Anda di halaman 1dari 12

Kajian Kualitatif: Punca Murid Gagal Kuasai Kemahiran Membaca dan Menulis (2M)

Zulkefli Husin
Psikologi Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak Di hantar pada 6 May 2012

Abstrak: Di Malaysia pada tahun 70-an, beberapa kebimbangan telah disuarakan oleh beberapa pihak berkenaan dengan permasalahan yang melibatkan kelemahan dalam menguasai kemahiran 2M. Beberapa penyelidikan telah dilakukan sehingga Kementerian Pendidikan menggubal dan menyusun semula kurikulum sekolah. Ini semua bagi tujuan untuk mengatasi permasalahan dalam menguasai kemahiran 2M. Kebanyakan murid yang mengalami masalah ini banyak ketinggalan dari segi akademik disebabkan gagal mengikuti pelajaran yang diajar di dalam kelas arus perdana. Ada beberapa pendapat yang mengatakan murid-murid ini boleh dikategorikan sebagai mundur atau murid lembam. Ciri-ciri yang boleh dilihat dalam diri mereka ialah pada umur 10 hingga 12 tahun, mereka masih gagal dalam menguasai huruf-huruf dan menyebut suku kata. Beberapa faktor boleh dikaitkan dengan terjadinya murid-murid lembam ini seperti masalah intelektual, persekitaran dan disebabkan beberapa penyakit seperti autisme, disleksia dan sindrom down. Pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan oleh individu disekeliling murid ini bagi mengatasi serta membantu mereka untuk menguasai kemahiran 2M agar mereka tidak merasa tidak dihargai dan disisihkan. 1. Pendahuluan 1.1 Pengenalan Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah memperoleh ilmu pengetahuan. Tujuan membaca ialah bagi memahami teks yang dibaca dan kandungan teks memberi makna kepada pembaca (Yahya 2005). Keupayaan membaca merupakan suatu kemahiran yang amat bernilai dan merupakan proses yang dinamik, iaitu memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dengan penulis. Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta berupaya mentafsirkan maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung pada gabungan dari segi pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman membaca. Sementara itu, kemahiran menulis merupakan suatu budaya intelek yang saling melengkapi antara kemahiran membaca dengan menulis. Keupayaan menulis merupakan proses penyaluran maklumat yang bersifat mekanikal dan disalurkan secara bersistem iaitu mengambil kira matlamat, penggunaan bahasa, audiens, dan gaya penulisan. Sehubungan itu, keupayaan membaca dan menulis merupakan suatu kemahiran yang menjadi punca atau asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam pelbagai disiplin ilmu di sekolah. Pencapaian
1

dan kebolehan yang tinggi dalam kemahiran membaca dan menulis pasti dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid dalam Bahasa Melayu dan mata pelajaran tertentu. Tahap kecerdasan dan psikologi yang rendah di kalangan murid adalah disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain itu, tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap pembelajaran (Zulkifley 2006). Selain gangguan emosi, terdapat juga masalah biologi seperti masalah kesihatan fizikal dan fungsi neurologi murid. Akibatnya kesihatan murid terjejas dan menjejaskan minat dan tumpuan murid terhadap pelajaran. Oleh itu, kepintaran atau kebijaksanaan berpunca daripada kecekapan sel-sel neuron dalam otak manusia bukan sahaja mewujudkan pengetahuan tetapi memberi pengalaman yang bermakna. Permasalahan persekitaran merupakan suatu fenomena luaran yang berlaku akibat amalan sistem persekolahan dan pembentukan bahasa murid. Sistem persekolahan yang sering mengamalkan kurikulum yang kompleks dan tidak prihatin terhadap keperluan murid yang berbeza-beza keupayaan, guru lebih terikat dengan waktu untuk menghabiskan sukatan pelajaran daripada menumpukan pembelajaran merupakan ketidakcekapan pengurusan pengajaran di sekolah. Aspek kemampuan murid yang berbeza diabaikan, maka jurang perbezaan murid semakin ketara antara mereka. Kekurangan pengalaman dan pergaulan yang tidak sihat menjadikan murid lebih terdedah kepada pertuturan dan amalan penggunaan bahasa daerah, bahasa pasar yang menyumbang kepada permasalahan pembelajaran Bahasa Melayu. Pengaruh faktor-faktor yang tertentu mewujudkan masalah dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis murid. Kelemahan menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid berasa rendah diri dan masalah disiplin diri merosot. Murid-murid ini beranggapan bahawa perlakuan yang melanggar norma amalan di sekolah bertujuan menarik perhatian guru dan rakan-rakan. Sifat rendah diri akibat kegagalan yang berterusan membawa kepada konsep kendiri yang rendah. Tingkah laku agresif, negatif, kebudak-budakan serta bermuram adalah petunjuk-petunjuk masalah emosi yang serius. Ini akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menguasai kemahiran bahasa yang lebih berkesan. Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu akibat daripada ketidakcekapan mereka menguasainya. Permasalahan membaca seperti keliru untuk mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak membunyikan perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya. Ini menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya menjadikan murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Selain itu, murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat yang terdapat dalam gambar rajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru. Pada masa dahulu, apabila memperkatakan tentang sikap manusia, ia tidak dikaitkan dengan bidang psikologi walaupun kajian terhadapnya telah dilakukan sekian lama. Pada awalnya, idea-idea ahli psikologi memikirkan tingkah laku manusia dipengaruhi oleh naluri, diikuti pula dengan teori tingkah laku yang mengatakan manusia menghasilkan tingkah laku adalah kesan daripada pembelajaran kerana manusia dianggap seperti mesin dan minda manusia adalah kosong. Setelah timbul kesedaran bahawa otak manusia adalah berfungsi untuk
2

