Anda di halaman 1dari 11

EVOLUSI BENTUK DAN MAKNA PADA RAGAM HIAS DALAM SENI BINA TRADISIONAL MELAYU

Mohd Sabrizaa B Abd Rashid1 Jabatan Seni Bina Dalaman Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur UiTM Perak Kampus Seri Iskandar Perak Darul Ridzuan. mohds637@perak.uitm.edu.my

Abstrak Secara geografis Semenanjung Malaysia terletak di antara dua buah benua kecil yang mempunyai sejarah kegemilangan ketamadunan yang tersendiri iaitu China dan India. Lokasinya yang unik ini menjadikan negeri-negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur semenanjung sebagai bandar-bandar pelabuhan yang menjadi tempat persinggahan yang menerima kedatangan pedagang dan perantau dari pelbagai negara sejak zaman berzaman. Dari segi kefahaman agama rantau ini telah menerima pelbagai ideologi dan kepercayaan. Semenjak zaman pra-sejarah dan era pra-Islam telah menyaksikan kepercayaan anamisme dan Hindu-Buddha menjadi pegangan orang-orang Melayu. Kedatangan Islam pada kurun ke 14M telah membawa perubahan besar kepada budaya dan pemikiran orang-orang Melayu. Fenomena ini telah memberi impak yang mendalam terhadap perkembangan kesenian Melayu di Semenanjung Malaysia. Maka dalam keadaan tersebut, persoalannya adalah dengan berlakunya transformasi keagamaan yang melibatkan pemikiran dan kepercayaan, apakah turut berlaku transformasi idea dan makna dalam kesenian alam Melayu? Kertas kerja ini membincangkan perkembangan yang berlaku pada kesenian ukiran Melayu Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kajian dijalankan secara penelitian, pemerhatian dan temubual. Pemerhatian telah dibuat ke atas artifak yang merupakan panel-panel ukiran daripada rumah-rumah terpilih yang mewakili seni bina tradisional negerinegeri Kelantan, Terengganu dan Selatan Thailand. Selain itu panel-panel ukiran lama yang terdapat di beberapa muzium serta panel-panel ukiran yang menjadi milik persendirian pengumpul barang-barang lama (antik) serta koleksi pengukirpengukir turut dianalisa. Berdasarkan kajian ini didapati bahawa berlaku evolusi pada bentuk dan motif-motif ukiran yang memberi gambaran terhadap kesan pemahaman dan ideologi pengukir-pengukir Melayu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Katakunci : Seni Ukiran, Melayu, Seni Islam, Seni bina


Pendahuluan : Sejarah dan Latar Belakang Seni Ukiran Melayu Seni ukiran merupakan salah satu daripada tradisi kraftangan yang telah lama bertapak dalam sejarah ketamadunan Melayu. Selain batu dan bahan logam, kewujudannya paling ketara dapat dilihat pada ragam hias peralatan dan perkakas rumah, perahu, alat persenjataan dan elemen-elemen kesenibinaan yang diperbuat daripada kayu. Menurut Halim Nasir (1987:9) seni ukir di Semenanjung Malaysia boleh ditelusuri semenjak zaman Batu Megalithik dengan penemuan motif-motif pada batu dalam bentuk ular atau naga dan rusa, sehingga kepada penemuan motif dan kaligrafi pada batu-batu nesan yang menandakan zaman kedatangan Islam ke
1

Director Centre for Knowledge & Understanding of Tropical Architecture & Interior (KUTAI) UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak Darul Ridzuan.

