Anda di halaman 1dari 4

ROYAL BELUM Sandarkan Pada Kenangan Teks: Nahar Desa @ pokcik (nakdesa@yahoo.

o.com) Foto : pokcik, Iguana dan M@tdet Royal Belum yang berkeluasan 3,110 kilometer persegi merupakan destinasi ekopelancongan semulajadi di Perak. Di sebalik kaya dengan flora dan fauna yang ada hubungkait dengan lagenda asal usul tempat tersebut, ianya membuat pandangan mata kita seumpama saujana, sejuk dan mendamaikan. Keindahan hutan hujan tropika yang tertua di dunia menggamit banyak kenangan kalau kita benar-benar menghayatinya. Bagi kaki pancing, destinasi Royal Belum merupakan antara lokasi padang pancing yang terbaik ketika ini di negara kita. Setelah lebih dari 30 dekad Empangan Temenggor dibina yang membentuk kawasan tasik ini barulah aktiviti rekreasi berjalan rancak atas sebab keselamata sesua dengan tujuan pembinaan empangan pada ketika itu yang bertujuan menghalau komunis. Walaupun dibuka kepada orang ramai, tetapi masih ada kawasan yang dihadkan atau tidak boleh dikunjungi dan berada dalam kawalan keselamatan. SAHABAT ALAM Bagi yang pernah menggilat di Royal Belum ini dan pernah merasai kenangan spesis disini tentunya akan tidak melepaskan peluang untuk kembali lagi, atas sebab itu, ketua kumpulan kami Wahyu menganjurkan trip ke Royal Belum selama 3 hari 2 malam ini melalui forum Pancing.Net. Walaupun setengah-setengah dari kami baru mengenali sesama sendiri melalui forum, kemesraan dan kesefahaman cepat terjalin. Ini dah menjadi resam sekumpulan pemancing bila berkumpul bersama untuk suatu aktiviti yang diminati bersama. Eleman ini merupakan suatu yang amat penting bagi menjamin kelancaran dan kepuasan memancing bersama rakan dan akan membuahkan keputusan yang lebih mengujakan juga meninggalkan berbagai-bagai kenangan. Kami menggunakan khidmat rumah bot Sahabat Alam yang cukup selesa menempatkan kumpulan kami yang seramai 15 orang. Berbeza dengan Tasik Kenyir, Royal Belum mempunyai peraturan yang berlainan, iaitu pemancing/penggilat tidak dibenarkan menggendalikan bot, penggendalian bot hanya boleh dilakukan oleh orang tempatan yang mempunyai permit khas yang dikeluarkan oleh Perbadanan Royal Belum. Ada baiknya peraturan ini dikekalkan selama-lamanya bagi menjamin flora dan fauna di Royal Belum ini sekurang-kurangnya terpelihara. MANGKOR HARI PERTAMA Apabila menjejakkan kaki ke dalam rumah bot, masing-masing bersemangat dan ghairah untuk cepat sampai ke lubuk-lubuk di sekitar Sungai Tiang setelah perbincangan dengan tuanpunya rumah bot dan tekong mengenai lubuk terbaik untuk memarkir rumah bot. Sungai Tiang dipilih memandangkan ketika ini di kawasan Sungai Kejar deruan enjin bot silih berganti sepanjang masa yang menyebabkan ikan culas dan terganggu dengan bunyi bising enjin. Walaupun pada ketika itu paras air naik dan berkemungkinan banyak suak kembali tenggelam di bawah air.