melahirkan tingkah laku, maka lahirlah teori-teori yang mengkaji bagaimana minda manusia memainkan peranannya. Pendekatan kognitif menekankan pada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Penyatuan maklumat ini kemudian akan diubah dan disusun semula. Hasil pemikiran bergantung pada proses mental dalaman tersebut. Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa kita bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak kita akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru. Seseorang individu itu seharusnya memaksimumkan penggunaan minda mereka supaya mereka dapat menjadi pemikir yang aktif. Sebagai manusia yang telah dikurniakan otak untuk berfikir, kita seharusnya dapat bertindak balas dengan sewajarnya apabila menerima sesuatu maklumat dan bersedia pula untuk berubah sikap jika kita dapati bahawa idea kita sebelum ini adalah salah atau negatif. Menurut Piaget, iaitu seorang ahli biologi yang cukup terlatih dan menggunakan model biologi untuk menghuraikan perkembangan kognitif manusia, minda boleh berkembang, berubah dan dapat mengadaptasi masalah yang berlaku apabila berinteraksi dengan persekitaran. Piaget sering kali dikenal sebagai ahli struktur disebabkan mementingkan struktur pemikiran manusia. Selain itu, Piaget juga mengatakan setiap kanak-kanak mempunyai corak perkembangan mereka yang bersendirian ataupun berbeza. Dengan sebab itu, kanak-kanak yang berada di dalam sesuatu darjah itu bukan sahaja berlainan peringkat kebolehan mereka tetapi juga berlainan kecepatan perkembangan kognitif mereka. Piaget berpendapat bahawa perkembangan kognitif itu berlaku dengan berperingkat-peringkat dan peringkat yang lebih awal adalah mustahak bagi perkembangan peringkat-peringkat yang berikutnya kerana peringkat-peringkat yang lebih awal itu menjadi asas bagi perkembangkan yang berikutnya. Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap mengikut urutan umur. Tahap-tahap perkembangan itu ialah: i. ii. iii. iv. Tahap Sensori Motor atau deria motor (sejak dilahirkan - 2 tahun) Tahap Pra Operasi (2 tahun - 7 tahun) Tahap Operasi Konkrit (7 tahun - 12 tahun) Tahap Operasi Formal (12 tahun - dewasa)

Menurut teori ini juga, belajar adalah perubahan persepsi dan pemahaman. Perubahan persepsi dan pemahaman tidak selalu berbentuk perubahan tingkah laku yang boleh dilihat. Asas dasar teori ini adalah setiap orang telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam dirinya. Pengalaman dan pengetahuan ini adalah dalam bentuk struktur kognitif. Berdasarkan teori ini, proses belajar akan berjalan baik apabila material pelajaran yang baru beradaptasi dengan struktur kognitif yang telah dimiliki oleh murid. Prinsip kognitif banyak diguna pakai di dalam dunia pendidikan, prinsip-prinsip tersebut ialah: Seseorang yang belajar akan lebih mampu mengingat dan memahami sesuatu apabila pelajaran tersebut disusun berdasarkan pola dan logik tertentu. Penyusunan material pelajaran harus dari sederhana ke kompleks Belajar dengan memahami akan jauh lebih baik daripada dengan hanya menghafal tanpa pengertian yang jelas.
3

