Anda di halaman 1dari 7

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN DALAM PEMBELAJARAN MATEMATIK AWAL KANAK-KANAK.

Terdapat beberapa teori pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan pembelajaran matematik dalam awal kanak-kanak. Antara teori tersebut ialah teori kognitif dan teori perkembangan kognitif yang dihasilkan oleh Jean Piaget, teori pembelajaran Bruner dan juga teori perkembangan Vygotsky. Teori-teori ini banyak menceritakan mengenai bagaimana kanak-kanak dapat mempelajari matematik sedari usia awal kanak-kanak. Oleh itu, berikut akan diceritakan serba sedikit mengenai teori-teori yang disenaraikan dan implikasi teori-teori tersebut dalam proses pembelajaran awal kanak-kanak. Teori pembelajaran yang pertama adalah teori yang dicipta oleh Jean Piaget iaitu teori kognitif dan juga teori perkembangan kognitif. Dalam teori kognitif, Piaget menyatakan kanak-kanak mempelajari matematik melalui empat konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Namun, dalam pembelajaran matematik kanak-kanak hanya dikaitkan dengan tiga konsep iaitu penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Ketiga-tiga konsep ini melibatkan perubahan dalam pemikiran kanak-kanak mengenai pembelajaran sesuatu konsep dalam mempelajari awal matematik. Sekiranya konsep matematik dapat diajar dengan betul daripada peringkat awal, maka kanak-kanak akan terus mengekalkan konsep yang mereka pelajari pada awal umur sehingga mereka dewasa. Implikasi daripada teori ini terhadap guru adalah guru perlu bersiap sedia untuk mengajar konsep yang betul dan mudah diingati oleh kanak-kanak. Sebagai contoh, kanakkanak hanya mempelajari nombor 1 melalui simbol nombor tersebut pada awal pembelajaran mereka. Dengan ini, untuk memupuk kefahaman kepada kanak-kanak mengenai konsep nombor 1 adalah mengaitkan simbol nombor tersebut dengan sesuatu objek secara konkrit, contohnya kita mempamerkan simbol nombor satu dan kemudiannya memaparkan sebiji epal. Maka dengan itu, kanak-kanak akan melalui konsep penyerapan, dengan cuba mengingati bahawa epal yang ditunjukkan oleh guru mewakili simbol nombor 1 yang ditunjukkan. Implikasi seterusnya ialah kanak-kanak perlu dibimbing dalam menyelesaikan masalah matematik yang melibatkan konsep penyesuaian supaya mereka tidak keliru dengan perubahan yang mereka pelajari. Sebagai contoh, dalam mempelajari konsep berat menggunakan tanah liat. Gunakan dua tanah liat yg sama besar dan berat. Kemudian penyekkan dan tanya pada kanak-kanak yang mana satu tanah liat yang lebih berat. Sekiranya kanak-kanak menjawab dengan jawapan yang salah, guru boleh membimbing kanak-kanak dengan jawapan yang betul dan menyesuaikan dengan pemikiran kanak-kanak.

