari apa yang ada sekarang. Saya rasa dalam era globalisasi ini yang tiada sempadan lagi, satu hal yang bahaya ialah keruntuhan identiti budaya satu bangsa itu. Dan di negara kita pun kita lihat hal itu sudah pun berlaku
14

dengan PPSMI ini. Bahawa tempat bahasa Melayu itu diambil alih oleh bahasa Inggeris. Jadi ini sesuatu yang berlaku di depan mata kita. Itu hakikatnya. Jadi ini tidak baik untuk bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi terutama untuk citra bahasa Melayu. Citra kepentingan. Di mana kepentingan bahasa Melayu sekarang sehingga terpaksa diambil alih oleh bahasa Inggeris. Padahal bahasa Melayu itu mampu mendukung peranan sebagai bahasa ilmu.

PERANTARA: Baik Prof dan Dato. Kita rehat seketika dan kita kembali sebentar lagi.

(IKLAN)

PERANTARA: Kembali dalam rancangan ISU dan kita membincangkan tajuk PPSMI pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Saya cukup tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Prof sebentar tadi tentang keruntuhan identiti bahasa Melayu itu sendiri. Adakah Kementerian Pelajaran akan bertanggungjawab dengan apa yang dikatakan oleh Prof. sebentar tadi ?

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM: Untuk maklumat, saya rasa kita pengantar kita masih dalam bahasa Malaysia ya. Sebahagian besar daripada mata pelajaran yang diajar di sekolah adalah masih tidak kita tukar. Malah di dalam pengajaran bahasa Malaysia, dari tahun ke tahun kita meningkatkan. Saya kurang bersetuju kalau kita katakan melalui matematik dan sains penguasaan bahasa kita semakin menurun. Guruguru masih mengajar dalam mata-mata pelajaran selain dua mata pelajaran ini di dalam bahasa Malaysia. Saya ingin menyentuh sedikit apa yang dikatakan oleh Prof. tadi dari segi guru. Jadi apabila kita memperkenalkan PPSMI ini, kita tidak boleh sekelip mata melihat kejayaannya kerana kebanyakan guru-guru yang mengajar adalah melalui pengantar bahasa Melayu atau bahasa Melayu sejak mereka sekolah rendah atau menengah. Jadi untuk menukar kepada bahasa Inggeris untuk mereka mengajar perlu sedikit masa. Dan saya sendiri, saya mula mengajar pada tahun 1976. Pada masa itu, sistem pendidikan kita telah bertukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia. Saya kira pada masa itu pelajar-pelajar sudah sampai kepada tingkatan empat. Setahun lepas itu telah menyeluruh menggunakan bahasa Malaysia. Jadi kita dapati ramai di kalangan guru-guru pada masa itu terdiri daripada mereka yang
15

mendapat pendidikan Inggeris. Malah guru-guru daripada kaum Cina dan India memang dalam masa beberapa tahun itu menghadapi kesukaran untuk mengubah daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia. Tetapi dalam masa sepuluh tahun, saya nampak keberkesanannya begitu hebat di mana mereka boleh menyampaikan pengajaran dengan begitu yakin dan jelas sekali. Jadi saya kita di dalam PPSMI juga demikian. Kita bagi peluang dan ruang kepada guru-guru kita untuk meningkatkan keupayaan mereka dan insya-Allah dalam masa beberapa tahun lagi dengan adanya ICT, elaun tambahan dan juga kursus-kursus dan kemudahan-kemudahan lain, saya yakin dalam masa beberapa tahun akan datang malah pada masa kini pun sebahagian besar daripada guru-guru kita memang mampu untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik. Tetapi jika diberikan sedikit lagi masa saya rasa kita tidak ada menghadapi masalah dari segi guru.

PERANTARA : Adakah Dato rasa bahawa terlalu awal pihak-pihak yang berkaitan dengan terlibat secara langsung dan tidak langsung PPSMI ini menghukum PPSMI itu sendiri baru enam tahun pusingan pertama.

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM: Saya melihat begitulah pendidikan kita nie macam kapal. Maknanya ia nak mengubah haluannya lagi 10 batu nautika ia mula mengubah haluannya kita tidak boleh bertindak macam speed boat. Macam bot laju ke kiri dan ke kanan. Jadi demikian juga di dalam pendidikan. Kita seharusnya memberi sedikit masa kepada guru-guru dan pelajar-pelajar kita. Saya rasa insya-Allah dasar ini kita dapat laksanakan dengan baik dalam masa terdekat.

