Anda di halaman 1dari 2

Pantun perisai Melayu lama

Nilai murni dirakam indah dalam khazanah warisan bangsa PANTUN yang pernah menjadi perisai masyarakat Melayu lama dalam menyatakan hasrat hati secara berlapik, pemula atau mukadimah bagi acara atau istiadat Melayu, turut dilagukan menjadi hiburan santai serta diperluas sebagai saluran berdakwah membuktikan sumbangan sastera lisan itu kepada bangsanya. Pensyarah Universitas Sumatera Utara, Dra Erni Erwina, membicarakan budaya pantun di Medan dan perbezaannya berbanding cara, budaya dan kaedah berpantun di Malaysia ketika melapah Pantun dan Fungsinya dalam Kebudayaan Masyarakat Melayu Sumatera Utara. Di Medan, acara pantun boleh diibaratkan seperti pesta yang diraikan secara besar-besaran persis konsert hiburan. Percaya atau tidak, penonton perlu membeli tiket untuk menyaksikan pertandingan dan temasya pantun secara langsung dan ia berlangsung meriah. Dari sudut perbezaannya pula, pantun Melayu Sumatera Utara memberi lebih penekanan kepada pemilihan kata yang digunakan dan mementingkan hubung kait jelas dan rapat daripada baris ke baris seterusnya, katanya sambil mengalunkan serangkap pantun yang dijadikan contoh kepada penonton agar lebih mudah memahaminya. Anak ikan dimakan ikan Ikan memakanlah kepalanya Banyaklah hitam perkara hitam Itulah eloklah penggodanya Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Bazrul Bahaman, menyifatkan pantun juga berperanan dalam penyebaran dakwah di seantero Nusantara pada zaman dulu. Pelbagai aspek kerohanian dibicarakan dalam pantun termasuk ilmu tauhid, qada dan qadar, kepercayaan pada hari kiamat, kisah nabi dan malaikat serta ibadat sembahyang. Sebagai contoh, pantun suku Mandailing yang diperturunkan menyentuh syafaat yang akan diberikan Nabi Muhammad SAW pada akhirat kelak, katanya sambil mengalunkan pantun berkenaan. Tekun kita beramal ibadah Untuk belanja di kemudian hari Kita serahkan kehadirat Allah Mudah-mudahan disyafaatkan Nabi Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin pula merancakkan suasana dengan pandangannya mengenai nilai tambah dalam pantun yang mampu mencerna minda, apatah lagi membawa kesan kepada masyarakat yang membudayakannya. Banyak nilai baik dalam pantun yang boleh diamalkan kerana ia membantu membangkitkan semangat perpaduan sesama Islam, bangsa lain dan seluruh rakyat di negara kita. Walaupun kita sudah memasuki abad ke-21, namun pantun yang istimewa, menarik dan kritis masih terus diamalkan dan bukan mustahil diteruskan. Apa yang penting bangsa Melayu memahami sedalam mungkin mesej pantun. Pantun sepatutnya bukan menjadi hiasan majlis, tetapi dijadikan sebagai pakaian harian orang Melayu. Bahasanya yang indah dan padat sungguh tepat untuk menyampaikan mesej kepada sasarannya, katanya. Kehadiran Tokoh Penggerak Seni Budaya Dunia Melayu Dunia Islam Ke-12 dari Universitas Sumatera Utara, Medan, Indonesia, Dr Muhammad Takari Jilin Syahrial mengalunkan lagu puisi ketika berbicara Lagu-Lagu Melayu Sebagai Komunikasi Lisan menghangatkan suasana dan menerima tepukan gemuruh kerana membawa kelainan. Puisi tradisional Melayu turut berkembang sehingga dijadikan lagu dalam pelbagai genre dengan irama antaranya ghazal, hadrah, zapin dan joget. Kebanyakan muzik Melayu Sumatera Utara mengutamakan lirik lagu bersandarkan puisi tradisional terutama pantun

empat baris, katanya. Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Norlina Idris yang menghadiri seminar terbabit, menyifatkan pertemuan ilmu sebagai medan terbaik untuk golongan pendidik berkongsi pengetahuan, selain mengambil peluang berinteraksi secara langsung dengan panel jemputan. Seminar sebegini sewajarnya lebih kerap diadakan, khususnya di sekolah bagi memberi pendedahan lebih mendalam, selain dapat menyemai semangat cintakan tradisi dan seni Melayu terutamanya pantun dalam kalangan mereka, katanya. Pelajar semester satu, Jurusan Bahasa Melayu UPSI, Aidil Haikal Sulaiman, mengakui seminar berkenaan dapat membuka matanya berhubung kehalusan seni pantun kerana ahli panel banyak berkongsi rahsia kaedah menghasilkan pantun dengan mudah. Melalui seminar ini saya dapat sedikit sebanyak ilmu cara menghasilkan pantun yang baik. Cara senang untuk membuat pantun adalah mencari isi terlebih dulu, kemudian baru dapatkan dua rangkap pembayangnya, katanya ketika ditinjau pendapatnya mengenai faedah menghadiri seminar terbabit. Antara ahli panel lain yang menyampaikan seminar pada acara berkenaan ialah Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar, tokoh pantun dari Indonesia, Dr Tenas Effendy dan ilmuwan pantun dari Singapura, Jamal Tukimin. Pendidik, penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah menegah serta orang awam yang menghadiri seminar terbabit turut berpeluang menyaksikan persembahan dondang sayang dan nyanyian lagu tradisional oleh Kumpulan Kebudayaan Medan, Indonesia. Penutup programbersempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 dan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke-12 itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Latiff Thamby Chik.