Anda di halaman 1dari 12

1.

0 PENGENALAN Persaingan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan semakin hebat diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini kerana pelajar-pelajar berkelulusan SPM dan STPM semakin ramai dan lambakan graduan yang cemerlang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Natijahnya, pengambilan keputusan untuk memilih bakal pekerja yang benar-benar berkelayakan dengan jawatan yang dipohon adalah menjadi tanggungjawab penting kepada para majikan atau penyelia. Temuduga boleh ditakfifkan sebagai perbualan berhaluan antara penemuduga dengan pemohon untuk bertukar-tukar maklumat dan menilai kesesuaian pemohon bagi sesuatu jawatan. Ia juga merupakan instrumen yang sangat baik dalam proses pemilihan pekerja tetapi boleh menimbulkan masalah jika tidak dilakukan dengan betul. Selain itu, proses temuduga menjadi panduan dan sumber yang dibangunkan untuk membantu pihak majikan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai pengetahuan, kemahiran dan kebolehan setiap calon. Tambahan juga proses pemilihan melihat tahap kematangan serta kejujuran calon disamping mengetahui sama ada calon mempunyai personaliti yang sesuai dengan jawatan atau tidak. Temuduga boleh dilaksanakan dalam bentuk iaitu berstruktur atau tidak berstruktur. 1.1 Apa itu temuduga berstruktur? Merujuk kepada Gary Desseler (2003) dalam Siti Hafsah (2006), temuduga berstruktur adalah menggunakan satu set soalan yang teratur dan terperinci yang mana jawapan calon akan dicatat oleh penemuduga pada kertas temuduga yang disediakan. Secara amnya, temuduga berstruktur dapat memastikan calon mempunyai peluang yang sama untuk menyampaikan maklumat dan dinilai dengan tepat dan konsisten. Maknanya, dalam temuduga berstruktur semua calon akan disoal soalan yang sama dan dalam turutan yang sama. Selain itu, semua calon juga akan dinilai berasaskan skala pemarkahan yang seragam kerana proses pembuatan keputusan oleh pihak penemuduga adalah berasaskan skima jawapan yang telah disediakan. Jika difikirkan, temuduga tidak berstruktur lebih menarik kerana pelaksanaannya yang mudah untuk dijalankan. Calon mungkin disoal soalan-soalan yang berbeza dan penemuduga tidak perlu merujuk kepada skema jawapan kerana skala pemarkahan yang seragam tidak diperlukan. Namun, keadaan ini menyebabkan temuduga tersebut menjadi terlalu subjektif serta

merendahkan ketepatan penilaian. Kajian menunjukkan bahawa temuduga tidak berstruktur tidak menunjukkan prestasi sebenar calon.

Temuduga tidak berstruktur biasanya menunjukkan kebolehpercayaan dan kesahan yang rendah. Selain memberi kesan kepada kebolehpercayaan dan kesahan penilaian, kekurangan dari segi keseragaman kaedah temuduga dan soalan juga menyebabkan temuduga tidak berstruktur boleh dipertikaikan (Terpstra, Mohamed, and Kethly 1999; U.S. Merit Systems Protection Board, 2003). Sebagai perbandingan, temuduga berstruktur menunjukkan kadar kebolehpercayaan dan kesahan yang tinggi serta tidak boleh dipertikaikan. Oleh yang demikian, pelaksanaan temuduga berstruktur adalah digalakkan untuk menilai kompetensi pegawai seperti peperiksaan dan lainlain kaedah penilaian.

Temuduga berstruktur melibatkan beberapa soalan yang direka untuk mengukur kecekapan calon mengisi jawatan yang telah dipilih. Reka bentuk soalannya meliputi empat jenis iaitu soalan berkaitan perihal tingkah laku, situasi, latar belakang dan bidang pekerjaan yang diceburi. Reka bentuk soalan berasaskan perihal tingkah laku bertujuan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai prestasi dan pengalaman masa lalu calon berhubung dengan kecekapan yang dinilaikan. Pendekatan ini adalah berdasarkan bukti empirikal bahawa prestasi lalu meramalkan prestasi masa depan dalam situasi yang sama atau berkaitan dengan pekerjaan baru yang dipohon.