rantau sebelah sini. Manakala penemuan motif-motif pada meriam, keris, lembing dan cap mohor kerajaan lama menandakan sekil atau kepandaian Melayu purba dalam menggunakan logam ketika zaman logam sehingga kepada era kedatangan Islam. Dalam konteks seni ukiran kayu, penemuan yang meluas pada rumah kediaman, istana, masjid, rumah wakaf, gerbang dan juga pada senjata, peralatan pertukangan, perabut, perkakas rumah serta perahu. Dari sudut sejarah kegiatan seni ukir terkenal di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Patani di Selatan Thai. Namun terdapat juga rumah-rumah tradisional di negeri-negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan yang dihias dengan ukiran. (Zulkifli Hanafi, 2000:2). Secara amnya terdapat persamaan atau pengaruh setempat dengan kawasan sekitarannya. Ukiran dan ragamhias pada seni bina rumah tradisional Melayu Kelantan dan Terengganu dikaitkan dengan imej-imej Selatan Thai sementara ukiran dan ragamhias pada seni bina Negeri Sembilan dengan Minangkabau.(Halim Nasir, 1987:66). Keunikan dan kehalusan hasilan karya seni ukiran Melayu membuktikan ketinggian nilai estetiknya. Namun begitu faktor modenisasi, faktor cuaca dan faktor masa menjadi ancaman terhadap penerusan hayat dan pelestariannya. Faktor-faktor tersebut menjadi antara penyebab kepada semakin terhakisnya kepedulian, penghayatan dan apresiasi terhadap keunikan karya kesenian tradisi ini. Latarbelakang dan Kaedah Penyelidikan Penyelidikan untuk tajuk kertas kerja ini merupakan sebahagian daripada kajian peringkat Doktor Falsafah yang telah dilakukan untuk mengkaji simbolisme pada elemen estetik dan ragam hias seni bina tradisional Melayu. Kajian melibatkan proses penerokaan dan penelitian ke atas bahan-bahan lama dan antik yang semakin pupus dan sukar untuk ditemui seperti artifak lama, bahan ukiran lama, bangunan atau senibina lama yang mempunyai keunikan tersendiri. Secara keseluruhannya, penyiasatan dan penerokaan dalam kajian ini dibuat secara kualitatif dan melibatkan beberapa kaedah dan pendekatan iaitu : i. kaedah penelitian daripada bahan bacaan seperti manuskrip, buku, dokumentasi, jurnal, internet dan lain-lain. ii. kaedah penelitian ke atas artifak fizikal saperti bahan ukiran, perahu, bangunan dan lain-lain. Sebanyak lebih tiga ratus artifak telah dibuat pemerhatian dan sebanyak enam puluh lima daripadanya dibuat penelitian dan penganalisaan melalui kajian kes. iii. kaedah pemerhatian dengan membuat beberapa lawatan ke kawasan-kawasan yang relevan dengan kajian di dalam dan luar negeri. iv. kaedah temu bual ke atas empat orang pengukir yang terpilih dan individu-individu lain saperti tukang, pawang, arkitek, budayawan, pelukis dan lain-lain. v. kaedah kajian kes ke atas tujuh buah bangunan terpilih. vii. kaedah pengumpulan data dalam pengkalan data dengan melibatkan lima puluh motif dan spesis tumbuhan daripada seratus motif dan spesis tumbuhan yang telah dikenalpasti. Kombinasi pengumpulan data daripada kesemua kaedah ini telah diterjemahkan dalam bentuk penulisan, jadual-jadual dan penganalisaan datadata. Dalam konteks penulisan kertas kerja ini, fokus atau tumpuan perbincangan adalah terus kepada penemuan imej-imej pra-Islam yang terdapat pada seni ukiran Melayu.

