Anda di halaman 1dari 12

1.

0 Pengenalan Kajian berkaitan bahasa kanak-kanak lebih dominan dalam bidang psikolinguistik dengan mencakupi dua aspek utama, iaitu kajian pemerolehan dan pemahaman bahasa. Di Malaysia, perkembangan kajian dalam bidang psikolinguistik lebih memberi tumpuan terhadap pemerolehan bahasa kanak-kanak, sama ada bahasa pertama ataupun bahasa kedua. Beberapa orang sarjana yang terlibat dalam bidang ini, ialah Mangantar Simanjuntak, Atan Long, Juriah Long, Khadijah Rohani, Zukifley Hamid dan beberapa orang penyelidik lain. Kebanyakan kajian yang telah mereka lakukan ini sedikit sebanyak telah memberi sumbangan kepada bidang penulisan buku kanak-kanak di Malaysia hari ini. Justeru, melalui penulisan tesis sarjana berjudul Pemahaman bahasa kanak-kanak terhadap cerita rakyat tempatan: satu analisis psikolinguistik, penulis cuba memperlihatkan kepentingan pendekatan psikolinguistik dalam mengenal pasti pemahaman bahasa Melayu kanak-kanak terhadap cerita rakyat tempatan yang diterbitkan untuk pembacaan golongan sasaran tersebut. Kajian pemahaman bahasa (language comprehension) terdiri daripada kajian yang mengenal pasti kaedah kanak-kanak dan orang dewasa memahami bahasa sama ada yang berbentuk lisan, tulisan, dan perlambangan. Antaranya, kajian ini mengenal pasti kaedah atau proses yang berlaku dalam minda manusia untuk mentafsir makna dalam pelbagai bentuk bahasa sama ada bahasa pertuturan atau penulisan( Zulkifley Hamid 2006:107). Justeru, dua aspek utama yang perlu dititikberatkan dalam penulisan bahan bacaan kanak-kanak ialah bahasa dan kandungannya. Aspek bahasa ialah asas yang mendukung konsep-konsep isi bacaan atau makna yang hendak disampaikan kepada pembaca, iaitu kanak-kanak. Oleh yang demikian, kedua-dua aspek ini tidak boleh diasingkan kerana bahasa tidak boleh terpisah daripada konsep yang didukung oleh bahasa. Permasalahan Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengelaskan buku sastera kanak-kanak kepada empat kategori berdasarkan kelompok umur kanak-kanak tersebut. Kategori prasekolah (umur 3 hingga 6 tahun) memperlihatkan penceritaan dibina berdasarkan gambar dan teks. Keseluruhan cerita merangkumi 50% gambar yang perlu ada pada setiap muka surat. Jumlah teks yang digunakan

adalah dalam kadar yang ringkas dan penggunaan bahasa yang mudah. Kategori sekolah rendah bawah (umur 7 hingga 9 tahun), pula, menunjukkan penggunaan teks dan gambar dilaksanakan dalam membina cerita, iaitu sebanyak 75% terdiri daripada teks dan gambar ialah 25%. Jalan cerita hendaklah mudah difahami di samping plot cerita yang lengkap. Manakala, kategori sekolah rendah atas (umur 10 hingga 12 tahun), meliputi penceritaan yang terdiri daripada pelbagai jenis cerita, seperti cerita pengembaraan, misteri, humor, keluarga, sukan dan sains fiksyen. Kategori keempat melibatkan sekolah menengah rendah (umur 13 hingga 15 tahun). Kategori ini mengutamakan penulisan cerita kanak-kanak yang mempunyai tema yang lebih serius dan digemari oleh kanak-kanak. Antaranya berunsur moral, persahabatan, peperangan dan politik (Adenan Abd. Wahab: 1980). Dalam pengkategorian ini, aspek bahasa tidak diberi perhatian yang utama. Berdasarkan laporan panel hakim bagi Anugerah Perpustakaan Negara 2004 (Md Sidin, 2005: 146), didapati masih banyak buku atau sastera kanak-kanak yang ditulis dengan bahasa yang tidak memuaskan daripada segi nahu atau tatabahasa. Penulis-penulis didapati tidak mempamerkan persembahan yang menarik dan berkesan. Hal ini menyebabkan karya-karya tersebut bukan sahaja mengandungi banyak kesalahan tatabahasa, tetapi juga persembahan bahan yang menjemukan. Justeru, kajian ini cuba meneliti dan menilai kesesuaian aspek bahasa yang terdapat dalam buku sastera kanak-kanak dengan peringkat umur mereka. Skop Penyelidikan Dua kategori buku sastera kanak-kanak yang telah dibuat pengelasan oleh DBP dijadikan sebagai tumpuan kajian, iaitu: kategori sekolah rendah bawah dan sekolah rendah atas. Bahan kajian ini dibataskan dengan merujuk dua buah cerita rakyat tempatan terbitan DBP yang dihasilkan sekitar tahun 1990 hingga tahun 2007. Kewajaran pemilihan cerita rakyat tempatan, iaitu cerita jenaka dibuat kerana ia bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak peringkat sekolah rendah, yang mula menguasai bahasa dari aspek pertuturan, pembacaan dan penulisan. Cerita jenaka seperti Pak Pandir dipilih kerana ia merupakan cerita rakyat yang popular dan menggambarkan suasana masyarakat dan budaya serta watak-wataknya terdiri daripada orang biasa yang wujud dalam masyarakat. Walaupun cerita tersebut bercorak sindiran atau satira masyarakat, namun

