Anda di halaman 1dari 1

Iban Dayak laut (Bhg 1)

Menurut perangkaan, pada pertengahan tahun 2002, kira-kira 29.14 peratus atau 603,735 orang daripada 2,071,506 penduduk Sarawak ialah orang Iban. Setiap tahun, jumlah itu meningkat dan kaum ini tetap menduduki tangga teratas dalam peratusan populasi negeri ini. Berdasarkan fakta, masyarakat Iban juga dikenali sebagai Dayak Laut dan kebanyakan mereka tinggal di bahagian Miri, Sibu, Bintulu, Kapit, Sarikei, Sri Aman, Kuching, Mukah dan Betong. Apabila melihat kehidupan sebenar mereka, nama Dayak Laut yang dikhususkan kepada masyarakat Iban sebenarnya tidak sesuai kerana majoriti kaum ini tinggal di kawasan tanah tinggi yang jauh di pedalaman dan bergantung sepenuhnya dengan aktiviti pertanian. Buat beberapa ketika istilah Dayak Laut telah diterima dan dianggap oleh masyarakat Barat sebagai yang paling sesuai untuk kaum Iban. Hal ini disebabkan pada awal kedatangan James Brooke, kaum ini telah melakukan ekspedisi melalui laut dengan mengadaptasi kemahiran orang Iranun dan Bajau. Pada peringkat awal, istilah Iban sebenarnya bukan merujuk kepada bangsa mereka sendiri tetapi bermaksud orang atau manusia. Namun, kini secara rasminya ia digunakan sebagai gelaran kaum tersebut. Berdasarkan tulisan Stephanie Morgan, (1968), Orang Iban sebenarnya tergolong dalam kelompok Proto-Malay (Melayu-Proto) dan mereka berasal dari Lembah Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia. Kaum ini berhijrah ke Sarawak kira-kira lima belas generasi yang lalu iaitu bermula pada pertengahan kurun ke-16 (1630-an). Mereka masuk ke negeri ini melalui Lembah Kumpang lalu mendiami Batang Ai dan kemudian berpecah ke beberapa tempat lain di negeri ini. Apabila James Brooke datang ke Sarawak dalam tahun 1839, orang Iban kebanyakannya tinggal di bahagian kedua negeri ini dan pada penghujung abad ke-19, mereka menetap berselerak di seluruh Bumi Kenyalang. Antara aspek penting yang menjadi amalan masyarakat ini ialah tinggal di rumah panjang kerana ia dijadikan identiti dan lambang perpaduan antara mereka walaupun pada masa kini, ada yang sudah tidak menduduki kediaman seperti itu lagi. Tidak seperti suku kaum Dayak yang merangkumi pelbagai kaum, masyarakat Iban merupakan etnik yang paling homogen iaitu tidak mempunyai suku-suku tertentu, menggunakan bahasa, mewarisi nilai, tradisi, kepercayaan, adat resam serta kebudayaan yang sama. Menurut Erik Jensen (1962) dalam satu perjumpaan di antara tuai-tuai rumah, lemambang, tuai burong dan penghulu Iban dari kawasan Batang Lupar, Batang Ai, Saribas dan Batang Krian di Simanggang (Sri Aman) dalam tahun 1961, masyarakat ini sependapat tentang banyak perkara yang merangkumi adat-istiadat, cerita dan sastera lisan walaupun mereka terpisah oleh jarak dan masa. Bahasa, kepercayaan, kebudayaan dan adat resam kaum Iban di Sarawak hampir sama dengan bangsa Dayak Muallang dan Dayak Desa di Kalimantan di Indonesia. (KK7: 25 Oktober 2010)

Anda mungkin juga menyukai