Anda di halaman 1dari 6

Soalan tugasan:

Terdapat banyak miskonsepsi murid-murid hadapi dalam tajuk bentuk dan ruang (shape and space) boleh dihalang dengan perancangan pengajaran yang baik dan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang mendorong penerokaan di dalam kelas juga bagaimana sesuatu maklumat disampaikan guru dengan berkesan. Mengambil kira teori kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner sudah tentu persepsi dan pemahaman muridmurid terhadap bentuk dan ruang adalah sangat berbeza. Justeru, anda di tugaskan seperti berikut: a. Mendemuduga dua orang guru matematik di sekolah anda tentang isu-isu utaman yang menyebabkan berlakunya miskonsepsi tajuk bentuk dan ruang. Anda perlu mengambil foto atau membuat sesalinan kerja murid-murid yang mempunyai kesilapan dan konsepsi yang salah terhadap topic ini. b. Buat refleksi berkenaan kesilapan murid dan miskonsepsi mereka dan huraikan dalam bentuk esei. Nyatakan sekurang-kurangnya dua rujukan yang menyokong berlakunya miskonsepsi di atas. (anda disarankan merujuk kepada buku, jurnal, internet atau sumber yang bersesuaian bagi membantu melengkapkan hujah anda. Tulis rujukan anda di bahagian akhir laporan).

Pengenalan Matlamat pendidikan Matematik adalah untuk memperkembangkan pemikiran analitis, bersistem dan kritis, Kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik adalah penting supaya individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Bagi mencapai matlamat ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah perlu

dipertingkatkan. Oleh itu, kemahiran guru dalam aspek strategi dan perancangan semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran matematik dalam bilik darjah adalah sangat penting. Berikutan dengan itu, saya telah menemubual dua orang guru matematik di sekolah saya tentang isu-isu utama yang menyebabkan berlakunya miskonsepsi bagi tajuk bentuk dan ruang yang biasa berlaku dalam kalangan murid sekolah rendah.

Miskonsepsi untuk Membezakan Bentuk 3 Dimensi dan 2 Dimensi Menurut seorang guru Matematik Tahun 4 dan 5 yang telah saya temubual (guru A), berdasarkan pengalamannya, beliau memberitahu bahawa kebanyakan murid terutama murid darjah 4, masih tidak dapat membezakan bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi. Miskonsepsi ini terbukti apabila murid tersebut ditanya tentang apakah bentuk bola? Dan mereka menjawab bola berbentuk bulat, walhal bola berbentuk sfera. Di sini dapat dilihat dengan jelas bahawa murid-murid tidak dapat membezakan di antara bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi.

Pada hemah saya, hal seperti berlaku kerana murid tidak didedahkan dengan contoh objek-objek konkrit atau bahan-bahan maujud semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ketika murid-murid ini belajar tajuk bentuk dan ruang sewaktu tahun 3, mereka hanya diperkenalkan dengan bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi dengan hanya melihat gambar di kertas lembaran kerja. Murid-murid ini tidak boleh merasai, menyentuh dan memegang bentuk 3 dimensi seperti silinder, kubus, kuboid, sfera, kon, prisma dan lain-lain lagi. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat membezakan bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi. Sebagai langkah penambahbaikannya, saya mencadangkan supaya guruguru menggunakan bahan-bahan maujud ataupun objek-objek konkrit ini sewaktu menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Antara bahan-bahan maujud untuk objek 3 dimensi yang guru boleh sediakan di antaranya adalah kerangka (skeleton) yang boleh dibina daripada lidi, net objek 3 dimensi seperti kubus dan sebagainya. Murid-murid akan berpeluang untuk menyentuh, memegang dan memanipulasikan setiap objek ini. Guru akan membimbing muridmurid untuk membezakan bentuk 3 dimensi dan 2 dimensi melalui bahan-bahan maujud ini. Pengalaman menggunakan bahan-bahan maujud ini penting supaya muridmurid ini memperolehi pengalaman konkrit dahulu sebelum pengalaman konkrit itu dibawa kepada konsep yang abstrak. Pendapat saya ini turut disokong oleh Mok Soon Sang (1986) yang menyatakan bahawa mengajar daripada perkara maujud kepada perkara abstrak merupakan prinsip pengajaran matematik yang amat penting dan penggunaan alat bantu mengajar dapat membina konsep matematik, di samping mengurangkan kesempatan murid-murid daripada hanya menghafal

bahan-bahan pembelajaran mereka secara membuta tuli sahaja tanpa memahami konsep.