Teori

perkembangan

kognitif

pula,

Piaget

menyatakan

empat

peringkat

perkembangan iaitu peringkat sensori motor atau deria motor, peringkat pra-operasi, peringkat operasi konkrit dan peringkat operasi formal. Dalam peringkat pertama iaitu sensori motor, Piaget menerangkan bahawa kanak-kanak menggunakan deria dan fizikal mereka untuk mempelajari setiap perkara yang terdapat di sekeliling mereka. Biasanya tahap ini merangkumi bayi yang baru lahir sehingga berusia dua tahun. Dalam tahap ini juga kanak-kanak sudah boleh mengingati objek yang mereka pelajari dan sudah boleh berfikir untuk menyelesaikan masalah yang mudah. Sebagai contoh, mereka sudah boleh mengenal ahli keluarga terdekat dan mereka juga tahu kepada siapa yang perlu mereka minta sekiranya mereka lapar ataupun ingin membuang air. Maka dengan itu, kesan teori ini terhadap pembelajaran kanak-kanak ialah kita boleh memulakan proses pengajaran matematik mudah kepada kanak-kanak dalam seawal bayi hingga dua tahun. Melalui pencarian yang telah dilakukan, terdapat beberapa aktiviti yang boleh kita jalankan untuk mengajar matematik pada awal usia. Pada usia bayi baru lahir sehingga empat bulan, kita boleh menggunakan komunikasi verbal tentang nombor yang kecil dan mengaitkan dengan permainan mereka. Sebagai contoh kita menyebut 2 anak patung sambil mengira dan menunjukkan dua buah anak patung kepada bayi tersebut. Apabila kaedah ini digunakan secara berulang, bayi akan menyimpan pembelajaran ini dalam memori mereka dan akan dapat mereka gunakan pada waktu pembesaran mereka kelak. Setelah usia empat bulan dan ke atas, kita sudah boleh mengajarkan kepada kanak-kanak mengenai awal matematik iaitu konsep besar, kecil, banyak dan sedikit. Kita boleh menggunakan alat permainan mereka untuk menunjukkan perbezaan dari segi saiz dan juga jumlah. Dalam peringkat yang kedua iaitu peringkat pra-operasi, kanak-kanak dikatakan sudah mula menggunakan minda mereka sebagai medium pembentukan skema yang baru dalam erti kata lain mereka sudah biijak untuk merancang contohnya mereka sudah boleh mengasingkan objek mengikut warna. Kanak-kanak ini juga sudah boleh mewakilkan objek dengan penggunaan simbol sebagai contoh sudah boleh mengaitkan dua biji epal dengan nombor dua. Namun begitu, mereka masih lagi tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan. Hal ini dapat dibuktikan apabila kanak-kanak diuji dengan menggunakan konsep panjang dengan menggunakan lidi. Pada awalnya kita boleh menggunakan dua lidi yang sama panjang diletakkan bersebelahan.kemudian tanya pada kanak-kanak dan mereka akan mengatakan bahawa panjang kedua-dua lidi adalah sama. Kemudian alihkan satu daripada dua lidi tersebut ke kanan sedikit dan tanya kembali kepada kanak-kanak tersebut. Mereka akan mengatakan bahawa lidi yang dialihkan itu lebih panjang. Hasil daripada kajian ini kita dapat buktikan bahawa kanak-kanak belum bersedia

untuk menguasai konsep keterbalikan kerana mereka tidak dapat mengaitkan keadaan yang kedua dengan keadaan yang pertama kerana menurut mereka kedua-dua keadaan adalah berbeza. Dan mereka biasanya memahami mengenai persekitaran mereka melalui pemahaman mereka sendiri kerana wujudnya sikap egosentrik. Implikasi teori ini dalam proses pembelajaran kanak-kanak ialah untuk mengajar mereka, kita memerlukan alat bantu mengajar yang konkrit. Hal ini kerana pada peringkat ini kanak-kanak masih belum berupaya untuk berfikir secara abstrak. Sebagai contoh, untuk mengajar mengenai konsep banyak atau sikit, kita menggunakan air yang mempunyai kuantiti yang berbeza supaya mereka dapat membezakan air yang banyak dan air yang sedikit. Seterusnya, untuk mengajar kanak-kanak kita perlu menggunakan arahan yang ringkas supaya dapat difahami oleh kanak-kanak kerana pada peringkat ini kanak-kanak masih tidak dapat berfikir secara mendalam. Sebagai contoh, berikan arahan satu persatu supaya kanak-kanak tidak keliru. Seterusnya, berikan arahan menggunakan bahasa yang sesuai dan difahami oleh kanak-kanak. Arahan yang tidak jelas akan menyebabkan kanakkanak hilang minat untuk mempelajari matematik. Sebagai contoh, gunakan bahasa yang sememangnya dikuasai oleh kanak-kanak dan sekiranya ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakan Inggeris yang mudah dan ringkas. Implikasi terakhir ialah penyediaan pengalaman pembelajaran yang pelbagai supaya kanak-kanak dapat menghadapi dan mempelajari proses transformasi,penaalukan dan keterbalikan. Contohnya, berikan mereka peluang untuk membuat beberapa uji kaji berkaitan matematik dan berikan peluang untuk mereka berfikir tentang keputusan yang mereka peroleh daripada eksperimen tersebut. Contoh lain ialah berikan mereka latihan dalam proses operasi penambahan ataupun penolakan yang berbeza supaya konsep ini kekal dalam ingatan mereka dan dapat digunakan dalam proses pembesaran mereka kelak. Peringkat seterusnya adalah peringkat operasi konkrit. Pada peringkat ini, kanakkanak masih berfikir secara logik dan pemikiran mereka masih terikat dengan situasi konkrit. Hal ini bermaksud kanak-kanak ini masih lagi memerlukan objek secara konkrit untuk mempelajari konsep-konsep dalam matematik. Kanak-kanak dalam peringkat ini juga telah mempunyai kebolehan menguasai konsep pemuliharaan yang terdiri daripada tiga konsep asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Dalam peringkat ini, kanak-kanak sudah dapat mengaitkan peristiwa yang diceritakan di atas antara satu sama lain iaitu kanak-kanak sudah dapat mengaitkan keadaan yang pertama dengan keadaan yang kedua. Dalam pembelajaran matematik, kanak-kanak sudah dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi penambahan dan penolakan secara baik. dan lagi,kanakkanak dalam peringkat ini sudah boleh menjalankan proses pengelasan mengikut trait contohnya mengasingkan objek mengikut saiz,berat dan sebagainya. Tambahan lagi,

