Anda di halaman 1dari 2

Onn Jaafar hero orang Melayu Berita Harian 26 Feb.

. 2006 DATO Onn Jaafar sentiasa mendapat tempat istimewa dalam sejarah nasionalisme negara, apatah lagi kedudukan beliau sebagai pengasas dan Presiden Umno pertama, parti yang kini menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN). Nama bapa kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein dan datuk kepada Menteri Pelajaran sekarang, Datuk Hishammuddin, muncul seiring dengan rancangan Malayan Union pada 1946. Tanpa Onn, landskap politik negara mungkin berubah ketika orang Melayu yang bukan saja daif dari segi sosio-ekonomi, malah kesedaran politik, dikejutkan dengan rancangan licik British memperkenalkan Malayan Union. Majlis memperingati perjuangan Dato Onn diadakan di Stadium Batu Pahat, Johor petang ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin kanan Umno. Abdullah selaku Presiden Umno turut menyertai perarakan menuju ke Stadium Batu Pahat. Selepas koir lagu Pahlawanku dan Tanahairku serta deklamasi sajak Batu Pahat Tanah Keramat Bumi Bertuah dan pembacaan ikrar, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan menyampaikan ucapan disusuli amanat Perdana Menteri sebelum penyampaian Watikah Pengiktirafan. Mengikut catatan sejarah, idea Malayan Union disuarakan British pada Oktober 1945 dan Sir Harold MacMichael ditugaskan mendapat keizinan Raja-Raja Melayu. Dalam masa singkat menerusi taktik ugutan dan ancaman, Raja dan Sultan menandatangani Perjanjian MacMichael . Malayan Union menjadi kenyataan dengan Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor pertama. Orang Melayu marah dan kecewa, tetapi hanya dengan kemunculan Onn yang berkarisme, bijak dan lantang bersuara, penentangan orang Melayu, terutama menerusi Umno yang diasaskannya menjadi tersusun. Onn menggarap kemarahan orang Melayu terhadap Raja-Raja Melayu yang menyerahkan kuasa mereka dan hak orang Melayu hingga akhirnya, akibat tekanan berterusan, British terpaksa akur terhadap suara lantang orang Melayu, lalu menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948. Beliau ternyata adalah nasionalis sejati kerana jika hendak hidup senang, Onn boleh memilih terus kekal sebagai Menteri Besar Johor, tetapi memilih menjadi Presiden Umno sepenuh masa. Mohamed Abid dalam bukunya Reflection of Pre-Independence Malaya, menyatakan bahawa ketika gerakan ke arah kemerdekaan bertambah panas, Sultan Ibrahim, memberi kata dua kepada Onn sama ada hendak kekal sebagai Menteri Besar Johor atau menerima jawatan Presiden Umno. Sultan dilaporkan memberitahu Onn bahawa beliau tidak boleh memegang kedua-dua jawatan serentak. Onn nekad meletakkan jawatan dan menjadi Presiden Umno lalu berpindah ke Kuala Lumpur. Beliau dilantik British sebagai Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri (setaraf Menteri Dalam Negeri sekarang). Jawatan ini dipegang antara 1951-1954. Pemimpin wanita Umno, Khatijah Sidek, berkongsi pengalaman mengenai Onn melalui catatannya dalam buku Memoir Khatijah Sidek Puteri Kesateria Bangsa dengan menyatakan: Datuk Onn menyusun pelbagai lapisan orang Melayu untuk memakai kain lilitan putih tanda berkabung di kepala sebagai protes terhadap rancangan Malayan Union. Justeru itu, orang Melayu menyayangi Datuk Onn dan memandangnya sebagai seorang pemimpin yang membela hak mereka. Ketika ikatan antara Umno dan Onn tersimpul kuat, tidak ada sesiapa pun terfikir Presiden Umno akan meninggalkan parti yang diasaskannya. Bagaimanapun, itulah yang berlaku. Disifatkan sebagai hero orang Melayu menentang penjajahan British, Onn meninggalkan Umno apabila cadangannya supaya parti membuka pintu kepada orang bukan Melayu tidak diterima. Penulis biografi Onn yang juga sejarawan, Prof Dr Ramlah Adam, menyifatkan hubungan antara Onn dan Umno sebagai saling tidak memahami antara satu sama lain menyebabkan perpisahan berlaku. Onn mahukan Umno atau United Malays National Organisation yang memperjuangkan orang Melayu berubah menjadi United Malayan National Organisation, sebuah parti nasional berbilang kaum. Menurut Ramlah, Malaya ketika itu dilanda angin perubahan dan Onn mahu Umno pantas menyesuaikan diri dengan perubahan berlaku. Tetapi Umno ketika itu belum bersedia melakukan perubahan drastik. Bagaimanapun, dua tahun selepas pemergian Onn, Umno di bawah kepemimpinan Tunku Abdul Rahman, bekerjasama dengan MCA (Malayan Chinese Association) yang dipimpin Tan Cheng Lock, bertanding dalam pilihan perbandaran Kuala Lumpur dan kemudian di bawah bendera Perikatan dalam pilihan raya umum 1955. Konsep Perikatan menjadi formula kepada penubuhan BN yang kini dianggotai 14 parti, termasuk dari Sabah dan Sarawak, suatu gabungan yang setiap parti mengekalkan identiti masing-masing. Ini menyebabkan ramai menyifatkan Onn sebagai seorang pemimpin yang mendahului masanya. Walaupun, idea beliau tidak diterima pada peringkat awal, tetapi sedikit sebanyak dicedok hingga membawa kepada penubuhan Perikatan dan BN. Onn selepas keluar daripada Umno terus berjuang, tetapi kecewa apabila janji pemimpin bukan Melayu seperti Tan Cheng Lock dan EEC Thuraisingham serta MIC (Malayan Indian Congress) untuk menyokong perjuangan parti yang ditubuhnya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) tidak menjadi kenyataan. Walaupun, menjadi hero orang Melayu dengan meruntuhkan Malayan Union, tetapi politik Melayu adalah Umno. Natijahnya, IMP tewas kepada pakatan Umno-MCA dalam pilihan raya 1952. Onn membubarkan IMP dan menubuhkan Parti Negara pada 1954 dan

kemudian bertanding dalam pilihan raya umum 1955, tetapi semua calon parti itu termasuk Onn sendiri tewas. Beliau bertanding sekali lagi atas tiket Parti Negara dalam pilihan raya umum 1959 dan menang di Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Begitulah perjalanan politik Onn. Apabila menumbangkan Malayan Union, beliau dari segi populariti dan politik berada pada puncak, malah dianggap bakal Perdana Menteri pertama apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman pernah menawarkan kepada Onn sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, tetapi ditolak beliau kerana tidak mahu meninggalkan tanah air. Apabila Onn meninggal dunia, Tunku Abdul Rahman, menamakan jalan ke Pejabat Perdana Menteri sebagai Jalan Dato Onn. Beliau meninggal dunia pada 18 Januari 1962 ketika berusia 67 tahun di Johor Bahru. Walaupun tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan, jasa Onn tidak dilupakan begitu saja. Pada hari itu, Setiausaha Kerajaan Johor ketika itu, Datuk Abdul Rahman Musa, datang ke rumah lalu memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan mengarahkan pengebumian dilakukan dengan menerima penghormatan negara. Source: Berita Harian | www.bharian.com.my