Penemuan Imej-Imej Pra-Islam Pada Seni Ukiran Melayu Penelitian yang dibuat terhadap motif dan imej yang terdapat pada beberapa aspek dalam kesenian Melayu menampakkan bahawa berlaku perkembangan dan perubahan yang menarik dari aspek fizikal dan permaknaan. Kesenian Melayu telah melalui beberapa zaman semenjak era pra-Islam yang disebut sebagai era anamisme dan Hindu atau Buddha sehingga kepada era kolonialisme dan seterusnya era Islam. Jika dilihat dalam konteks alam Melayu terutama di Indonesia dan Indochina, motif dan imej-imej pra-Islam masih kelihatan agak ketara berbanding dengan apa yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Imej-imej Kala, Makara, Garuda, Naga dan Gunungan yang merupakan imej-imej kedewaan kelihatan begitu jelas terutamanya pada seni bina candi yang dibina beberapa ratus tahun dahulu. Di Semenanjung Malaysia, imej-imej dan motif-motif tersebut hanya dapat dilihat pada beberapa aspek kesenian Melayu sahaja. Kehadiran mereka hanya dapat dilihat dengan agak jelas pada artifak-artifak yang masih wujud seperti ukiran keris, perahu-perahu nelayan dan beberapa peralatan rumah seperti kukuran, permainan tradisional seperti congkak dan persembahan rakyat seperti wayang kulit dan makyong. Namun begitu dalam konteks seni bina tradisional Melayu, terdapat beberapa penemuan yang menarik tentang imej-imej pra-Islam yang akan diperbincangkan. Aspek pertama yang akan diperbincangkan adalah penelitian yang dibuat ke atas pintu gerbang. Pintu gerbang adalah binaan yang mempunyai bukaan yang didirikan bersambungan dengan pagar di sekeliling rumah atau istana. Oleh kerana itu kedudukan pintu gerbang biasanya terletak pada garisan sempadan rumah atau istana dengan bahagian luar yang menjadikannya sebagai ruang pemisah di antara ruang persendirian dengan ruang awam. Pintu gerbang menjadi binaan yang penting kepada tuan rumah dalam mengawal laluan keluar-masuk ke kawasannya. Penelitian yang dibuat ke atas pintu gerbang menunjukkan kebanyakan yang masih tinggal banyak menggunakan motif-motif bungaan dan kaligrafi ayat-ayat AlQuran. Ia menjadi manifestasi terhadap jiwa tuan rumah atau istana yang menggunakan pintu gerbang bagi tujuan keselamatan dan juga sebagai penyambut tetamu. Reka bentuknya juga jelas menunjukkan kesejajarannya dengan konsep kesenian Islam. Namun terdapat satu penemuan menarik pada sebuah pintu gerbang lama yang ditemui di rumah En. Wan Othman b Wan Ahmad di Kampung Laut, Kelantan.2 Keseluruhan rumah tersebut termasuk pintu gerbang telah dipindahkan dari lokasi asal yang terletak di tepi Sungai Kelantan berhampiran Masjid Tua Kampung Laut yang asal disebabkan oleh hakisan dan banjir. Hanya ukiran kepala pintu gerbang asal yang masih tinggal dan kini diletakkan di atas pintu masuk rumah. Ukiran pintu gerbangnya agak berbeza daripada pintu gerbang lain yang ditemui kerana terdapat imej yang menyerupai Kala pada bahagian atasnya. Dari sudut kesenian lama, Kala adalah dewa Hindu yang derhaka yang diperintah oleh Siva untuk memakan dirinya sendiri sebagai hukuman. Setelah Kala makan tubuh badannya sendiri, Siva berasa kasihan dan mengabadikan Kala di atas muka pintu kuil sebagai dewa penjaga kuil. Kala sentiasa diwakili sebagai satu kepala tanpa badan dengan mata yang terjojol, hidung berbentuk singa dan mulutnya yang terngaga. Kala menjadi sebahagian ikonografi di Asia Tenggara terutamanya di Indonesia dan sering muncul menjadi hiasan di kepala pintu candi-candi lama. Kala adalah sebagai simbol kewaspadaan, wujud dalam abtrak bentuk wajah dengan mata yang terbuka lebar sebagai tanda sentiasa berwaspada mengamati atau berjaga-jaga. Hiasan seperti ini banyak terdapat pada gapura dicandi-candi. Hiasan ini adalah lambang kekuatan sakti untuk mengikis kejahatan. Namun ukiran tersebut
2

Lawatan dan temuramah dibuat pada 19Disember 2005, 20 Disember 2005 dan 21 Februari 2006.

seolah-olah tidak menampakkan dengan jelas imej tersebut iaitu dengan simplifikasi dan pendekatan stail yang berbeza.

Gambar 1.0 atas Imej yang menyerupai Kala ditemui pada pintu gerbang sebuah rumah di Kampung Laut, Kelantan. kiri Kala yang menghiasi pintu gerbang atau gapura candi-candi di Indonesia dan Indochina. Sumber: Kajian Lapangan.

Gambar 2.0 Pintu gerbang asal yang diletakkan di atas pintu masuk rumah di Kampung Laut, Kelantan. Sumber : Kajian Lapangan