unsur-unsur lucu yang terkandung di dalamnya menjadikan cerita itu digemari dan disenangi oleh kanak-kanak. Dua buah judul cerita rakyat yang dikenal pasti bagi tujuan penyelidikan ini, pertama: Kumpulan Cerita Jenaka dan Cerita Binatang (2006) yang ditulis semula oleh Rusman Sharif (untuk bacaan kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 9 tahun); dan kedua, Kumpulan Cerita Jenaka (1991) yang diceritakan semula oleh Kamariah Mohamed Ali (untuk bacaan kanak-kanak yang berumur dari 9 hingga 12 tahun). Cerita rakyat yang berjudul Kumpulan Cerita Jenaka dan Cerita Binatang dipilih bagi tujuan penyelidikan ini untuk mengenal pasti pemahaman bahasa kanak-kanak yang berumur dari 7 tahun hingga 9 tahun. Berdasarkan Kumpulan Cerita Jenaka dan Cerita Binatang, hanya sebuah cerita jenaka sahaja yang dipilih untuk tujuan kajian ini, iaitu cerita Pak Pandir buat Kenduri. Pemilihan ini juga dibuat kerana cerita rakyat tersebut merupakan antara cerita rakyat terkini yang diterbitkan pada tahun 2006 bersempena dengan Ulang Tahun DBP yang ke-50. Seterusnya, Kumpulan Cerita Jenaka yang diceritakan semula oleh Kamariah Mohamed Ali dan diterbitkan pada tahun 1991 juga telah dipilih. Cerita jenaka tersebut dipilih berdasarkan kumpulan pembaca sasarannya, iaitu kelompok umur kanak-kanak yang berumur dari 9 tahun hingga 12 tahun. Bagi menganalisis Kumpulan Cerita Jenaka hanya sebuah sahaja cerita jenaka yang diteliti daripada beberapa buah cerita jenaka, iaitu cerita jenaka yang berjudul Pak Pandir dengan Gergasi. Di samping itu, pemilihan cerita jenaka tersebut dilakukan kerana ia merupakan kumpulan cerita rakyat yang lengkap dengan memuatkan pelbagai cerita jenaka tempatan, seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Pak Belalang dan Si Luncai. Persamaan cerita jenaka Pak Pandir dalam kedua-dua buku tersebut merupakan satu lagi kriteria pemilihan yang diteliti oleh pengkaji. Walaupun kedua-dua cerita tersebut berkaitan dengan cerita Pak Pandir, tetapi kelompok umur kanak-kanak yang menjadi sasaran pembaca adalah berbeza. Oleh yang demikian, pertimbangan yang sewajarnya dilakukan untuk memilih keduadua cerita tersebut kerana ia bersesuaian dengan kelompok umur yang dikelaskan oleh DBP di samping memenuhi objektif kajian. Subjek Kajian

