Anda di halaman 1dari 5

Meneladani Krisis Salaf vs.

Khalaf di Era Othmaniyyah


On 03/11/2009, in Akademik, by Abu Saif | 18,512 views | Print | Email |

KETERBUKAAN OTHMANIYYAH Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab Hanafi. Mazhab Hanafi telah menjadi pegangan negara-negara bangsa Turki di era Islam semenjak dari zaman Karakhanid. Dengan tabiat yang wujud di dalam kaedah pengambilan hukum dan pengembangannya di dalam Mazhab Hanafi, masyarakat Othmaniyyah menganggap mereka sebagai terbuka dan fleksibel. Ia memberikan ruang kebebasan yang banyak di bidang siasah dan penguatkuasaan polisi dari semasa ke semasa. Di atas sifat ini, Halil Inalcik berpendapat bahawa Othmaniyyah adalah sebuah masyarakat Islam yang paling bersikap terbuka terhadap pengaruh budaya luar[i].

Keterbukaan Othmaniyyah itu telah mengundang kepada kemasukan unsur yang positif dan negatif. Kemunculan gerakan Kizilbas (kepala merah) yang membawa propaganda dan pengaruh Syiah telah menjadi senjata Kerajaan Safavid untuk mengkucar-kacirkan Othmaniyyah. Apabila ancaman rakan sekiblat dari golongan Syiah ini muncul, ia telah menimbulkan suatu kesedaran betapa para Sultan perlu benar-benar menguasai ilmu pengetahuan demi untuk berhadapan dengan serangan pemikiran seperti yang dilakukan oleh golongan Kizilbas itu tadi. Sultan Suleyman I telah menuntut ilmu dengan Imam Ebussud (1490 1574) untuk tujuan tersebut. KEMUNCULAN AJARAN SESAT Perbicaraan yang membabitkan Molla Kabiz (m. 1527) menarik perhatian kita berkaitan dengan isu ini. Ketika mana berlakunya pemberontakan Kizilbas Kalender Celebi di Anatolia pada tahun 1527, Molla Kabiz telah mempertahankan pendapat bahawa Jesus adalah lebih hebat berbanding dengan Rasulullah Muhammad s.a.w. Semasa beliau dibicarakan buat kali pertama di Imperial Council, para kadiasker tidak dapat mendatangkan hujah Syara yang cukup untuk membolehkan Molla Kabiz dihukum. Sultan yang tidak berpuas hati dengan hal ini telah menitahkan agar dilangsungkan perbicaraan kedua terhadap Molla Kabiz dan kali ini ia membabitkan perdebatan bersama Sheikh al-Islam Kemal Pasazade yang juga merupakan kadi Istanbul. Sheikh al-Islam telah berjaya mendatangkan hujah yang menyebabkan Molla Kabiz terdiam, namun beliau tetap dengan pandangannya. Akhirnya Molla Kabiz dihukum bunuh selepas perbicaaraan itu. Ekoran daripada peristiwa itu, pada tahun 1537, semua gabenor telah menerima pekeliling daripada kerajaan Othmaniyyah bahawa sesiapa yang meragui ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah dianggap sebagai kafir dan boleh dihukum bunuh. Para gabenor juga menerima arahan agar setiap kampung didirikan sebuah masjid dan setiap mukallaf diwajibkan hadir ke Solat Jumaat. Ini merupakan langkah yang diharapkan dapat menjadi mekanisma yang boleh mengesan golongan yang menolak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Kemunculan cabaran yang berbentuk serangan pemikiran di dalam sebuah masyarakat sebesar Othmaniyyah, mendorong kepada munculnya kebiasaan melaksanakan agama secara penguatkuasaan undang-undang (law enforcement) dan hal ini mengundang kepada benih-benih fanatisma di dalam soal beragama[ii]. ANTARA KERAS DAN BERSEDERHANA Lazimnya, golongan yang keras pendekatannya adalah terdiri daripada sarjana yang masyhur dari kalangan mereka yang mengajar di masjid-masjid besar yang utama. Manakala Ulama yang mengambil pendekatan yang lebih bersederhana adalah terdiri daripada mereka yang mengajar di Sekolah Tinggi atau berkhidmat sebagai kakitangan di institusi agama. Di antara mereka itu, adalah Taskopruluzade Ahmed (1495 1561)[iii]. Taskopruluzade telah mengkritik secara keras terhadap tindakan Ulama yang keras kerana pada anggapannya telah mengeksploitasi kejahilan orang ramai dan menjuruskan mereka kepada kesesatan. Katanya, Allah menghalang kita daripada mendekati mereka yang menonjolkan fanatisma di dalam agama! Pada tanggapan Taskopruluzade, setiap orang adalah bebas untuk

