Anda di halaman 1dari 7

Kamu Sentiasa Layak Diuji

“Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat
rendang ya!” pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor
kambing betina tua, yang terpinga-pinga.

Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?

Tidak perlu.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli
keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu
diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa
mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja
keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu
milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan,
perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup
sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH

Ada apa di sebalik kisah kambing?

Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.


“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari lang it dan bumi
atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan?
Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan
yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka
mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak
bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam,
Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian
iman kita kepada Rububiyyah Allah.

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas,


tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT.
Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita
kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-
tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup
ini.

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat
ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal
berhubung dengan Rububiyyah Allah.

Justeru dalam ‘kesempurnaan’ ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat
diri sebagai HAMBA.

HAMBA YANG LUPA


Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima
ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran
dirinya diuji.

“Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!” kata-kata
manusia yang terlupa.

Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik
mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita
bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan
sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA

“Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam,” komen
gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.

“Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri,” ulas seorang akh yang
larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.

Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya


untuk membentangkan soal cinta!

Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-
ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya
juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.

Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi
‘mabuk cinta’ membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk
meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung
yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada ra kan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang
dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai
panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:

“Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR


dan IKHLAS itulah Islam”

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup
dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci,
bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu
yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu
bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-
busuk fitnah, merogol Nora?

“Apa salah saya kepada Allah???” soalan seorang manusia bernama Fahri,
yang tertipu dengan dirinya sendiri.

“Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat


siapa diri kamu!” bicara waras seorang manusia gila.

Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk
mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada
ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan
tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang
hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara,
dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia
yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita
sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita
(dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita
adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang
kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang
HAMBA.

Buruk sangka, tidak mencari ‘bicara Tuhan’ di sebalik musibah dan


berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.
Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk


kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain
kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada


rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur
nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan
keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan
akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit
menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga keba
jikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak


adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah
KERANA DIA.
Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang
melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA

Tetapi kamu terlupa.

Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik,
kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya
menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina.
Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.

Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa


kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan
memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.

Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah
hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka
kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu
dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa


kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka,
hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan
seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.

Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan


keikhlasan itu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya


berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati
suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti
ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang
dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH
sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana


mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun
ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu


menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan
mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik -
derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji…

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


56000 Kuala Lumpur