kanak-kanak dikatakan sudah berkeupayaan untuk menjalankan proses penyusunan secara bersiri. Hal ini dapat dibuktikan dengan mengadakan aktiviti menyusun nombor mengikut kategori sama ada nombor besar kepada kecil secara berurutan atau nombor kecil kepada besar secara berurutan. Kanak-kanak dilihat dapat menguasai kemahiran ini walaupun corak penyusunan nombor yang diadakan adalah berbeza. Implikasi teori ini dalam proses pembelajaran kanak-kanak pada peringkat ini adalah proses pengajaran masih boleh menggunakan objek konkrit dan dinaik taraf kepada konkrit berbentuk 3D. Hal ini sesuai dilakukan kerana pada tahap ini, kanak-kanak sudah boleh menguasai konsep identiti iaitu dapat mengenal pasti bahawa setiap sudut tiga dimensi tersebut adalah berbeza dan mempunyai identiti mereka tersendiri. Ini sangat berbeza dengan kanak-kanak pada peringkat yang kedua yang mana kanak-kanak pada peringkat tersebut hanya sesuai diajar menggunakan objek yang berbentuk dua dimensi sahaja kerana konsep penguasaan identiti mereka masih belum wujud. Oleh itu, kanak-kanak pada tahap ini akan mengenal pasti bahawa kotak, kon dan bola mempunyai isi padu tersendiri. Seterusnya, kita sebagai guru boleh mewujudkan peluang untuk kanak-kanak memanipulasi dan menguji deretan beberapa objek. Hal ini dapat dilakukan dengan melakukan eksperimen mudah mengenai kaitan isi padu air dengan batu. Berikan peluang untuk mereka memanipulasi sendiri jumlah batu yang akan mereka masukkan ke dalam bekas yang berisi air dan biar mereka lihat sendiri perubahan yang terjadi pada tahap peningkatan air dalam bekas tersebut. Tambahan lagi, teori ini dapat membantu guru untuk menggalakkan kanak-kanak melakukan pembacaan dan pembentangan yang mudah dan kemudiannya beralih kepada pembentangan yang kompleks. Sebagai contoh, galakkan kanak-kanak untuk membaca dan mengingat sifir dan kemudian bimbing mereka untuk membentangkan pada rakan-rakan mengenai sifir dengan menggunakan objek di sekeliling mereka. Dengan ini,kanak-kanak dapat mengetahui bahawa matematik bukan sekadar nombor tetapi dapat dikaitkan dengan kewujudan objek di sekeliling mereka. Selain itu, guru juga perlu menyediakan contoh yang sesuai dan mengaitkannya dengan pengalaman pelajar tersebut supaya proses pembelajaran dapat diingati dengan mudah. Contohnya, jika kita ingin mengajar kanakkanak mengenai saiz kenderaan yang berbeza kita perlu tunjukkan contoh beberapa kenderaan yang biasa mereka lihat dalam kehidupan harian mereka dan biar mereka membezakan saiz kenderaan tersebut sendiri. Implikasi terakhir adalah menyediakan soalan berkaitan logik dan analitik bagi merangsang daya pemikiran kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah matematik yang mereka pelajari.