1.2 Penyataan Masalah Masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru ialah murid-murid masih belum dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis. Masalah ini juga sekarang telah mendapat perhatian umum dan keadaan ini semakin lama semakin membimbangkan apabila ramai pelajar gagal membaca dan menulis walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Contoh masalah yang dihadapi oleh murid-murid ialah murid akan menyebut sesuatu suku kata semasa membaca dengan berulang-ulang, tidak mengenal huruf atau salah menyebut huruf atau perkataan dan membaca huruf atau perkataan secara terbalik atau songsang. Permasalahan yang dihadapi oleh murid-murid dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis ini perlu diatasi dengan segera sebelum murid-murid ini melangkah ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam situasi ini, jika murid tersebut masih tidak dapat menguasai kedua-dua kemahiran, maka mereka akan ketinggalan dalam kurikulum biasa dan seterusnya akan tercicir dalam bidang pelajaran juga. Jika keadaan ini tidak di kawal dengan segera, keadaan ini akan berterusan sehingga ke sekolah menengah ataupun selepas tamat persekolahan. Masalah ini dapat dilihat apabila Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mendapati sejumlah 1,000 daripada 11,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan ketiga siri 7/2010 tidak mengenal huruf, tidak tahu membaca dan menulis. Apabila terkesan sejumlah besar peserta PLKN yang belum mampu menguasai 2M ini, ada pihak yang menuding jari kepada guru yang dikatakan gagal mendidik mereka sehingga tidak mampu menguasai ketiga-tiga kemahiran tersebut. Tidak kurang pula yang menganggap bahawa ada murid, terutama kelas bawah dipinggirkan di sekolah sehingga ada di kalangan murid yang tidak kenal huruf dan sebagainya. Kelonggaran dalam meneruskan pendidikan dikatakan turut menjadi punca mengapa kebanyakan murid sekarang dikatakan gagal menguasai pelbagai kemahiran di sekolah. Di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), murid masih boleh melepasinya memandangkan mereka didedahkan dengan soalan objektif. Di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) pun, pelajar masih dilonggokkan dengan soalan berbentuk objektif yang mampu dilepasi. Di samping itu, tapisan ke atas pelajar ke tingkatan empat tidaklah ketat seperti dulu iaitu pelajar yang gagal mencapai kelulusan disyaratkan terpaksa mengambil peperiksaan ulangan di dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Pelajar sekarang diberi kelonggaran memasuki tingkatan empat walaupun mendapat keputusan sangat buruk. Ada yang masih tergagap-gagap membaca dan tidak pandai mengeja pun masuk dibenarkan ke tingkatan empat. Peluang memberi pendidikan menyeluruh dan berpanjangan kepada pelajar menjadikan sesetengahnya tidak berkualiti dalam pelbagai aspek. Oleh itu, berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di atas, maka satu kajian mengenai mempertingkatkan kemahiran murid yang gagal kuasai 2M di peringkat awal perlu dijalankan agar tidak hanya satu pihak sahaja yang akan dipersalahkan pada masa hadapan.

1.3 Objektif Kajian Kajian mengenai mempertingkatkan kemahiran murid yang gagal kuasai kemahiran membaca dan menulis (2m) ini dijalankan adalah berdasarkan objektif-objektif berikut: 1.3.1 Untuk mengenal pasti punca masalah murid tidak dapat mengenal huruf, menyebut suku kata dan seterusnya membaca serta menulis. 1.3.2 Untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh murid yang mengalami masalah ini. 1.3.3 Untuk mengenal pasti kaedah-kaedah yang digunakan dalam mengatasi masalah ini serta keberkesanannya. 1.3.4 Untuk mengatasi masalah murid yang kurang minat dalam pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan. 1.4 Soalan-soalan Kajian Soalan-soalan yang digunakan dalam kajian ini ialah: 1.4.1 Apakah punca masalah murid gagal mengenal huruf, menyebut suku kata, membaca dan menulis? 1.4.2 Apakah masalah yang dihadapi oleh murid yang mengalami masalah ini? 1.4.3 Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini agar murid boleh membaca dan menulis? 1.4.4 Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah murid yang kurang minat dalam pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan? 1.5 Definisi Konsep Kemahiran Daripada Kamus Reader's Digest Universal, kemahiran ialah kemampuan untuk mencapai dengan jayanya sesuatu yang mana memerlukan pengetahuan yang khusus atau kebolehan atau kecekapan. Membaca Membaca didefinisikan oleh Kamus Dewan ialah memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandungannya. Menulis Menulis didefinisikan oleh Kamus Dewan ialah membuat huruf atau angka dengan pena. Gagal Menurut Kamus Dewan, kegagalan membawa maksud tidak berhasil atau tidak berjaya mencapai matlamat atau cita-cita yang dikehendaki. Lembam Menurut Kamus Dewan lembam ialah tidak ada kekuatan, lembap, tidak cergas, lemah (bukan kemampuan seseorang murid menerima pelajaran).
5

