Anda di halaman 1dari 2

Di tahap manakah kita berada sekarang ?

Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, namun jika hendak dibandingkan dengan zaman sewaktu kita dijajah dahulu, usia kemerdekaan negara kita ini masih boleh dianggap terlalu muda. Tetapi kita seharusnya berbangga kerana dalam usia yang muda ini kita sudah berjaya mencapai banyak kejayaan sama ada dalam bidang ekonomi, politik mahupun sosial. Bahkan sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang begitu unik. Tetapi secara asasnya, masih banyak yang kita perlu pelajari berkenaan dengan kaum-kaum ataupun etnik-etnik lain di Malaysia. Contohnya ramai dikalangan kita terutamanya masyarakat di semenanjung Malaysia tidak mengenali mahupun mengetahui berkenaan dengan etnik-etnik yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkenaan masyarakat yang bergelar sebagai warganegara Malaysia. Namun begitu, hal ini tidak bermakna bahawa perpaduan kaum di negara kita berada pada tahap yang kritikal. Contohnya rakyat di negara kita sudah kelihatan serasi dan mampu untuk bergaul dan bekerjasama meskipun berbeza dari segi adat budaya dan pegangan agama. Selain itu, dalam kalangan masyarakat Malaysia, konsep akomodasi sudah lama diamalkan dan dipupuk dalam diri kita. Biarpun kita berbeza adat dan budaya tetapi kita tetap menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain. Pada masa yang sama kita tetap mempertahankan dan mengamalkan budaya hidup kita. Hal ini amat penting bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat dipertahankan. Tanpa tolak ansur perpaduan itu sukar untuk dicapai. Masyarakat Malaysia juga sudah mengamalkan konsep akulturasi. Dalam konsep ini, telah wujud satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Contohnya dari segi pemakanan, masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai cita rasa,walaupun makanan itu bukan terdiri daripada makanan tradisi kaumnya. Contohnya seperti nasi lemak, roti canai dan dim sum. Makanan ini sudah menjadi makanan yang digemari oleh kebanyakkan masyarakat di Malaysia tanpa mengira etnik mereka. Di samping itu konsep asimilasi turut berlaku di Malaysia. Asimilasi adalah satu prses dimana berlakunya penyatuan dan percantuman antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kebuyaan atau identiti yang sama. Conthnya terbentuknya masyarakat Baba dan Nyonya serta masyarakat Chetti. Asimilasi di Malaysia hanya berlaku dalam konteks budaya tetapi tidak melibatkan anutan kepercayaan atau agama. Di Malaysia, konsep amalgamasi turut terjadi. Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur dan membentuk jenis budaya dan ras yang baru. Di Malaysia, konsep ini telah berlaku biarpun tidak berlaku secara yang meluas. Konsep amalgamasi boleh berlaku melalui perkahwinan daripada etnik yang berbeza.

Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan perpaduan masyarakat Malaysia berkekalan. Contohnya seperti dasar-dasar dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar-dasar Ekonomi Baru dan juga perkongsian kuasa dalam pemerintahan. Kita harus mengambil iktibar bagaimana sewaktu zaman penjajahan dulu pihak British telah mengkelompokkan kita di kawasan dan bidang-bidang tertentu seperti yang diamalkan dalam dasar pecah dan perintah. Hal ini telah menyebabkan perpaduan dalam kalangan kaum sukar untuk di capai pada zaman tersebut. Justeru tindakan kerajaan pada masa kini seperti apa yang diperkenalkan oleh Dato Seri Mohd Najib sebagai gagasan Satu Malaysia merupakan satu landasan yang baik bagi mempertahankan keharmonian yang terbina pada masa kini. Melalui gagasan ini masyarakat diperkenalkan dengan satu konsep pemikiran iaitu kesatuan hidup masyarakat tanpa mengira perbezaan etnik dan sebagainya. Melalui gagasan ini juga menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga kedaulatan dan kemakmuran Negara kita. Perkara ini penting bagi memastikan perpecahan kaum tidak wujud seperti apa yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969. Peritiwa ini harus dijadikan pengajaran untuk menujukkan betapa burukknya kesan yang timbul akibat rusuhan kaum. Oleh itu, kemakmuran yang kita kecapi pada masa kini harus dijaga. Dengan keserasian dan sikap saling bertolak ansur , perpaduan itu tidak sukar untuk dicapai. Didikan dan juga pendedahan harus diberikan kepada generasi berikutnya untuk bergaul dengan komuniti yang berbeza supaya mereka tidak kekok pada masa hadapan. Kita juga harus berwaspada dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina ini. Seharusnya kita harus berfikiran dengan lebih matang dalam mengkaji setiap isu yang dipropagandakan kepada kita ini untuk mengetahui kebenarannya. Jadi sebagai kesimpulannya, keharmonian hidup masyarakat kita pada masa kini merupakan satu anugerah apabila rakyat dapat hidup dalam suasana hormat-menghormati dan berkasih-sayang.Jadi marilah kita samasama mewarikan apa yang kita kecapi pada masa kini kepada generasi yang seterusnya. Semoga perpaduan yang terpupuk ini akan terus berkekalan.

Anda mungkin juga menyukai