Anda di halaman 1dari 22

BORIA Pengenalan Boria seperti dimaklumi umum adalah satu bentuk persembahan yang biasa dimainkan di utara semenanjung

atau lebih tepat lagi di Pulau Pinang. Boria adalah sejenis teater yang amat popular. Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian. Kedua-dua segmen ini saling bergantung antara satu sama lain dalam menentukan mutu persembahan. Pada asalnya pelakon boria terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Watak wanita yang timbul akan dilakonkan oleh seorang lelaki yang memakai pakaian wanita sambil merendahkan suaranya agar tidak selantang suara lelaki. Lakonan akan dipenuhi dengan lawak jenaka yang sengaja direka untuk menggelikan hati penonton. Jumlah pelakon biasanya enam orang. Sejarah dan Latar belakang Boria Permainan Boria ini banyak dikatkan dengan peristiwa Karbala iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hassan dan Saidina Hussein r.a iaitu putera kepada Saidina Ali (cucu Nabi Muhammad s.a.w) oleh tentera-tentera Muawiyah bin Abi Suffian. Peristiwa ini membuatkan pengikut-pengikut Syiah mengadakan upacara perkabungan tahunan . Semasa upacara atau majlis itu para pengikut akan bersyair, bersajak, berlakon sementara ada pengikut yang sanggup meratap serta mencederakan diri sendiri hingga berdarah semata-mata ingin meratapi dan merasai suasana peristiwa Karbala itu. Pada mulanya sebagaimana amalan Syiah, mereka melahirkan kedukaan di atas peristiwa tersebut dengan menyeksa diri sendiri. Namun, perubahan masa dan sekatan terhadap penyebaran pemahaman Syiah menyebabkan boria mengambil bentuk baru. Sekitar abad ke 19, permainan boria ini dibawa oleh golongan India Muslim ke Pulau Pinang yang kemudiannya mempengaruhi minat turut sama oleh orang-orang Melayu tempatan. Setelah orang - orang Melayu tempatan menarajuinya maka banyak elemen dan perubahan yang telah diperbaharui. Semangat Kebangsaan menentang penjajah (Kerajaan British) pada kita itu. Oleh kerana perjuangan menuntut kemerdekaan begitu kuat, maka boria dijadikan landasan untuk golongan Melayu serta

golongan minoriti lain bersama menjayakan persembahan boria ini iaitu golongan India dan golongan Cina.

Perkataan Boria dikatakan berasai dari perkataan Borai dari bahasa Hindustan yang bermaksud gila atau sasau. Boria jua bermaksud tikar kerana ia dikaitkan dengan sepoi-sepoi (askar-askar) India yang dibawa masuk oleh British mempersembahkan boria di atas hamparan tikar sertya pakaian mereka juga dibuat dengan tikar untuk mengambarkan kesengsaraan hidup di zaman Saidina Hassan dan Hussein r.a di Karbala. Ada juga yang berpendapat ia berasal dari perkataan Bori dari kaum Gujerat yang dating berdagang dan menetap di Pulau Pinang. Ada pula mengatakan perkataan Boria itu asalnya dari perkataan Ria sahaja iaitu bersuka ria dan kemudian dinamakan Boria. Apapun dari mana perkataan asal Boria ini tiada siapa yang dapat mengatakan betul atau salah sebab ia hanyalah datang dari sumber lisan bukan dari fakta yang dicatat atau ditulis di mana-mana ORGANISASI KUMPULAN Pada masa dahulu sebuah kumpulan boria mengandungi 40 hingga ke 60 orang termasuk tauke (penaja), tukang karang, kelasi dan pemuzik. Ahlinya terdiri daripada

lelaki. Walau bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua dunia boria mula menerima penglibatan kaum wanita.