1.7 Sampel Responden Kajian dijalankan terhadap seorang pelajar Tahun 5 (11 tahun) di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Kajian akan tertumpu kepada Mohamad Amirul bin Azhar. Murid ini telah dikenal pasti oleh guru kelasnya sebagai gagal untuk mengusai 2M iaitu tidak boleh membaca dan menulis. Melalui kajian ini juga beberapa sesi temu bual dijalankan. Diantaranya temubual bersama murid ini sendiri, guru kelas murid ini, guru mata pelajaran lain dan yang terakhir ialah bersama ibu atau bapa murid ini. 1.9 Batasan Kajian Batasan kajian ini diperolehi oleh penyelidik melalui data kualitatif. Keputusan tugasan ini hanya diperolehi melalui aktiviti: i. Pengumpulan maklumat ii. Pemerhatian iii. Temubual 1.10 Metodologi Bagi menyelesaikan kajian, beberapa kaedah telah dilakukan bagi memastikan setiap maklumat yang diperolehi mempunyai kesahihan serta tepat. Keadah yang dipilih adalah bersifat kualitatif. 1.10.1 Pengumpulan maklumat Pengumpulan maklumat dijalankan dalam mencari maklumat berkaitan teori, latar belakang murid dan kajian yang lepas. Oleh itu, maklumat yang berkaitan dengan teori diperolehi melalui bacaan buku -buku, maklumat di internet dan perkongsian maklumat di antara rakan -rakan. Manakala pengumpulan maklumat mengenai latar belakang murid dibuat melalui buku rekod murid. 1.10.2 Pemerhatian Pemerhatian dijalankan terhadap Mohamad Amirul bin Azhar yang melibatkan tingkahlaku murid ini, cara berkomunikasi, pergaulannya bersama murid-murid lain, keperibadiannya dan juga emosinya. 1.10.3 Temubual Beberapa sesi temubual akan dijalankan. Diantaranya bersama murid ini sendiri bagi mengetahui masalah sebenar murid ini. Selain itu, temubual bersama dengan guru kelas murid ini bertujuan mengetahui sifar peribadi murid serta mengetahui latar belakang murid ini, guru mata pelajaran lain juga dijalankan bagi melihat bagaimana tingkah laku murid ini sepanjang proses pembelajaran berjalan. Temubual terakhir adalah bersama ibu bapa murid ini. Temubual ini bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh murid ini sama ada ianya berpunca dari rumah atau sekolah.
6

2. Dapatan Kajian 2.1 Pengumpulan maklumat Latar belakang murid. Nama Tempat lahir Umur Bangsa Agama 2.2 Pemerhatian Daripada pemerhatian yang dijalankan, murid ini mempunyai perwatakan yang sama seperti kanak-kanak yang lain di luar kelas iaitu bergerak dan bermain dengan aktif, tetapi tidak di dalam kelas. Di dalam kelas, murid ini nampak agak berlainan kerana menjadi pasif bila diajukan soalan atau berkehendakan murid ini untuk menjawab soalam. Murid ini mempunyai sikap sangat merendah diri, pemalu dan kurang aktif di dalam kelas. 2.3 Temubual 2.3.1 Temubual bersama Mohamad Amirul bin Azhar Saya telah menemubual murid ini dan bertanyakan berkenaan dengan latar belakang murid ini. Menurut murid ini, bapanya bekerja sebagai pembantu am di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala ibunya berkerja di kilang. Dia juga mempunyai tiga orang adik-beradik. Seorang kakak yang berada di Tingkatan Lima dan seorang adik yang masih tidak bersekolah. Menurutnya, setiap kali pulang ke sekolah tiada siapa yang menunjukkan murid ini untuk membuat atau menyiapkan kerja sekolah. Tiada orang yang membimbingnya semasa menyiapkan kerja. Jadi murid ini hanya akan menghabiskan masa pada waktu petang dengan bermain sahaja. Tiada istilah mengulangkaji di rumah oleh murid ini. Bapa murid ini hanya menghantar dan mengambil murid ini ke sekolah. Ini amat menyedihkan kerana murid ini tiada bimbingan semasa di rumah. Hanya menerima sesi pembelajaran di sekolah tidak di rumah. Ini menyebabkan murid ini tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberi. 2.3.2 Temubual bersama En Ratno Hadi (Guru Kelas) Satu sesi temubual telah dijalankan bersama En Ratno Hadi yang merupakan guru kelas kepada murid ini. Temubual bagi melihat sejauh mana sifat murid ini di dalam kelas arus perdana biasa. Menurut En Ratno, murid ini sering kali menghadapi masalah dalam menerima isi pelajaran yang diajar. In i s em u a disebabkan kegagalan murid ini untuk membaca. Selain itu, dari markah ujian dan markah peperiksaan, murid ini sering sahaja tidak lulus. Selain itu, masalah kehadiran murid ini agak serius kerana murid ini sering sahaja tidak hadir ke sekolah walaupun telah diberikan amaran berulang kali. Ini juga merupakan faktor penyumbang
7