memilih mazhab pegangannya. Dakwaan bahawa mazhab seseorang adalah betul secara muktamad, manakala mazhab-mazhab yang lain sebagai palsu, serta melemparkan tuduhan kufur kepada mana-mana Muslim sebagai bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Gerakan yang memilih pendekatan yang berbau fanatisma ini menjadi semakin berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai dan ia telah menarik perhatian pemerintah untuk mengambil sikap berjaga-jaga. MEHMET BIRGILI EFENDI Salah seorang daripada sarjana yang bertindak keras di dalam pengajarannya adalah Mehmed of Birgi (1522 1573). Aktivitinya paling menonjol di sekitar tahun 1558 hingga 1565. Beliau telah mengkritik amalan-amalan kebiasaan Othmaniyyah seperti berjabat tangan dan tunduk kerana memberi hormat, budaya mencium tangan, memakai jubah-jubah yang besar dan apatah lagi perbuatan mengadakan upacara-upacara keagamaan di kawasan perkuburan sebagai Bidah dan mesti dibanteras habis-habisan. Malah serangan Mehmed of Birgi juga menyentuh beberapa polisi rasmi kerajaan Othmaniyyah seperti menggajikan mereka yang bertugas di institusi agama, menganggap pewasiatan wang serta harta alih sebagai wakaf, sebagai polisi yang batil. Pada masa yang sama, tulisan-tulisannya yang menghentam perbuatan membaca mentera dan menarinari di dalam majlis zikir telah mengundang huru-hara di dalam masyarakat ketika itu. Anak murid Mehmed of Birgi iaitu Kadizade Ahmed (m. 1635) dan sekumpulan pendakwah yang menjadi pengikut kepada Mehmed of Birgi, dikenali sebagai fakis, meneruskan kontroversi tersebut. Seruan mereka dari mimbar-mimbar Istanbul telah mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan menyebabkan masyarakat berpecah kepada dua. Golongan fakis ini menegaskan bahawa sebarang amalan yang tidak wujud di zaman Nabi s.a.w. adalah Bidah dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap kafir. Mereka menyatakan juga bahawa rokok tembakau dan kopi adalah haram, seiringan dengan sebarang muzik dan tari menari. Malah tuntutan golongan fakis membawa hingga kepada menuntut agar subjek seperti matematik dan ilmu sains dimansuhkan daripada Madrasah. Seruan golongan ini berlarutan serta berkembang dan ia sampai ke suatu tahap di mana Sultan Murad IV (1623 1640) telah cuba untuk meraih pengaruh lantas menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan rokok tembakau dan alkohol serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang engkar. Dakwaan golongan fakis juga mempertikaikan kehidupan mewah para pemerintah serta menyeru kepada penentangan terhadap sebarang ketidakadilan yang berlaku. Pada tahun 1656, mereka menghentam kesemua tekke (pusat kegiatan golongan Sufi) dan cuba untuk melancarkan revolusi agama secara besar-besaran. SALAFI DIMANIPULASI Malang sekali, apabila pengaruh golongan fakis menjadi begitu kuat, khususnya di kalangan rakyat bawahan, terdapat sebahagian pegawai tinggi pemerintah dan ahli politik cuba memanipulasi pengaruh itu dengan menyatakan sokongan mereka kepada golongan fakis.