Persembahan boria Sesebuah kumpulan boria dibiayai oleh seorang tauke. Ia tidak hanya dihadkan kepada kaum melayu tetapi sebaliknya orang cina yang kaya sering kali dipujuk oleh anak-anak muda untuk menjadi tauke. Ketiadaan kumpulan boria di dalam sesebuah kampung atau mukim dianggap satu perkara yang memalukan bagi penduduk kampung berkenaan. Ini kerana kejayaan mementaskan boria merupakan lambang prestij di ketika itu. Tukang karang merupakan orang turut memainkan peranan penting di dalam sesebuah kumpulan boria. Seorang tukang karang yang baik mestilah berupaya membawakan lagu dengan sempurna, suara yang lantang, terang dan jelas. Keuupayaan tukang karang untuk memilih perkataan yang sesuai, terutama untuk memuji tuan rumah adalah sesuatu yang sangat diharapkan untuk memancing derma yang lebih. Faktor-faktor inilah yang menjadikannya nadi penggerak untuk sesebuah kumpulan boria. Pakaian tukang karang juga agak istimewa daripada ahli-ahli lain di dalam kumpulan.

ALAT-ALAT MUZIK Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang. Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendang dan violin. Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin menarik persembahan tersebut. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordion, harmonika dan lain-lain. Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan hendaklah sesuai, jika cerita Arab maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Begitu juga dengan muzik dan tarian yang dimainkan juga mirip bentuk Arab termasuklah bahasa yang digunakan pun telor Arab. Sketsanya banyak unsur nasihat berdasarkan isu semasa/isu keluarga dalam mengharungi kehidupan seharian. LAKONAN Pada peringkat awal perkembangan boria di Tanah Melayu, cerita-cerita yang dilakonkan berlegar di sekitar peristiwa Karbala dan kematian Saidina Hussein r.a. . Tetapi setelah di telan arus permodenan tema yang paling popular ialah berkisar tentang isu-isu kemasyarakatan dan kritikan sosial.

Lakonan

yang

ditampilkan

adalah

secara

spontan.

Pengarah

hanya

menyerahkan tajuk dan jalan cerita yang hendak dimainkan oleh kumpulan berkenaan. Oleh itu terserahlah kepada tukang karang dan pelakon untuk menjayakan lakonan di hadapan penonton. para pelakon dapat memanjangkan atau memendekkan lakonan menurut kemahuan mereka sendiri serta penyesuaian masa. Walau bagaimapaun unsur kelucuan adalah unsur yang amat dititik beratkan bagi setiap persembahan boria. Pada awal 60an para pelakon mula mengenakan pakaian seragam untuk menambahkan lagi daya penarik pertunjukkan mereka. Ini berbeza pada semasa perkembangan awal di mana pelakon akan memakai pakaian beraneka ragam dan penggunaan props yang bergantung kepada jalan cerita persembahan boria tersebut. NYANYIAN Tukang karang biasanya mendahului para kelasi dan pemuzik masuk ke pentas selesai sahaja lakonan berakhir. Para pelakon yang mengambil bahagian pada awalnya tadi turut masuk sebagai kelasi. Terdapat kelasi yang membawa payung dan tongkat panjang yang mempunyai genta dihujungnya. Mereka menyanyi dan menari sambil memutarkan payung tersebut untuk menyerikan persembahan. Tongkat dihentak ke lantai dan ini menyebabkan bunyi genta hujung tongkat saling bertingkah dengan irama muzik yang dimainkan mengiringi boria tersebut.