: Mohamad Amirul bin Azhar : Ipoh, Perak : 11 tahun : Melayu : Islam

kepada ketinggalan murid ini dalam pelajaran. Pihak sekolah telah berulang kali memberi nasihat kepada murid ini supaya hadir ke sekolah. Tapi nasihat ini tidak mendatangkan kesan apa-apa. Murid masih kerap tidak hadir ke sekolah. 2.3.3 Temubual bersama En Siva Naidu (Guru Mata Pelajaran Sains) Ketika saya menemubual En Siva, banyak komen telah diberikan mengenai murid ini iaitu berkenaan dengan tingkah laku murid ini semasa di dalam kelas, murid ini sering menyendiri dan kurang memberi tumpuan kepada pelajaran yang diajar oleh guru. Apa yang guru boleh lakuakan hanyalah menegur dan memberi tunjuk ajar kepada murid mengenai isi pelajaran yang diajar pada masa tersebut. Perhatian yang penuh juga diberikan lebih kepada murid ini bertujuan supaya murid ini tidak ketinggalan dari aspek pelajaran. En S i v a j u ga menyatakan kelemahan murid ini dalam membaca mengakibatkan murid ini sering ketinggalan di dalam kelas, ini lebih menyulitkan guru untuk mengajar murid ini. Sebelum ini En Siva sering memberi kerja rumah kepada murid ini tetapi kerja yang diberi jarang diselesaikan oleh murid ini. Oleh itu, En Siva jarang memberi kerja rumah kepada murid ini. Apa yang dilakukan hanya membimbing murid ini sepanjang di dalam kelas agar murid ini tidak ketinggalan. 2.3.4 Temubual bersama bapa Mohamad Amirul (En Azhar). Disebabkan kesibukan ibu bapa Mohamad Amirul, saya hanya boleh menjalankan temubual bersama bapanya melalui talian telefon sahaja. Menurut bapa murid ini, tingkah laku Mohamad Amirul memang agak aktif di luar waktu pembelajarannya kerana dia merupakan satusatunya anak lelaki dalam keluarga ini. Menurut bapanya, Mohamad Amirul jarang menelaah buku dan menunjukkan hasil kerjanya kepada bapanya. Manakala dia sememangnya agak sibuk kerana mencari pendapatan unt uk m en a m p un g ke l u a r ga. Ib un ya j u ga b e ke rj a d i ki l an g berhampiran. Ini menyebabkan ibubapa murid ini kurang dapat memberi perhatian kepada murid ini. Selain itu, kakak Mohamad Amirul yang sekarang berada di tingkatan lima, pencapaiannya juga hanya pada tahap yang sederhana. Manakala adik kepada Mohamad Amirul masih tidak bersekolah. 3. Perbincangan Mohamad Amirul bin Azhar merupakan murid tahun 5. Jika dilihat dari segi fizikal, perwatakannya sama seperti murid-murid yang lain. Cuma yang membezakannya adalah dari segi pelajaran dan tingkah lakunya yang agak aktif. Aktif dimaksudkan disini ialah sering mengganggu murid-murid lain dan tidak melakukan kerja yang diberi semasa di dalam kelas. Oleh itu, guru-guru yang mengajarnya akan memberi perhatian kepada murid ini agar tidak mengganggu murid lain sepanjang proses pembelajaran. Murid ini dikategorikan sebagai murid yang lemah dalam mengenal huruf, menyebut suku kata dan mengeja perkataan. Murid ini juga dikenali sebagai murid lembam. Ini berdasarkan teori yang dikeluarkan oleh Burt (1950) yang menyifatkan murid lembam sebagai murid yang pada pertengahan alam persekolahannya tidak berkebolehan untuk mengikuti pelajaran dalam kelas sama seperti rakan yang seumur dengannya. Daripada pemerhatian dan sesi temubual yang dijalankan, jelas dapat dilihat Amirul ketinggalan dari segi akademik berbanding rakan sebayanya yang lain. Berdasarkan
8