Persampelan rawak mudah dipilih kerana ia membolehkan ujian pemahaman secara individu dilakukan dengan memilih pelajar Melayu secara rawak yang terdiri daripada jantina lelaki dan perempuan mengikut kategori umur dari 7 tahun hingga 12 tahun. Setiap sampel yang diambil mewakili setiap kategori umur yang dipilih berdasarkan setiap kelas yang ada dan dapat mewakili jumlah sasaran yang diliputi. Sampel kajian, iaitu pelajar yang dipilih mewakili semua kategori umur pelajar Melayu yang terdiri daripada jantina lelaki dan perempuan, tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan tahap perkembangan kognitif mereka. Sehubungan itu, ujian pemahaman yang dilakukan kepada sampel merujuk kepada perkataan-perkataan yang tidak difahami oleh mereka berdasarkan setiap jenis cerita rakyat yang diberikan oleh pengkaji kepada pelajar. Sebuah sekolah rendah yang terletak di daerah Hulu Langat, Selangor dilih sebagai sasaran bagi menguji pemahaman pelajar-pelajar sekolah rendah. Analisis Teks dan Pemahaman Kata Penganalisisan cerita rakyat dilakukan berdasarkan tatacara analisis teks secara deskriptif yang meliputi, kata dasar, kata terbitan, dan kata tugas dengan merujuk buku Tatabahasa Dewan sebagai asas perbandingan. Huraian berkaitan proses pemahaman tersebut melibatkan proses pemahaman teks dan proses pencarian kata dalam leksikon mental dengan merujuk model pemprosesan bahasa David W. Carroll (1994). Sebanyak 40 salinan cerita jenaka diedarkan kepada 40 orang pelajar sekolah rendah yang terdiri daripada pelajar tahun 2, 3, 4 dan 5. Jumlah tersebut merangkumi 10 orang pelajar yang meliputi 5 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan. Untuk mengetahui pemahaman bahasa kanak-kanak terhadap kedua-dua cerita jenaka tersebut, para pelajar yang terpilih diminta untuk membaca cerita jenaka tersebut mengikut kelompok umur yang telah ditentukan, iaitu kelompok umur 7 hingga 9 tahun dan kelompok umur 10 hingga 12 tahun. Untuk mengetahui kata yang sukar atau tidak difahami oleh kanak-kanak, pengkaji meminta kanak-kanak menggariskan kata atau perkataan tersebut sewaktu melakukan pembacaan. Hasilnya, sebanyak 9 jenis golongan kata dikenal pasti sebagai tidak difahami oleh pelajar-pelajar yang terlibat, iaitu kata nama, kata nama terbitan, kata bilangan, kata kerja, kata kerja terbitan, kata kerja ganda, kata adjektif, kata adverba dan kata hubung. Model pemprosesan bahasa David W. Carroll (1994), menjelaskan bahawa ingatan merupakan elemen utama dalam pemprosesan bahasa. Model pemprosesan bahasa ini melibatkan tiga aspek,

iaitu penyimpanan deria, ingatan bekerja dan ingatan kekal. Model pemprosesan bahasa tersebut dapat dilihat pada rajah 1 seperti di bawa

Rajah 1: Model Pemprosesan Maklumat Dalam model pemprosesan tersebut, penyimpanan deria berfungsi menyimpan atau menerima pelbagai rangsangan persekitaran seperti deria lihat, bau, warna, rasa dan sebagainya yang dirasai oleh manusia setiap hari. Manusia diandaikan mempunyai tempat atau bekas penyimpanan yang khusus bagi setiap jenis deria. Sebagai langkah pertama dalam pemprosesan bahasa, penyimpanan deria memaparkan maklumat secara literal, iaitu dalam bentuk yang belum dianalisis. Kebanyakan maklumat dalam simpanan ini akan hilang dengan kadar yang cepat kerana ia tidak diperlukan oleh seseorang atau ia tidak berkaitan dengan matlamatnya. Jenis ingatan seterusnya ialah ingatan bekerja atau dikenali sebagai ingatan jangka pendek. Walaupun kedua-dua ingatan tersebut mempunyai makna yang sama, tetapi terdapat perbezaan yang ketara. Kandungan ingatan jangka pendek boleh disimpan dalam beberapa saat sahaja. Contohnya, apabila kita tertinggal dompet di dalam kereta. Kita cuba mengingat kembali tempat atau lokasi kita meletakkan dompet tersebut. Ingatan jangka pendek mempunyai pengisian yang terbatas kerana maklumat yang dapat disimpan adalah terhad. Ingatan jangka pendek mempunyai kemampuan menyimpan antara 5 atau 9 unsur sahaja dan tempoh masa yang singkat dengan jumlah yang terhad. Ingatan bekerja mempunyai dua fungsi, iaitu sebagai tempat penyimpanan dan pemprosesan. Sebagai tempat simpanan atau storan, fungsi ingatan bekerja sama seperti fungsi ingatan jangka pendek, iaitu menyimpan sesuatu maklumat untuk jangka masa tertentu sahaja. Manakala, fungsinya sebagai tempat pemprosesan, ingatan bekerja berkait rapat dengan kapasiti pemprosesan, iaitu merujuk kepada jumlah sumber kognitif yang kita berikan. Fenomena ini memperlihatkan bahawa jika sesuatu maklumat itu baharu atau sukar, kapasiti pemprosesan diperlukan. Fenomena ini