Calon juga akan ditanya beberapa soalan yang berkaitan dengan situasi pekerjaan yang dipohon. Dalam soalan situasi, calon akan diduga beberapa pertanyaan yang melibatkan situasi atau peristiwa kerja yang berkaitan disamping melihat bagaimana mereka memberi respon kepada pihak penemuduga. Soalan ini juga memberi fokus pada sejauh mana calon yang dipanggil mempunyai fleksibiliti dalam mengadaptasi tingkah laku yang telah dipelajari sebelum ini dan menggabungkannya kedalam situasi baru yang berkaitan dengan pekerjaan.

Selain itu, reka bentuk soalan juga mengambil kira beberapa perkara yang berkaitan dengan latar belakang calon. Soalan ini adalah penting untuk mengatahui kelayakan dan tahap akademik calon berhubung jawatan yang diisi. Bukti seperti sijil-sijil yang diperolehi calon daripada tahap

PMR, SPM, STPM dan sehingga tahap yang tertinggi menjadi kepentingan dan rujukan kepada pihak penemuduga.

Fungsi temuduga akan gagal dicapai sekiranya penemuduga adalah terdiri daripada penilai yang tidak terlatih. Mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesilapan semasa mengendalikan temuduga. Kebiasaannya, kesilapan yang biasa berlaku semasa sesi temuduga adalah bias tanggapan pertama, kesan halo, prasangka peribadi, tanggapan stereotaip dan banyak lagi. Justeru itu, adalah menjadi panduan kepada penemuduga untuk mengemukakan soalan yang berkaitan dan perlu bijak mengendalikan sesi temuduga.

1.1.1

Soalan temuduga berstruktur: Jawatan sebagai wartawan di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Dalam kertas kerja ini, reka bentuk soalan temuduga yang perlu disediakan adalah berkaitan dengan jawatan sebagai wartawan di Utusan Melayu Berhad seperti yang tertera di bawah:

JAWATAN KOSONG SEBAGAI WARTAWAN DI UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD


WARTAWAN Peluang menjadi wartawan di Utusan Malaysia Berhad Syarat-Syarat -Graduan Undang-Undang, Politik, Sains, Ekonomi, Kewangan, Komunikasi & Hubungan Antarabangsa -Umur tidak melebihi 30 tahun. Untuk memohon, sila hantar surat & resume kepada: PENGURUS BESAR, SUMBER MANUSIA, UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD, TINGKAT 7, MENARA PGRM, NO.8, JALAN PUDU ULU, CHERAS, 56100 KUALA LUMPUR. (U.P.:UNIT PENGAMBILAN KAKITANGAN) E-Mail: aizul@utusan.com.my Tarikh Tutup: 6 Julai 2011

2.0 SET SOALAN TEMUDUGA BERSTRUKTUR BERSERTA JUSTIFIKASI.

2.1 Soalan berkenaan perihal tingkah laku calon. 1. Kenapa anda berhenti dari tempat kerja yang lepas? Soalan ini menginginkan calon menyatakan beberapa aspek negatif dan aspek positif ketika bekerja dengan majikan yang lama. Calon yang sentiasa mengambil peluang untuk mengadu dumba semasa sesi temuduga memberikan imej diri yang tidak baik daripada pandangan pihak penemuduga. Sebaliknya jawapan yang diberikan secara diplomatik menggambarkan bahawa calon mempunyai pegangan dan prinsip hidup yang kukuh. Misalnya, apabila seseorang bakal wartawan memilih untuk bersama kebenaran dan keadilan sosial, maka ia tidak terelak dari kesepian dan bersendirian apabila berpegang kepada prinsip hidup. 2. Apakah kelebihan dan kelemahan anda yang paling ketara? Soalan ini berbentuk analisis SWOT terhadap bakal wartawan. Setiap majikan mahukan calon yang sentiasa bersedia sebelum mereka menyertai syarikat. Fakta yang sangat jelas menunjukkan bahawa apabila sesorang individu itu tahu kekuatan dan kelemahan diri, ia memberitahu penemuduga bahawa calon adalah seorang yang matang dan mempunyai pengetahuan yang pelbagai untuk mengendalikan kerja. Soalan ini juga menduga sifat kejujuran seorang calon. Kebanyakan calon mengabaikan sifat kejujuran demi mendapatkan pekerjaan yang diingini. 3. Huraikan suatu masalah yang pernah anda hadapi dan bagaimana anda menyelesaikannya. Soalan temuduga ini menguji kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif setiap calon. Memang agak sukar untuk calon menjawab soalan ini, lebih - lebih lagi sekiranya calon seorang fresh graduate dan tidak mempunyai sebarang pengalaman kerja. Kebolehan calon untuk menyatakan masalah dan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut walaupun cuma sekecil zarah memperlihatkan kepada penemuduga kebolehan calon untuk berfikir secara kritikal ketika berhadapan dengan pelbagai situasi

