Anda di halaman 1dari 5

ANTOLOGI TINGKATAN TIGA - HARGA SEBUAH LUKISAN PROSA MODEN - DRAMA 1. DRAMA - SEBUAH PERJUANGAN Ab.

. Manaf Kamarudin ASPEK KOMSAS Sinopsis NOTA

Drama ini bermula dengan ucapan Pangeran Syahbandar kepada penduduk kampung dalam suatu perhimpunan. Beliau mengingatkan penduduk kampung bahawa Kompeni Inggeris tidak mempunyai sebarang kuasa di kawasan tempat tinggal mereka itu iaitu kawasan Sungai Padas. Beliau juga menyatakan bahawa beliau telah diberikan kuasa oleh adik Tuanku Sultan Hashim Jalilul Alam untuk memungut sedikit cukai yang termampu oleh para penduduk. Jahul yang merupakan tali barut Inggeris telah melaporkan perhimpunan tersebut kepada pegawai Inggeris. Inggeris berasa marah akan tindakan Pangeran kerana menurutnya kawasan Sungai Padas sudah dipajak kepada kompeni oleh Sultan Brunei. Pegawai Inggeris meminta Jahul terus melaporkan kegiatan Pangeran kepadanya. Pangeran Syahbandar berbincang dengan Awang untuk bertindak terhadap pembelot bangsa yang telah menghasut penduduk tempatan supaya membenci Pangeran. Mereka telah bertindak pada malam tersebut dan menangkap sekumpulan pembelot. Keesokan paginya Jahul telah melaporkan kejadian itu kepada pegawai Inggeris. Inggeris akan membuat bantahan kepada Sultan Brunei agar Pangeran memberhentikan penentangannya. Baginda Sultan telah mengarahkan Pangeran membebaskan pembelot yang telah ditawan dan menghentikan penentangan terhadap kompeni. Pangeran dan Awang mengambil keputusan untuk menentang secara habis-habisan tanpa menyerah. Dalam pertempuran yang pertama antara orang-orang Pangeran dengan polis kompeni, kemenangan telah menyebelahi pihak Pangeran. Namun, pihak Inggeris dengan bantuan anggota polis Sikh dari Perak yang lengkap bersenjata api telah menggempur Kota Manggalela yang menjadi kubu pertahanan Pangeran dan orang-orangnya. Lembing dan keris orang-orang Pangeran tidak dapat menandingi kehebatan bedilan meriam dan senjata api pihak Inggeris. Setelah

hampir empat bulan berperang, akhirnya Pangeran dan orang-orangnya terpaksa menyerah kepada pihak Kompeni Inggeris. Namun demikian semangat untuk membebaskan tanah tumpah darah mereka masih kental dalam jiwa masingmasing.
Tema Pengajaran Semangat mempertahankan tanah air daripada penjajahan Kita haruslah berusaha mempertahankan tanah air dengan sedaya upaya ( contohnya: Pangeran Syahbandar sanggup berkorban bersama-sama pengikutnya untuk menentang kekejaman Inggeris yang merampas tanah dan hak milik mereka ) Kita mesti menunjukkan kesetiaan kepada negara ( contohnya: Awang tetap setia terhadap Pangeran yang berkorban mempertahankan negara ) Kita janganlah melakukan perkara yang boleh membahayakan keselamatan negara ( contohnya: perbuatan Jahul yang sering memberikan maklumat dan menjadi tali barut Inggeris tidak patut diikut ) Kita wajar bersikap rasional ketika membuat keputusan ( contohnya: Pangeran Syahbandar akhirnya membuat keputusan untuk menyerah kepada kompeni Inggeris kerana memikirkan para pengikutnya yang ketiadaan senjata )

2. DRAMA - CABARAN A.Ghaafar Ibrahim ASPEK KOMSAS Sinopsis NOTA

Yahya yang merupakan seorang Ketua Pemuda berbincang dengan Mariah, Firdaus, Hani, Zainal dan Husin tentang cabaran yang sedang dihadapi oleh

