Anda di halaman 1dari 2

KISAH NABI IBRAHIM A.

S DENGAN RAJA NAMRUD Assalamualaikum diucapkan kepada barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati sekalian. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud. Nabi Ibrahim dilahirkan di Babylon. Ayahnya bernama Azar dan kerjanya ialah membuat patung berhala. Negeri Babylon diperintah oleh raja yang sombong dan zalim iaitu Raja Namrud. Dia mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kaum Nabi Ibrahim mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala. Sebagai seorang nabi, Nabi Ibrahim dikurniakan akal yang sihat dan fikiran yang tajam oleh Allah. Dia tahu perbuatan kaumnya itu adalah sesat. Nabi Ibrahim sangat hairan mengapa kaumnya termasuk bapanya menyembah berhala. Padahal berhala itu tidak mampu memberikan dan membuat apa-apa kepada mereka. Nabi Ibrahim sentiasa memikirkan cara untuk menghancurkan berhalaberhala itu. Dia ingin menunjukkan kepada kaumnya bahawa berhala itu tidak berguna dan tidak dapat menyelamatkan diri mereka sendiri. Suatu hari, semasa semua penduduk Babylon meninggalkan kota untuk menyambut perayaan tahunan, Nabi Ibrahim tidak ikut mereka ke sana. Dia pergi ke kuil tempat kaumnya menyembah berhala-berhala dengan membawa kapak. Sampai di sana, Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala kecuali satu berhala yang paling besar. Dia menggantungkan kapaknya pada berhala itu. Apabila kaumnya pulang, mereka sangat terkejut melihat berhala-berhala itu telah hancur. Raja Namrud sangat marah dan menyuruh Nabi Ibrahim ditangkap. Raja Namrud memerintahkan supaya Nabi Ibrahim dibakar dalam unggun api yang sangat besar. Sehingga burung-burung yang terbang diatasnya juga terbakar. Namun dengan kuasa Allah api itu menjadi sejuk dan Nabi Ibrahim tidak terbakar sedikit pun. Raja Namrud masih degil dan tidak mahu percaya kebesaran Allah. Dia bangga dengan kuasanya. Raja Namrud mempunyai 700 ribu orang tentera berkuda yang lengkap bersenjata. Suatu hari Raja Namrud mencabar Nabi Ibrahim dengan berkata: Hai Ibrahim, jika tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini. Maka Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah:

Ya Allah, sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu. Maka Kirimkanlah kepada mereka tentera daripada selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk. Semasa Raja Namrud dan tenteranya bersedia untuk berperang di padang yang luas, Allah telah perintahkan tentera nyamuk untuk keluar dari lautan. Tentera nyamuk pun keluar dengan banyak hingga menutupi muka bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya kepada Allah: Ya Tuhan kami, apakah yang mesti kami buat? Allah berfirman: Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud. Lalu nyamuk-nyamuk itu menyerang tentera-tentera Namrud dengan menghisap semua darah mereka hingga mati. Raja Namrud melihat sendiri tenteranya hancur. Allah melambatkan seksa terhadap Raja Namrud kerana Allah telah sediakan seksaan yang lebih menyakitkan buatnya. Allah perintahkan seekor nyamuk tempang sahaja untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu menunggu di sebatang pokok di istana Raja Namrud selama tiga hari. Namun Raja Namrud tetap tidak bertaubat. Selepas tiga hari, nyamuk itu masuk ke dalam kepala Raja Namrud melalui lubang hidungnya. Raja Namrud merasa sangat sakit dan menyuruh rakyat yang datang menghadapnya untuk ketuk kepalanya dengan kasut barulah dia merasa lega. Akhirnya nyamuk tersebut memakan otak Raja Namrud perlahanlahan selama 40 hari. Raja Namrud mati dengan terseksa. Kawan-kawan, pengajaran yang boleh kita ambil daripada cerita ini ialah: 1. Kita wajib menyembah Allah dan menjauhi perkara-perkara syirik. 2. Perbuatan syirik adalah dosa paling besar dan tidak akan diampuni Allah. Balasannya ialah neraka jahanam. 3. Allah akan sentiasa menolong orang yang beriman.

Sekian, terima kasih.