Anda di halaman 1dari 3

Hiperaktif, kurang tumpuan

Families
Ibu bapa, guru perlu mainkan peranan penting bagi perkembangan emosi, sosial budak bermasalah.

EGOSENTRIK kanak-kanak hiperkatif adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal.

ELMAN suka sangat mengusik adik perempuannya, setiap kali kedua beradik itu dibiarkan main bersama-sama, lantas kedengaran teriakan si kecil itu meraung memanggil ibunya. Ada saja yang yang tidak kena dengannya. Di tadika pula, cikgu selalu memberitahu Elman yang berusia lima tahun sukar menumpukan perhatian, malah dia lebih agresif berbanding rakan seusianya. Elman juga menguasai egosentrik jauh lebih tinggi hingga bertindak menggigit tangan rakannya kerana enggan berkongsi alat permainan. Tingkah laku anak sulung dalam keluarga itu membuatkan ibunya menjadi risau dan akhirnya mengambil keputusan bertemu pakar psikiatri seperti dicadangkan cikgu tadika. Ibu Elman tidak mampu menerima kenyataan apabila laporan perubatan mendapati dia dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas dan memerlukan penjagaan yang lebih teliti berbanding rakan di sekolahnya. Pasti ramai yang beranggapan, apabila seseorang itu dikategorikan sebagai keperluan khas, mereka mengamali masalah kecacatan fizikal seperti terencat akal, pekak, bisu dan buta atau cacat anggota badan. Namun, secara amnya ada enam kategori keperluan khas di Malaysia ini, termasuk kategori kurang upaya pendengaran, penglihatan dan fizikal, cerebral palsi dan masalah pembelajaran. Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kanakkanak yang diletakkan mengikut kategori masalah pembelajaran adalah mereka yang mengalami lewat perkembangan (Global Developmental Delay). Katanya, kumpulan kanak-kanak terbabit adalah berusia kurang daripada tiga tahun, kanak-kanak sindrom down, autisma, kurang tumpuan dan hiperaktif atau lebih dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), dan juga kanak-kanak terencat akal (Intellectual impairment) yang berusia lebih daripada tiga tahun. "Dalam kanak-kanak berkeperluan khas, masalah pembelajaran tertentu seperti disleksia (kesukaran dalam menulis, mengeja dan membaca) dan dyscalculia (sukar mengira) juga termasuk dalam kategori sama selain hiperaktif. "Kebiasaannya, guru berhadapan dengan kanak-kanak yang sukar untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dan sebahagian daripada mereka dilabelkan sebagai bodoh, dungu, lembap dan nakal kerana sikap mereka yang kadangkala mengganggu kelas," katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Mariani memberitahu ADHD adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak dan membabitkan kesukaran buat mereka. Jelas beliau, ADHD biasanya wujud bersama Gejala Tentangan dan Bantahan (Oppositional Defiant Disorder) iaitu kanak-kanak berkenaan