yang

mendatang.

Ini

juga

menunjukkan

bahawa

calon

adalah

seorang

yang

bertanggungjawab dan boleh menyelesaikan masalah dengan sistematik. 4. Apabila anda mendapat kerja baru, bagaimana anda memulakan hubungan baru dengan rakan sejawatan dan penyelia anda? Soalan ini menguji kecenderungan calon membina hubungan yang positif dengan rakan sekerja seterusnya bagaimana mereka menghidupkan suasana yang kondusif semasa menjalankan tugasan. Majikan perlu memilih seseorang yang boleh bekerjasama, mempunyai sifat kesopanan dan kemesraan dengan orang ramai untuk mengelakkan sebarang konflik antara pekerja bawahannya. Kepuasan apabila berada dalam persekitaran mempamerkan tahap prestasi secara total sebagai teras yang diperlukan untuk proses perubahan syarikat. 5. Apa yang menarik minat kami untuk anda diambil bekerja dengan syarikat? Mengapakah kami patut mengambil anda bekerja dengan syarikat kami? Soalan ini menguji minat dan kecenderungan calon terhadap bidang kewartawanan. Dalam dunia kewartawanan, majikan memerlukan seseorang pekerja yang boleh membawa keuntungan kepada syarikat. Calon yang tahu akan perkara yang memotivasikan mereka untuk menjadi seorang wartawan menggambarkan mereka dapat memberikan nilai tambah kepada syarikat dalam menghasilkan sebuah karya yang menarik. 2.2 Soalan berkenaan situasi.

1. Sekiranya anda perlu ditugaskan ke luar negara untuk membuat liputan berita,
adakah anda sanggup? Soalan ini berkaitan demografi tugas. Kesanggupan calon untuk bekerja tidak kira di mana mereka ditempatkan menggambarkan bahawa calon seorang yang pandai berdikari dan boleh menyesuaikan diri apabila berada di negara luar. Wartawan generasi baru, mahu atau tidak perlu menerima cabaran dan pemantauan daripada masyarakat.

2. Sekiranya terdapat pihak yang mendakwa anda mereka-reka cerita yang tidak
benar, apa tindakan anda terhadap individu yang mendakwa anda? Soalan ini menguji calon bagaimana mereka mengawal emosi dan perasaan apabila berhadapan dengan segala tuduhan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Calon perlu menyedari bahawa dunia kewartawanan bukan sekadar menyumbang pengetahuan, kemahiran dan kebolehan mereka, tetapi juga emosi, kreativiti, semangat berpasukan dan personality diri yang baik. Biasanya keutamaan untuk mengisi jawatan akan diberikan kepada calon yang dapat menyeimbangkan hal peribadi dengan pekerjaan dengan bertanggungjawab dan amanah.

3. Kerajaan memperkenalkan konsep KPI (Key Performance Indicator) untuk


mengukur kecekapan dan keberkesanan menteri-menteri yang dilantik di dalam kabinet. Boleh anda ulas sedikit tentang ini? Soalan berbentuk ulasan terhadap isu-isu dalam negara sangat penting sebagai seorang wartawan. Soalan ini membantu penemuduga untuk mengetahui bagaimana calon menghurai dan mengulas kenyataan dalam soalan. Keupayaan calon untuk menghuraikan teori secara praktikal mencerminkan diri calon yang sentiasa peka terhadap isu-isu semasa negara dan meyakinkan penemuduga bahawa individu tersebut sesuai bergelar wartawan jika sering terdedah kepada perkembangan negara dalam semua aspek.

