Anda di halaman 1dari 1

Langkah-langkah Memupuk Minat Membaca Dalam Kalangan Kanak-kanak

Membaca Jambatan Ilmu. Ungkapan ini sepatutnya dihayati oleh semua orang. Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca dua muka surat sahaja setahun. Amalan membaca sepatutnya dipupuk sejak kanak-kanak lagi ibarat pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Minat membaca dalan kalangan kanak-kanak boleh disemai oleh orang yang terdekat dengan mereka. Oleh itu, ibu bapalah yang berperanan memberi contoh yang terbaik. Masa senggang di rumah perlu diisi dengan membaca akhbar, buku dan sebagainya. Tabiat ini akan mendorong minat membaca dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka secara semula jadinya suka meniru perbuatan orang di sekeliling mereka. Selain itu, ibu bapa harus membelikan bahan bacaan yang sesuai dengan umur anak-anak supaya mereka minat untuk membaca bahan tersebut. Kini, terdapat pelbagai bahan bacaan yang berkualiti, menarik, dan menghiburkan di pasaran. Faktor kesesuaian bahan bacaan berdasarkan tahap pemahaman kanak-kanak adalah penting untuk menarik kanak-kanak suka membaca. Membawa anak-anak ke perpustakaan, kedai buku atau pameran buku juga boleh menggalakkan mereka mendekatkan diri dengan amalan membaca. Dengan mengunjungi tempat-tempat sedemikian dapat mempertingkat minat membaca anak-anak. Sehubungan itu, mereka juga dapat memilih sendiri bahan bacaan yang mereka minati. Selain itu, galakan kepada kanak-kanak menyertai sebarang pertandingan membaca juga dapat menerapkan minat membaca. Pertandingan membaca sering kali diadakan di sekolah-sekolah. Selain itu, institusi pendidikan turut mengadakan aktiviti berbentuk ilmiah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil lagi. Kesimpulannya, pelbagai alternatif boleh diambil untuk menarik minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kesungguhan kita mampu mewujudkan generasi muda minat membaca bukan hanya terhad kepada bahan bacaan berbentuk hiburan semata-mata, tetapi berbentuk ilmiah. Hal ini penting untuk menghasilkan pemimpin negara yang berilmu.

Anda mungkin juga menyukai