Senikata

lagu

biasanya

dicipta

berasaskan

lakonan

yang

dipentaskan

sebelumnya dan susunan senikata tadi berbentuk syair. Seandainya orang yang

menjemput bermain datangnya daripada golongan berada atau ternama, maka rangkap-rangkap awal nyanyian selalunya bersifat pujian kepada pengundang tadi. Sementara itu rangkap pertama bagi sebarang lagu boria mestilah memperkenalkan kumpulan masing-masing dan rangkap inilah yang akan menjadi korus untuk lagu tersebut. Irama pula disesuaikan dengan cerita. Kalau cerita Arab maka irama akan mirip-mirip lagu Arab. AKTIVITI BORIA DI DALAM KOMUNITI PENDIDIKAN MUZIK Boria sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang mahupun di Malaysia. Tahun 1940an sehinggalah 1950an merupakan titik tolak era kegemilangan boria. Namun, keadaaan sebaliknya berlaku sekarang kerana boria semakin tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat malah semakin dilupakan. Menyedari keadaan itu, kini aktiviti-aktiviti boria telah dipergiatkan. Antara aktivitiaktiviti yang dimaksudkan akan dihuraikan disini. AKTIVITI BORIA DI PULAU PINANG Pulau Pinang merupakan negeri kelahiran permainan boria. Aktiviti boria di

peringkatlah sekolah rendah dan menengah tidaklah begitu banyak. Namun terdapat beberapa buah sekolah yang telah menubuhkan pasukan boria. Antaranya ialah : 1. Seawal 1977 lagi pasukan boria telah ditubuhkan di sekolah. Sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Baru, Perai. Pasukan boria yang terdiri daripada murid-murid sekolah tersebut adalah dibawah pimpinan Cikgu Zainol Rashid bin Darus. Kumpulan yang diberi nama kumpulan Ria ini telah membuat persembahan pertamanya sempena temasya sukan tahunan sekolah ini. 2. Pada sekitar 1979 Sek Ren Keb Methodist Nibong Tebal juga telah menubuhkan pasukan boria sekolahnya. Boria sekolah ini begitu popular di sekitar Seberang Perai Selatan dan dipimpin oleh arwah Cikgu Toran Senapi.

3. Kini di Sekolah Model Khas Pulau Pinang SMK Permatang Tok Jaya juga mempunyai sebuah pasukan boria yang diberi nama Boria Putera Wawasan. Dibawah pimpinan Cikgu Murshidee Ramlee pasukan boria ini aktif melakukan persembahan dan menyertai pertandingan. Pasukan ini pernah memenangi Pertandingan Boria Semutiara, Peringkat Pulau Pinang pada tahun 2010. 4. MRSM Balik Pulau juga turut melibatkan diri dengan permainan boria. Boria Pengakap Kumpulan 12 ini mempunyai ahli seramai 20 orang dan dipimpin oleh Encik Zulkifli Abdul Rahim. Boria ini ditubuhkan di sekitar tahun 2008. 5. Pasukan Boria SMK Seberang Jaya di tubuhkan pada 9 Julai 2010. Diasaskan oleh Pn Sharifah Atikhah binti Syed Alias. Pasukan ini berjaya mendapat tempat kedua pertandingan Festival Boria Semutiara 2010. Antara kumpulan-kumpulan boria lain selain daripada boria sekolah di Pulau Pinang yang masih lagi aktif ialah : 1. Kumpulan Sketsa Boria MAMU TANJUNG, salah satu kumpulan yang aktif dalam beberapa persembahan boria. Terdiri dari Omara, Bakar Panjang, Yusof atau Chop dan juga Sharifah Juairiah. Kumpulan ini kerap juga terlibat dalam beberapa buah rakaman tv dan dokumentari boria. 2. Boria Budayasari 3. Boria Kepala Batas 4. Boria Asli Pulau Pinang 5. Boria Anak Tanjung

Pertandingan dan Persembahan Boria Terdapat beberapa pertandingan yang dijalankan di sini bagi peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. Boria juga turut turut aktif mengambil bahagian di persembahan majlis-majlis dan juga sambutan tertentu. Antara pertandingan dan persembahan itu ialah :