4. Jika anda keluar dari sektor swasta dan masuk ke jabatan kerajaan, bagaimana
anda boleh meyakinkan kami bahawa anda tidak akan keluar dan masuk semula ke sektor swasta? Soalan ini menguji tahap keyakinan calon. Ketegasan dan kelantangan calon dalam menyuarakan sebab dan akibat daripada peristiwa secara bernas menunjukkan bahawa calon adalah seorang yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Keyakinan yang dipamerkan jelas memenuhi cirri-ciri yang perlu ada sebagai seorang wartawan.

5. Seorang wartawan akan sentiasa menghadapi kemungkinan untuk membuat


liputan di lokasi yang berisiko tinggi seperti di Negara Iraq. Terangkan respons anda terhadap komitmen sebegini. Bagaimana anda akan menyelesaikan segala cabaran yang muncul dalam proses liputan ini? Pembaca biasanya akan cenderung untuk mengetahui berita-berita sensasi dan hangat tidak kira dalam mahupun luar negara untuk melariskan pasaran akhbar syarikat. Justeru itu, untuk membantu meningkatkan keuntungan syarikat, majikan mahukan seorang yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan dengan meluaskan pengetahuan dan sensetiviti terhadap apa-apa perkembangan yang sedang berlaku dalam lingkungan tanggungjawab mereka. Ketelusan dan keikhlasan yang dipancarkan dari riak wajah calon memberitahu penemuduga bahawa calon adalah seorang yang komited terhadap bidang tugasannya. 2.3 Soalan berkenaan latar belakang calon.

1. Ceritakan tentang diri anda. Soalan ini membuka peluang kepada calon wartawan mempromosikan diri sendiri. selalunya majikan memerlukan pemohon mengemukakan nama-nama orang yang boleh memberikan keterangan tentangnya. Maklumat latar belakang kerja dan prestasi seorang pemohon boleh didapati daripada bekas majikan dan kebiasaannya rujukan ini boleh dihubungi melalui telefon. Majikan juga perlu mengetahui sama ada umur calon boleh melayakkan beliau untuk mengisi jawatan tersebut atau tidak berdasarkan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat. 2. Kenapa anda yang harus kami pilih, dan bukan calon lain? Apa kelebihan anda? Setiap syarikat biasanya inginkan seorang pekerja yang berupaya menyatukan pengetahuan teknikal dengan kebolehan pengurusan dan mempunyai kemahiran-kemahiran lain seperti penguasaan teknologi maklumat, kemahiran komunikasi, perhubungan kemanusiaan,

pengucapan awam, berpolitik, penyelesaian masalah dan bijak membuat keputusan. Hal ini demikian kerana dunia kewartawanan masa kini penuh dengan unsur-unsur yang berlawanan daripada fitrah seseorang insan. Misalnya, dalam kehebatan akhbar menceritakan keburukan judi dan minuman keras, pihak yang sama juga memperuntukan ruangan iklan minuman keras dan ruang khas keputusan perjudian. 3. Apakah pencapaian yang paling anda banggakan? Taktik menyoal soalan ini adalah untuk memilih calon yang mempunyai pencapaian berkaitan bidang kewartawanan dan selari dengan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Walaupun pencapaian calon yang terbaik adalah mendapat tempat pertama dalam peraduan memasak maggi peringkat negeri, namun pencapaian yang lebih berkaitan dengan kerjaya sebagai seorang wartawan adalah diutamakan. Dengan ini, pihak penemuduga akan memikirkan kualiti-kualiti yang diingini dan menekankan bagaimana calon boleh memenuhi kriteria tersebut. 4. Di manakah anda dalam lima (5) tahun dari sekarang? Soalan ini berbentuk ramalan masa depan calon. Penemuduga akan menilai kelayakan akademik calon adakan ianya setaraf dengan syarat yang ditetapkan atau mempunyai lebih kelayakan lain. Kelayakan akademik yang diperolehi sekiranya lebih tinggi dari apa yang dikehendaki mengandaikan bahawa calon masih boleh mencari hala tuju dan pekerjaan yang setaraf dan lebih baik lagi. 5. Nyatakan satu contoh di mana anda telah menonjolkan bakat kepemimpinan semulajadi dalam melaksanakan sesuatu aktiviti atau program yang besar dan berjaya? Soalan ini berasaskan teori dan praktikal dalam bidang kewartawanan. Kebolehan calon untuk membuktikan secara empirikal dan menonjolkan bakat kepimpinan yang wujud sebelum ini memberitahu kepada penemuduga bahawa calon adalah seorang yang mampu memotivasikan orang lain.

