Anda di halaman 1dari 2

Besarnya Nikmat Allah Tatkala Belenggu Dosa Masih Punya Nikmat Beharga

Oleh Abdullah Fakhrul Ezam Shah

Perjalanan hidup itu penuh berliku dan ada suka dukanya. Mudahnya hidup itu jika kita dimatikan lantas dimasukkan sahaja ke dalam syurgaNya tanpa perlu dihisab akan segala amal bakti dan khilaf kita di dunia yang sementara ini. Namun itu hanya berlaku barangkali dalam mimpi atau impian teman-teman juga diri sendiri. Janganlah disalahkan Adam dan Hawa bapa keturunan umat manusia atas kesilapannya memetik buah khuldi di syurga sebagai puncanya. Itu hanyalah asbab kejadian. Sesungguhnya semua itu sudah tertulis di luh mahfuz oleh sang Pencipta, Allah Al-Malik. Begitulah asal kejadian kita di dunia ini harus difahami. Masakan kita akan tahu kalau kita tidak menuntut ilmu. Mana mungkin ilmu memberi kesan kepada diri andai tidak dihayati dan dipelajari dari mereka yang arif tentangnya. Itulah yang harus difahami apabila belajar. Syaratnya mudah, ada yang diajar ada juga yang mengajar seumpama proses pengajaran dan pembelajaran yang bergerak seiring walau berbeda pada tafsirnya tetapi saling melengkapi untuk memenuhi sesuatu. Begitulah putaran hidup manusia sebagai hamba juga khalifah di muka bumi. Sedih sekali jika kita gagal dalam hidup lantas menjadi mereka yang khilaf dan terus membiarkannya sahaja tanpa ada usaha dan iltizam mahu mengubahnya. Sayang juga kalau kita mantap dan gagah juga cemerlang dalam arenannya tetapi menyingkirkan lantas membiarkan sahaja mereka yang gagal tadi. Bukankah kita saling melengkapi antara satu sama lain? Justeru jangan takabur, jangan egoistik. Nikmat Allah itu diberi pada semua, kalau diterima dengan syukur maka ditambahnya dengan hidayah dan rahmat, tetapi kalau disambut dengan takabur, maka dibalasnya dengan bala dan musibah. Hidup ini sentiasa bergerak maka itu kata Imam Ghazalie, payah sekali dan tidak mungkin dan jauh sekali bagi kita adalah masa yang telah berlalu walaupun sesaat cuma. Benarlah kata-kata ulama agung itu. Tidak mungkin kita boleh kembali ke masa silam melainkan menggambarkannya dan mengingatinya sahaja sebagai kenangan indah mahupun bala musibah. Inilah yang harus difikirkan oleh setiap insan agar hidupnya dipandu oleh sesuatu yang berfaedah, bermanfaat dan berguna buat diri dan umat manusia sejagat. Khilaf itu

tetap akan berlaku sebagai pengajaran dan ingatan dari Allah SWT dan ujian buat kita atas kesilapan yang segalanya berpunca dari takabur dan egoistic diri. Jangan sekali- kali tidak dikesali kerana dikesali akan membuahkan benci pada khilaf itu lantas menguatkan azam untuk tidak mengulanginya lagi, insya Allah. Bukankah itu namanya taubat? Percayalah bahawa sang Pencipta itu Maha Mengetahui akan apa yang diciptanya. Sudah dalam pengetahuannya apa yang akan dan telah terjadi. Maka mana mungkin Allah SWT itu kejam. Sudah diketahui masih mahu menghukum keterlaluan? Tidak sama sekali, kerana itu datangnya rahmat, ingatan dan hidayah dari Allah untuk kita bertaubat, membaiki khilaf agar tidak berulang lantas menjadikannya sempadan dan pengajaran buat titipan masa hadapan. Allah tidak sekejam manusia yang ada sanggup menghukum sehingga tidak mahu memaaffi sesama sendiri lantas menjual nama Rasul dan sunnah. Sedangkan nabi maafkan umat, inikan pula umat Muhammad. Alam remaja itu saatnya gramatis, mantap, indah, segala-galanya nampak baik dan kelihatan mewah lantas mahu dimiliki semuanya. Dari tudung yang indah bewarna dan berbatu bercahaya kepada baju yang mahal, kasut yang selesa, handphone yang canggih juga lagi mantap kalau punya kereta sendiri. Itu adalah satu kenikmatan. Maka ramai yang memiliki semua ini. Ke mana digunakan? Digunakan untuk menuju kepada apa yang nampak sebagai mewah dan baik itu tadi. Saat itu akan ramai yang tertewas, ada yang terleka dan ada yang membiarkan sahaja. Mujur kasih Allah itu buat semua hambaNya tidak kira siapa. Besarnya nikmat Allah dalam menerima taubat hambaNya. Maka itu apa yang harus dilakukan oleh remaja sebagai petunjuk dan jalan yang diredhai Allah SWT? Tuntutlah ilmu dan sentiasa menjaga ibadah padaNya insya Allah akhlak kita akan terpelihara sebagai seorang mukmin. Indahnya nikmat Allah, dalam belenggu dosa sekalipun masih juga ada rahmatNya. Mana akan dicari semua ini selain kembali semula kepadaNya? Masihkah diri punya kekuatan egoistik dan takabur itu? Moga dijauhkan segala yang buruk dan dilindungi dari siksaan kubur serta siksaan api neraka. Moga rahmat Allah dan hidayahNya menyelimuti diri sepenuhnya. Wallahualam.

Anda mungkin juga menyukai