Sepanjang perjalanan ke Sungai Tiang masing-masing menunjukkan tanda-tanda tidak sabar dan keruan menunggu untuk membasahkan gewang di samping memasang anganangan untuk melebarkan rekod tangkapan peribadi. Ada baiknya ketika rumah bot masih dalam perjalanan ke destinasi, mana-mana ahli yang pertama kali dan kurang pengalaman bertanya dan berbincang dengan ahli yang telah biasa dan berpengalaman. Bak kata orang tua-tua, lain padang lain belalangnya, lain tempat lain ragamnya. Semangat kami yang berkobar-kobar untuk menaikkan spesis buruan masing-masing akhirnya tenggelam bersama mentari petang hari pertama tersebut. Masing-masing kehairanan dan bertanya, ke mana perginya penghuni Royal Belum ini, hanya seekor kerandang saja spesis yang dapat dibanggakan pada hari pertama. Kebanyakan sebarau di lubuk-lubuk yang dikunjungi hanya mencium sahaja gewang dan berpatah balik ataupun hanya mengikuti gewang hingga ke bot. Banyak juga kami jumpa kumpulan anak-anak toman yang baru menetas atau sudah lama, tetapi induk toman tidak menghiraukan apa jenis sekalipun gewang yang kami lontarkan. Cuma yang menyambar kebanyakannya toman remaja ataupun toman bujang. Malam hari masing-masing cuba mencari jawapan kenapa, adakah salah teknik, gewang yang digunakan, masa dan ketika atau lain-lain. HARAPAN HARI KE DUA Kegagalan hari pertama kami dibiarkan sebagai kenangan yang berlalu bagi memulakan perjalanan kami di hari yang ke dua. Pagi tersebut dengan berbekalkan semangat yang hampir separuh sudah hilang, masing-masing gagah melangkah ke lubuk-lubuk pilihan tekong-tekong kami. Menjelang tengah hari, keadaan masih tidak berubah, seolah-olah penghuni Royal Belum tidak bersedia menyambut kedatangan kami lagi. Sebelah pagi hari kedua kami hanya melayan anak-anak toman sahaja, masih ramai yang mangkor lagi termasuk lah saya sendiri. Cuma ada sebuah bot sahaja yang berjaya memikat sebarau pada pagi itu, apa lagi naik tocang pulak mereka. Ada antara ahli yang merasakan semangat memancing mereka sudah lebur pada tengah hari itu, masing-masing dengan muka kelat dan tidak bercakap langsung ketika menjamah makan tengah hari. Pada saya, begitulah adat memancing, bukan semuanya indah, saya sendiri sebelum trip ini tiga kali ke Kenyir sekali itu memang mangkor teruk. Kena lihat pada diri kita sendiri, peralatan kita boleh sediakan mengikut kehendak padang pancing yang kita kunjungi, tapi secara mentalnya adakah kita bersedia dengan pengetahuan dan serba serbi mengenai ikan buruan kita, adakah diri kita sudah lengkap dengan teknik, kemahiran dan tektikal untuk menggempur spesis buruan. Yang paling penting, rezeki pemberian Allah s.w.t itulah kita kena pegang disamping tidak jemu berusaha berterusan. Alhamdullilah, sebelah petang hari ke dua membawa sinar gembira pada setiap ahli. Kebetulan tekong bot kami menyarankan lubuk seterusnya di sekitar Papan telah memberikan limpahan rezeki yang dicari. Terdahulu semasa air sedang surut, tekong kami, Rasheed, telah mengenal pasti rumah sebarau, iaitu pokok-pokok tumbang yang terendam. Pada permulaannya kami merasakan akan kecundang juga bila salah seorang

dari kami terlucut mangsa yang pertama akibat dari ikatan perambut pada klip swivel tidak kemas, tapi sebarau di rumah ini masih sudi menghentam gewang yang kami hulurkan. Di lubuk ini saja kami seolah-olah berpesta menaikkan sebarau, dalam keghairahan ini tekong mengingatkan kami supaya mengamalkan tangkap dan lepas. Bukan apa, Royal Belum merupakan periuk nasi mereka, jika tidak dijaga, mereka bimbang akan datang berkurangan pula penghuni sehinggakan perlu menambah spesis luar bagi memeriahkan arena pancingan di Royal Belum ini. Pada lewat petang sekembalinya ke rumah bot, masing-masing teruja menceritakan kejayaan pada petang hari kedua tersebut. Kejayaan bot kami berpesta sebarau menenggelamkan keangkuhan bot yang diketuai oleh ketua kumpulan kami, Wahyu. Terkedu juga lah mereka bila melihatkan hasil melalui kamera kami. Jangan marah ya Wahyu. Malam itu rancaklah masing-masing menceritakan hasil tangkapan dan berharap apa yang dilalui meninggalkan kenangan indah berkunjung ke Royal Belum. Bagi yang masih belum kesampaian menaikkan spesis yang dihajati, kami lontarkan cabaran yang masih belum berakhir lagi sehingga tengah hari esok disamping berkongsi tip dan jenis gewang kesukaan sebarau. Malam itu ada antara kami tidur dengan lena setelah penat melayan asakan sebarau sehinggakan ada gewang yang pecah! HARI KE TIGA Pagi hari ke tiga, masing-masing rasa tidak sabar untuk turun segera untuk mencari lesen atau melebarkan rekod tangkapan memandangkan hari ke tiga ini waktu yang diperuntukkan hanya sehingga tengah hari sebelum rumah bot kembali ke Jeti Banding. Walaubagaimana pun kerancakan serangan sebarau berpindah pula ke bot yang dinaiki oleh ketua kumpulan kami, Wahyu. Tekong mereka, Jai, rupanya ada lubuk rahsia, maka giliran mereka pula bersilih ganti menaikkan sebarau. Bot kami pula masih ada hasil, tapi tidaklah serancak hasil petang sebelumnya. Apa pun perancangan menggempur penghuni Royal Belum merupakan trip yang sukses walaupun pada mulanya nampak suram. Kami akhiri perjalanan trip ini dengan memahat seribu satu kenangan dalam memori, sama ada di atas rumah bot, atas bot ketika menggilat atau pun ketika sedang mengadap juadah ringan iaitu cekodok yang disediakan oleh chef kami. JENIS GEWANG Gewang yang digunakan juga menjadi penentu faktor perolehan hasil, jenis jewang yang banyak kami gunakan ialah sesudu dan gewang selaman dalam. Gewang inilah yang banyak menyumbang kepada kejayaan kami. Sesudu sebaiknya mata kailnya digantikan dengan mata tunggal, ini adalah kerana mata tunggal jarang sangkut berbanding dengan mata tiga asalnya. Kebanyakan sesudu ini digunakan di suak yang baru tenggelam, iaitu kawasan rumput atau belukar kecil yang terbentuk semasa air surut. Kebiasaannya pemangsa akan bersembunyi di celah-celah