2.4 Soalan berkenaan pekerjaan yang diceburi. 1. Kenapa mesti kami pilih anda untuk jawatan ini? Soalan ini boleh diistilahkan apa yang membawa anda datang kepada kami. Soalan ini pada asasnya bertujuan untuk mengetahui sama ada calon benar-benar tahu akan kebaikan dan keburukan apabila ingin menceburkan diri dalam dunia kewartawanan. Calon yang boleh memberitahu bidang tugas seorang wartawan membuktikan Calon mempunyai pengetahuan am yang luas seperti berkenaan perhubungan awam, politik semasa, pengurusan konflik dan tekanan, dan asas undang-undang. Dengan itu, pihak majikan akan benar-benar teruja dan terdorong untuk memilih calon yang mempunyai kualiti diri yang tinggi sesuai dengan gelaran sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. 2. Mengapa anda memilih syarikat ini? Ini adalah salah satu soalan temuduga yang akan digunakan oleh majikan untuk memeriksa sama ada calon ada membuat kajian terhadap syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Calon tidak sepatutnya menghadiri panggilan temuduga tanpa menyelidik tentang latar belakang, perkembangan dan bidang industri syarikat yang berkaitan. Sekiranya calon bersedia dengan maklumat - maklumat tersebut, majikan akan melihat mereka sebagai seorang yang berinisiatif dan boleh diharap. Selain itu juga, soalan ini menduga tahap kesediaan calon apabila ditanya lebih lanjut soalan yang berkaitan dengan syarikat. Kegagalan calon untuk menghuraikan hal-hal berkaitan syarikat menunjukkan seolah-olah calon tidak membuat persediaan yang rapi. 3. Berapakah gaji yang anda harapkan? Soalan ini penting kepada majikan sektor swasta untuk mengetahui tahap gaji yang diingini oleh setiap calon mengikut kelayakan masing-masing. 4. Setakat yang anda tahu, apakah tugas-tugas yang bakal dipikul oleh anda nanti? Soalan ini menduga calon adakah mereka benar-benar faham akan situasi pekerjaan yang akan mereka ceburi. Calon yang boleh menyatakan visi, misi dan objektif syarikat

memberitahu penemuduga bahawa mereka telah bersedia memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan dalam dunia kewartawanan. Hal ini demikian kerana, sebagai seorang wartawan mereka bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa. Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul dalam fikiran pembaca. Kualiti sesebuah penulisan tidak hidup sendiri malahan ia perlu bergabung dengan kemahiran-kemahiran individu lain melibatkan grafik, reka letak, pemasaran, gaya persembahan dan proses pujukan pelanggan. Dengan itu, penemuduga dapat mengesan keikhlasan calon yang benar-benar faham akan situasi tersebut. 5. Sebagai seorang wartawan, selain daripada kepakaran berkomunikasi, apa lagi kemahiran lain yang perlu ada pada diri anda untuk membina sebuah kerjaya yang cemerlang dan membolehkan anda menjadi seorang wartawan yang serba boleh? Apa inisiatif yang anda ingin lakukan? Soalan ini menduga kemahiran-kemahiran lain yang dipunyai oleh calon untuk melayakkan mereka mengisi jawatan wartawan yang disiarkan. Kemahiran berkomunikasi merupakan suatu perkara yang sangat sinonim dengan dunia kewartawanan. Walau bagaimanapun, dunia kewartawanan pada dekad ini bukan hanya memandang kepada individu yang petah dalam percakapan bahkan juga memerlukan calon yang mempunyai tahap keberanian tinggi terutamanya ketika diarahkan untuk membuat liputan akhbar yang berisiko terhadap diri individu tersebut. Keberanian mentafsir semula dan melaporkan berita kepada massa memerlukan keberanian yang bukan kecil. Etika kewartawan yang meminta wartawan melaporkan secara adil dan telus berdasarkan fakta bukan sentimen menjadi kekuatan bagi mengubah wajah berita yang sengaja disolek dengan penipuan. Di samping itu kemahiran dalam menggunakan teknologi IT juga menjadi modal kepada calon untuk memperjuangkan pekerjaan yang dipohon.