1. Festival Boria 1Malaysia 2011. Festival ini berlangsung pada 27 April 1 Mei 2011 di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori satu kanak-kanak berusia 7-12 tahun, kategori dua remaja berusia 13 hingga 20 tahun dan kategori tiga secara terbuka. Pertandingan ini turut diklafikasikan kepada dua daerah iaitu Bahagian Pulau dan Bahagian Seberang Perai. Festival ini dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian. Hadiah berbentuk wang tunai, piala dan sijil akan menjadi rebutan kepada ketiga-tiga kategori dan sekaligus menobatkan mereka sebagai Kumpulan Boria Terbaik di Malaysia.Pemenang akan dinilai menerusi sketsa terbaik, susunan rangkap dan kostum terbaik. Pertandingan ini turut mencatat sejarah dalam Malaysian Books of Records (MBR) sebagai acara tarian boria paling banyak penari dalam satu persembahan. Seramai 2811 orang menari tarian boria yang turut disertai oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob. Persembahan tarian boria beramai-ramai itu adalah acara kemuncak untuk Festival Boria 1Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan tarian kebudayaan Pulau Pinang dengan gagasan 1Malaysia.

2. Boria di Program Merakyatkan Seni Budaya Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) merupakan sebuah program di bawah seliaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Program ini dijalankan di seluruh negeri di Malaysia. Namun program yang berlangsung di bahagian negeri Pulau Pinang tidak sempurna sekiranya tidak

menjemput kumpulan Boria Pulau Pinang. Kumpulan Boria Pulau Pinang akan membuat persembahan pada Program Merakyatkan Seni Budaya ini

berlangsung. 3. Pertandingan Festival Boria Semutiara Pertandingan Boria Semutiara ini berlangsung pada 8 Ogos 2010 bertempat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dibawah anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dengan Majlis Kebudayaan Negeri. Tujuh sekolah (Sekolah Permatang Tok Jaya, Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya, SMK Tanjong Bungah, SMK Tasek, SMK Dato' Onn, SMK St. George (P) dan SMK Abdullah Munshi) telah bertanding dan pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan Boria Putera Wawasan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, Seberang Perai. 4. Pertandingan Boria Sempena Pesta Pulau Pinang Pesta Pulau Pinang merupakan satu acara yang amat popular. Acara di bawah anjuran PDC ini dijalankan secara tahunan. Namun walaupun acara ini dijalankan setiap tahun penganjuran pertandingan Boria tidaklah turut serta menjadi acara tahunan. Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang sebenarnya agak tenggelam timbul. Namun pada 10 Disember 2009

pertandingan ini telah kembali di Dewan Terbuka Tapak Pesta Terbuka Pulau Pinang. Hanya lima kumpulan bertanding. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Y.B Tuan Haji Abdul Malik Kassim. Para pengadil pula terdiri dari Penggiat Boria Omar Hashim (Omara), Orang lama boria Noordin Marikan, Ketua Orkestra P. Ramlee, Pak Wan dan Kamaruddin Haniffa penerbit boria di RTM. Di akhir pertandingan, Kumpulan Boria Kombinasi telah memenangi tempat pertama. Kedua - Kumpulan Boria Kepala Batas dan ketiga Kumpulan

Boria Perpustakaan Ng. Pulau Pinang. Beberapa kategori terbaik dan potensi juga telah dinobatkan.

5. Boria di Georgetown Festival 2011 Telah tiga tahun sambutan ulang tahun George Town diistiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia diadakan dan seni warisan boria tidak dilupakan. Persembahan diadakan di pentas khas di Lebuh Acheh Pulau Pinang. Acara bermula jam 5 petang dan persembahan boria merupakan acara pertama pembuka tirai. Pasukan boria Budayasari dipilih untuk membuat persembahan ini. 6. Boria di Read Malaysia 11 Persembahan boria Budayasari di Read Malaysia 11 bertempat di MIECC Seri Kembangan, Selangor undangan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2 Jun 2011

7. Boria di perayaan Chap Go Mei 2009 Perayaan Chap Go Mei pada 9 Feb 2009 yang dibuat bertempat di Padang Kota telah dimeriahkan lagi dengan persembahan boria Budayasari. 8. Boria Budayasari di malam titian kasih Kumpulan Boria Angkatan Budayasari Pulau Pinang telah menghiburkan penonton-penonton di Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Titian Kasih Pulau Pinang yang diadakan bertempat di Gurney Hotel Pulau Pinang (Ahad 19 Julai 2009). Persembahan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Mansor Osman.

