Anda di halaman 1dari 7

NAMA : NO MATRIK: KURSUS:

HASLINDA BT ZAIMI M20092001149 ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM

KAUNSELING/KKP 6023 PENSYARAH: DR.MOHAMMAD NASIR BIN BISTAMAM

TAJUK 2
NILAI DAN HUBUNGAN MENOLONG

PENGENALAN Persoalan mengenai penerapan nilai-nilai sering timbul sewaktu sesi kaunseling. Ini adalah kerana sebagai seorang manusia, kaunselor tidak terlepas daripada mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan yang membentuk sistem kepercayaan atau pegangan hidup mereka sendiri. Oleh yang demikian, persoalan yang sering timbul ialah adakah kemungkinan nilai-nilai yang diamalkan oleh kaunselor ini, mempunyai kesan terhadap klien atau mungkinkah nilai-nilai klien itu sendiri boleh memberi kesan ke atas kaunselor dan yang paling penting sekali konflik yang mungkin timbul jika klien dan kaunselor mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai yang berbeza. Faktor-faktor inilah yang harus dipertimbangkan oleh kaunselor sewaktu sesi kaunseling kerana jika perkara ini tidak dapat ditangani dengan baik oleh kaunselor, ianya boleh menjejaskan proses kaunseling.

TIDAK MENYATAKAN NILAI Ramai yang tertanya-tanya wajarkah kaunselor menyimpan atau menyembunyikan nilainilai mereka semasa mengendalikan sesi kaunseling. Walaupun sememangnya jelas bukanlah tugas kaunselor untuk memujuk atau mendorong klien menerima nilai-nilai kaunselor, namun adalah amat penting bagi kaunselor untuk mengetahui dengan jelas mengenai nilai-nilai mereka sendiri dan bagaimana ianya boleh mempengaruhi tugas mereka dan hala tuju yang diambil oleh klien mereka. Ramai yang berpendapat bahawa adalah wajar dan penting bagi kaunselor menyatakan atau mendedahkan nilai-nilai mereka secara terbuka apabila ianya mempunyai kaitan (relevant) dengan isu atau persoalan yang ditimbulkan sewaktu sesi kaunseling bersama klien. Namun yang demikian, apabila kaunselor menyatakan nilai mereka, mereka haruslah dengan jelas melabelkan nilai-nilai tersebut sebagai hanya kepunyaan mereka. Nilai-nilai tersebut boleh dibincangkan secara terbuka tanpa mempunyai unsur-unsur mempengaruhi kerana ianya dapat membantu klien di dalam proses penerokaan nilai-nilai mereka sendiri dan tingkah laku yang berpunca daripada nilai-nilai tersebut. Walaupun ada kalanya kaunselor tidak bersetuju

dengan nilai-nilai klien mereka, namun adalah penting untuk mereka menghormati hak dan kebebasan klien untuk memegang atau mempunyai sistem nilai yang berbeza. Ini adalah kerana cara kaunselor menangani konflik perbezaan nilai boleh menimbulkan isu di dalam etika kaunseling. Tidak semua kaunselor atau pengamal terapi mempunyai pandangan yang sama di dalam isu ini. Terdapat kaunselor yang bersikap ekstrim yang memegang sistem nilai mereka secara total. Golongan ini percaya bahawa tugas mereka adalah untuk mempengaruhi klien mereka supaya mengambil dan menerima nilai yang dianggap lebih bersesuaian. Kaunselor yang sebegini cenderung untuk mengarahkan klien mereka ke arah sikap dan perlakuan yang mereka anggap terbaik atau akan memberi lebih kebaikan kepada klien mereka. Terdapat segelintir kaunselor pula yang bersikap sebaliknya. Mereka ini terlalu ekstrim mengelakkan diri mereka daripada mempengaruhi klien mereka. Segala yang berkaitan dengan sistem nilai mereka, ditutup dan disembunyikan dengan rapi agar mereka tidak akan mencemari pilihan atau keputusan yang diambil oleh klien mereka.

SETAKAT MANA MENYATAKAN NILAI Walaupun sememangnya dianggap adalah tidak beretika bagi kaunselor menanam

nilai-nilai mereka ke dalam diri klien, namun adalah amat sukar bagi kaunselor untuk langsung tidak mempengaruhi klien mereka sewaktu sesi kaunseling berlangsung. Ini adalah kerana penyataan nilai-nilai tidak semestinya hanya boleh dilakukan secara verbal. Penyataan nilai juga boleh berlaku secara nonverbal dan bahasa tubuh tanpa disedari oleh kaunselor. Ekspresi wajah serta reaksi bahasa tubuh yang dapat dilihat semasa sesi kaunseling dapat memberi isyarat, maklumat atau cues kepada klien mengenai pandangan atau persepsi kaunselor mengenai sesuatu isu. Walaupun di dalam sesetengah kes atau situasi, penyataan atau pendedahan nilai kaunselor dilihat dapat membantu klien dalam mengenalpasti sistem nilai mereka sewaktu proses penerokaan, namun ianya juga boleh memberi kesan negative kepada klien. Ini adalah kerana terdapat sesetengah klien yang mengambil tindakan atau keputusan berdasarkan sistem nilai yang dipegang dan diamalkan oleh kaunselor mereka semata-mata untuk mengambil hati atau

agar keputusan mereka ini diterima dengan senang hati tanpa dipersoalkan atau dipertikaikan oleh kaunselor. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian A: Perhubungan Menolong, A.4.b Nilainilai peribadi ada menyatakan bahawa kaunselor hendaklah sedar akan nilai, sikap, kepercayaan dan tingkah laku mereka dan menghindari daripada memaksa terima nilai yang tidak tekal dengan matlamat kaunseling. Kaunselor hendaklah juga menghormati kepelbagaian klien, pelatih dan peserta penyelidikan mereka.