masyarakat berkaitan ekonomi dan pelajaran. Mereka berbincang tentang sebabsebab kemunduran hidup masyarakat yang berkaitan sikap negatif masyarakat sendiri. Antara sikap negatif yang dibangkitkan ialah suka berhutang, malas dan terlalu manja, serta mementingkan diri sendiri . Masyarakat juga suka menghabiskan masa berbual-bual kosong di kedai kopi. Yahya bercadang untuk menubuhkan barisan Pembela Rakyat Desa di kampung mereka yang berperanan mengutip wang untuk tabung pelajaran anak-anak kampung tersebut. Mereka juga akan mengadakan kelas kepimpinan di balai raya di bawah pimpinan guruguru yang telah disediakan. Kedai Syarikat Kerjasama juga ditubuhkan untuk mengelakkan daripada penipuan dalam perniagaan. Hani dan Firdaus berbincang tentang golongan muda yang sepatutnya bertindak untuk memperbaiki nasib dan mengubah ekonomi masyarakat. Yahya menyindir sikap wakil rakyat mereka, Yang Berhormat Encik Osman yang telah melupakan janji-janjinya kepada masyarakat ketika berkempen semasa pilihan raya dahulu. Yahya mahu wakil rakyat menjalankan kewajipannya untuk membantu rakyat keluar daripada kemiskinan. Yahya mengatakan bahawa masyarakat harus menguasai bidang perusahaan jika mahu mendapat kemajuan. Zainal menyindir dan memberitahu bahawa bidang perniagaan tidak sesuai untuk orang-orang seperti mereka. Firdaus mahukan satu generasi baharu dibentuk iaitu generasi muda yang dinamis dan progresif. Husin yang pada mulanya sering memperlekeh atau merendah-rendahkan kebolehan penduduk kampung akhirnya bersetuju dengan cadangan Firdaus dan berjanji akan menyokong usaha Firdaus itu. Akhirnya, berkat kerjasama dan muafakat penduduk, rancangan mereka untuk memperbaik tahap ekonomi masyarakat telah berjaya dan berita kejayaan mereka telah disiarkan dalam akhbar. Firdaus mengingatkan Zainal bahawa mereka harus bekerjasama dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja. Yahya menasihatkan mereka supaya berani mengeluarkan pendapat dan melahirkan angkatan baharu yang maju.
Tema Kesepakatan dalam menghadapi cabaran dan mengubah nasib hidup

3. DRAMA - MENDUNG HITAM BERALIH JUA

ASPEK KOMSAS Sinopsis

NOTA

Drama bermula dengan Mak Limah yang sedang memarahi anaknya Jamilah yang ingin menghadiri perjumpaan belia kampung itu di balai raya. Mak Limah menasihatkan Jamilah supaya menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya. Jamilah enggan mendengar nasihat emaknya lantas memberikan sepucuk surat kepada Mak Limah untuk dibaca oleh ayahnya, Pak Jusuh. Apabila mengetahui bahawa surat tersebut tentang pembayaran yuran peperiksaan Jamilah, Mak Limah berasa susah hati kerana dia tahu bahawa keluarga mereka tidak mempunyai wang untuk membayar yuran tersebut. Apabila Pak Jusuh pulang, Mak Limah memberitahu Pak Jusuh tentang isi surat tersebut. Pak Jusuh tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan wang tersebut sedangkan dia tidak mempunyai hasil langsung apabila ke laut hari itu. Lantas Mak Limah memarahi Pak Jusuh yang tidak mahu mendengar cadangannya supaya keluarga mereka menyertai tanah rancangan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Mak Limah membandingkan kehidupan Pak Jusuh sebagai nelayan dengan Pak Seman yang semakin senang hidupnya kerana menyertai tanah rancangan. Pak Jusuh tetap mempertahankan pekerjaannya sebagai nelayan. Ketika mereka sedang bertengkar, Mutusami, tauke kedai datang ke rumah mereka. Mutusami meminta Pak Jusuh menjelaskan hutangnya yang sudah banyak jumlahnya. Pak Jusuh meminta tangguh kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar hutang tersebut. Mutusami berkeras supaya Pak Jusuh menjelaskan sedikit dahulu hutang tersebut. Timbul pertengkaran antara Pak Jusuh dan Mutusami sehingga Pak Jusuh menghalau Mutusami dari rumahnya. Pertengkaran itu dapat dileraikan oleh Mak Limah yang berjanji untuk menjelaskan hutang. Mak Limah meminta Mutusami mengambil radio di rumah mereka sebagai cagaran. Mutusami menolak cadangan Mak Limah dan menyatakan dia tidak mahu bergaduh dengan Pak Jusuh dan Mak Limah kerana dia telah lama mengenali keluarga tersebut. Mutusami mengingatkan Mak Limah supaya membayar hutang tersebut bila ada wang kelak. Pak Seman datang ke rumah Pak Jusuh untuk menjemput Pak Seman menghadiri kenduri di rumah menantunya. Ketika berbual dengan Pak Seman, Pak Jusuh menyatakan hasratnya untuk mengikut jejak langkah Pak Seman meneroka tanah rancangan. Pak Seman gembira dengan keputusan Pak Jusuh dan berjanji

untuk membantu Pak Jusuh menemui penghulu bagi mendapatkan borang permohonan. Pak Jusuh gembira kerana akhirnya dia dapat menyelesaikan masalah kehidupannya yang miskin itu.
Tema Pengajaran Kesukaran hidup nelayan Kita haruslah berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah ( contohnya: Mak Limah mencadangkan supaya Pak Jusuh memohon semula untuk menjadi peneroka tanah rancangan ) Janganlah kita suka berhutang kerana hal tersebut hanya menambahkan bebanan ( contohnya: Sikap Pak Jusuh yang banyak berhutang menyebabkan ketegangan antara dirinya dan Mutusami ) Kita haruslah mengamalkan sikap bertolak ansur supaya hidup lebih harmoni ( contohnya: Mutusami memberikan masa untuk Pak Jusuh menyelesaikan hutangnya ) Kita harus bijak dan rasional membuat keputusan yang akan mendatangkan kebaikan ( contohnya: Pak Jusuh akhirnya membuat keputusan untuk berhenti menjadi nelayan dan memohon ke tanah rancangan supaya taraf hidupnya lebih baik)

Anda mungkin juga menyukai