Anda di halaman 1dari 3

Tajuk :Pak Senik Yang Insaf

Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Saya Hormati, Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana, Guru-guru dan Rakan-Rakan yang Saya kasihi sekalian. Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia. Pada hari ini, saya akan mempersembahkan sebuah cerita yang bertajuk Pak Senik Yang Insaf. Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki kaya yang bernama Pak Senik. Dia mempunyai kebun getah yang sangat luas. Dia juga mempunyai haiwan peliharaan yang sangat banyak. Ada ayam, kambing, lembu dan itik. Walaupun berada, dia sangat kedekut. Dia tidak pernah menyembelih haiwan peliharaannya untuk dijadikan lauk. Dia sanggup makan nasi berlaukkan ikan kering sahaja. Dia juga tidak pernah bersedekah kepada orang miskin. Dia sangat bakhil.

Hadirin yang saya hormati sekalian.

Sambungan cerita Pak Senik mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Gayah. Suami Gayah, Dollah tidak suka akan sikap bapa mentuanya yang bakhil itu. Dollah telah bersepakat dengan Isterinya Gayah untuk memberi kesedaran kepada Pak Senik.

Setelah lama berfikir, Dollah dan Gayah akhirnya menjemput Pak Senik untuk datang ke rumah mereka. Pada hari tersebut, Gayah telah memasakkan Pak Senik gulai kambing yang sangat lazat!. Pak Senik makan dengan berselera sekali! Dollah dan Gayah tidak makan bersama. Mereka hanya memperhatikan gelagat Pak Senik sahaja. Setelah habis makan. Pak Senik bertanya Dari mana kamu dapat daging kambing ini? Tanya Pak Senik. Saya menyembelih seekor kambing ayah jelas Dollah dengan selamba. Pak Senik berasa sangat marah! Kamu harus ganti ruginya! Jerit pak Senik dengan kuat!! Kami tidak memakan daging kambing itu, buat apa kami mesti menggantinya, terang Dollah lagi. Lagipun ayah sudah tua, harta ayah pun banyak, kalau ayah murah hati, pasti orang kampung menghormati ayah. Tuhan juga akan menggandakan rezeki ayah, jelas Dollah dengan lembut. Sejak peristiwa itu, pak Senik menjadi insaf atas kesalahannya. Dia sering bersedekah kepada orang miskin. Gayah dan Dollah berasa sangat gembira atas keinsafan pak Senik dan bersyukur kepada Tuhan atas perubahan sikap pak Senik. Kawan-kawan yang saya hormati, Pengajaran yang dapat saya kongsi daripada cerita ini ialah: Pertama, kita tidak boleh bersikap kedekut seperti Pak Senik. Pengajaran kedua, kita haruslah menginsafi kesalahan yang kita lakukan. Yang ketiga, kita mesti mensyukuri rezeki yang Tuhan berikan.

Demikianlah cerita saya pada hari ini. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita saya. Sebelum saya mengundur diri, izikan saya menyampaikan serangkap pantun.

Kalau ada sumur di ladang, Boleh saya menumpang mandi, Kalau ada umur yang panjang, Boleh saya bercerita lagi.