ASPEK KEROHANIAN DAN NILAI AGAMA Aspek kerohanian dan nilai agama memainkan peranan yang sangat penting di dalam kehidupan manusia. Penerokaan tentang kerohanian dan keagamaan dapat membantu klien mencari penyelesaian di dalam perjuangan hidup mereka kerana ianya merupakan satu penyembuh jiwa dan dapat memberi kekuatan di dalam jiwa seseorang. Kerohanian dan nilai keagamaan dapat diintegrasikan bersama instrument terapi yang lain untuk meningkatkan lagi keberkesanan proses kaunseling apatah lagi jika ianya melibatkan sesuatu isu atau keputusan yang sangat kritikal di dalam kehidupan klien. Namun demikan terdapat juga pengamal terapi yang tidak bersetuju dan beranggapan bahawa aspek kerohanian dan nilai keagamaan tidak wajar digunakan di dalam sesi kaunseling dan begitu juga sebaliknya di mana terdapat tokoh-tokoh agama yang menganggap sesi kaunseling atau terapi sebagai sesuatu yang mencurigakan. Sememangnya setiap kaunselor pasti mempunyai agama atau satu sistem dalam aspek kerohanian yang menjadi pegangan di dalam kehidupan mereka. Ada kalanya pegangan ini sedikit sebanyak mempengaruhi cara kaunselor melihat sesuatu isu, matlamat, pilihan penggunaan intervensi serta proses penerokaan isu semasa sesi kaunseling. Justeru itu kaunselor mempunyai tanggungjawab etika untuk sentiasa berwaspada tentang bagaimana ianya boleh memberi kesan terhadap tugas mereka dan memastikan ianya tidak mendatangkan keburukan kepada klien mereka.

PILIHAN MENGAKHIRI HIDUP Semasa sesi kaunseling, kaunselor berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah yang dikemukakan oleh klien. Di antara isu terbesar yang mungkin dihadapi oleh kaunselor ialah pilihan klien untuk mengakhiri hidup. Isu ini sering meletakkan kaunselor di dalam keadaan dilemma untuk membuat pilihan di antara etika kerahsiaan dan nilai-nilai kemanusiaan serta keagamaan. Sebagai, seorang kaunselor mereka haruslah bersedia untuk membincangkan isu ini dengan klien mereka. Mereka juga hendaklah mempunyai kesedaran mengenai sistem nilai dan pegangan keagamaan mereka sendiri untuk membolehkan mereka membantu klien berlandaskan sistem nilai serta pegangan keagamaan mereka dan di dalam masa yang sama tetap menghormati hak klien mereka. Namun begitu, jika seseorang kaunselor merasakan sistem nilai dan pegangan mereka boleh menjejaskan pemikiran objektif mereka, maka keputusan beretika yang patut diambil ialah dengan menarik diri dan menyerahkan klien mereka kepada orang lain yang mempunyai lebih kepakaran agar klien tersebut akan mendapat bantuan yang sewajarnya. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor, Bahagian B: Kerahsiaan, komunikasi privilej, dan privasi, B.2.a. Bahaya dan keperluan undang-undang ada menyatakan bahawa keperluan umum di mana kaunselor perlu menyimpan maklumat rahsia tidak lagi terpakai, jika pendedahan diperlukan bagi melindungi klien atau orang-orang lain yang dikenal pasti daripada kemudaratan yang serius dan yang boleh diramalkan atau apabila keperluan undang-undang menghendaki yang maklumat rahsia mesti didedahkan.

NILAI DALAM SEKSUALITI Nilai dan isu dalam seksualiti juga sering menyebabkan kaunselor berada dalam keadaan serba salah atau kurang selesa terutama sekali jika ianya melibatkan isu gay atau lesbian kerana ianya menyentuh nilai peribadi dan pegangan keagamaan seseorang kaunselor. Sesi bersama golongan ini sering memberi cabaran kepada kaunselor yang masih memegang kuat nilai-nilai tradisional. Golongan gay atau lesbian adalah golongan minority yang selalu terdedah kepada unsur-unsur diskriminasi oleh masyarakat. Kaunselor yang memberi reaksi negative terhadap isu atau golongan ini sebenarnya telah memberikan (impose) nilai peribadi mereka. Di dalam kod etika kaunseling telah dinyatakan dengan jelas bahawa segala bentuk diskriminasi tidak kira dalam

aspek gender, etnik, bangsa atau orientasi seksual adalah tidak beretika dan tidak dapat diterima sama sekali. Justeru itu kaunselor haruslah sentiasa bersikap terbuka dan berfikiran objektif dalam mengendalikan isu ini agar tidak melanggar kod etika kaunseling yang telah ditetapkan. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian C: Tanggungjawab professional, C.5. Diskriminasi ada menyatakan bahawa kaunselor dilarang terlibat atau membenarkan apa-apa bentuk diskriminasi berdasarkan umur, budaya, ketidakupayaan, ras, etnik, agama/kepercayaan, jantina, status perkahwinan/pasangan, status sosioekonomi atau sebarang asas yang ditetapkan oleh undang-undang.

RUMUSAN Kesimpulannya ialah walau apa jua bentuk kepercayaan, sistem nilai atau pegangan keagamaan kaunselor, ianya tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kaunselor untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dan professional.