Teori pembelajaran yang kedua yang dapat dikaitkan dengan pembelajaran matematik awal kanak-kanak ialah teori pembelajaran Bruner. Dalam teori ini, Bruner menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai tiga cara untuk mencapai kefahaman mereka dalam mempelajari matematik iaitu melalui perwakilan enaktif, ikonik dan simbolik. Peringkat enaktif merupakan peringkat bagi kanak-kanak membuat manipulasi pengajaran secara langsung dan aktivit yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah berdasarkan pergerakan tubuh badan mereka sendiri. Sebagai contoh, kanak-kanak mempelajari mengenai jarak jauh dan dekat melalui aktiviti berlari dalam dua jarak yang berbeza iaitu jarak jauh dan jarak yang dekat. Dalam peringkat ikonik pula, kanak-kanak akan menunjukkan bahawa mereka berupaya untuk belajar dengan menggabungkan penggunaan mental mereka dengan imej. Sebagai contoh, kanak-kanak sudah boleh menggunakan simbol (+) bagi mewakili operasi penambahan yang dilakukan dalam pembelajaran matematik. Kanak-kanak juga sudah boleh menukarkan ayat penyelesaian masalah kepada ayat matematik yang melibatkan simbol operasi sama ada tambah atau tolak. Peringkat simbolik pula menyatakan bahawa kanak-kanak berupaya membuat manipulasi mengenai simbol-simbol dalam operasi matematik dan berkeupayaan untuk memahami konsep abstrak. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kad nombor dalam pengajaran matematik kanak-kanak. Ini menunjukkan kanak-kanak sudah dapat membayangkan simbol nombor yang mereka pelajari. Implikasi teori pembelajaran ini dalam proses pembelajaran matematik kanak-kanak ialah guru perlu memberi kanak-kanak peluang mempelajari matematik dengan

menggunakan objek di sekitar mereka dan galakkan kanak-kanak ini untuk membina pengalaman belajar sendiri. Sebagai contoh, guru memberikan peluang kepada kanakkanak untuk mengenal nombor melalui permainan bongkah kayu. Galakkan mereka untuk mengira menggunakan bongkah kayu tersebut satu demi satu. Selain itu, aktivit lain yang boleh dilakukan adalah mengira menggunakan butang kecil di atas kad manila mengikut kategori nombor. Galakkan kanak-kanak untuk meletakkan butang kecil dalam kotak yang disediakan mengikut nombor yang betul. Dengan ini, kanak-kanak akan dapat merasai sendiri cara mengira menggunakan butang. Contoh aktiviti dapat dilihat dalam gambar di bawah:

Implikasi seterusnya adalah dengan menggunakan objek, carta atau gambar yang mudah bagi membantu kanak-kanak memahami pembelajaran matematik. Contohnya, guru menyediakan buku latihan matematik yang mengandungi operasi mudah yang dapat membantu kanak-kanak untuk mengenal simbol nombor tesebut. Melalui buku latihan ini, kanak-kanak melihat, mengingat dan menulis sendiri nombor tersebut. Cara lain adalah guru memperkenalkan simbol-simbol yang terdapat dalam pembelajaran matematik mudah seperti simbol (+), (-), (=) dan sebagainya supaya apabila mereka melihat simbol-simbol ini dalam ayat matematik, mereka akan tahu kegunaan simbol-simbol tersebut. Aktivit lain adalah membuat permainan meneka nombor. Hanya sediakan satu lubang bagi sampul yang mengandungi nombor di dalamnya. Kemudian suruh kanak-kanak untuk teka simbol yang terdapat dalam sampul tersebut. Cara ini dapat membantu kanak-kanak untuk mengingat simbol nombor tersebut dengan baik. Tambahan lagi, guru perlu menyusun proses pengajaran dengan betul iaitu daripada senang kepada susah supaya kanak-kanak tidak menghadapi kesulitan dalam mempelajari matematik secara berperingkat. Cara ini dapat menangkis pemikiran negatif kanak-kanak tentang pembelajaran matematik. Guru juga perlu mengambil kira kesediaan kanak-kanak tersebut untuk mempelajari sesuatu pembelajaran dalam matematik. Sebagai contoh, sekiranya kanak-kanak masih tidak mahir dalam proses pengiraan dan pengenalan simbol nombor, guru dilarang untuk memaksa kanak-kanak mempelajari operasi penambahan iaitu peringkat yang susah bagi kanak-kanak.sekiranya dilakukan secara paksaan, kanak-kanak akan hilang minat untuk mempelajari matematik.Implikasi terakhir untuk teori pembelajaran Bruner adalah guru perlu mewujudkan peluang untuk kanak-kanak merasa sendiri proses menyusun, menganalisis dan membuat sistesis. Proses ini penting supaya kanak-kanak dapt memupuk rasa seronok dalam belajar mengenai matematik kerana mereka dapat melakukan sendiri setiap aktiviti sambil belajar mengenainya. Teori pembelajaran yang terakhir adalah teori perkembangan Vygotsky. Dalam teori ini, Vygotsky menekankan bahawa pembelajaran kanak-kanak sangat berkait rapat dengan interaksi mereka dengan individu di sekitar mereka dan juga budaya persekitaran mereka. Kanak-kanak tidak akan dapat menguasai sesuatu ilmu itu sendiri tanpa bimbingan daripada orang sekelilingnya. Pembelajaran bukan hanya terjadi di sekolah namun ibu bapa dan ahli keluarga lain turut memainkan perana yang penting dalam membantu kanak-kanak menguasai sesuatu ilmu. Hal ini juga dapat digunakan dalam membantu kanak-kanak untuk mempelajari ilmu matematik sedari awal. Vygotsky menyatakan dua jenis perkembangan iaitu ZPD atau zon proximal development dan juga scaffolding. Dalam tahap ini, Vygotsky menyatakan bahawa terdapat sesuatu pembelajaran matematik yang sukar untuk dikuasai oleh kanak-kanak itu sendiri dan sangat memerlukan bantuan orang dewasa atau mereka