berkelakuan degil, keras kepala, pemarah dan pembangkang. Masalah harga diri boleh berlaku kerana kesusahan di sekolah, rumah dan rakan. Masalah pembelajaran adalah biasa berlaku kerana kanak-kanak ini tidak dapat memberi tumpuan pada pelajaran di sekolah. "Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah ini, guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan emosi dan sosial mereka berikutan egosentrik kanak-kanak ini adalah sangat tinggi kerana segala tindakan mereka difikirkan betul. "Namun untuk memberitahu kesilapan dilakukan kanak-kanak ini, haruslah kena pada caranya. Mereka perlu diberikan arahan satu persatu dengan jelas sekali gus memberikan pujian jika berjaya melakukan sesuatu yang bagus," katanya. Justeru, Mariani menegaskan, bagi kanak-kanak hiperaktif, guru dan ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk menarik perhatian mereka ketika menjalankan aktiviti pembelajaran kerana mereka cepat beralih kepada benda yang dianggap lebih seronok. Pembelajaran yang dilakukan kanak-kanak ini perlu lebih singkat antara 10 minit hingga 15 minit selain penerangan yang jelas diperlukan oleh mereka. "Kanak-kanak ini mudah beralih fokus jika mereka mendapati ada perkara lain di sekeliling mereka yang jauh lebih menarik berbanding pembelajaran yang dilakukan. Oleh itu, ibu bapa dan guru perlulah sentiasa kreatif dalam penyampaian pengajaran buat mereka. "Bagi menggalakkan perkembangan kanak-kanak keperluan khas, aktiviti seperti menghadiri bengkal adalah langkah terbaik untuk mempertingkatkan perkembangan emosi dan sosial mereka. Di situ, kanak-kanak ini juga berpeluang untuk menjelajah dunia pembelajaran yang lebih bersesuaian," katanya. Berdasarkan senario itu, semoga ibu Elman dan sesiapa saja ibu bapa yang mempunyai anak sebegitu, akan mendapat jalan penyelesaian yang terbaik untuk membimbing anaknya dalam mencapai pembelajarannya. Kanak-kanak pastinya lebih cemerlang dengan adanya kesabaran oleh ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah. INFO ADHD Biasanya wujud bersama Gejala Tentangan dan Bantahan (Oppositional Defiant Disorder) yang mana kanak-kanak itu berkelakuan degil, keras kepala, pemarah dan pembangkang. Masalah harga diri boleh berlaku kerana kesusahan di sekolah, rumah dan rakan. Masalah pembelajaran adalah biasa terjadi kerana kanak-kanak ini tidak dapat memberitumpuan pada pelajaran di sekolah. Tanda dan gejala Seorang kanak-kanak dikatakan mempunyai masalah ADHD jika dia mempunyai lebih daripada enam gejala daripada kategori berikut: A. Kurang tumpuan * Melakukan banyak kesilapan di dalam kerja sekolah. * Mempunyai masalah untuk mengatur aktivitinya. * Sering kehilangan barang di rumah dan di sekolah. * Tidak dapat menyelesaikan tugasnya. * Tidak memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengannya. * Tidak berupaya mematuhi arahan. * Mengelakkan aktiviti yang memerlukan fokus dan fikiran. * Mudah hilang perhatian. * Pelupa. B. Hiperaktif * Menggoyang-goyangkan tangan dan kakinya serta menggeliat dan resah di tempat duduknya. * Meninggalkan kerusinya di kelas walaupun sepatutnya ia duduk di situ. * Berlari-lari dan memanjat dengan berlebihan (lebih dari kanak-kanak biasa). * Bising waktu bermain. * Sentiasa bergerak ke sana ke mari (tidak duduk diam). * Banyak bercakap.

C. Menurut kata hati (Impulsiviti) * Menjawab dengan spontan walaupun soalan yang diajukan belum habis. * Tidak sabar menunggu giliran. * Sering mengganggu rakan lain semasa mereka bercakap atau bermain. Ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa di rumah dan mungkin boleh berbincang dengan guru untuk dipraktikkan di sekolah: * Berikan arahan satu persatu dengan jelas dan pastikan bahawa kanak-kanak itu memberi perhatian dan memahaminya. * Beri pujian sekiranya mereka membuat sesuatu dengan baik. Cara ini akan menaikkan rasa harga dirinya. Berikan pujian dengan tepat, seperti tunjukkan anda berasa gembira kerana mereka menyimpan permainan di tempat yang betul. * Wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan kelakuan yang baik. Carta Bintang (hyperlink) adalah satu cara yang bagus untuk membantu kanak-kanak berkelakuan dengan lebih baik. * Kekalkan kebiasaan aktiviti harian supaya kanak-kanak dapat menjangka apa yang berlaku setiap hari. * Bantu kanak-kanak mengatur aktiviti harian mereka dengan menyediakan senarai semak untuk memastikan tugasnya disempurnakan. * Galakkan anak mengawal kata hatinya, umpamanya berfikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata. * Bina semangat dan kelebihan yang ada pada kanak-kanak itu dan jangan menitik beratkan pada kelemahannya saja. * Tempatkan kedudukan kanak-kanak di bahagian barisan hadapan kelas. * Minta bantuan guru untuk mencatatkan kerja kerja sekolah di dalam buku khas yang mana kanak-kanak ini boleh menunjukkannya kepada anda semasa di rumah nanti. Source : Berita Harian By : Fatin Hafizah Mohd Shahar