Sebuah lagi imej yang akan dibincangkan adalah imej pada sebuah pintu gerbang lama yang berasal dari Kelantan berusia hampir 200 tahun yang kini menjadi koleksi Kandis Resource Center di Kandis, Kelantan. Lokasi asal pintu gerbang ini adalah di bahagian belakang rumah bagi laluan masuk para wanita. Pada bahagian tengah puncak yang membentuk gunungan pada pintu gerbang tersebut terdapat imej daripada motif bunga yang berbentuk seperti mempunyai belalai (rujuk gambar 3.0). Dalam imej pra-Islam, imej yang mempunyai belalai adalah makara. Makara adalah haiwan mitos yang berupa rasaksa air seperti ikan tetapi mempunyai belalai dan kehadirannya sering dikaitkan dengan air. Dalam kepercayaan Hindu, naga dan makara kononnya adalah haiwan tunggangan Dewa Vishnu di air seperti sungai, tasik dan laut manakala garuda adalah haiwan tunggangan Dewa Vishnu di udara. Dalam kepercayaan Hindu, Makara adalah rasaksa air berupa ikan dan berkepala gajah atau buaya atau naga kadangkala bertanduk atau bermuncung. Imej-imej seperti ini turut ditemui pada bangunanbangunan purba tamadun Maya dan Aztec. Lantaran itu imejnya sering terdapat dalam kesenian ukiran Melayu terutama pada senjata dan perahu. Imej-imej makara berbentuk raksaksa air yang mempunyai belalai, dengan lidah terjelir, bermata besar kadangkala bertanduk seperti kambing dan bertaring menjadi perhiasan perahuperahu kepunyaan pelaut-pelaut Melayu sepertimana yang digambarkan oleh Tomes Pires3 seorang pegawai Portugis yang berkhidmat di Melaka pada kurun ke 16. Ia menjadi lambang kesuburan. Imej dan motif makara masih dapat dilihat pada perahu-perahu nelayan di Pantai Sabak, Kelantan dan beberapa keris lama dalam simpanan koleksi Kandis Resource Center di Kelantan. Motif bunga belalai pada pintu gerbang pula didapati digandingkan bersama motif kangkung yang merupakan spesis tumbuhan akuatik (tumbuhan air).

Gambar 3.0 Motif bunga yang mempunyai belalai terletak pada bahagian puncak sebuah pintu gerbang di Kelantan (kiri) dan Lakaran ukiran hulu badik daripada Patani yang menggunakan imej makara . Sumber : Kajian Lapangan

Sebuah lagi penemuan yang menarik dalam konteks perbincangan tentang evolusi bentuk dan makna seni bina tradisional Melayu ialah hiasan puncak atap yang dipanggil buah buton oleh orang Kelantan dan buah gutung oleh orang Terengganu. Ianya sering menjadi hiasan puncak atap rumah wakaf, rumah
3

Lihat http://www.nga.gov.au/crescentmoon/details/makara.cfm

persendirian atau masjid. Tukang-tukang Melayu memanggilnya buah butun atau gutung kerana bentuknya yang hampir menyerupai spesis buah tersebut iaitu Putat Laut (Barringtonia asiatica). Hiasan puncak atap tersebut terdapat pada sebuah rumah di Jalan Pejabat Pos Lama, Kota Bharu yang telah dijadikan sebagai kajian kes ke 2. Bentuknya agak berbeza dengan bentuk-bentuk buah buton yang biasa ditemui kerana ianya mempunyai tapak atau beralaskan susunan kelopak bunga teratai dua lapis. Bentuk buah buton sering dikaitkan dengan bentuk stupa manakala penggunaan alas tapak seperti ini biasanya ditemui pada hiasan-hiasan Buddha yang dipanggil Padmasana jika satu lapis dan Visvapadmasana jikalau dua lapis.4 (lihat gambar 4.0). Samada reka bentuknya secara tidak sengaja bersamaan dengan simbol Buddhisme tersebut atau pun sebaliknya mungkin memerlukan penelitian dan penyelidikan yang lebih mendalam.

Gambar 4.0 Buah buton yang berlapikkan kelopak bunga teratai di puncak bumbung rumah tradisional Melayu di Kota Bharu, Kelantan. (kiri) dan spesis buah buton atau putat laut ,Barringtonia
asiatica. (kanan)

Sumber : Kajian Lapangan

Lambang swastika merupakan salah satu lambang lama yang banyak digunakan dalam banyak tradisi dan budaya di dunia. Juga disebut suastika, svastica atau svastika merupakan lambang yang dikaitkan dengan nasib baik. (Mackenzie, 1926:2). Lambang Swastika5 sering menjadi lambang suci Buddhisme, Jainisme dan Hinduisme. Ianya merupakan garis pangkah sama panjang pada sudut 90 darjah serta bengkok di bahagian hujung samada menghadap ke kiri atau ke kanan. Walaupun kedua-dua gaya (samada menghadap ke kiri atau kanan) biasa digunakan namun terdapat kepercayaan bahawa gaya menghadap ke kiri sering dikaitkan dengan kejahatan atau keburukan. Ianya adalah diantara 108 lambang Dewa Vishnu dalam Hinduisme melambangkan cahaya matahari dan kehidupan. Lambang ini sering digunakan sebagai hiasan dan reka corak dalam seni bina India serta semasa perayaan keagamaan dan keraian biasa di India. Reka corak gaya berulang-ulang dan bersambungan adalah antara gaya yang terkenal. Kadangkala disebut sebagai shubhtika yang membawa maksud petanda baik menjadi simbol nasib baik dan bertuah pada seseorang yang menggunakannya.