9. Boria di Bintang Klasik Zon Utara 2009 Persembahan dua buah boria dalam pembukaan dan penutup

Pertandingan Bintang Klasik Zon Utara 2009 merupakan satu kelainan kepada pertandingan anjuran RTM yang diadakan selama ini. Oleh kerana pertandingan kali ini diadakan di Kepala Batas Pulau Pinang, selain dari boria turut dimulakan dengan gimmik nasi kandar asal Pulau Pinang. Persembahan ini dipersembahkan oleh Kumpulan Boria Pulau Pinang dan Kumpulan Boria Budayasari.

AKTIVITI BORIA DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN DI NEGERI-NEGERI LAIN Walaupun permainan boria berasal dari Pulau Pinang namun tarikan dan populariti boria telah membuatkanya tersebar sehingga ke serata Malaysia. Negeri-negeri lain turut serta di dalam penganjuran boria sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat kebangsaan.

Pertandingan dan Persembahan Boria 1. Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Pertandingan ini boleh dikatakan berlangsung setiap tahun di seluruh negeri di Malaysia pada peringkat negeri dan akan berentap pada acara akhir di peringkat kebangsaan. Acara ini dianjurkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia. Objektif pertandingan ini ialah untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran pelajar semua peringkat tentang bahaya dadah. Pertandingan ini juga menggunakan seni dan aktiviti kesenian sebagai medium penyampaian mesej pendidikan pencegahan dadah disamping mencungkil dan menyuburkan

bakat serta potensi yang ada dalam kalangan pelajar ke arah perkembangan yang lebih positif dan membina. Antara kumpulan boria yang pernah menjadi johan di pertandingan ini ialah pasukan Boria Anak Wawasan daripada SMK Permatang Tok Jaya, Pulau Pinang pada tahun 2008. 2. Festival Boria MAKUM 2008 Festival ini dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Festival ini berlangsung pada 14 sehingga 16 Mac 2008 bertempat di Dewan Budaya, USM. Kumpulan boria USM, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memenangi tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Boria Artisukma, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Boria Anak Pauh dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Seberang Perai Lain-lain kumpulan yang turut bertanding ialah Kumpulan Boria Sri Sembilan, Universiti Malaya (UM), Kumpulan Boria Utama, Universiti Utara Malaysia (UUM), Boria UTHM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Boria UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Boria Seri Warisan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Boria UTM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM danBoria USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

3. Pertandingan Boria di Festkum 2010 Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM) diadakan pada 15 hingga 19 Disember 2010 melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM Arau).

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan RTM. Pertandingan boria ini berlangsung di Dewan Taman Budaya Negeri Perlis pada 16 hingga 17 Disember 2010 dan dimenangi oleh Universiti Malaysia Perlis.

4. Boria di Pesta Buku 2009 Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada hari selasa 21 April 2009. Majlis anjuran BAHAGIAN MULTIMEDIA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ini bertempat di PWTC. 5. Pertandingan Boria di Karnival PPDa SMK Kuhara Tawau Acara ini berlansung pada 28 dan 29 April 2011. Karnival PPDa Peringkat Daerah Tawau telah dianjurkan oleh SMK Kuhara. 6. Persembahan Boria dan Gamelan di Karnival Kluster Zon Utara 2011 Persembahan ini berlangsung di SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah pada 15 sehingga 17 Julai 2011. Persembahan boria ini dipersembahkan oleh pasukan boria dari Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal.