pemerhatian saya, apabila murid ini memasuki kelas arus perdana, murid ini menjadi seorang yang pendiam, kurang berkomunikasi dan tidak mengambil bahagian di dalam aktiviti yang dijalankan. Murid menjadi pendiam bila diajukan soalan kerana murid tidak mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan yang diberikan. Menurut Dr Koh Boh Boon (1980), keyakinan diri yang rendah menyebabkan murid kurang aktif dan kurang minat untuk menyertai kegiatan pelajaran dalam bilik darjah. Selain itu perbezaan yang ditunjukkan oleh Amirul berbanding rakan-rakan sekelasnya yang lain jelas menyokong teori yang dicadangkan oleh Piaget iaitu setiap kanak-kanak mempunyai corak perkembangan mereka yang berbeza. Perkara ini juga turut disokong oleh kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi Galton (1865), Giddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) yang telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza dengan rakan sebayanya. Jika dilihat kepada keadaan Mohamad Amirul ini, bimbingan untuk membaca hanya diberikan semasa berada di sekolah sahaja. Tiada bimbingan diberikan kepada murid ini semasa di rumah. Kemungkinan kesibukan ibu bapa dan tidak mengambil tahu perihal anak-anak menyebabkan murid ini tidak berminat langsung untuk belajar di rumah. Guru hanya dapat membimbing murid ini semasa berada di sekolah. Ibu bapa atau keluarga murid ini haruslah memainkan peranan mereka sepanjang berada di rumah. Taraf kehidupan keluarga juga memberikan kesan yang mendalam kepada murid ini. Taraf hidup yang rendah menghadkan murid untuk mendapat makanan yang berkhasiat untuk perkembangan minda. Rumah yang sesak menyebabkan satu lagi kekurangan atau penderitaan yang serius. Selain itu, terdapat kurangnya perhubungan antara ibubapa dan anak-anak yang menyebabkan ibu bapa kurang memberikan galakan dan rangsangan serta kasih sayang kepada anak-anak mereka. Keadaan ini juga akan menimbulkan lagi masalah, seperti masalah gangguan masa tidur, rehat dan keletihan yang akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan seterusnya pencapaian akademik mereka. Jelas di sini keperluan asas manusia akan memberikan kesan terhadap perkembangan individu jika tidak sempurna atau gagal dipenuhi. Perkara ini juga berlaku keatas Amirul dimana ibu bapanya sibuk bekerja bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Di sini kita dapat lihat pekerjaan bapanya sebagai pembantu am di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengakibatkan ibunya juga terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga. Kemunduran pada dasarnya adalah akibat kelemahan intelek atau lembam (otak lembap), walau bagaimanapun ia tidak semestinya benar kerana ramai murid yang mundur tetapi tidak lembam. Kemunduran mereka mungkin bukan disebabkan kerencatan intelek tetapi keadaan persekitarannya atau faktor-faktor ekstrinsik seperti kaedah mengajar yang tidak berkesan, sikap mental dan emosi yang tidak sesuai terhadap guru dan pelajaran, penyakit dan keadaan fizikal yang lemah. Walaupun kemunduran pada asasnya menunjukkan satu keadaan intelektual tetapi pada hakikatnya ia menunjukkan satu ciri atau sifat psikologi yang timbul dari personaliti hasil gabungan sifat yang diwarisi dan pengaruh persekitaran dalam proses perkembangan yang akhirnya mempengaruhi personaliti individu. D a r i p a d a k e s Amirul, faktor persekitarannya mungkin antara penyebab murid ini lambat untuk menerima isi pelajaran yang diajar. Faktor persekitaran seperti ibubapa dan kakak yang kurang mengambil berat mengenai pelajarannya, menyebabkan Amirul sering ketinggalan dalam pelajaran. Murid-murid yang mundur atau lembam biasanya tidak memperolehi perkembangan mental sebagaimana yang sepatutnya disebabkan persekitaran yang tidak mengalakkan mereka
9

