Anda di halaman 1dari 6

MEDIA

Media pengajaran Dari perspektif pengamal teknologi pendidikan, media merupakan antara bahan pengajaran dan pembelajaran yang kerap digunakan dalam aktiviti bilik darjah.Media dalam pelbagai bentuk juga telah berjaya dibuktikan melalui penyelidikan sebagai satu bahan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dalam meningkatkan kefahaman pelajar dalam suasana pengajaran. Media juga telah dapat dibuktikan sebagai satu alat bantu mengajar yang juga dapat memudahkan penyampaian pengajar dan juga meningkatkan tahap penerimaan pembelajaran pelajar. Penggunaan bahasa yang betul bukan sahaja memudahkan proses penyampaian tetapi juga membantu dalam penerimaan pembelajaran yang tepat. Bahasa yang digunakan dalam media juga mencerminkan kekayaan budaya yang unik.Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam media penyiaran bukan sahaja setakat membantu menyampaikan pengajaran/pembelajaran tetapi turut menyatupadukan bangsa serta menyalurkan dan mempertahankan budaya yang unggul. Media dalam bidang pendidikan telah dihubungkan terus dengan benda-benda, alat-alat, perkakas dan bahan-bahan pendidikan dan pengajaran. Menurut R.M.W Travers (1970), "istilah media biasanya digunakan untuk mewakili satu edaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Oleh itu kita menyebut tentang media televisyen atau media filem bergerak. Mungkin media pendidikan mewakili sesuatu yang lebih sedikit dari golongan bahan-bahan mendidik." Menurut B.J Enright (1972) pula, "media ialah ikhtiar-ikhtiar untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar atau gabungan maklumat pandang dan dengar dengan cara grafik, fotografik, elekronik ataupun cara mekanik". Jadi fungsi media ialah untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar ataupun gabungan dua jenis maklumat ini. Yusuf Hashim (1997) menyatakan bahawa "media pengajaran yang biasa digunakan dalam pengajaran dan latihan terbahagi kepada lapan iaitu: Media tayang kaku (transparensi, slaid, mikrofilem dll) Media tayang gerak (video, filem, cakera dll) Grafik (lukisan, poster, kartun dll) Gambar kaku (gambar foto, kad imbasan, poskad dll) Media pameran (model, boneka, diorama dll) Media paparan (papan kapur, papan flanel, papan berita dll) Media audio (tutur, pita audio, cakera padat dll) Media cetak (modul pengajaran, buku teks, akhbar, majalah dll)

FUNGSI MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN. Fungsi media ialah untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar ataupun gabungan dua jenis maklumat ini. Pengajaran bersama pengajar : Ia membantu pengajar melaksanakan pengajarannya secara langsung. Keberkesanan media dalam konteks ini bergantung kepada bagaimana pengajar itu menggunakan media tersebut, tidak kira sama ada media itu dipilih daripada sesuatu koleksi atau disediakan oleh beliau sendiri. - Contohnya, guru menggunakan muzik, carta, gambar rajah dan sebagainya. Pengajaran Tanpa Bergantung kepada Pengajar : Media boleh digunakan secara berkesan tanpa kehadiran pengajar, sama ada kerana pengajar tidak ada atau sedang membantu pelajar lain. Ini tidak bermakna pelajar belajar tanpa panduan. Media yang digunakan dalam situasi ini biasanya dipakej dengan sempurna, iaitu menerangkan dengan jelas tentang tujuan, objektif, cara mengguna dan menilai pencapaian sendiri. Dengan cara ini, guru boleh menjadi pengurus yang lebih cekap dan kreatif, tidak hanya sebagai penyampai maklumat semata-mata. - Contohnya, pelajar boleh mempelajari kejadian gempa bumi melalui tayangan video dan seterusnya diberi latihan untuk menjawab. Folio Bermedia: Folio adalah koleksi kerja pelajar yang menunjukkan perkembangan sesuatu peristiwa dan proses dalam satu tempoh waktu. Folio biasanya merangkumi artifaks seperti buku bergambar, persembahan video atau audio yang dibuat sendiri oleh pelajar. Penghasilan folio membina kebolehan pelajar untuk memahami, merumus dan membentang hasil fikiran mereka. Pembelajaran ini juga dikenali sebagai pembelajaran dengan media (learning with media) yang didapati berupaya memupuk pemikiran kreatif di kalangan pelajar. Ini adalah kerana pelajar sendiri berfungsi sebagai pereka media, mereka perlu menganalisis, mendapatkan dan mentaksir maklumat, menyusun maklumat yang ada dan menyampaikan maklumat itu kepada orang lain. Pengajaran Tematik : Pengajaran jenis ini berfokus kepada sesuatu tajuk yang dipilih atau ditentukan oleh guru. Ia bermula daripada perkongsian pengalaman yang diikuti dengan perkongsian kepakaran. Suatu laporan dikeluarkan dan dibentangkan untuk dikongsi oleh semua murid di dalam kelas. - Contohnya, lawatan ke tempat bersejarah, industri tempatan dan sebagainya.