Miskonsepsi untuk Mengira Ukur Lilit (Perimeter) Sesuatu Bentuk 2 Dimensi Menurut temubual yang telah saya jalankan kepada seorang lagi guru Matematik tahun 5 (guru B), beliau memberitahu sewaktu murid membuat latih tubi bagi soalan mencari perimeter sesuatu gambarajah 2 dimensi, mereka telah memberikan jawapan yang salah. Pada pendapat saya, miskonsepsi seperti ini berlaku kerana mereka tidak memahami konsep perimeter yang sebenar. Muridmurid beranggapan perimeter sesuatu rajah itu adalah hasil tambah bagi kesemua batas dalam lingkaran sesuatu bantuk 2 dimensi itu. Walhal, perimeter sesuatu gambarajah merupakan ukur lilit luar lingkaran sesuatu bentuk 2 dimensi. Oleh itu, mereka telah memberikan jawapan yans salah. Menurut guru B juga, mereka tetap membuat silap walaupun telah beberapa kali diberitahu tentang konsep perimeter yang sebenar dan bagaimana mencari jawapan yang betul, tetapi sebahagian daripada mereka masih tidak dapat memberikan jalan kerja yang betul untuk mencari perimeter bagi bentuk 2 dimensi ini.. Oleh itu, sebagai seorang guru, kita perlu mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Pada pendapat saya, interaksi secara berkumpulan merupakan cara yang terbaik bagi membantu murid-murid yang lemah ini. Guru perlu menstrukturkan aktiviti berkumpulan sewaktu melaksanakan proses

pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru perlu memastikan kumpulan yang dibentuk itu terdiri daripada murid pelbagai kebolehan (mixed

abilities) supaya murid yang lebih pandai dapat membantu rakan mereka yang lemah. Secara tidak langsung, komunikasi yang berlaku di antara rakan sebaya ini sedikit sebanyak dapat membantu murid yang lemah ini, di mana; murid yang lemah ini dapat dibimbing oleh rakan mereka yang lebih pandai dan mereka dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan seterusnya dapat membantu mereka memahami konsep mencari perimeter dengan betul. Pendapat saya ini telah di sokong oleh Johnson & Johnson (1989) dengan menyatakan bahawa murid-murid yang bekerja dalam aktiviti kumpulan memberikan prestasi yang lebih baik di dalam ujian, dengan memberikan sebab (reasoning) dan berjaya menyelesaikan sesuatu soalan tersebut dengan menggunakan pemikiran kritis (critical thinking) mereka berbanding dengan murid yang kurang membuat aktiviti secara berkolaboratif dengan rakan sebaya mereka di dalam sesebuah kelas.

Penutup

Secara konklusinya, peranan guru sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran memainkan satu peranan yang amat penting dalam membantu kanakkanak membina pengetahuan matematik mereka. Melalui penggunaan bahan-bahan maujud, ianya dapat membantu kanak-kanak membina pengetahuan matematik yang sering dikaitkan sebagai abstrak. Interaksi di antara rakan sebaya memainkan peranan utama dalam membantu kanak-kanak memahami konsep untuk mencari perimeter sesuatu gambarajah dengan betul. Sebenarnya, tidak terlalu sukar untuk mengajar kanak-kanak itu tentang sesuatu konsep matematik, tetapi seorang guru itu haruslah menggunakan teknik dan kaedah yang betul. Oleh itu, sebagai seorang guru matematik, adalah sangat mustahak untuk kita mempelajari dan

mengaplikasikan teknik-teknik di atas bagi meningkatkan kefamahan anak-anak murid kita terhadap sesuatu konsep matematik itu.

(830 patah perkataan)

RUJUKAN Johnson & Johnson (1989). Why Use Cooperative Learning? Retrieved August 2011 from the World Wide Web: http//serc.carleton.edu/introgeo/sooperative/whyuse.html

Mok Soon Sang, Siew Fook Cheong. (1986). Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. Kuala Lumpur: Sun U Book Co Sdn. Bhd.