Melalui proses-proses perkembangan permikiran. Menurut Piaget, kanak-kanak menyerap dan menyesuaikan pengetahuan sedia ada dalam otaknya dengan data-data yang diperoleh daripada persekitaran. Berasaskan perkembangan kognitif pusat, kecekapan diperolehi kanak-kanak melalui pengalaman dalam interaksi persekitaran. Daripada empat tahap perkembangan kognitif yang dinyatakan oleh Piaget, tiga daripadanya ialah peringkat deria motor, peringkat praoperasi dan pringkat operasi konkrit. Peringkat deria motor ialah peringkat perkembangan bahasa iaitu bermula dari 18 bulan hingga 2 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak secara aktif meneroka persekitaran yang akhirnya membentuk pola-pola tindakan yang dinamakan skema atau struktur kognitif. Struktur kognitif akan membentuk ilmu pengetahuan. Hasil pembentukan skema, kanak-kanak dapat menggambarkan pengetahuannya dalam pelbagai bentuk simbolik, lukisan, gambaran atau bahasa. Peringkat praoperasi bermula dari umur 2 hingga 7 tahun. Pada tahap ini, bahasa kanak-kanak makin berkembang akibat tindakannya dengan persekitaran. Kanak-kanak juga dapat menguasai pola-pola tindakan yang kompleks seperti hukum pengekalan (conservation rules), konsep hubungan (relational concepts), pemasukan kelas (class inclution) dan persirian (seriation). Pengetahuan mereka tentang objek-objek dalam persikataran juga makin berkembang. Peringkat ketiga Piaget dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada tahap praoperasi. Perasaan ingin tahu menjadikan kanakkanak pada tahap ini akan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain. Kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan. Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padatan. Mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Oleh itu, Piaget menegaskan bahawa kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri. Untuk mengaplikasi teori belajar kognitif dalam pembelajaran, guru harus memahami bahawa murid bukan sebagai orang dewasa yang mudah dalam proses pemikirannya. Ketika pra sekolah dan awal persekolahan, pembelajaran menggunakan benda-benda atau perkara-perkara yang konkrit serta keaktifan para murid sangat dititik beratkan. Guru harus menyusun material dengan menggunakan pola atau logik tertentu dari sederhana ke kompleks. Guru juga harus menciptakan pembelajaran yang bermakna dan memperhatikan perbezaan individual murid untuk mencapai keberhasilan pembelajaran murid yang berkesan. Di dalam hal ini, Piaget telah mengimplikasikan teori kognitifnya pada pendidikan iaitu: i. Memusatkan perhatian kepada cara berpikir atau proses mental murid, tidak sekadar kepada hasilnya. Guru harus memahami proses yang digunakan murid sehingga sampai pada hasil tersebut. Pengalaman-pengalaman belajar yang sesuai dikembangkan dengan memperhatikan tahap fungsi kognitif dan jika guru memberi sepenuh perhatian terhadap

10

ii.

iii.

iv.

pendekatan yang digunakan murid untuk sampai pada kesimpulan tertentu, barulah dapat dikatakan guru berada dalam posisi memberikan pengalaman yang dimaksudkan. Mengutamakan peranan murid dalam berinisiatif sendiri dan keterlibatan aktif dalam kegiatan pembelajaran. Dalam kelas, Piaget menekankan bahawa pengajaran pengetahuan jadi (ready made knowledge) murid didorong menentukan sendiri pengetahuan itu melalui interaksi spontan dengan lingkungan. Memaklumi akan adanya perbezaan individual dalam hal kemajuan perkembangan. Teori Piaget mengatakan bahawa semua murid membesar dan melewati urutan perkembangan yang sama, namun pertumbuhan itu berlangsung pada kecepatan yang berbeza. Oleh itu guru harus merancang strategi untuk mengatur aktiviti di dalam kelas mengikut tahap keupayaan masing-masing di dalam kelompok-kelompok yang kecil. Menggalakkan murid untuk saling berinteraksi. Menurut Piaget, berinteraksi ataupun bergaul antara satu sama lain amat membantu dalam perkembangan fikiran mereka.

