Anda di halaman 1dari 4

Najib pewaris kuku besi Dr Mahathir Amin Iskandar | Oct 17, 08 5:52pm Tidak berapa

lama selepas Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan
presiden Umno, muncul spekulasi mengenai kebangkitan kembali legasi pemerintahan Dr
Mahathir Mohamad melalui kepemimpinan Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri
yang keenam.

Cakap-cakap ini bukan sahaja berlegar di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan
penentang-penentang Umno, malahan ia turut diperkatakan oleh pemimpin Umno sendiri.

Zaid Ibrahim, yang meletakkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada
kabinet Abdullah ekoran penggunaan ISA baru-baru ini, lantang menyuarakan
kebimbangan ramai tentang kemungkinan itu.

Menurut peguam itu, jika Najib menjadi perdana menteri, “Mahathirisme” akan kembali
di Malaysia. Lebih parah lagi, beliau turut meramalkan bahawa Dr Mahathir akan
menjadi perdana menteri de facto di belakang Najib.

Ini kerana ahli parlimen Pekan - yang hanya menang dengan majoriti 241 pada
pilihanraya umum 1999 - dilihat sebagai benteng peninggalan Dr Mahathir di zaman
pemerintahan Abdullah.

Ketika Zaid masih bersama kabinet, reformasi kehakiman yang cuba dibawanya –
sebagai sebahagian projek reformasi perdana menteri – telah ditentang hebat oleh
kelompok-kelompok pro-Dr Mahathir yang bernaung bawah payung Najib.

Anak bekas perdan menteri yang kini bakal menduduki jawatan Pemuda Umno, Mukhriz
Mahathir menyerang Zaid secara terbuka di Dewan Rakyat dengan mengatakan menteri
de facto undang-undang itu melaksanakan "apa yang diperjuangkan oleh Pakatan
Rakyat".

Walaupun reformasi kehakiman direstui oleh Abdullah, ia tetap tidak dipedulikan oleh
pemimpin-pemimpin Umno (juak Dr Mahathir) yang jelas menentang segala usaha untuk
melaksanakan pembaharuan ke arah memantapkan demokrasi di Malaysia.

Ketika pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, rakyat menyaksikan bagaimana


kerasnya beliau apabila berhadapan dengan penentang-penentangnya – sama ada dalam
atau luar kerajaan dan partinya.

Dalam Umno, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim terpaksa membayar kos politik yang
besar sewaktu menjadi timbalannya kerana kekhuatirannya mereka boleh mencabar
kedudukan teratasnya.

Hanya pemimpin seperti Abdullah yang boleh mengiyakan apa sahaja tindakan Dr
Mahathir sehingga akhirnya berjaya menjadi perdana menteri kelima.

Lagipun kerana Mahathir sedar, jika beliau terus menerajui pemerintahan negara,
nasibnya mungkin akan sama seperti apa yang berlaku kepada Soeharto di Indonesia dan
Marcos di Filipina – ditumbangkan oleh gerakan rakyat yang menuntut reformasi.

Dalam kalangan penentang-penentang Dr Mahathir di luar Umno, nasib mereka lebih


parah lagi.

Pada November 1985, berlaku tragedi Memali di Baling, Kedah yang sungguh menyayat
hati. Ibrahim Libya dan tiga belas orang penyokongnya terkorban, manakala 159
penduduk kampung itu ditahan polis untuk menutup tragedi berdarah di kampung
terpencil itu.

Dr Mahathir cuci tangan daripada insiden itu, dan sebaliknya menyalahkan Musa,
timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri yang berada di dalam negara
pada ketika itu. Dr Mahathir berada di luar negara.

Mengenali cara pemerintahan Dr Mahathir, tanpa restunya, tidak mungkin Musa berani
mengeluarkan arahan kepada polis untuk bertindak.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis sosial turut menjadi mangsa kekejaman


politik Dr Mahathir. Pada Oktober 1987, Operasi Lalang membaham 106 orang,
memaksa mereka berdekam bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tokoh-tokoh politik yang menjadi mangsa antaranya Lim Kit Siang, Karpal Singh, Kua
Kia Soong, Lim Guan Eng, Ibrahim Ali, Chandra Muzaffar, Mohammad Sabu, Mahfuz
Omar, dan Yunus Ali.