PERANTARA: Tapi Prof kita pasti masa itu emas, jadi adakah bagi pihak Prof sendiri mahu memberikan masa lagi percubaan atau eksperimen kepada muridmurid sekolah rendah berhubung dengan PPSMI hari ini?

PROF DR. TEO KOK SENG: Saya kira itu bukan persoalannya di sini masa ataupun tidak seperti saya katakan tadi kita boleh guna apa-apa bahasa yang kita mahu untuk mendidik anak-anak ini dengan prasarana yang betul dan lengkap yang boleh menguasai bahasa yang kita pilih itu tetapi dalam kes ini kita mahu Bahasa Melayu. Kita tahu bahasa Inggeris mampu dan model itu digunakan oleh Singapura dan sistem pendidikan di Singapura pun berjaya dan seperti yang saya katakan tadi model
16

menggunakan bahasa sendiri pun ada. Jadi dalam kita menggunakan bahasa sendiri kita menggunakan contoh Jepun dan Rusia ada sesetengah-tengah pihak mengatakan Rusia tengok sejarahnya berapa lama. Jepun tengok sejarahnya.ini jawapannya. Masa itu cukup penting untuk kecemerlangan. Jadi kita harus sabar, kalau sejarah kita berusia 200 tahun, bangsa dan bahasa itu pun mantap.

PERANTARA: Jadi hari-hari kita dapat saksikan dua pendapat daripada Dato dan Prof bahawa boleh menggunakan apa jua bahasa. Tapi saya bimbang, kalau kita mengajar bahasa Sains dalam bahasa Rusia misal kata kalau kita perhatikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor hebat dalam bahasa Inggeris tapi bila nak ke ISS terpaksa belajar bahasa Rusia. Jadi macam mana ni adakah lepas ini kita boleh belajar bebas apa jua bahasa sedangkan dalam memperdebatkan bahasa ini sebagai bahasa kedua di negara kita sendiri, kita dah bising-bising.

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI: Saya melihat dari kemudahan bahasa kita, bahasa kita, kita hendak membangun dalam acuan kita. Wawasan 2020 kita hendak membangun atas acuan kita. Kita hendakkan barangkali seperti Prof. kata identiti kita sendiri. Kalau Rusia misalnya mempunyai membangun dengan daya

kreativiti dengan bahasa Rusianya. Jerman membangun dengan bahasa Jermannya. Dan ini telah menunjukkan masa telah menentukan bila dia membangun degan

masanya ia lebih kreatif dan inovatif. Dan kita lihat Jepun sekarang menghasilkan ramai pihak yang pemenang hadiah novel, begitu juga Jerman, Rusia. Jadi kenapa kita khuatir dengan bahasa kita. Sudah jelas menunjukkan pada suatu ketika kita berjaya menggunakan bahasa kita untuk bahasa ilmu, bahasa Sains dan bahasa teknologi. Kenapa kita berputar balik? Bagi saya kita kena turn round balik semula bagi saya sebab bukan soal bahasa itu untuk bahasa ilmu dan sains dan teknologi juga. Yang penting saya kira jati diri dan juga bahasa untuk perpaduan bangsa kita . kita lihat sekarang saya mencontohi Prof ini berjaya menggunakan bahasa, kita lihat sekarang bagaimana bangsa-bangsa lain menggunakan bahasa Malaysia dengan baik dan sempurna dan dapat menunjukkan jati diri bangsa. Ini yang kita katakan dalam termaktub dalam Undang-Undang ataupun Perlembagaan Negara 152 bahasa Melayu bahasa ilmu, bahasa Sains bahasa teknologi boleh kita teruskan. Kenapa kita mesti berbangga dengan bahasa lain. Soal sekarang kita hendakkan juga di samping kita

17

mempunyai jati diri bahasa Melayu, kita tidak lupa dengan bahasa Inggeris supaya dapat ilmu dengan lebih luas dan mencanai untuk membangun identiti kita sendiri.

PERANTARA: Ada yang berpendapat pada ketika ini adalah kemuncak kepada isu PPSMI apabila Gapena ataupun Gabungan Penulis Nasional ingin menyaman kerajaan sekiranya tidak dikembalikan pengajaran bahasa Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Jadi dalam hal ini, apakah penjelasan daripada pihak tuan kementerian sendiri berhubung dengan kenyataan dan permintaan dari Gapena ini?