Lihat Jansen, E.R. (2000), The Book of Buddhas, Binkey Kok Publications : Havelte, Holland. hal 14. Daripada bahasa Sanskrit (svastika) turut menjadi lambang Nazi di Jerman semasa era pemerintahan Adolf Hitler dengan panggilan Hakenkreuz. Ianya dikatakan berkaitan dengan simbol tradisi Aryan (Proto Indo-Eropah) dan teori asal-usul bangsa Jerman ketika migrasi purba.
5

Gambar 5.0 Lambang Swastika versi Hindu dengan tambahan titik di bahagian tengah. Sumber: Wikipedia Encyclopedia http://en.wikipedia.org/wiki/Swastika

Penggunaan lambang ini dapat dilihat dengan jelas pada papan kekisi dan juga pada panel dinding Masjid Wadi Hussin, Patani. (lihat gambar 6.0). Masjid ini terletak di Telok Manok, Narathiwat, Thailand di sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh sawah padi. Mengikut buku laporan ulang tahun 370 tahun masjid ini dibina pada tahun 1624. (Salleh Akib, 2003:83).

Gambar 6.0 Motif swastika pada papan kekisi (kiri) dan panel janda berhias (kanan) Masjid Wadi Hussin, Patani. sumber: Farish Noor & Eddin Khoo (2003)

Mackenzie (1926:14) melalui perbincangan dalam bukunya The Migration of Symbols menyatakan bahawa terdapat penggunaan lambang swastika lazimnya terbentuk daripada titik kardinal ditengah mengarah keluar. Terdapat sebuah lambang swastika yang menjadi simbol melibatkan nama-nama malaikat ; Izrail, Israfil, Jibrail dan Mikail yang ditemuinya dan beliau namakan sebagai the moslem swastika (lihat Gambar 7.0) Lambang ini menunjuk kedudukan keempat-empat malaikat arah berkaitan dengan kedudukan keempat -empat arah utara, barat, selatan dan timur.

Gambar 6.0 Lambang The Moslem Swastika


sumber : Mackenzie, Donald A.(1926)