Pendidikan jarak jauh:

Ia kini berkembang luas dan menjadi tapak bagi menyediakan peluang belajar pelbagai bidang ilmu kepada semua orang. Media yang digunakan merangkumi media cetak dan elektronik. Telekonferensi membolehkan pelajar dari pelbagai tempat bertemu dan berbincang secara maya. Ruang berbual, papan bulletin dan listsery turut menyokong komunikasi pembelajaran jenis ini. Pendidikan bagi pelajar istimewa : Media memainkan peranan yang besar di kalangan pelajar yang kurang upaya. Teknologi masa kini telah menyediakan peralatan yang bersesuaian dengan mereka yang kurang berupaya. Bagi pelajar pintar, mereka disediakan dengan bahan-bahan tambahan yang membolehkan mereka memupuk kepintaran yang ada. Manakala bagi pelajar pekak, teknologi masa kini telah menyediakan peralatan yang bersesuaian dengan mereka seperti alat-alat bantu dengar. FUNGSI MEDIA Membuat Pengajaran Lebih Tersusun Mengikut pendekatan sistem, media adalah satu komponen dalam pembentukan pengajaran. Untuk memuatkan media dalam pengajaran, pengajaran guru perlu dirancangkan dengan sistematik terlebih dahulu supaya pengajaran lebih tersusun. Berdasarkan pendekatan sistem juga peranan media dikaji, dilaksanakan, dinilai dan kemudian dibaiki mengikut keperluan penuntut dan objektif pembelajaran. Memberi maklumat Berbagai media yang didapati,dari segi pembelajaran memang memberi maklumat seperti TV pendidikan dan radio, filem, slaid dan sebagainya. Pembelajaran Menjadi Lebih Dekat Sesuatu perkara yang perlu dipelajari tetapi berlaku di luar bilik darjah boleh dirakamkan melalui gambar foto, video atau ditulis ceritanya di dalam buku dan kemudian dibawa ke bilik darjah. Perkara-perkara di luar bilik darjah menjadi lebih hampir kepada murid kerana perkara-perkara tersebut boleh dipindahkan di dalam media dan dibawa masuk ke kelas. Memperkayakan pengalaman Media seperti filem boleh memperkayakan pengalaman murid. Jika murid di negara ini tidak pernah melihat salji, satu filem yang ditayangkan menunjukkan salji serta persekitarannya akan menambah pengalaman murid, seolah-olah murid sendiri mengalami persekitaran seperti itu. Pembelajaran Lebih Seronok Pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkahlaku. Dengan melihat filem, televisyen dan media lain pelajar akan terangsang untuk belajar. Ini akan menerbitkan rasa seronak kepada pelajar

kerana persekitaran bilik darjah adalah steril. Oleh kerana seronok melihat atau mendengar media pengajaran tersebut, perubahan tingkahlaku murid akan lebih mudah terhasil dan seterusnya pembelajaran berlaku. Pengajaran Lebih Bersifat Individu Jika pengajaran guru dirancang dengan teratur dan rapi, guru tidak perlu berhadapan dengan semua murid pada setiap masa. Guru boleh menggunakan berbagai media untuk menyusun pengajaran dan semua murid tidak perlu menguasai pembelajaran mengikut satu cara sahaja. Pengajaran boleh dijalankan secara individu mengikut kebolehan dan kecepatan pelajar sendiri untuk menyelesaikan sesuatu unit pembelajaran. Murid tidak perlu menanti guru untuk belajar kerana isi pelajaran telah disusun oleh guru mengikut tahap kebolehan murid.

MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN Terdapat berbagai-bagai model bagi pengajaran dan pembelajaran menggunakan media. Di antara model yang diperkenakan ialah Model Komunikasi. Bagi proses komunikasi, berbagai model telah dikemukakan seperti oleh Schramm dan yang lebih kompleks seperti yang digunakan di dalam kejuruteraan telekomunikasi. Model Komunikasi Model ini telah diperkenalkan oleh R.M. Brown (1963). Proses komunikasi yang berlaku ini terdapat di dalam lima peringkat iaitu: Punca (penghantar) Enkod (bentuk) Saluran (deria atau media) Dekod (kesan) Penerima Punca (pengantar) Pengantar ialah manusia dan di sini ialah guru. Pengantar akan menghantar atau menyampaikan sesuatu mesej kepada pelajar. Enkod (bentuk) Mesej yang disampaikan oleh guru akan dienkod iaitu akan disusun serta dipilih simbol supaya dapat difahami oleh kedua-duanya, pengantar dan penerimanya. Saluran (deria atau media) Mesej yang telah dienkod tadi hendaklah dihantar melalui sesuatu. Jika melalui gelombang udara, melalui telefon dan jika melalui gambar, melalui video, TV atau foto. Dekod (kesan) Mesej yang telah dibentuk dan dihantar melalui sesuatu saluran tadi perlu dikesan oleh penerima. Jika melalui video, mesej itu hendaklah dekodkan dengan menggunakan otak penerima terlebih dahulu. Kemudian barulah proses penyusunan dan memahami simbol diterima. Penerima Mesej yang diterima iaitu dienkod melalui saluran video tadi telah didekod akhirnya akan diterima oleh penerima. Penerima di sini ialah murid. Jika sekiranya ada penghalang semasa proses itu seperti kod bahasa tidak difahami, murid akan menyoal untuk mendapatkan kefahaman. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran sering berlaku salah anggap di antara guru dan murid. Guru menganggap dia telah menyampaikan pelajaran kepada muridnya sedangkan murid tidak memahami apa yang telah diajarkan oleh gurunya. Ini menyebabkan lain mesej yang hendak disampaikan lain pula mesej