3.0 PENUTUP Kesimpulannya, proses pelantikan bagi beberapa jawatan sama ada di sektor swasta atau kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan daripada sesi temuduga. Temuduga pekerjaan dianggap satu alat penilaian yang digunakan secara meluas dan berpengaruh terutama dalam proses membuat keputusan calon yang layak dimasukkan ke dalam syarikat. Terdapat dua jenis temuduga yang biasa dijalankan oleh mana-mana sektor iaitu temuduga berstruktur dan tidak berstruktur. Dalam kertas kerja ini, perbincangan adalah berfokus kepada set soalan temuduga berstruktur daripada empat aspek yang telah diketengahkan iaitu soalan yang berkaitan perihal tingkah laku calon, situasi, latar belakang calon dan soalan berkaitan pekerjaan dalam bidang kewartawanan. Kesemua aspek ini ditanya dalam lima soalan berserta justifikasi setiap soalan tersebut. Set soalan perlu disediakan terlebih dahulu menyedari potensi yang ada dalam temuduga berstruktur yang mana ianya memerlukan penelitian yang rapi untuk setiap peringkat proses temuduga, bermula dari persiapan hinggalah kepada pembangunan, pelaksanaan, dan seterusnya penilaian. Panduan ini akan memudahkan tugas dan memastikan pengambilan bakal wartawan dapat dilakukan oleh pihak pengurus mahupun sumber manusia. Reka bentuk soalan temuduga berstruktur adalah lebih baik jika dibandingkan dengan temuduga tidak berstruktur terutama dari sudut meramalkan prestasi kerja individu tertentu. Disamping itu juga, maklumat daripada temuduga berstruktur mempunyai ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Pendekatan ini seterusnya dapat mengelakkan sikap berat sebelah pihak penemuduga kerana keputusan yang diambil adalah berdasarkan markah merit yang diperolehi setiap calon.

4.0 RUJUKAN

Conducting Effective Structured Interview: Resource Guide for Hiring Managers and Supervisors. Diperolehi pada Julai 29, 2011 daripada http://www.state.gov/documents/organization/107843.pdf Jan Sample (2007). Structure Interview Questions: The workplace Personality Questionaire. Diperolehi pada Julai 29, 2011 daripada http://www.acer.edu.au/documents/ACERPress_ASE_PM_IntQues.pdf Panduan Penemuduga Penilaian Tahap kecekapan. Diperolehi pada Julai 29, 2011 daripada http://www.dca.gov.my/Division/Management_Services/ptk/PANDUAN%20PENEMUD UGA%20PENILAIAN%20TAHAP%20KECEKAPAN.pdf Siti Hafsah (2006). Kualiti Pengurus Projek Banyak Bergantung Pada Kualiti PenilaiaN Dan Pemilihan. Diperolehi pada Julai 29, 2011 daripada http://www.efka.utm.my/thesis/IMAGES/4MASTER/2006/2JSBP/Part2/sitihafsah03100 1d06ttt.pdf Sample Structured Interview Questions: Based upon CSSS competency areas. Diperolehi pada Julai 29, 2011 daripada http://rtc.umn.edu/docs/interview.pdf