Anda di halaman 1dari 5

Apa itu Koperasi?

Koperasi ialah sebuah pertubuhan sosio-ekonomi yang didaftarkan di bawah Akta 502
(Akta Koperasi 1993) Malaysia. Pertubuhan ini dianggotai, dimodali dan ditadbir oleh
sekumpulan manusia berasaskan semangat dan usaha kerjasama untuk memajukan
kepentingan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya.

Dalam ertikata lain, koperasi merupakan persatuan yang menjalankan aktiviti perniagaan
yang bertujuan membantu dan meringankan beban anggota-anggotanya. Selain
mendapat pulangan dalam bentuk dividen, anggota-anggotanya juga menikmati harga
yang lebih murah dari pasaran dan kemudahan-kemudahan khas seperti pinjaman dan
sebagainya, bergantung kepada koperasi yang dianggotainya.

Sesebuah koperasi ditadbirselia oleh sepasukan Anggota Lembaga yang dilantik secara
demokrasi pada Mesyuarat Agung yang biasanya diadakan selepas tiap-tiap akhir tahun
kewangan sesebuah koperasi itu. Seorang Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari akan
dilantik untuk mentadbir koperasi itu. Lantikan dibuat bedasarkan pada calon yang
mendapat undi terbanyak. Setiap anggota berhak mencalonkan seseorang daripada
kalangan anggota untuk jawatan Anggota Lembaga.

Perbezaan Koperasi dengan Syarikat Berhad


• Sesebuah koperasi ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggotanya
manakala tujuan penubuhan sesebuah syarikat adalah untuk mencari keuntungan
semata-mata.
• Hak milik sesebuah koperasi adalah kepada anggota-anggotanya manakala
sesebuah syarikat dipunyai pemegang saham syarikat tersebut.
• Kawalan sesebuah koperasi dijalankan bedasarkan sistem demokrasi, berasaskan
kepada satu anggota, satu undi.
• Kawalan sesebuah syarikat berhad pula dijalankan bedasarkan jumlah saham yang
dipunyainya.
• Keuntungan sesebuah koperasi dikongsi dikalangan anggota-anggotanya
manakala bagi sesebuah syarikat pula, keuntungan dibahagikan antara pemegang-
pemegang saham.
• Nilai saham seseorang anggota koperasi adalah tetap dan boleh dikeluarkan
semula. Saham sesebuah syarikat tidak boleh dikeluarkan semula dan nilainya
tidak menentu.
• Pertubuhan koperasi tertakluk kepada Akta Koperasi manakala syarikat tertakluk
kepada Akta Syarikat.
Nilai dan Prinsip
Kedai Koperasi yang diasaskan oleh Para Perintis Rochdale mengamalkan beberapa
prinsip yang juga menjadi asas kepada sesebuah pertubuhan koperasi. Seiring dengan
arus perubahan semasa, prinsip-prinsip tersebut dikaji dan diperbaharui untuk
mengekalkan relevansi terhadap gerakan koperasi sedunia secara keseluruhan.

Prinsip-prinsip berikut disytiharkan di Manchester, United Kingdom pada 23 September


1995.

1. Keanggotaan Sukarela dan Terbuka


Koperasi adalah sebuah organisasi sukarela, terbuka kepada sesiapa sahaja yang boleh
menggunakan perkhidmatan yang ditawarkannya dan rela menerima tanggungjawab
sebagai anggota tanpa mengira jantina, perbezaan sosial bangsa, fahaman politik
mahupun agama.

2. Kawalan Demokrasi oleh Anggota


Koperasi adalah organisasi berasaskan demokrasi, dikawal oleh anggotanya sendiri
secara melibatkan diri dengan aktif dalam membuat polisi dan keputusan. Lelaki dan
wanita, yang dilantik sebagai wakil adalah bertanggungjawab terhadap anggota-
anggotanya. Bagi Koperasi asas, anggota-anggota mempunyai hak mengundi yang sama
(satu anggota satu undi) dan koperasi di peringkat yang lebih tinggi turut mengamalkan
dasar berbentuk demokrasi.

3. Penglibatan Anggota Dalam Kegiatan Ekonomi


Anggota-anggota memberi sumbangan samarata kepada modal koperasi dan
mengawalnya secara demokrasi. Sekurang-kurangnya sebahagian daripada modal
tersebut adalah harta bersama koperasi. Anggota-anggota selalunya menerima gantirugi
yang terhad, jika ada, keatas modal yang disumbangkan sebagai sebahagian daripada
syarat menjadi anggota. Anggota-anggota menyediakan peruntukan kewangan untuk
satu-satu tujuan atau kesemua tujuan yang berikut: memajukan koperasi dengan
menyediakan rezab, dimana sebahagian daripada rezab tersebut tidak boleh dibahagi-
bahagikan, disamping memberi faedah kepada anggota mengikut jumlah transaksi
mereka dengan koperasi dan menyokong lain-lain aktiviti yang dipersetujui oleh anggota.
4. Kebebasan dan Autonomi
Koperasi adalah organisasi berdikari dan bercirikan autonomi yang dikawal oleh
anggotanya. Jika mereka memasuki mana-mana perjanjian dengan lain-lain organisasi,
termasuk dengan kerajaan, atau menambah modal daripada sumber luar, mereka berbuat
demikian di atas syarat-syarat yang memastikan kawalan demokrasi masih di tangan
anggota disamping masih dapat mengekalkan taraf autonominya.