7. Aktiviti boria di peringkat dalaman Aktiviti boria juga banyak berlangsung secara dalaman di peringkat sekolah mahupun di institusi-institusi luar. Sebagai contoh Unit Hal Ehwal Penghuni PUSPEN Bachok, Kelantan juga telah menganjurkan pertandingan Boria Antara asrama. Pertandingan ini berlangsung pada 17 mac 2011 bertempat di Dewan Sri Kandi, PUSPEN Bachok. Di peringkat sekolah juga terdapat banyak aktiviti-aktiviti boria seperti penubuhan kelab boria, persembahan di majlis-majlis khas sekolah seperti majlis

hari anugerah dan lain-lain. Pihak sekolah juga ada menganjurkan pertandingan seperti pertandingan boria di antara kelas bersempena bulan kemerdekaan.

AKTIVITI BORIA DI DALAM MEDIA 1. Artikel bertajuk Generasi Muda Pertahan Boria mewarnai ruangan berita di dalam suratkhabar Utusan Malaysia bertarikh 18 Ogos 2011. 2. Majalah kuntum juga menyiarkan artikel tentang boria di keluaran februari 2011 3. Boria juga muncul di dalam TV3 program Jom Jalan yang ditayangkan pada 24 Januari 2011 yang lepas. 4. Boria Omara dan Zulkifli muncul di dalam rancangan remaja di siaran TV3. 5. Boria membuat persembahan bertemakan kemerdekaan di Radio Klasik Nasional pada 31 Ogos 2009. 6. Aktiviti boria program bicara eksekutif budaya perkembangan program boria Pulau Pinang; ketokohan Abu Bakar Jaafar dan Abdullah Darus yang diadakan di Hotel Naza Pulau Pinang pada 24 Mei 2009 telah dilaporkan oleh wartawan skuad cakna Siti Nadiah di akhbar Sinar Harian bertarikh 27 Jun 2009. 7. Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah muncul dalam rancangan Nasi Lemak Kopi Odi siaran TV9 terus menerus Jumaat 20 Jun 2008. Omara dan Pak Kojek juga turut serta. 8. Boria Omara di siaran TV2 RTM rancangan In Trend pada Januari 2011. 9. Boria Pulau Pinang di Warta Serumpun TV1 dan TVRI. TV1 (Malaysia) dan TVRI (Indonesia) dalam rancangan Siaran Langsung Warta Serumpun telah menyiarkan kisah mengenai Boria Pulau Pinang pada 25 Januari 2009.

AKTIVITI LAIN 1. Sesi Bersama Penulis Penggiat Seni Boria Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Sesi Bersama Penulis (Penggiat Seni Boria) bertempat di Bilik Perlis, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 24 April 2011. Penggiat boria dari Pulau Pinang Omar Hashim Omara dan Yusaof M. Hashim telah mengendalikan sesi ini dan tetamu dapat mendalami seni warisan boria Pulau Pinang. 2. Bicara eksekutif budaya Boria di Naza Hotel 24 Mei 2009. Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Program Bicara Eksekutif Budaya "PERKEMBANGAN BORIA PULAU PINANG; KETOKOHAN ABU BAKAR JAAFAR DAN ABDULLAH DARUS" pada 24 Mei 2009 (Ahad) mulai jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari bertempat di Naza Hotel Penang, Tanjung Tokong Pulau Pinang.

Ahli-Ahli Panel ialah - Abdullah Darus, Omar Hashim (Omara), Omar Abdullah, Syed Akir Syed Ahmad dan Jibran Khalil. Omar Hashim dan Omar Abdullah juga masing-masing akan

mempengerusikan setiap satu bahagian program ini. Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman akan turut bersama menjayakan program yang menghimpunkan penggiatpenggiat, ahli boria dan peminat seni di Pulau Mutiara ini. 3. Simposium Boria 2005 di Lumut Simposium Boria terbesar ini telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di Lumut. Bagi membangunkan semula zaman kegemilangan boria, seramai 50 peserta terdiri dari cendikiawan, aktivis dan pakar rujuk boria serta pegawaipegawai dari Bahagian Warisan KEKWA telah menghadiri Simposium ini.