Perbincangan dan Ulasan Penemuan imej-imej pra-Islam pada seni bina tradisional Melayu ini menguatkan fakta sejarah dan hujah bahawa alam Melayu terutamanya rantau sebelah Pantai Timur yang turut dipanggil Melayu Timur-Laut ini telah melalui fasa anamisme dan Hindu-Buddhisme sebelum masuki era Islam. Zaman kegemilangan Melayu rantau ini pernah tercatat sebagai kerajaan Langkasuka yang kemudiannya pernah bernaung di bawah kerajaan Sriwijaya pada abad ke tujuh sehingga kepada kerajaan Islam Patani Darul Salam pada sekitar abad ke 15 dan 16 merangkumi kawasan yang luas termasuk Kelantan, Terengganu, Patani, Singgora hingga Patalung yang dikenali sebagai Patani Besar . Rantau ini telah menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan utama yang menguasai perairan Asia Tenggara pada abad ke 17 serta menjadi pusat penyebaran Islam semenjak abad ke 16. Kegemilangan empayar Melayu Patani akhirnya dicerobohi oleh tentera Siam pada 1786 setelah sekian lama menyerang dan ini menjadi detik kejatuhannya. (Zamberi Malek, 1994:12-38). Penemuan imej pra-Islam adalah saki baki pemikiran lama yang masih wujud pada tukang-tukang dan pengukir-pengukir dan kemungkinan besar hanya dalam bentuk luaran atau fizikal sahaja tanpa membawa makna-makna asal. Apabila Islam masuk ke alam Melayu, ajaran tersebut tidak menghalang secara melulu penggunaan elemen-elemen lama yang sudah sekian lama sebati dengan pemikiran tukang-tukang dan pengukir-pengukir. Kemasukan Islam yang bersifat akomodatif (tidak secara peperangan atau paksaan) ini menyebabkan ianya mudah diterima di alam Melayu. Fenomena yang sama turut berlaku di negara China yang telah menerima Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Kesenian China banyak bercampur baur antara agama, adat dan kebudayaan. Antara kepercayaan dalam agama, adat resam dalam kebudayaan dan mitos-mitos dari pemikiran lama telah menghasilkan kepelbagaian dalam kesenian China. Feng Shui memberi kesan pengaruh yang amat besar. Kepercayaan terhadap tenaga yang terhasil dari alam, haiwan dan tumbuhan yang mampu mengawal kejahatan dengan cara menghalang dan menghalau. Haiwan yang kuat, ganas dan dipercayai mempunyai kuasa sakti digunakan untuk mengawal. Begitu juga dengan tenaga baik yang terdapat daripada alam, haiwan dan tumbuhan yang boleh digunakan untuk menarik tenaga tersebut ke dalam rumah atau pejabat. Kepercayaannya amat kuat dan mendalam sehingga sudah menjadi sebati dengan pemikiran dan kebudayaan bangsa China itu sendiri. Justeru itu sehingga kini seni bina masjid di negeri China masih menggunakan elemen-elemen naga dan singa serta haiwan-haiwan mitos yang lain sebagai ragam hias mereka. Jika diperhatikan reka bentuk masjid-masjid di negara China, masih terdapat elemen-elemen mitos mereka seperti singa, rajawali dan naga menghiasi puncak-puncak bumbungnya kecuali di ruang-ruang solat. Namun begitu menurut Mahmud Yusuf Li Hua Yen (1995:112-113) masjid-masjid yang dibina selepas revolusi 1911 sudah jarang terlihat di dalamnya gambar-gambar binatang. Ini adalah kerana selepas era revolusi ulama-ulama berfahaman Wahabi mulai meluas di kalangan kaum muslimin di China dan mula menolak corak-corak lama dalam binaan masjid.

Gambar 7.0 Menara Masjid Besar Xian dinegara China. Reka bentuk bumbung yang melentik dan berbentuk pagoda dihiasi dengan elemen naga pada perabung bumbung tingkatnya. sumber: Frishman, M & Hasan-uddin Khan (2003)

Dalam konteks alam Melayu, seni bina di Malaysia boleh dianggap lebih awal menolak elemen-elemen pepatungan dan motif-motif haiwan mitos ke dalam reka bentuknya berbanding dengan rekabentuk senibina dinegara Indonesia. Proses Islamisasi dalam kesenian dan budaya Melayu ternyata lebih awal berbanding dengan apa yang berlaku di Jawa. Proses sinkretisme yang dikatakan berlaku di alam Melayu tidak begitu ketara berlaku di Malaysia berbanding dengan apa yang berlaku di Jawa, dan beberapa daerah lain di Indonesia. Barangkali ini menguatkan hujah yang diutarakan oleh Syed Naquib Al-Attas(1972) bahawa Hinduisme yang masuk ke alam Melayu cuma di kalangan golongan atasan dan tidak merakyat. Hanya di peringkat kesenian sahaja tetapi tidak di peringkat falsafah. Pandangan ini sejajar dengan pandangan Jacob Sumardjo (2002:29) apabila beliau mengulas tentang kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Melayu dengan berkata :
Meskipun budaya kelautan Melayu menerima budaya India selama 600 tahun, namun sisa-sisa alam pikiran dan kepercayaan India di Sumatera umumnya kurang punya arti. Justru Melayu itu identik dengan Islam, yang baru datang kemudian. Masyarakat ladang dan kelautan Melayu seolah-olah tak pernah mengalami masa kejayaan agama dan budaya transformatif Indianya yang begitu lama.

Penulis berpendapat bahawa walaupun pandangan yang diberikan adalah tentang Melayu Sumatera tetapi ianya agak relevan dengan masyarakat Melayu amnya terutamanya Melayu Timur-Laut. Menurutnya masyarakat Melayu adalah masyarakat kelautan di pesisir dan masyarakat ladang. Mentaliti masyarakat pesisir lebih indipenden (berdikari), mobil (bergerak), pragmatik, siap dalam persaingan (kompetitif) kerana merupakan masyarakat niaga. Agama Buddha yang lebih filosofis membuatkan orang Melayu mudah menerimanya berbanding Hindu yang lebih ritualistik. Sebab itu keberadaan Buddhisme di daerah Melayu bertahan cukup lama iaitu mulai abad ke 7 hingga abad ke 13. Karakter Melayu kelautan dan ladang ini kemudiannya bersesuaian dengan ajaran yang dibawa oleh Islam. Berbanding dengan masyarakat sawah Jawa, adalah masyarakat yang menetap di suatu tempat. secara turun temurun. Hierarki kekuasaan dan pengHinduan dari Kraton diterima secara lisan dengan begitu lama sehingga melalui zaman kolonial dan zaman Islam. Pengaruh budaya kraton amat kuat ke atas wilayah-wilayahnya. Sehingga yang lahir

