Anda di halaman 1dari 3

MENGHARGAI JASA SUKARELAWAN* (Azizan Bahari)

Sukarelawan manusia istimewa pembawa obor kasih dan kemanusiaan. Mereka sentiasa sedia memberi dan berkongsi tanpa mengharapkan sebarang ganjaran material. Terlalu mulia hasrat dan jasa sukarelawan serta terlalu penting sumbangan mereka sehingga Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu mengisytiharkan 5 Disember sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteers Day). Malahan, dalam Perhimpunan Agung PBB pada 20 November 1997 satu resolusi dicapai bagi mengisytiharkan 2001 sebagai Tahun Sukarelawan Antarabangsa (International Year of Volunteers). 5 Disember setiap tahun ialah hari masyarakat sejagat memberikan penghargaan kepada sukarelawan. Tidak kira siapa mereka, apa yang mereka lakukan, dan di mana mereka bekerja atau memberikan sumbangan, semua sukarelawan wajar menerima penghargaan ini. Hari Sukarelawan Antarabangsa khusus diadakan untuk mengingati dan menghargai jasa sukarelawan. Dalam konteks perubahan pantas sekarang, di mana faktor-faktor material sering menjadi asas perhitungan sesuatu tindakan, sumbangan dan peranan sukarelawan menjadi semakin mencabar. Kesukarelawan yang cuba menanam dan menyebarkan bibit keperihatinan sosial dalam kalangan masyarakat terpaksa bersaing dengan nilai-nilai materialisme yang semakin membudayai pemikiran dan kehidupan masyarakat. Dalam banyak hal sukarelawan bagaikan the dying species yang menyongsong arus. Tetapi, kemanusiaan dan kehidupan bermasyarakat memerlukan sukarelawan dan kerana itulah gerakan dan pertubuhan-pertubuhan sukarela dan para sukarelawan masih mempunyai tempat yang sah dan penting di tengah-tengah masyarakat. Segala persaingan, pergelutan dan adudomba yang mencirikan kehidupan moden tidak mungkin membawa manusia ke mana-mana jika nilai-nilai dan amalan luhur kemanusiaan terus terhakis dan akhirnya pupus. Nilai-nilai ini seperti semangat kejiranan, keperihatinan sosial, kerjasama dan perpaduan, serta perkongsian ke arah kesejahteraan bersama tetap merupakan nilai-nilai panduan perenial yang tak luntur diuji zaman. Tanpanya, kekayaan dan kemewahan menjadi sia-sia, malahan tamadun yang terbina pun boleh runtuh dan hancur berkecai. Melibatkan diri dalam kerja sukarela sebenarnya tidak menuntut banyak masa dan tenaga seseorang. Kita hanya memberi sekadar yang mampu untuk dimanfaatkan bersama. Kesukarelawanan bertolak dari hasrat dan kesediaan berkongsi dengan anggota-anggota masyarakat atau pihak yang memerlukan bantuan dan sokongan. Tiada premium diletakkan pada saiz atau bentuk perkongsian. Semuanya mempunyai nilai dan erti di sisi masyarakat. Meskipun dengan segala keterbatasannya, para sukaelawan di negara kita di pelbagai peringkat telah memberikan khidmat dan sumbangan bererti mereka kepada bangsa dan negara. Ramai yang tidak diketahui, diiktiraf atau dihargai, tetapi mereka terus menabur bakti tanpa jemujemu. Bagi sesetengah mereka, kerja sukarela sudah menjadi darah-daging kehidupan.