Golongan ini yang secara dasarnya cuba mengembalikan masyarakat kepada Sunnah, telah dijadikan sebagai alat konspirasi oleh golongan ahli politik itu tadi. Akhirnya Koprulu Mehmed (m. 1661) yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengambil tindakan mengusir keluar golongan fakis ini daripada Istanbul demi untuk mengelakkan tercetusnya perang saudara. PENGAJARAN Inilah sebahagian daripada sedutan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Othmaniyyah. Isu utama yang menjadi pencetus huru hara di masa itu adalah soal BIDAH dan fokusnya masih sama dengan apa yang berlaku hari ini. Di dalam hal ini Katip Celebi[iv] (1609 1657) telah membuat ringkasan terhadap pandangan para Ulama berhubung dengan hal ini. Beliau menyatakan bahawa adat istiadat dan Bidah yang telah menjadi kebiasaan sebahagian besar masyarakat, tidak boleh dan tidak sepatutnya dihapuskan secara kekerasan. Bidah mungkin tidak sejajar dengan kehendak Syara. Akan tetapi, manusia, sebagai hamba Allah adalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Allah s.w.t. menangani kelemahan manusia itu dengan sifatnya yang Maha Pengampun, lantas Islam lebih mengutamakan toleransi berbanding paksaan dan kekerasan. Tindakan menggunakan kekerasan ini hanya akan mencetuskan penentangan dan akhirnya mengakibatkan kegusaran serta perpecahan di kalangan masyarakat. Katip Celebi juga mengusulkan bahawa penyelesaian terhadap fanatisma di dalam agama, boleh diperolehi dengan mengkaji beberapa sains keintelektualan sebagaimana yang diamalkan di era pemerintahan Fatih Sultan Mehmed. Padanya Mehmed of Birgi tidak memahami fungsi adat di dalam masyarakat kerana beliau tidak mempelajari Sejarah dan Falsafah. Katip Celebi juga percaya bahawa perdebatan sememangnya bermanfaat, namun ia terhad kepada sarjana (Ulama) sahaja, dan tidak seharusnya membabitkan orang ramai. Usaha yang dilakukan oleh Mehmed of Birgi dan pengikutnya adalah reaksi yang wajar apabila masyarakat semakin terbelenggu dengan amalan-amalan yang menyalahi ajaran Islam. Namun, usaha itu menjadi gagal kerana dua sebab yang berulang-ulang di sepanjang sejarah Islam iaitu: 1. Fanatisma terhadap pandangan sendiri 2. Menggunakan pendekatan keras dan paksaan di dalam dakwah Inilah yang sepatutnya menjadi pelajaran kepada Ummah. Manipulasi golongan politik terhadap seruan pulang kepada Sunnah ini juga mesti diberi perhatian kerana pendukung Sunnah sudah pun pernah menjadi alat konspirasi sesama ahli Politik yang sentiasa memikirkan kepentingan politik mereka sahaja. Ketika golongan fakis sibuk dengan isu Bidah, pada masa itulah Othmaniyyah jatuh merudum kerana ancaman sebenar pada masa itu adalah: 1. Serangan kuasa bersekutu dari Barat

2. Serangan Syiah dari Timur 3. Rakyat Othmaniyyah sendiri berpecah belah pada masa tersebut. KONSPIRASI SAFAVID Pada tahun 1599, Shah Abbas dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan. 1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut. Jika pisang berbuah berkali-kali, ia rezeki yang baik. Namun, sekiranya umat Islam disengat pada lubang yang sama untuk kali yang ke seterusnya, ia suatu petanda yang malang bagi kita. ARTIKEL PENUH >>> ulamaothmaniyyah.doc [i] Halil Inalcik, The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 1600, (London, Peoenix, 1997), muka surat 181 [ii] ibid, muka surat 182 [iii] Taskupruluzade Ahmed (1495 1561) adalah ahli ensiklopedia Othmaniyyah dan guru sekolah. Beliau paling dikenali kerana tulisannya Shaka-ik al-Numaniya, iaitu sebuah biografi di dalam Bahasa Arab yang mengumpulkan 522 sarjana Othmaniyyah dan Mawduat al-Ulum iaitu sebuah ensiklopedia Sains. [iv] Katip Celebi (1609 1657) juga dikenali sebagai Haci Halife, atau nama sebenarnya Mustafa Ibn abd Allah merupakan seorang ahli Sejarah Othmaniyyah yang terkenal, pakar Geografi dan juga seorang ahli bibliografi. Antara karangannya yang paling utama adalah Kashf al-zununan asami al-kutub wa al-funun (The Removal of Doubt from the Names of Books and the Sciences) yang mengumpulkan maklumat tentang 15,000 buku di dalam Bahasa Arab, Turki dan Parsi yang terbit di zamannya.

Anda mungkin juga menyukai