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM: Saya tidak mahu memberikan komen tentang perkara ini kerana dari segi kefahaman saya kita masih lagi menggunakan bahasa pengantar di sekolah kita adalah bahasa Malaysia. Tetapi apa yang saya hendak tegaskan di sini bahawa Yang Berhormat Menteri Pelajaran menyatakan beliau perlu membuat kajian dan untuk melihat sedalam-dalamnya isu ini. Jadi pada pandangan saya, apa-apa hal pun kita harus memberi ruang sepertimana yang saya katakana tadi jika kita sudah memperkenalkan sesuatu dasar, kita tidak boleh serta merta membuat perubahan sebagainya. Jadi ini memerlukan masa. Jadi dalam pada ini saya rasa, kajian-kajian mendalam dan juga pandangan-pandangan semua pihak akan digunakan oleh Yang Berhormat Menteri untuk apa-apa saja yang beliau akan umumkan nanti. Sebagai pegawai di kementerian sudah semestinya saya lihat isu PPSMI ini dengan positif. Satu antaranya ialah untuk anak-anak kita di luar bandar, jadi kalau kita lihat secara umum memang kalau kita bandingkan luar bandar dan bandar kita dapati memang ada perbezaannya penguasaan, pendedahan bahasa Inggeris sebenarnya lebih banyak didapati di bandar. Jadi dalam PPSMI ini kita menuju k e arah mencapai ke arah pelan induk pendidikan untuk merapatkan jurang perbezaan. Saya rasa pelajarpelajar di luar bandar pun mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk menguasai ilmu dalam Matematik Sains dalam bahasa Inggeris saya kita berjaya merapatkan lagi jurang kalau tidak nanti pelaung-peluang lebih banyak didapati oleh pelajar-pelajar di bandar yang boleh kita katakan mempunyai pendedahan yang lebih banyak dalam bahasa Inggeris jadi saya rasa PPSMI ini adalah untuk merapatkan jurang untuk memberikan peluang pendidikan yang sama rata kepada anak-anak kita di luar bandar. Mereka juga berhak untuk menguasai ilmu sebagaimana yang peringkat awal yang saya nyatakan tadi, PPSMI ini bukan bertujuan untuk menguasai bahasa Inggeris tetapi
18

untuk menguasai ilmu pengetahuan yang mana ilmu pengetahuan itu lebih mudah didapati melalui bahasa Inggeris. Dengan melihat reality sendiri, kita lihat buku-buku sebagaimana yang saya nyatakan berapa banyak buku-buku ilmu yang ditulis dalam bahasa kita. Bukan saya katakana bahasa Malaysia itu tidak penting tetapi realiti dia, jadi PPSMI ini kita akan dapat lahirkan modal insan yang cemerlang dengan lebih cepat. Kiat memerlukan ramai saintis, engineer, pakar-pakar dalam bidang demokrat jadi ini kita boleh lahirkan sekiranya mereka dapat menguasai ilmu dengan lebih cepat. Saya kira jawapannya melalui PPSMI ini.

PERANTARA: Jadi di sini mungkin ada kekeliruan sebenarnya dari segi bahasa itu sendiri. Dari segi bahasa ilmu dan juga bahasa pengantar. Penjelasan itu yang lebih utama. Macam mana Prof?

PROF MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI: Saya kira bahasa ilmu dan bahasa pengantar ialah ada perbezaan tetapi dalam kes PPSMI sama sahaja. Maknanya kalau bahasa Inggeris itu bahasa ilmu maka bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar. Saya kira kalau itulah matlamatnya PPSMI ini merapatkan antara bandar dan luar bandar yang memperlihatkan perbezaan penguasaan bahasa Inggeris tingkatkan sahaja pelajaran bahasa Inggeris dengan apa cara jua. Jadi saya kira kita patut mencontohi negara-negara yang menggunakan model bahasa sendiri seperti Rusia dan Jepun. Mereka tidak meninggalkan bahasa mereka untuk menggantikan dengan bahasa Inggeris. Jadi mereka tahu bahasa Inggeris itu penting di era globalisasi. Tapi mereka mencari jalan untuk mempertingkatkan cara penguasaan itu. Kalau kita di Malaysia ini takut ketinggalan di era globalisasi maka kita tinggalkan bahasa Melayu menggantikan dengan bahasa Inggeris nampaknya kita menjadi mangsa era globalisasi.

