Anda di halaman 1dari 6

PEMBUANGAN BAYI: MENCARI PUNCA DAN JALAN PENYELESAIAN

Membuang bayi adalah cara yang paling enteng dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan tersebut.

Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi berkenaan mati kelemasan.. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang kotor.

Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun 1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkahlangkah penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.

Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?

Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, tempat pelupusan sampah, sungai, longkang atau di rumah ibadat.

Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati si pelaku. Ada sesetengah kes yang di mana si pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.

Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.

Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi

liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.

Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis tentang perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada proses sosialisasi.

Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarahmenziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat moden. Gotongroyong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.

Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan

seks, Jerman memperkenalkan Babys Craddle untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Babys Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.

Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.

Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan pembuangan bayi di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyayat hati. Melalui undang-undang Safe Heaven yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat tentang undang-undang Safe Heaven ini

turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat

Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?

Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini?

SKRIP PENGUCAPAN AWAM


(ULBS BAHASA MELAYU)
NAMA : MOHAMED SHAHRIL FAZHANI B.ADNAN KELAS : 4 ARIF NO I/C : 960723-07-5793 GURU PENILAI : PN. LAILAWATI BT. SHAFFIAN SEKOLAH : SMS TUN SYED SHEH SHAHABUDIN