Oleh kerana masalah membaca dan menulis merupakan sebab utama yang menyebabkan wujudnya masalah pembelajaran di kalangan murid, ibu bapa, guru dan pihak-pihak yang terlibat perlulah berusaha menggalakan si anak membaca dari kecil lagi. Kanak-kanak berbeza antara satu sama lain dari segi kesedaran membaca, ada yang lambat dan ada yang cepat. Ini ada kaitan dengan faktor persekitaran dan pengaruh psikologi seperti galakan, peluang, sumber-sumber bacaan dan motivasi anak itu sendiri untuk membaca . 4. Kesimpulan dan Cadangan Murid-murid sekolah rendah merupakan aset negara pada masa hadapan bagi meneruskan kesinambungan bangsa dalam memajukan negara menjelang Wawasan 2020. Namun begitu, jika masalah tidak mahir membaca dan menulis dikalangan segelintir murid-murid ini tidak di atasi dengan segera, ia akan menjadi batu penghalang kepada proses memajukan negara. Setelah melihat kes kemunduran murid dari perspektif psikologi, perkembangan fizikal, mental, emosi dan juga intelektual, persekitaran murid-murid ini baik di sekolah ataupun di rumah harus diberi perhatian yang secukupnya kerana terdapat interaksi antara perkembangan dan persekitaran serta menyokong teori yang diolah oleh Piaget. Walau apa jua kaedah yang hendak digunakan adalah untuk membantu murid-murid ini dengan membuat penyesuaian yang cukup dengan permintaan situasinya, dengan tidak melupakan batasan yang dikenakan oleh keadaan dan kebolehan semulajadinya. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan kecerdasan daripada pelbagai aspek menjadikan murid berfikir dan belajar dengan cara yang berbeza. Jadi, kaedah pembelajaran yang berkesan harus ditekankan semasa proses pembelajaran. Beberapa kaedah telah difikirkan untuk membantu murid yang mengalami masalah kurang mahir membaca dan menulis ini. Diantaranya ialah kaedah pengajaran secara kumpulan iaitu murid belajar dan membuat kerja dalam kumpulan. Kebiasaannya, kumpulan ini diwujudkan berdasarkan kebolehan atau perbezaan minat. Melalui kaedah ini akan dapat membantu kelancaran komunikasi sesama murid serta murid akan saling bekerjasama dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi disamping berkongsi idea. Keadah secara individu juga boleh digalakkan kerana guru hanya menumpukan perhatian kepada seorang murid sahaja. Dalam kategori ini, murid lebih mudah diurus kerana guru tidak mengalami gangguan daripada murid lain semasa mengajar. Guru yang mengajar juga haruslah sering memberikan nasihat
11

kepada murid ini supaya kerap membaca buku dan menyiapkan latihan atau kerja rumah yang diberikan oleh guru. Selain itu, guru harus menanam sifat ingin belajar diri mereka. Kata penghargaan dan pujian akan merangsang murid untuk melakukan yang terbaik dalam sesi pengajaran. Kata-kata seperti, bagus, teruskan usaha, cuba lagi,baik dan banyak lagi dapat membangkitkan semangat murid dalam pembelajarannya. Dalam membantu memulihkan murid ini, tanggung jawab itu tidak hanya terletak pada guru sahaja, tetapi ianya harus melibatkan pelbagai pihak seperti ahli kelurga murid ini. Walaupun mereka tergolong dalam golongan murid yang lemah dalam pembelajaran, murid ini tidak harus dipinggirkan dan sepatutnya menerima pelajaran yang sama seperti murid-murid yang lain. 5. Rujukan 1. Abdul Rasid Jamian (2011). Permasalahan Kemahiran Membaca Dan Menulis Bahasa Melayu Murid-Murid Sekolah Rendah Di Luar Bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu: 2180-4842 (1). 2. Abdul Rasid Jamian & Zulkafli Abu Zarin. (2008). Keupayaan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid sekolah rendah kebangsaan luar bandar. Kertas kerja di Konvensyen Pendidikan Nasional 2008. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 3. Abdul Rasid Jamian & Zulkafli Abu Zarin (2008). Keupayaan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid sekolah rendah kebangsaan luar bandar. Kertas kerja di Konvensyen Pendidikan Nasional 2008. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 4. Azizi Yahaya, Noordin Yahaya, Zurihanmin Zakariya (2005). Psikologi Kognitif. UTM : Cetak Ratu Sdn. Bhd. 5. Shahbuddin Hashim, Mahani Razali, Ramlah Jantan (2003). Psikologi Pendidikan.Kuala Lumpur; PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. 6. Siti Hawa Munji, Maaruf Redzuan (1993). Penghantar Psikologi. Kuala Lumpur; Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 7. Suradi Salim (1996). Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur; Utusan Publications & Distrubutors Sdn. Bhd. 8. Yahya Othman. (2005). Trend dalam pengajaran Bahasa Melayu. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. 9. Zulkifley Hamid. (2006). Aplikasi psikolingusitik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

12

Anda mungkin juga menyukai