Anda di halaman 1dari 2

Seminar bertajuk "Facebook dalam Kalangan Remaja: Satu Keperluan atau Ketagihan?

"
Oleh : Chen Hsien Nee

Dr Normah Mustaffa

UKM - Terdapat lima kategori penerima Facebook, iaitu pencetus (innovators), penerima awal (early adopters), majoriti awal (early majority), majoriti akhir (late majority) dan penerima akhir (laggards). Demikian menurut ketua kumpulan pengkaji Universiti Kebangsaan Malaysia Dr. Normah Mustaffa, kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan bagaimana dan mengapa remaja meminati Facebook untuk membantu mengenal pasti tahap penggunaannya, tujuan penggunaan dan faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya dalam kalangan remaja. Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian beliau di Majlis Siri Seminar Bulanan FSSK yang telah dijalankan pada 20 Oktober 2011 bertempat di bilik mesyuarat Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK), FSSK Bangi. Jelas beliau, kajian ini mengambil kira pandangan daripada pengkaji Song, Larose dan Eastin (2004) yang menyatakan bahawa pengguna yang melayari Facebook melebihi empat jam sehari dikatakan tergolong dalam kumpulan ketagih. Argumentasi ini telah dijadikan pengukur tahap kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa remaja Malaysia hanya menghabiskan masa selama satu hingga tiga jam sehari untuk Facebook. Pengalaman mereka menggunakan Facebook ini adalah masih pada tahap permulaan dan tergolong dalam golongan majoriti akhir iaitu berhati-hati terhadap perubahan dan tidak selesa dengan sesuatu yang tidak pasti. Manakala, tujuan utama mereka melayari laman ini adalah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya dan juga berhubung semula dengan rakan lama. Pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama remaja menggunakan kemudahan laman sosial itu. Menurut kajian tersebut juga, Facebook didapati sudah menjadi suatu keperluan dan bukan ketagihan. Hal ini kerana penggunaan Facebook tidak harus dipandang dari dimensi negatif sahaja tetapi juga harus dilihat dari dimensi yang positif. Contohnya, seperti pengguna dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana terbukti hubungan anak-anak dengan ibu bapa semakin erat jika anak-anak menerima ibu bapa mereka sebagai rakan dalam Facebook. Kaedah ini juga membolehkan anak-anak yang tidak dapat berbincang secara bersemuka dengan ibu bapa mereka, dapat melakukannya melalui Facebook. Seorang lagi dari kumpulan pengkaji Dr Wan Amizah Wan Mahmud menambah kebaikan utama Facebook adalah ianya merupakan satu laman yang membolehkan pengguna untuk bersosial,

berinteraksi, meluahkan pendapat, dan mencari kawan-kawan seperti bertanyakan khabar untuk menjalinkan silaturahim. Hal ini kerana penggunaan Facebook adalah mudah dan cepat serta mampu menyampaikan maklumat terus kepada orang ramai. Maka, laman web sosial ini terbukti berkesan dan digemari ramai sekaligus menyebabkan jumlah pengguna Facebook semakin bertambah.

Dr Wan Amizah

Manakala, keburukan Facebook pula adalah apabila mula berkawan dengan orang yang tidak dikenali dalam talian, dinasihati agar lebih baik jangan menceritakan perihal peribadi, kerana kemungkinan orang tersebut akan menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik. Selain itu, beliau berpendapat permainan-permainan dalam Facebook juga adalah tidak bagus kerana boleh menyebabkan seseorang itu leka dan membuang masa. Pada pandangan beliau, Facebook pada masa hadapan tidak kekal lama kerana kemungkinan trend akan berubah kepada Twitter. Hal ini kerana Twitter adalah lebih cepat, tetapi cuma tidak boleh digunakan untuk memuatnaikkan gambar sahaja seperti Facebook. Kumpulan penyelidikan yang terdiri daripada Dr Normah Mustafa, Dr Wan Amizah Wan Mahmud, Dr Fauziah Ahmad, Dr Chang Peng Kee dan Puan Maizatul Haizam Mahbob telah menjalankan penyelidikan mereka untuk mengetahui adakah Facebook merupakan suatu kemudahan, keperluan ataupun ketagihan dalam kalangan remaja. Antara dapatan lain kajian, mereka mendapati Facebook adalah antara laman sosial yang paling dikerap dilawati oleh pengguna Internet. Walau bagaimanapun, keperluan untuk setiap individu itu adalah berbeza. Sehingga Mei 2011, didapati jumlah pengguna Facebook sudah mencecah sehingga 666 juta orang termasuk 10.6 juta pengguna adalah dari Malaysia. Seramai 3.5 juta daripada jumlah ini adalah pengguna yang berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun. Data ini menunjukkan bahawa betapa minatnya para remaja kini terhadap laman web sosial Facebook. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan soal-selidik ke atas 200 orang remaja di Lembah Klang yang berumur di antara 15 tahun hingga 25 tahun dan memiliki Facebook.