5. Pendidikan, Latihan dan Maklumat


Koperasi menyediakan pendidikan dan latihan untuk anggotanya, lembaga yang dipilih,
pengurus dan pekerja agar mereka boleh menyumbangkan secara berkesan kepada
kemajuan koperasi. Koperasi menyampaikan maklumat kepada orang ramai terutama
golongan belia dan ketua-ketua masyarakat berhubung perihal dan faedah berkoperasi.

6. Kerjasama Antara Koperasi-Koperasi


Koperasi membantu anggotanya secara lebih berkesan di samping mengukuhkan gerakan
koperasi dengan cara bekerja bersama-sama di peringkat tempatan, wilayah, nasional dan
antarabangsa.

7. Prihatin Terhadap Komuniti


Di samping menumpukan kepada keperluan anggota-anggotanya, koperasi juga berusaha
untuk membangunkan masyarakat secara mampan melalui dasar-dasar yang diterima oleh
anggota-anggotanya.
Sejarah Gerakan Koperasi
Gerakan Koperasi yang pertama bermula sebelum Revolusi Industri di United Kingdom
pada awal abad ke-19. Ianya diasaskan oleh sekumpulan pekerja miskin bangsa Inggeris
kerana:

• Kesengsaraan dan syarat kerja yang terlalu ketat


• Gaji yang tidak mencukupi
• Pengangguran yang meluas
• Pengambilan untung berlebihan yang tidak terkawal
• Pemalsuan dalam sukatan dan timbangan
• Kadar kemiskinan yang tinggi
• Kadar penyakit dan kematian yang kian meningkat
• Kerahan kerja untuk kanak-kanak seusia 4 tahun
• Suasana hidup yang menyeksakan
• Bantahan yang dibuat tidak berkesan

Para pekerja yang tinggal di sebuah perkampungan kecil Inggeris, Rochdale merasakan
bahawa mereka perlu bekerjasama. Pakatan 28 orang ini mulai menabung dan berjaya
mengumpulkan sebanyak £28 untuk dijadikan modal. Tanggal 21 Disember 1844
menyaksikan titik permulaan gerakan koperasi dimana mereka membuka sebuah Kedai
Koperasi di Toad Lane di Rochdale, Lancashire. Kedai Koperasi itu kian meningkat
maju dan peristiwa ini kemudian diiktiraf sebagai tarikh bermulanya Gerakan Kerjasama
Sedunia. Para pengasas tersebut kini dikenali sebagai Para Perintis Rochdale (The
Rochdale Pioneers).

Para Perintis Rochdale


Kedai Koperasi yang diusahakan oleh Para Perintis Rochdale menjual barang-barang
runcit seperti tepung, mentega, teh dan juga lilin, tetapi cara perniagaan mereka berbeza
dari kedai-kedai runcit yang lain.

Mereka percaya bahawa perbuatan tidak jujur yang diamalkan oleh peniaga runcit lain
pada ketika itu seperti membubuh kapur kedalam tepung dan mencampurkan daun-daun
kering ke dalam teh harus dihapuskan. Mereka juga percaya bahawa pelanggan berhak
mendapat layanan yang baik serta jujur, dan hasil daripada perniagaan itu dikongsi sama.
Tidak hairanlah apabila pelanggan hilang kepercayaan pada pekedai-pekedai runcit yang
lain dan bertumpu pada Kedai Koperasi.

Pelanggan-pelanggan Kedai Koperasi juga turut menjadi anggota Koperasi tersebut dan
mereka juga mempunyai hak dalam perniagaan itu. Prinsip-prinsip yang diamalkan
Koperasi itu adalah:
• Keanggotaan terbuka dan sukerela
• Kawalan demokrasi (satu anggota, satu undi)
• Pembahagian keuntungan terhad
• Dividen diberi mengikut jumlah pembelian anggotanya
• Peruntukan pendidikan
• Kerjasama antara Koperasi
• Neutral terhadap fahaman politik dan kepercayaan agama masing-masing
• Belian tunai sahaja
• Barangan dan layanan yang baik dan berkualiti

Tidak lama kemudian, kedai-kedai koperasi mula muncul dan Para Perintis Rochdale
mula mendapat perhatian antarabangsa. Walaupun ada kedai koperasi lain yang
ditubuhkan lebih awal, tetapi kedai inilah yang paling berjaya dan menjadi contoh kepada
koperasi-koperasi lain.

Prinsip-prinsip tersebut masih diterima dan menjadi asas sesebuah pertubuhan koperasi.
Walaubagaimanapun, untuk mengekalkan relevansi, prinsip-prinsip tersebut diolah
semula, sesuai dengan arus perubahan semasa.