menunjukkan bahawa pemprosesan berlaku bagi menjawab secara spontan persoalan-persoalan yang diajukan. Ingatan bekerja memerlukan berlakunya pemprosesan dan jawapan secara spontan tidak boleh dilakukan. Ingatan kekal pula merupakan tempat penyimpanan tentang dunia (knowledge of the world). Ini termasuklah pengetahuan am, seperti rumus-rumus bahasa, peraturan-peraturan berbahasa dan pengalaman peribadi. Secara ringkasnya, ingatan kekal berfungsi menyimpan segala maklumat yang kita ada sejak dahulu lagi. Pada waktu ini ingatan berkaitan maklumat tersebut tidak aktif. Pada kebiasaannya, ingatan tersebut digunakan untuk mentafsir pengalaman baru dan mungkin ada pengalaman baru yang juga akan disimpan dalam ingatan kekal. Dapatan Kajian Hasil daripada analisis teks dan analisis pemahaman yang dilakukan, beberapa aspek telah dikenal pasti, iaitu: a) Penggunaan perkataan dalam cerita jenaka yang diteliti Penggunaan perkataan dalam cerita jenaka yang dikaji dilakukan dengan merujuk analisis teks yang digunakan oleh penulis dalam kedua-dua cerita jenaka yang berjudul Pak Pandir buat Kenduri dan Pak Pandir dengan Gergasi. Ia dapat diklasifikasi kepada tiga jenis perkataan atau kata yang terdiri daripada kata dasar, kata terbitan dan kata hubung. Jenis perkataan yang terdapat dalam kata dasar meliputi kata nama tunggal, kata kerja tunggal dan kata adjektif tunggal. Kata nama tunggal merangkumi tiga jenis kata, iaitu kata nama khas, kata nama am, dan kata ganti nama. Kata nama am lebih banyak digunakan dalam kedua-dua cerita jenaka yang diteliti yang terdiri daripada 23 kata nama am bagi cerita Pak Pandir buat Kenduri dan sebanyak 28 kata nama am bagi cerita Pak Pandir dengan Gergasi. Kata ganti nama pula adalah kedua tertinggi digunakan dalam kedua-dua cerita jenaka iaitu sebanyak 13 kata dan 11 kata bagi cerita Pak Pandir buat Kenduri dan Pak Pandir dengan Gergasi masing-masing. Kata nama khas pula adalah kurang digunakan dan sedikit sahaja bilangannya iaitu 13 kata dalam Pak Pandir buat Kenduri dan sebanyak 11 kata nama bagi cerita Pak Pandir dengan Gergasi.

