Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PERASMI SEMPENA PELANCARAN BULAN BAHASA SMKGC 2012 Bahasa Cerminan Budi .

Demikianlan tema sempena bulan bahasa 2012. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa dan budi. Menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dsb.) atau . percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun Budi pula ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji termasuklah tutur kata dan budi bahasa yang baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti. Dalam hal ini Bahasa cerminan budi membawa maksud percakapan yang baik dan bersopan santun akan menggambarkan pekerti yang baik dan terpuji seterusnya menggambarkan tamadun sesuatu bangsa. Nilai-nilai yang wujud dalam bahasa tersebut sangat penting dalam membentuk dan menghasilkan sesuatu tamadun, terutamanya tamadun Melayu. Dalam hal ini , tamadun yang baik dan sihat, hanya boleh dihasilkan oleh manusia yang sihat, iaitu yang sihat roh, akal, perasaan dan jasadnya. Wahana yang khusus untuk membina sesuatu tamadun itu ialah bahasa, yang merangkumi bahasa badan, pertuturan, perasaan dan kerohanian.. Oleh hal yang demikian dalam bahasa Melayu timbul ungkapan bahasa jiwa bangsa di samping rangkaian kata budi bahasa. Oleh sebab manusia tidak boleh hidup sendirian, manusia perlu berhubungan sesama mereka. Untuk menjalin hubungan tersebut, cara yang paling mudah adalah menerusi pertuturan, iaitu bahasa yang pada asasnya terdiri daripada kepelbagaian bunyi. Berbudi bahasa ialah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula kepada orang lain. Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk, dan sifat persaudaraan dapat disuburkan. Dengan itu situasi ini dapat dijadikan asas yang baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat yang bertamadun. Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat bahkan tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang, tetapi menggambarkan kekuatan peribadinya. Semua orang yang normal sebenarnya tidak bermasalah untuk mengamalkan sikap berbudi bahasa kerana bahasa ialah modal yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap orang. Untuk memiliki sikap berbudi hanyalah bermodalkan keinginan menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang baik dan sopan sebagai wahana. Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita, misalnya perbuatan vandalisme yang menjadi-jadi. Lebih parah masalah sikap tidak berbudi bahasa sesetengah pengguna jalan raya hingga boleh membawa padah dan menyebabkan kematian. Masalah pembuli jalan raya yang sering menimbulkan pelbagai kes di atas jalan raya berpunca daripada sikap tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati hak orang lain.

Kadang-kadang hanya kerana kemalangan kecil ataupun masalah kecil di atas jalan raya, boleh mencetuskan pergaduhan dan ada yang membawa kepada pembunuhan. Hal ini terjadi kerana sikap berbudi bahasa dan bersopan santun sudah tidak ada lagi dalam diri individu tersebut. Masing-masing tidak mahu mengalah dan ditambah lagi dengan sikap ingin mempamerkan kebolehan dan kecekapan yang tidak kena pada tempatnya. Lantaran itu , wujud kes kes pelajar yang tidak lagi menghormati guru. Guru guru diberi dengan pelbagai gelaran sehingga panggilan cikgu tidak lagi diguna pakai.Lebih parah lagi, amalan buli-membuli dan gengsterisme semakin menjadi-jadi dan yang menjadi mangsa ialah pelajar yang lemah bahkan kadang-kadang rakan sendiri.Akibat sikap yang tidak bercirikan pelajar yang bermoral, mereka terjebak dalam kancah jenayah dan sekolah seolah-olah tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk pelajar. Lantaran itu, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dicetuskan ilhamnya dan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai semangat bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama, serta cinta akan negara, sangat kena pada masanya. Kempen ini telah dilancarkan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, pada 11 Januari 2005. Sewaktu merasmikan kempen tersebut, beliau menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai oleh negara ini hanya dapat dikekalkan jika masyarakat mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi. Negara bukan sahaja memerlukan rakyat yang berkemahiran tinggi, tetapi juga memerlukan rakyat yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang boleh memastikan kejayaan yang telah dicapai oleh negara tidak dirosakkan oleh masyarakat yang runtuh moralnya. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain, serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Untuk memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak terhakis dalam budaya hidup masyarakat negara ini, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing, terutamanya ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan. Pelajar pelajar perlulah belajar menggunakan bahasa yang sopan . Tuntasnya , setiap bahasa ada nilaiannya yang tersendiri. Jika bahasa sesebuah negara itu tidak terbela, bermakna sesebuah negara itu telah gagal mempertahankan jati dirinya. Nilai-nilai positif terhadap bahasa sendiri perlulah ditingkatkan dan diperkukuh kerana bahasa adalah cerminan ketamadunan sesuatu bangsa. Yang kurik itu kendi Yang merah itu saga Yang cantik itu budi Yang indah itu bahasa .

(Disediakan oleh Sharifah Zaharah Syed Ayob)

Anda mungkin juga menyukai