yang mahir mengenai pembelajaran tersebut. Tahap yang rendah dalam ZPD menunjukkan tahap pencapaian dan pengetahuan kanak-kanak apabila mereka belajar sendiri. Tahap ini berada di bawah kerana menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dapat menimba ilmu itu sendiri dan mereka sukar memahami perkara yang baru mereka temui. Dengan ini, sekiranya tiada bantuan, kanak-kanak akan kekal mempunyai pengetahuan yang rendah dan sedikit. Berbeza dengan tahap setelah terjadi ZPD di mana setelah itu kanak-kanak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru ataupun orang yang lebih dewasa mengenai sesuatu konsep. Apabila mereka mula memahami tentang konsep ilmu dalam matematik, mereka akan dapat mengembangkan lagi pengetahuan mereka untuk mempelajari ilmu matematik lain yang lebih mencabar. Menurut Vygotsky, scaffolding adalah memberikan bantuan yang besar kepada kanak-kanak sepanjang tahap awal pembelajaran dan kemudiannya mengurangkan bantuan tersebut seterusnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyelesaikan sendiri masalah yang berkaitan dengan pembelajaran mereka. Implikasi teori ini terhadap pembelajaran matematik dalam awal kanak-kanak ialah semua pihak bertanggungjawab untuk membantu kanak-kanak dalam proses mereka mempelajari matematik walaupun dalam peringkat umur yang awal. Seorang bayi yang tidak pernah didedahkan dengan konsep awal matematik seperti mengira nombor kecil (satu hingga 6) akan mempunyai kesedaran matematik yang lambat berbanding dengan kanakkanak yang telah diberi pendedahan mengenai matematik sedari usia yang awal. Sebagai contoh, anak saudara saya yang berusia 1 tahun 8 bulan telah pandai mengira anak tangga sehingga nombor sepuluh dalam bahasa Inggeris. Hal ini terjadi kerana ibunya sering mengajar dia mengira sambil memanjat anak tangga satu persatu dalam bahasa Inggeris. Seterusnya guru perlu selalu berkomunikasi dengan pelajar dalam kelas untuk mengetahui tahap penguasaan mereka dalam konsep matematik. Sekranya mereka hanya tahu tentang simbol dan tidak tahu bagaimana nilai sebenar nombor tersebut, guru sepatutnya membantu mereka supaya konsep ini dapat difahami dan diperteguhkan dalam minda mereka. Apabila mereka sudah mula mengetahui nilai sebenar sesuatu nombor, mereka akan berasa lebih teruja dan seronok untuk belajar mengenai perkara yang melibatkan nombor. Implikasi terakhir ialah ibu bapa dan guru perlu terus membimbing kanak-kanak untuk belajar matematik sedari awal sehingga tiba waktu mereka dirasakan yakin dapat menyelesaikan masalah mereka sendiri. Sebagai contoh, bimbing kanak-kanak untuk mempelajari proses tambah yang mudah dan berikan mereka banyak latihan sama ada dalam bentuk penulisan atau aktiviti lain. Sekiranya kita merasakan bahawa masalah tersebut dapat diselesaikan oleh kanak-kanak, maka berikan mereka peluang untuk menyelesaikannya supaya wujud rasa yakin dalam diri mereka bahawa mereka sudah boleh menguasai ilmu tersebut.