Kehadiran kata kerja tunggal pula lebih banyak didapati dalam cerita Pak Pandir dengan Gergasi, sebanyak 35 kata dan 27 kata bagi cerita Pak Pandir buat kenduri. Kata adjektif tunggal pula lebih tinggi penggunaanya dalam cerita Pak Pandir buat Kenduri iaitu sejumlah 23 kata. Manakala, dalam cerita Pak Pandir dengan Gergasi jumlah kata tersebut adalah sebanyak 10 sahaja. Jenis perkataan kedua yang ditemui dalam analisis teks kedua-dua cerita jenaka ini ialah kata terbitan. Kata terbitan merupakan kata dasar yang telah melalui proses pengimbuhan sama ada melalui proses awalan, akhiran, apitan, dan penggandaan. Sebanyak tiga jenis kata terbitan dikenal pasti, pertama kata nama berimbuhan, kata kerja berimbuhan dan kata adjektif berimbuhan. Jenis kata nama terbitan terdiri daripada kata akhiran, apitan, kata nama majmuk dan kata nama ganda. Kata kerja berimbuhan pula merangkumi awalan, akhiran, apitan, kata kerja majmuk, dan kata kerja ganda. Perkataan atau kata terbitan yang lain adalah kata adjektif yang bermula dengan awalan, kata adjektif majmuk dan kata adjektif ganda. Daripada ketiga-tiga jenis kata terbitan tersebut, awalan meN bagi kata kerja lebih banyak digunakan dalam keduadua cerita jenaka iaitu sebanyak 28 perkataan didapati dalam cerita Pak Pandir dengan Gergasi, dan 20 perkataan dalam cerita Pandir buat kenduri. Penggunaan kata atau perkataan dalam kata tugas seperti kata penyambung ayat, kata praklausa dan kata parafrasa dan pasca frasa digunakan juga dalam penulisan kedua-dua cerita jenaka. Kata hubung yang terdiri daripada kata hubung pancangan relatif dan kata hubung pancangan keterangan merupakan kata yang terdapat dalam kata penyambung ayat. Sehubungan itu, kata praklausa terdiri daripada lima jenis iaitu kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat. Kata prafrasa dan pascafrasa ialah kata yang banyak sekali digunakan oleh penulis bagi kedua-dua cerita jenaka. Perkataan daripada kata adverba adalah perkataan yang banyak sekali digunakan iaitu sebanyak 38 perkataan bagi cerita Pak Pandir buat Kenduri dan cerita Pak Pandir dengan Gergasi adalah sebanyak 27 perkataan. Kata atau perkataan seterusnya adalah kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata sendi nama, kata arah dan kata bilangan. Berdasarkan daripada ketiga-tiga jenis kata yang dihuraikan tersebut, memperlihatkan bahawa perkataan atau kata yang digunakan sangat menyeluruh. Hal ini dapat dijelaskan kerana

penggunaan perkataan tersebut terbentuk daripada kata dasar, kata terbitan dan kata hubung. Di samping itu juga, penggunaan pelbagai jenis perkataan daripada pelbagai jenis kata meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif digunakan dalam penulisan untuk memudahkan pemahaman kanak-kanak dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka. b) Jenis golongan kata yang tidak difahami oleh kanak-kanak Daripada pembacaan kanak-kanak atau pelajar sekolah rendah terhadap kedua-dua cerita jenaka yang berjudul Pak Pandir buat Kenduri dan Pak Pandir dengan Gergasi, terdapat tiga jenis kata yang tidak difahami. Kedua-dua jenis kelompok umur kanak-kanak yang meliputi lingkungan umur 7 hingga 9 tahun dan umur 10 hingga 12 tahun tidak dapat memahami beberapa perkataan yang terdiri daripada kata dasar, kata terbitan dan kata hubung. Permasalahan kanak-kanak untuk memahami perkataan kata dasar seperti huma, golok, daun birah, oleng, dungu, lantang, senang, pasang, bilah, asak, sengkang, sipu, mengah, dan raya mempengaruhi pemahaman mereka terhadap kata terbitan seperti kesenangan, pasangan, sebilah, berhuma, mengasak, tersengkang, tersipu-sipu, termengah-mengah dan seraya. Pada asasnya, permasalahan pemahaman perkataan oleh kanak-kanak atau pelajar sekolah rendah berlaku kerana kehadiran kata dasar yang tidak dapat dikenal pasti dalam leksikon mental mereka. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dapat memahami sesuatu perkataan khususnya kata dasar, kata terbitan dan kata hubung kerana penghasilan kata dasar yang tidak pernah mereka temui melalui pembacaan mereka selama ini. Fenomena ini mempengaruhi pemprosesan kata dan mendapatkan maklumat daripada kamus mental mereka. c) Kesesuaian aspek bahasa dalam penerbitan cerita rakyat tempatan Merujuk analisis teks, jenis kata dasar, kata terbitan dan kata hubung digunakan oleh penulis dalam kedua-dua cerita jenaka yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991 dan pada tahun 2006. Analisis teks cerita jenaka dan analisis pemahaman menjelaskan bahawa aspek bahasa Melayu yang digunakan bagi dua kelompok umur kanakkanak yang terdiri daripada umur 7 hingga 9 tahun dan umur 10 hingga 12 tahun adalah sama. Hal ini tidak sewajarnya berlaku kerana perkembangan bahasa bagi kelompok umur 7 hingga 9 tahun dan umur 10 hingga 12 tahun adalah berbeza sama sekali.