PERANTARA : Menjadi isu pula menyelinap ketika ini mengenai penguasaan Bahasa Inggeris itu sendiri di mana subjek Bahasa Inggeris itu sendiri perlu diperbaiki.

PROF. MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Memang itu yang kita kehendaki, dalam kita memperkatakan soal PPSMI yang kita rasakan yang pertama, saya lihat ada dua isu yang berbeza satu penguasaan ilmu dan satu penguasaan
19

bahasa, Bahasa Inggeris terutamanya. Jadi yang sekarang ini kalau suatu ketika kita beri penekanan Bahasa Inggeris, kemudian beri penekanan Bahasa Malaysia kalau saya lihat pertimbangannya sekarang kita nampak barang kali, kita beri penekanan Bahasa Inggeris semula kurang penekanan jadi yang kita nampak sekarang ialah penguasaan Bahasa Inggeris kurang. Jadi kita kena pertingkatkan Bahasa Inggeris, saya tidak nampak misalnya apa permasalahan misalnya kita menguasai ilmu dan kita perkukuh Bahasa Inggeris. Kita pelajari semua ilmu-ilmu yang kita ingin peroleh dari mana sahaja tidak kira soal misalnya kata tadi soal jurang. Saya khuatir dengan

adanya perancangan yang sebegini, tumpuan saya kira lebih banyak ke bandar-bandar dan jauh ketinggalan di luar bandar. Tadi kita lihat persoalan frasa rana, sejauh mana misalnya di kawasan-kawasan luar bandar, pinggir bandar. Frasa rana ICT untuk penguasaan guru, guru yang profesional yang barangkali fasih dalam Bahasa Inggeris masih jauh bezanya. Jadi nak merapatkan jurang tu bila masanya. Berapa lama lagi kita hendak tunggu persaingannya. Ini kita khuatir, takut yang jadi mangsa ialah anak-anak warga negara kita. Kita menggunakan mereka sebagai dengan izin guinea pig. Sekejap Bahasa Inggeris, sekejap Bahasa Melayu. Di mana arahnya. Sekarang kita kena buat decision sekarang. Tidak boleh tangguh-tangguh lagi.

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM : Apa yang dikatakan oleh Prof. tadi saya tidak setuju. Kerana dari segi bandar dan luar bandar terbukti baru-baru ini keputusan UPSR dan PMR dan kita dapati pencapaian pelajar luar bandar juga hebat dan kita nampak jurang itu semakin rapat. Jadi bermakna, saya tidak setuju mengatakan dengan tipis sebab ini pelajar-pelajar di luar bandar ketinggalan. Tidak ye. Ini realitinya peperiksaan. Kita boleh lihat bagaimana anak-anak kita di luar bandar juga telah mula mendapatkan keputusan yang cemerlang dan mula merapatkan perbezaan antara bandar tadi. Saya kira, saya nampak sangat positif PPSMI ini dan saya tidak melihat dengan PPSMI ini Bahasa Malaysia semakin berkurangan. Kita masih lagi mengajar sebahagian besar mata pelajaran sekolah menggunakan Bahasa Malaysia. Cuma kita nak tekankan, ada ini juga ada dua isu yang berbeza ye. Sebagaimana kita katakan tadi bukan kita nak mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi untuk membolehkan pelajarpelajar kita menguasai ilmu, ilmu matematik dan sains dengan lebih mudah menggunakan Bahasa Inggeris. Itu dia punya pokoknya. Bukan bermakna kita nak bertujuan mengagung-agungkan Bahasa Inggeris. Jadi saya kira dengan PPSMI ini untuk mencapai Wawasan 2020 nanti menjadi lebih mudah dan sekiranya kita dapat dedahkan ilmu pengetahuan yang lebih awal kepada anak-anak kita sejak dari sekolah
20

rendah lagi. Dan sebagaimana kita tahu apabila mereka masuk ke institusi pengajian tinggi yang kebanyakannya juga menggunakan Bahasa Inggeris, mereka tidak ada masalah lagi, mereka boleh meneruskan usaha mereka kerana kita telah memberikan asas sejak mereka di sekolah rendah dan di sekolah menengah.