Kebanyakan orang tidak dapat membayangkan betapa sukar dan peritnya bekerja membantu golongan yang cacat anggota, orang-orang tua yang uzur dengan pelbagai kerenahnya, kanakkanak yang mengalami tekanan jiwa akibat deraan fizikal dan emosi, selain daripada risiko bergelut dan menggadai nyawa bagi menghadapi bencana alam dan pelbagai jenis kemalangan dan tragedi akibat kecuaian dan perbuatan manusia sendiri. Namun, betapapun sukar dan peritnya keadaan, sukarelawan masih di situ bertungkus lumus dan memberikan segala. Mereka tetap cekal menghadapi dugaan. Semangat dan sikap ini memerlukan sokongan dan kesinambungannya. Dalam hal ini peranan pertubuhan-pertubuhan sukarela sendiri ternyata amat penting. Dalam menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa semangat dan iltizam kesukarelawanan harus difikirkan dan dinilai semula dengan lebih serius dan mendalam. Faktor-faktor sikap dan citarasa komuniti, nilai-nilai dominan masyarakat kini, kekuatan dan kelemahan gerakan sukarela serta kefahaman, kesungguhan, potensi, masalah, dan kebolehan para sukarelawan sendiri, contohnya, perlu dianalisis dan dirumuskan untuk dijadikan asas penting bagi tindakan selanjutnya. Harus juga disedari bahawa dalam konteks masyarakat semasa, kerja sukarela bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap mudah atau boleh dilakukan secara sambil lewa. Kerja sukarela memerlukan gagasan, pendekatan, kaedah dan kemahiran tertentu sesuai dengan perubahan serta tuntutan kumpulan dan komuniti sasarnya. Bagi sukarelawan dan lebih-lebih lagi bakal sukarelawan, kerja sukarela kini bukan sekadar kegiatan masa lapang (dengan konotosi remeh-temehnya). Kerja sukarela malah sangat memerlukan kata hati (conscience), sikap yang positif terhadap kerja dan segala cabarannya, serta cara kerja yang sesuai dan berkesan. Ini memberi implikasi keperluan kepada suatu skim latihan atau kursus yang sesuai dan sistematik serta bimbingan (dan juga penyeliaan) yang berterusan bagi para sukarelawan (termasuk calon-calon sukarelawan) Latihan dan bimbingan akan membolehkan sukarelawan dan aktivis gerakan sukarela memperbaiki diri dan meningkatkan tahap kemahiran masing-masing agar dapat berkhidmat dengan lebih baik, cekap dan berkesan. Malahan, dalam konteks pembangunan sukarelawan yang lebih luas meliputi kegiatan-kegiatan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan, memperolehi kemahiran-kemahiran yang sesuai untuk kerja, pembentukan sikap dan nilai yang positif, dan penerokaan idea dan kaedah-kaedah baharu dalam kerja sukarela banyak yang masih perlu kita lakukan. Kelembapan dan keserabutan yang dialami kebanyakan pertubuhan sukarela sebahagiannya berpunca dari permasalahan ini. Dalam hal ini sudah tentu prasarana latihan yang sedia ada boleh dimanfaatkan sebaiknya (bagi tujuan latihan). Sebagai contoh, harus digalakkan dan digemblengkan kerjasama antara sumbersumber yang banyak itu seperti kementerian dan jabatan, pihak-pihak universiti, institut latihan dan agensi berkaitan, selain badan-badan induk pertubuhan sukarela sendiri. Sumbangan dan input ilmu, kemahiran, dan pengalaman mereka pastinya mampu menyemarakkan dan meningkatkan mutu kesukarelawanan kita di pelbagai bidang dan peringkat. Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa (dan saya juga cadangkan Bulan Sukarelawan) ini wajar jika program-program perbincangan, percambahan idea dan kursus seumpamanya diadakan oleh sektor sukarela dan pihak-pihak yang perihatin bagi menggalakkan pengisian ke

arah itu. Persidangan dan bengkel-bengkel khas di peringkat yang lebih tinggi juga pernah kita adakan tetapi kini sudah ghaib entah ke mana, walhal publisiti dan iklan tentang kerja sukarela dan kutipan derma rancak di segenap media! Pertemuan atau sesi latihan memungkinkan refleksi tentang kerja sukarela kita. Sekurangkurangnya, sambil bermesra dan memupuk kesetiakawanan sukarela, sedikit-sebanyak iktibar dan panduan akan saling diperolehi, dan ini turut membantu gerakan sukarela dalam misinya. Ia juga suatu kesempatan bermakna untuk mengingati dan menghargai sumbangan sukarelawan. Bagaimanapun cara dan bentuknya kita menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa yang penting tentulah kesedaran masyarakat terhadap makna kesukarelawanan itu sendiri. Apakah erti atau makna kerja sukarela dan mengapa ia penting dan diperlukan dalam kehidupan kita? Kesedaran dan kefahaman ini akan meningkatkan sokongan dan penglibatan masyarakat dalam kerja dan gerakan sukarela, di samping tambah mendorong dan merangsang sukarelawan untuk terus menyumbang dan berjasa. Bagi rata-rata sukarelawan tentulah sesuatu yang dibanggakan jika terdapat penghargaan dan pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan, jerih-payah dan pengorbanan mereka, sedangkan pelbagai bentuk penghargaan dan pengiktirafan itu sendiri tidak pula sukar untuk diadakan. Kebanyakan sukarelawan tidak mengimpikan bintang-bintang kebesaran walaupun pengurniaan untuk sumbangan dan jasa mereka pasti memberi nilai tambah (added value) serta mewajarkan (menjustifikasikan) ritual penaburan bintang-bintang itu setiap tahun! Bagi kebanyakan sukarelawan, menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa pun sudah boleh dianggap suatu penghormatan bermakna sebagai mengingati dan menghargai sumbangan dan jasa mereka.

Anda mungkin juga menyukai