Anda di halaman 1dari 3

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof afzan@bharian.com.

my 2011/09/20 Masa menonton keterlaluan punca anak pasif "DUA jam saja menonton kartun? Selebihnya apa nak buat?, Mungkin ini yang sedang bermain dalam fikiran anda bila pakar pembangunan kanak-kanak menyarankan masa menonton untuk kanak-kanak bawah usia tujuh tahun, tidak boleh melebihi daripada dua jam sehari kerana masa menonton lama boleh mengganggu perkembangan psikologi mereka. Justeru, ketika menunggu anda pulang dari tempat kerja? Adakah ia perlu diisi dengan bermain atau tidur?, Mungkin fikir anda lagi. Sememangnya dua perkara itu iaitu bermain dan tidur, jauh lebih baik berbanding menonton televisyen atau mengadap komputer seharian. Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, berkata secara amnya rancangan kartun boleh disifatkan mempunyai kandungan kurang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun. Kebanyakan inti pati di dalamnya berkisar kepada perlakuan ganas, kata-kata kesat dan lawak ganas, menjadikan nilai murni yang mungkin cuba disampaikan, terlalu samar. Bukan saja SpongeBob, sebaliknya banyak lagi siaran kartun yang sebegitu. Kartun Tom & Jerry umpamanya, ia jelas memaparkan perlakuan kasar dan mengerikan, bagaimana cubaan demi cubaan membunuh atau menganiaya si kucing ke atas tikus. Kanak-kanak pada usia sedemikian tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi menjadikan ia menyerap saja apa yang diterima itu. Segelintir kanak-kanak bertindak ganas kerana mereka tidak fikir implikasi sebenar menerusi apa yang ditonton itu. Apa yang merisaukan kita apabila keganasan itu dilihat sebagai normal dan tidak menjadi kesalahan sekiranya dia atau di antara rakan sebaya yang lain melakukan aksi atau perbuatan kasar dan ganas. Lebih baik masa yang ada diisi dengan bermain kerana ia dapat memantapkan lagi perkembangan sosio-emosi, intelek dan fizikal anak-anak, katanya. Beliau mengulas mengenai kajian rawak ke atas 60 kanak-kanak, mendapati dengan hanya masa tontonan selama sembilan minit program SpongeBob terbitan Nickelodeon boleh menyebabkan masalah perhatian jangka pendek dan berhadapan masalah pembelajaran pada kanak-kanak berusia empat tahun. Berita Australia, AAP dipetik sebagai berkata, masalah itu diperhatikan dalam kajian rawak ke atas 60 kanak-kanak yang ditugaskan menonton sama ada SpongeBob, kartun Caillou atau melukis. Selepas tempoh sembilan minit, kanak-kanak itu seterusnya mengambil ujian fungsi mental. Ujian ke atas kanak-kanak yang menonton SpongeBob didapati lebih buruk daripada

yang lain. Pakar Perkembangan Kanak-kanak, Hospital Kanak-kanak Seattle, Dr Dimitri Christakis, berkata hasil penelitian itu, bagaimanapun perlu ditafsirkan secara berhati-hati kerana ia dilakukan dalam skala kecil. Bagaimanapun hasil kajian itu menguatkan bahawa pendedahan kepada siaran kartun boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak. Christakis menjelaskan, orang dewasa perlu memahami siaran di televisyen mempunyai aksi pantas dan tidak layak untuk kanak-kanak berusia muda kerana apa yang ditonton anak adalah bukan kerana aksi saja, sebaliknya bagaimana penerimaan mereka, katanya. Jurucakap Nickelodeon, David Bittler, bagaimanapun menyanggah kajian berkenaan dengan mengatakan SpongeBob SquarePants disasarkan kepada anak berusia enam tahun hingga 11 tahun dan bukan yang berusia empat tahun. Begitupun kata Dr Mastura menjadi masalah atau kebergantungan kepada televisyen berlaku di sebabkan orang dewasa termasuk pengasuh ingin kerja mudah, dan tidak mahu melayan kanakkanak. Apatah lagi hari ini terlalu banyak rancangan kartun boleh dipilih untuk tontonan. Zaman dulu, ibu bapa selalu suruh anak bermain luar rumah, tetapi dengan cara hidup kini termasuk jenis rumah dan aspek keselamatan, anak akan disuruh menonton televisyen kerana tidak mahu dapur menjadi kotor atau tidak mahu melayan pertanyaan mereka. Sebetulnya pemerhatian anak terhadap perbuatan ibunya ketika memasak atau tangannya yang ingin membantu itu memberi kesan besar kepada perkembangan mental dan fizikalnya, katanya. Dr Mastura bagaimanapun tidak menafikan kartun boleh memberikan impak positif dalam diri anak kecil seperti Teletubbies tetapi kartun sedemikian tidak banyak yang boleh dihasilkan apatah lagi sekiranya penerbitan memikirkan keuntungan semata-mata. Teletubbies buah tangan Anne Wood dan Andrew Davenport. Dikatakan mereka berdua melakukan kajian selama dua tahun berhubung perkembangan kanak-kanak sebelum berani tampil bersama cerita kanak-kanak sedemikian. Teletubbies memaparkan watak Dipsy, LaaLaa, Po dan Tinky-Winky. Percakapan watak menggunakan komunikasi bayi, sengaja diadakan sedemikian bagi disesuaikan dengan kanakkanak kecil. Perbuatan murni termasuk aspek kebersihan, kerjasama, pemupukan kasih sayang dan tolong-menolong menjadikan ia antara rancangan sesuai kanak-kanak kecil terutama yang berusia di bawah tiga tahun. Walaupun ada yang baik, tetapi sifat televisyen itu sendiri sebagai satu medium komunikasi sehala atau pasif play, hanya menggunakan deria mata dan telinga, tanpa sentuhan kejelekitan antara manusia menyebabkan kanak-kanak perlu dihadkan sama ada menonton kartun atau

cerita kanak-kanak lain. Kita tidak boleh menjadikan televisyen sebagai pengasuh anak. Orang dewasa perlu pantau khususnya sekiranya ada aksi kurang sesuai. Kanak-kanak bagaikan span yang akan menangkap atau menyimpan apa saja yang ditonton dalam fikiran. Apa yang merisaukan kita apabila nilai yang tidak baik itu mempengaruhi pemikiran seterusnya tindakannya dalam pergaulan, katanya yang turut menjelaskan kurang stimulasi boleh menyebabkan mereka bosan dan kebosanan itu boleh membawa kepada tabiat menghisap jari, atau menggigit kuku yang bermula semasa menonton televisyen. Ibu bapa tidak seharusnya bergantung kepada televisyen, kanak-kanak seharus dirangsang perkembangannya dengan bermain atau belajar melalui bermain. Ilmu keibubapaan itu seharusnya dicari kerana ia tidak akan datang sendiri atau berdasarkan cara didikan turun temurun, katanya.

Anda mungkin juga menyukai