PERANTARA : Apa pun kita nantikan sebenarnya keputusan berhubung PPSMI ini sama ada akan diteruskan dalam Bahasa Inggeris atau pun dalam Bahasa Malaysia. Jadi akhir kata mungkin lontaran daripada vokal Prof. berhubung isu yang kita bentangkan pada malam ini.

PROF. DR. TEO KOK SENG : Saya kira kita harus menggunakan Bahasa Melayu untuk sebagai bahasa ilmu di negara kita, lebih kepada tujuan mitos yakni kita hendak bentuk rakyat negara ini yang ada keperibadian budaya yang tertentu melalui Bahasa Melayu dan juga kita harus ingat bahawa Bahasa Melayu itu adalah alat perpaduan di negara kita ini. Kita gunakan Bahasa Melayu tujuan mitos tadi untuk bina identiti budaya rakyat Malaysia yang belajar melalui Bahasa negara sendiri dan juga sebagai alat perpaduan.

PROF. MADYA DATUK HJ MOHAMAD ALI HASSAN : Seperti Prof. katakan, soal Bahasa Melayu adalah soal identiti kita. Kita tidak mahu nanti, di akhir masa nanti seperti apa yang berlaku, satu tempoh dahulu soal jawi pupus, kita takut. Ini tiap mesti ada dengan izin, kehakisan penggunaan Bahasa Melayu itu sendiri. Kita tidak mahu nanti, pada suatu ketika nanti orang mungkin tersindir seolah kita mengatakan penghinaan kepada bahasa kita. Seolah-olah bahasa kita tidak mampu memperoleh ilmu dalam apa sahaja bidang. Ini yang kita khuatir, nanti akan timbul sekiranya generasi kita akan mempersoalkan kita. Apakah kita tidak yakin dengan bahasa kita untuk mengarabkan ilmu dari bahasa-bahasa Inggeris yang lain. Yang penting kita rasa itu kita menggarap kita asimilasikan seperti pembangunan moden atau tamaduntamadun dahulu. Mereka menggunakan bahasa masing-masing sendiri. Ini yang kita persoalkan.

PERANTARA : Ok, yang terakhir sekali. Titik noktah kepada persoalan. Bila agaknya kita akan dapat, dan pastinya kata putus memang daripada Kementerian Pelajaran.
21

DATO ALIMUDDIN HJ MOHD DOM : Saya, daripada pengalaman saya melalui persidangan meja bulat, melalui e-mel, memorandum, surat-surat sebenarnya banyak yang saya dapati surat-surat atau pun pendapat-pendapat yang menyokong tentang PPSMI ini. Jadi memanglah sesuatu dasar itu kita boleh lihat sama ada pro and cons dari beberapa sudut. Walau bagaimanapun saya melihat banyak ye pandanganpandangan daripada semua pihak tentang PPSMI. Jadi sebagaimana saya katakan tadi ia bukannya hitam putih, maknanya kita teruskan atau balik semula. Tetapi ia banyak opsyen lagi. Kita lihat daripada pandangan-pandangan yang kita terima. Jadi saya terus menyatakan bahawa sesuatu dasar itu memerlukan penelitian, memerlukan kajian yang mendalam sebelum keputusan-keputusan dibuat. Kita perlu memberi masa yang lebih lagi.

PERANTARA : Baik, terima kasih Datuk dan juga tetamu kita. Yang pasti sebenarnya dalam kemelut PPSMI ini terdapat dua pandangan di mana ada pihak yang setuju dan ada pihak yang tidak bersetuju. Malah pihak yang tidak bersetuju ini juga boleh dikategorikan kepada dua kategori di mana pihak yang bimbang dari segi runtuhnya identiti penguasaan jati diri dan Bahasa Melayu itu sendiri malah ada juga yang bimbang dari segi penguasaan pengajaran dalam Bahasa Inggeris yang tidak tercapai matlamatnya. Jadi itu dia kemelut yang melanda Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Apa pun kita nantikan juga apakah pengakhiran kepada isu ini mungkin akan diumumkan sendiri oleh pihak kerajaan sama ada sains dan matematik akan digunakan dalam Bahasa Malaysia atau diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Jadi sekian sahaja isu pada malam ini dalam membicarakan tentang PPSMI. Sekian sahaja daripada saya Shuhaimi Mohamed, jumpa lagi dalam ISU di minggu hadapan. Assalamualaikum.

22

Anda mungkin juga menyukai