Senikata Lagu Boria Lirik Lagu Boria Anak Tanjung - Boria Pulau Pinang

Kalimah bismillah bermula kata Alhamdulillah bersyukur kita Perihal Pulau Pinang tajuk cerita Boria Anak Tanjung membawa berita

Lainlah buluh lainlah parang Lain dahulu lain sekarang Perubahan Pulau Pinang yang cukup terang Boria Anak Tanjung cuba menerang

Rakyat sekarang pesat pembangunan Kembang ekonomi mengikut susunan Bangunan indah kiri dan kanan Pemimpin berdedikasi memainkan peranan

Rakyat hidup berbilang bangsa Tolong menolong setiap masa Menabur bakti membuat jasa Aman damai hidup selesa

Akhir karangan menyusun jari Cerita kami yang tidak terperi Salah dan silap tanpa disedari Ampun dan maaf pohon diberi

TOKOH-TOKOH BORIA 1. Abu Bakar bin Jaafar (Pak Kan) No 15, Jalan Dato Haji Ahmad Badawi, Taman Haji Abdullah Fahim, 13200, Kepala Batas, Seberang Perai Utara 2. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Hamid 293-1, Jalan Perak, 10150, Georgetown, Pulau Pinang 3. Encik Abdullah bin Darus No 12, Jalan Makloom, 10150, Georgetown, Pulau Pinang 4. Tuan Syed Akir bin Syed Ahmad A4-28, Rumah Pangsa Kampung Melayu, 11500, Ayer Itam, Pulau Pinang 5. Encik Daud bin Ibrahim No 39, Jlan Terusan, Sungai Pinang, 101150, Georgetown, Pulau Pinang

REFLEKSI

Kesimpulan yang saya dapat buat daripada hasil pemerhatian dan kajian saya mengenai boria dan aktiviti boria adalah sebenarnya masih kurang aktiviti boria dianjurkan di negeri ini mahupun di negeri lain. Jika dilihat di dalam sekolah, penglibatannya di dalam pendidikan muzik adalah sangat minimum malah tidak keterlaluan jika saya katakan hampir tiada. Mungkin ianya disentuh sedikit didalam pelajaran muzik di sekolah menengah tetapi untuk sekolah rendah tiada langsung aktiviti boria untuk pendidikan muzik. Sebaliknya boria hanyalah satu opsyen atau pilihan untuk persembahan ataupun penganjuran pertandingan. Kurangnya aktiviti boria di sekolah akan mengakibatkan hilangnya minat murid kepada boria dan sekaligus agak sukar untuk memupuk minat mereka terhadap salah satu seni warisan kita ini. Kementerian Pelajaran boleh memainkan peranan dengan membuat

penganjuran pertandingan boria peringkat kebangsaan secara tahunan dan bukannya pertandingan yang tenggelam timbul sekejap ada dan sekejap tiada. Kementerian dan organisasi berkenaan juga boleh bekerjasama untuk membuat bengkel boria yang dibuka kepada guru-guru sekolah tentang boria secara lebih terperinci. Bagi peringkat lain pula boria yang dulu amat popular tetapi sekarang agak kurang dikenali kerana kurangnya promosi. Pertandingan boria perlu diadakan setiap tahun dan dibuat di setiap institusi dan sekolah. pihak kerajaan juga patut membina sebuah galeri boria untuk orang ramai agar warisan boria ini dapat dipelihara dan memudahkan orang ramai untuk lebih mengenali boria.

Rujukan

Siri Mengenal Budaya 1/2003 Boria, Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. 2003

www.kpkk.gov.my Warisanboria.blogspot.com

LAMPIRAN

Boria 1920an

Boria 50an

Boria masa kini

Festival Boria 1Malaysia 2011

Sekitar Festival Boria 1Malaysia

Kumpulan boria Budayasari mengadakan persembahan di Festival Georgetown 2011

Boria dari Tawau, Sabah