kemudiannya adalah Islam abangan (agama rakyat), Islam priyayi (agama elit Kraton) dan Islam santri. Di Malaysia motif-motif lama yang dianggap pra-Islam telah diberikan makna baru bersesuaian dengan ketauhidan dalam Islam. Elemen pepatungan boleh dikatakan ditolak sama sekali dalam apa jua kesenian (termasuk batik dan songket). Sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia terhadap elemen pepatungan adalah amat tinggi sehinggakan cubaan memasukkan unsur-unsur figuratif dalam bentuk khat sekalipun pada era 60an dan 70an tidak bertahan lama dan tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu Islam (lihat gambar 7.0).

Gambar 8.0 Dua contoh karya khat atau kaligrafi yang menggunakan elemen binatang. Gaya ini agak terkenal sekitar 1960an dan 1970an namun kurang mendapat tempat di hati umat Islam di Malaysia.

Dalam konteks kesenian dan kebudayaan Melayu di Malaysia, barangkali kita boleh menganggap bahawa kita merupakan generasi terakhir yang ditakdirkan menjadi saksi terhadap transformasi Islamisasi dalam kesenian dan kebudayaan tersebut. Era ini masih terdapat bukti kewujudan imej pra Islam pada artifak dan di bangunan-bangunan lama dan sedang melalui zaman pelupusannya kerana sudah tidak digunakan lagi. Fenomena ini mungkin akan hilang pada era generasi akan datang yang mungkin akan hanya tinggal sebagai bahan sejarah sahaja. Rujukan
Farish Noor & Eddin Khoo (2003), Spirit of Wood, Periplus : Singapore Frishman, M & Hasan-uddin Khan (ed). (2002), The Mosque, Thames & Hudson : London. Halim Nasir (1987), Traditional Malay Wood Carving, DBP : Kuala Lumpur

10

Mackenzie, Donald A., (1926), The Migration of Symbols and their Relations to Beliefs and Customs., Alfred A. Knopf : New York. Mahmud Yusuf Li Hua Yen (1995), Masjid Masjid Di Negara China, Pustaka Antara : Kuala Lumpur. Mohamed Najib bin Ahmad Dawa , The Symbolism of Batik from Kelantan, Malaysia : Its Origins and Transformation, Tesis PhD yang tidak diterbitkan, Institute of Advance Studies, Manchester Metropolitan University, UK. 1995. Mohd Sabrizaa Abd Rashid, Kajian Simbolisme Elemen-Elemen Estetik dan Ragam Hias Rumah Tradisional Melayu : Kajian Kes Seni Bina Gaya Pantai Timur, Tesis PhD, Institut Pengajian Siswazah, USM, 2007. Mohd. Zamberi A. Malek. 1994. Patani Dalam Tamadun Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Norhaiza Noodin, Inovasi : Hubungkait Seni Ukir Kayu Dalam Masyarakat, Konvensyen Inovasi Kraf Kebangsaan 2004, Hotel Prince, Kuala Lumpur, 28 Feb. 2005. Norhaiza Noordin, Mengekalkan Motif Ukiran Kayu Tradisi Masa Kini, International Seminar : Spirit & Form in Malay Design, Muzium Negara, Kuala Lumpur. 27 29 Jun 2005. Rosnawati Othman (2005), The Language of The Langkasukan Motif, Journal of Indonesia and The Malay World, Vol. 33, No. 96, July 2005, Routledge Taylor and Francis Group : Oxfordshire. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, ABIM: Kuala Lumpur Sumardjo, J. (2002), Arkeologi Budaya Indonesia, Penerbit Qalam : Yogyakarta. Zulkifli Hanafi (2000), Pola-Pola Hiasan di Dalam Bangunan Tradisional Melayu, DBP : Kuala Lumpur

11