yang diterima. Penyampaian mesej kepada murid dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu pengaruh gangguan, pengaruh media dan pengaruh-pengaruh lain. Pengaruh gangguan ialah seperti bentuk tulisan yang tidak sesuai atau tidak jelas atau suasana bising di dalam atau di luar kelas atau sistem pengudaraan yang kurang selasa. Sementara pengaruh media pula ialah seperti pemilihan media yang kurang tepat seperti penggunaan pembaris yang dihentakkan di meja. Ini menyebabkan murid tidak seronok untuk belajar. Pengaruhpengaruh lain ialah seperti sikap guru sendiri kurang disenangi oleh pelajar. Kesemua faktor-faktor ini mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu guru perlu memberi perhatian akan keadaan sekeliling di samping penggunaan media untuk mendapatkat proses pengajaran yang berkesan.

Model ASSURE Model ini telah diperkenalkan oleh Heinich, Molanda, Russell (1989). Assure bermaksud " memastikan sesuatu berlaku." Singkatan akronim ASSURE bermaksud, A - Analyse learner (Analisis pelajar) S - State objective (nyatakan objektif) S - Select, modify or make media ( pilih, baiki atau bina media) U - Use media (gunakan media) R - Require learner response (keperluan tindakan) E - Evaluate materials (menilai)

Analyse learner (analisis pelajar) Mengenalpasti kesediaan dan pengetahuan sedia ada pelajar berkaitan dengan tajuk yang hendak diajar. Kaji umur, bakat, kelas serta taraf ekonomi pelajar untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. State objective (nyatakan objektif) Nyatakan objektif dengan khusus berdasarkan pencapaian yang dirancangkan. Select, modify or make media (pilih, baiki atau bina media) Guru hendaklah memilih media yang sedia ada disesuaikan dengan objektif pengajaran. Sekiranya media itu rosak atau kurang sesuai hendaklah dibaiki terlebih dahulu. Tetapi jika media yang sedia ada tidak bersesuaian dengan objektif pengajaran, guru hendaklah membina media yang baru bersesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran. Use media (gunakan media) Rancangkan bagaimana media itu hendak digunakan. Sediakan alat kemudahan untuk persembahan. Rancangkan aktiviti-aktiviti yang menarik minat murid serta yang memberi motivasi kepada murid supaya murid merasa seronok. Adakan juga aktiviti susulan bagi tujuan pengayaan.

Require learner response (keperluan tindakbalas) Tindakbalas dari pelajar seperti membuat latihan hasil dari pembelajaran yang berlaku. Adakan juga pengukuhan supaya tindakbalas yang betul diperolehi. Evaluate materials (menilai) Menilai dan menyemak semula bahan yang telah digunakan. Adakah objektif tercapai? Bahan yang digunakan membantu P&P? Adakah semua pelajar gunakan cara yang betul? Adakah suasana P&P selesa? Adakah peluang-peluang pemerhati individu diberi? Soalan yang dikemukakan dapat dijawab?

PENUTUP Media pendidikan dan media pengajaran merupakan satu komponen bidang teknologi pendidikan sahaja. Komponen tersebut berfungsi memperolehi, memproses dan menyusun kembali maklumat pandangdengar. Media boleh berupa alat, perkakas atau bahan grafik, fotografik, elektronik atau mekanik. Komponen lain terdiri daripada isi kandungan matapelajaran, matlamat dan objektif matapelajaran, penyusunan semua perkara tersebut mengikut kebolehan murid dan pengajaran yang disampaikan oleh guru. Semua komponen itu kemudiannya hendaklah dinilai dan dibaiki oleh guru.

Bibliografi Sharifah Alwiah Alsagoff . Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 1994. Schramm. Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 1994. R.M. Brown. Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 1994. R.M.W. Travers. Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 1994.

Anda mungkin juga menyukai