rumput menghendap anak-anak ikan. Sesudu yang dibaling ke kawasan ini dibiarkan tenggelam ke dasar. Kebanyakan pemangsa akan menyerang sesudu semasa di pertengahan jalan. Selaman dalam digunakan di lubuk yang airnya sedikit dalam dan diketahui ada reba di bawahnya, tambah-tambah ada kayu balak bersilang tenggelam. Jarak bot dengan lubuk sasaran kena sesuai supaya gewang selaman dalam ini boleh menjunam sampai ke kawasan sasaran. Balingan pertama kali tidak semestinya mengena, sekurang-kurangnya tiga ke lima kali barulah sebarau ini berminat, balingan tersebut mestilah di arahkan pada tempat yang sama. Tapi awas, kadang-kadang sebarau hanya ikut gewang sehingga ke bot, dan akan bersembunyi pula di bawah bot, apabila gewang hampir dengan bot, ketika itulah sebarau ini keluar dari bawah bot dan menyambar gewang. BODEK TEKONG Satu kelebihan menggilat di Royal Belum ini ialah bot dipandu oleh tekong anak tempatan. Mereka ini lebih arif dengan lubuk-lubuk dan suak yang berpenghuni. Rajin-rajinlah bersembang dengan tekong, kalau hendak khidmat terbaik dari mereka, layanlah seperti salah seorang dari rakan kita, mereka ini pun manusia biasa juga, cuma bezanya mencari rezeki halal sebagai tekong bot sahaja. Kadang-kadang mereka juga penggilat yang bagus, tanya-tanya rekod menggilat mereka ini, ada masa kita boleh cedok sedikit ilmu dari mereka ini. Kalau atas bot, jangan segan silu bertanyakan pendapat mengenai jenis gewang dan teknik yang patut digunakan setiap kali berada di lubuk-lubuk atau suak baru. Mereka ini memang telah arif dan tahu kehendak pemangsa di situ. Jangan risau dengan mangkor hari pertama, sebab tekong di sini mempunyai lubuk simpanan asalkan anda pandai membodek mereka. MUHASABAH DIRI Ada kala ada faktor dalam diri kita penyebab pada kegagalan trip yang kita sertai, kenapa orang lain berjaya sedangkan kita tidak. Kalau dilihat dari segi peralatan, gewang dan teknik nampak setara. Adakah dari segi emosi dan mental kita bersedia dan berada di tempat menggilat? Pada saya sekiranya emosi kita bercelaru dan terbeban dengan berbagaibagai masalah, amat payahlah kita dapat menggilat dengan sempurna. Sebaiknya kita tinggallah segalanya di luar, tumpukan perhatian dan kosongkan minda, bergembiralah bersama kawan-kawan disamping bersantai-santai memancing.

Anda mungkin juga menyukai