Melalui analisis pemahaman dapat dibuktikan bahawa kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur 7 hingga 9 tahun tidak dapat memahami kata atau perkataan yang terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adverba, kata bilangan, kata kerja terbitan dan kata kerja ganda. Hal ini berbeza dengan umur kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 12 tahun dapat memahami kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif, kata nama terbitan dan sedikit sahaja bagi kata bilangan (umur 11 tahun). d) Faktor-faktor yang menyebabkan permasalahan pemahaman perkataan oleh kanak-kanak Kajian bahasa yang diteliti dari sudut psikolinguistik telah dapat mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya permasalahan pemahaman kanak-kanak terhadap cerita jenaka yang dikaji. Pertama, ialah ketidakwujudan dan keterasingan kosa kata yang berlaku dalam kamus mental kanak-kanak yang diteliti. Pada kebiasaannya, kosa kata yang dimiliki oleh manusia akan disimpan dalam ingatan jangka panjang. Ingatan deria akan memilih rangsanganrangsangan yang penting sahaja untuk diproses oleh ingatan jangka pendek. Makna sesuatu perkataan hanya boleh ditafsir pada ingatan jangka panjang berbanding pada ingatan jangka pendek. Hal ini ditegaskan oleh Zulkifley Hamid (2006:28) kerana jumlah dan jenis kosa kata yang dipunyai oleh setiap individu adalah berbeza berasaskan taraf pendidikan, pengalaman dan persekitaran sosiobudaya. Sesetengah perkataan yang tidak digunakan pada jangka masa yang terlalu lama memberi kesan untuk difahami dan ia menjadi perkataan yang sukar dan asing, contohnya kata dasar atau perkataan huma, golok, daun birah, oleng, dungu dan lantang. Untuk memahami sesuatu perkataan dalam kadar yang cepat, ia perlu dirangsang oleh individu. Hal ini membolehkan pemprosesan kata yang wujud dalam bentuk lisan mahupun tulisan dapat diproses dengan kadar yang cepat. Faktor kedua ialah kegagalan mengintegrasikan maklumat dalam sesebuah wacana. Semasa pemprosesan sesebuah wacana, ketiga-tiga jenis ingatan saling berfungsi antara satu sama lain. Perkataan-perkataan yang membina sesebuah ayat yang sudah diproses akan disimpan dalam ingatan jangka panjang. Proses mendapatkan semula perkataan daripada ayat-ayat yang terbina akan berlaku apabila wujudnya keperluan untuk mengintegrasikan maklumat yang sudah diproses. Proses pemahamam akan mengalami kegagalan jika ingatan jangka pendek gagal mengintegrasikan maklumat tersebut. Kemampuan ingatan jangka pendek yang terhad