Kestabilan ekonomi sering dijadikan alasan Dr Mahathir menghalalkan tindakan menutup


ruang demokrasi – walaupun jelas ia ditujukan kepada pengkritik-pengkritiknya.

Selain Dr Mahathir, Lee Kuan Yew dari Singapura juga turut menggunakan alasan yang
sama untuk bersikap kuku besi di republik itu.

Sebenarnya alasan tersebut telah dibuktikan tidak benar di Korea Selatan.

Selepas demokrasi dikembalikan di negara tersebut pada tahun 1987, pertumbuhan


ekonomi negara tersebut berjalan dengan rancak.

Kini Korea Selatan boleh berbangga dengan pencapaian ekonominya di Asia kerana
berdiri bersama-sama dengan Jepun, Singapura dan Taiwan.

Najib, yang berjinak dengan politik Mahathirisme, adalah tokoh Umno yang mampu
untuk menjalankan pemerintahan bekas pemimpin itu.

Oleh kerana anak Razak Hussein itu, bekas perdana menteri, tidak dikenali sebagai
seseorang yang mempunyai ideologi atau pemikiran asli, mudah baginya untuk
melaksanakan pemerintahan dengan menggunakan nasihat Mahathir.
Sebab itu dalam wawancaranya, Zaid berkata:

Anda mempunyai 22 tahun era Dr Mahathir. Katakanlah Najib bertahan menjadi PM


selama 10 tahun, ertinya 32 tahun Malaysia berada bawah Mahathir.

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas membuktikan bahawa semakin ramai rakyat
Malaysia menolak Barisan Nasional dan menuntut perubahan.

Jika Najib mahu meneruskan era kuku besi ala Dr Mahathir, tidakkah beliau takut dengan
kebangkitan rakyat?

Jika Mahathir dan Abdullah selamat daripada diturunkan melalui pilihan(jalan)raya,


apakah Najib akan mengulangi nasib Soeharto dan Marcos?

Selain dibelenggu bayang-bayang Dr Mahathir, Najib turut dibayangi oleh imej isterinya
Rosmah Mansor – seumpama Imelda Marcos, isteri presiden Filipina yang digulingkan
oleh kekuatan rakyat pada 1986.

Imelda terkenal dengan kehidupan bergaya dan pernah dilaporkan membelanjakan USD5
juta ketika membeli-belah di New York, Rom dan Copenhagen pada 1983 di kala majoriti
rakyat Filipina dibelenggu kemiskinan.

Imelda juga pernah membelanjakan USD51 juta untuk membeli Crown Building di
kawasan mewah Manhattan pada 1980-an.

Rosmah tidak kurang juga hebatnya. Baru-baru ini ahli parlimen Gombak, Azmin Ali
membangkitkan di Dewan Rakyat mengenai aktiviti membeli-belah Rosmah ketika
berada di luar negara.

Orang rumah Najib dikatakan menggunakan Kedutaan Malaysia di London untuk urusan
penghantaran pulang barang-barang tersebut ke Malaysia.

(Najib menafikan dakwaan naib presiden PKR itu)

Rosmah juga tercemar dengan imej kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya
Shaariibuu.

Raja Petra Kamarudin, yang kini meringkuk bawah ISA, mendakwa sedemikian dalam
akuan bersumpahnya tetapi Najib dan Rosmah menafikannya.

Raja Petra yang kini masih dibicarakan dibawah Akta Hasutan kerana menulis artikel
tersebut turut ditahan di kem Kamunting, Taiping selama dua tahun.

Jika Malaysia kembali lagi ke era ala Dr Mahathir, rakyat berundur semula ke zaman
yang lebih gelap.
Tetapi seorang teman diskusi penulis bersikap positif dalam hal ini. Katanya: “lebih keras
penindasan, maka lebih keraslah perlawanan.

“Lebih kuat Najib menekan, lebih cepat Barisan Nasional akan disumbat dalam tong
sampah sejarah”.