mempengaruhi carian kata atau perkataan dan memberi permasalahan pemahaman kepada individu khususnya kanak-kanak atau pelajar sekolah rendah yang dikaji. Oleh yang demikian, penulis mahupun penerbit buku kanak-kanak perlu mengadakan glosari kata atau daftar kata bagi setiap cerita yang dihasilkan. Hal yang sama juga perlu dilakukan dalam penulisan kedua-dua cerita jenaka Pak Pandir buat Kenduri dan Pak Pandir dengan Gergasi. Kewujudan glosari atau daftar kata bagi kata atau perkataan yang tertentu dapat membantu pemprosesan maklumat atau kata dalam ingatan jangka pendek dan mempercepatkan proses carian serta dapatan maklumat. Masalah pemahaman yang berpunca daripada ketaksaan leksikal dan struktur morfologi pula merupakan faktor yang ketiga. Ketaksaan leksikal berlaku apabila sesuatu kata mempunyai makna yang berbeza dan sebutan sesuatu kata yang agak sama juga merujuk kepada kata yang berbeza. Dalam kajian ini, analisis pemahaman menunjukkan berlakunya permasalahan untuk memahami kata adjektif dungu oleh kanak-kanak yang berumur lingkungan 7 hingga 9 tahun. Jika diteliti kanak-kanak hanya dapat memahami kata adjektif warna ungu berbanding dungu yang menunjukkan sifat seseorang. Walaupun ejaannya berbeza tetapi ia mempunyai sebutan yang seakan sama mengelirukan pemahaman kanak-kanak. Begitu juga dari aspek morfologi, kanak-kanak yang diteliti lebih mudah memahami kata dasar berbanding kata terbitan. Kata dasar seperti senang, pasang, dan raya lebih kerap digunakan dan lebih banyak terdapat dalam ingatan jangka panjang. Berbanding selepas dimbuhkan dengan apitan ke--an, dan akhiran an serta penggunaan kata hubung yang menghasilkan kata kesenangan, pasangan dan seraya menimbulkan permasalahan pemahaman kepada mereka. Implikasi Kajian Berdasarkan analisis teks dan juga analisis pemahaman terhadap cerita jenaka yang diteliti dengan melihat kepada kata atau perkataan membuktikan bahawa aspek bahasa harus diberi penekanan dan perhatian oleh penulis buku kanak-kanak khususnya di Malaysia. Pendekatan psikolinguistik perlu digunakan untuk menghasilkan buku kanak-kanak agar sesuai dengan perkembangan kognitif dan umur mereka. Hal ini memperlihatkan proses pemahaman berlaku dengan merangkumi ingatan deria atau penyimpanan deria, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka pendek. Pemahaman kanak-kanak akan berlaku dengan mudah jika aspek bahasa khususnya kata atau perkataan yang digunakan dalam penulisan bersesuaian dengan umur dan

disertakan dengan alat bantu membaca seperti glosari atau daftar kata. Kaedah ini akan memudahkan pemahaman kanak-kanak dan dapat memperkayakan mereka dengan penggunaan bahasa yang baik dari aspek tatabahasa dan nahu. Dari aspek psikolinguistik, tahap umur 1 tahun hingga 13 tahun adalah tahap yang paling sensitif dan kritikal bagi penguasaan bahasa seorang kanak-kanak. Jika kanak-kanak didedahkan dengan bahasa yang salah pada tahap ini, maka ia akan memberi kesan yang buruk (Simanjuntak, Mangantar, 1980). Justeru, penggunaan bahasa yang betul dan sesuai dalam setiap penulisan sastera kanak-kanak perlu diberi penekanan oleh setiap penulis yang terlibat. Penulisan sastera kanak-kanak bukan tempat untuk melakukan uji kaji tetapi melalui sastera kanak-kanak didikan bahasa secara tidak formal dapat dilakukan. Kesimpulan Pada keseluruhannya, aspek bahasa merupakan salah satu elemen utama dalam penghasilan buku kanak-kanak seperti cerita jenaka. Hasil dapatan kajian yang dilakukan berdasarkan analisis teks dan analisis pemahaman kanak-kanak, memperlihatkan bahawa terdapat kelemahan bahasa Melayu dalam penulisan buku tersebut khususnya penggunaan kata atau perkataan. Gabungan aspek bahasa dan aspek-aspek lain seperti pemaparan grafik dapat memberi nilai tambah dalam usaha menarik minat kanak-kanak membaca. Hasil kajian yang dikenal pasti memperlihatkan pemahaman pembacaan kanak-kanak dari sudut psikolinguistik. Bahan Rujukan Adenan Haji Abd Wahab. 1981. Penulisan cereka kanak-kanak di Malaysia. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Carroll, David W. 1994. Psychology of Language. 2nd. Edition. Pacific Grove: Cole Publishing. Kumpulan cerita jenaka. Penceritaan semula oleh Kamariah Muhammad Ali. 1991. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Md Sidin Ahmad Ishak. 2005. Perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia: buku Melayu mencari nafas baru. Shah Alam : Cerdik Publication Sdn. Bhd.

Rusman Shariff. 2006. Kumpulan cerita jenaka dan binatang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi. 2009. Pemahaman bahasa kanak-kanak terhadap cerita rakyat tempatan: satu analisis psikolinguistik. Tesis Sarjana, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Zulkifley Hamid. 2006. Aplikasi psikolinguistik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai