Anda di halaman 1dari 22

Pengenalan

Terdapat banyak pandangan tentang penubuhan Kerajaan Melayu Melaka, sama ada dari segi tarikh, pengasas dan juga pengislaman kerajaan itu. Menurut pendapat G.Ferrand (1981), yang dipetik daripada Ahmad Jelani Halimi (2008), berpendapat bahawa Melaka telah wujud sejak kurun ke-18 Masihi lagi dan beliau menyatakan bahawa Kerajaan Malayur (Malayu) yang disebut oleh Marco Polo dan Ma-il-yu-eul (Mo-lo-yu) dalam catatan Cina itu adalah sebenarnya Melaka. Namun, kebanyakan pendapat itu ditentang oleh para sejarawan pada hari ini. Kerajaan Melayu Melaka juga dikatakan telah wujud lebih kurang 117 tahun dahulu iaitu dari tahun 1394M sehingga 1511M. Kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan Melayu yang mahsyur dan terkenal bukan sahaja di Nusantara malahan sehingga ke seluruh pelusuk dunia. Pengaruh dan kemahsyurannya amat besar dan meluas. Penubuhan negeri Melaka dapat digambarkan melalui sumber-sumber sejarah tempatan seperti sejarah Melayu, sumber-sumber sejarah China dan Portugis. Sejarah Melayu menggambarkan bagaimana Parameswara iaitu putera Raja Palembang yang juga dikenali sebagai Sultan Iskandar Syah, melarikan diri kerana serangan Majapahit apabila baginda berusaha untuk membebaskan Palembang yang pada masa itu dibawah naungan Majapahit. Baginda kemudiannya berpindah ke Temasik, Muar dan akhir sekali menetap di Sungai Bertam. Pada suatu hari, baginda berburu di Sungai Bertam dan sewaktu baginda berehat di bawah sepohon kayu, baginda terlihat anjing baginda telah diterajang oleh seekor pelanduk putih. Baginda begitu tertarik dengan kejadian itu dan mengambil keputusan untuk mendirikan negeri di situ, lalu baginda menamakan negeri itu Melaka sempena nama pokok baginda berehat. Sumber-sumber dari China ada mengatakan bahawa, negeri China telah mengadakan hubungan dengan Melaka semasa berada di bawah pemerintahan Maharaja Yung Lo 1402M1424M. Pemerintah Melaka pada masa itu disebut Pai-li-mu-su-la atau Parameswara. Sumbersumber dari Portugis juga mengatakan bahawa Parameswara adalah pemerintah pertama bagi negeri Melaka. Sumber yang dinyatakan ini sama seperti yang dinyatakan oleh Tome Pires dengan disokong oleh pendapat-pendapat Alfonso de Albuquerque dan Eredia. Asal usul nama Melaka juga pernah dihubungkan dengan keadaan semasa, iaitu pusat perdagangan dengan menggunakan istilah Bahasa Arab malakat atau mulaqah yang bermaksud tempat pertemuan. Parameswara bersama pengikut-pengikutnya telah diterima oleh penduduk tempatan. Baginda menubuhkan negeri Melaka dan membangunkannya sehingga berjaya mengubahnya daripada sebuah perkampungan nelayan sehingga menjadi pusat perdagangan dan pusat pemerintahan empayar Melayu yang terkenal

1.0 Sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka

1.1 Susun lapis masyarakat

Masyarakat Melayu tradisional mempunyai struktur masyarakat yang sistematik iaitu berasaskan sistem feudal. Setiap lapisan masyarakat ini mempunyai peranan dan kedudukan tertentu dalam sistem pemerintahan negara. Lazimnya, masyarakat Melayu tradisional terbahagi kepada dua golongan utama iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada Raja atau Sultan, kerabat diraja, bangsawan, pembesar, pemimpin agama dan pendeta. Golongan ini bertanggungjawab melaksanankan urusan pemerintahan negeri dan jajahan takluk. Golongan yang diperintah pula dibahagikan kepada dua iaitu golongan merdeheka dan golongan hamba. Golongan merdeheka terdiri daripada orang bebas tempatan dan orang asing. Manakala golongan hamba pula terdiri daripada hamba berhutang, hamba raja dan hamba biasa. Golongan ini merupakan rakyat biasa yang melakukan kerja-kerja harian untuk raja. Kehidupan seharian antara kedua-dua golongan ini bertimbal balik sesama mereka dan saling melengkapi antara satu sama lain.

1.2 Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara iaitu putera Raja Palembang yang juga dikenali sebagai Sultan Iskandar Syah. Pelbagai metod yang dilakukan oleh baginda bagi membangunkan negeri Melaka. Baginda merupakan seorang pemerintah yang bijak dalam menyusun strategi pemerintahan dan pentadbiran negara. Buktinya, baginda telah melantik beberapa orang pembesar yang bertanggungjawab dalam hal ehwal balairung seri serta melantik empat puluh orang bentara untuk menjalankan perintah raja dan melantik biduanda kecil yang bertugas membawa alat-alat kebesaran diraja. Parameswara juga seorang bijak dalam menyusun strategi pemerintahan Melaka dengan mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Siam melalui cara pemberian ufti 40 kati emas sebagai tanda pertuanan dan persahabatan. Tujuan utama hubungan ini dijalankan adalah untuk mengelakkan Melaka daripada diserang oleh kerajaan Siam lantas bagi mengiktiraf kedaulatan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang baru.

Sehubungan itu, hubungan diplomatik dengan kerajaan China juga dijalinkan sebagai penaung keselamatan dan kestabilan kerajaan Melaka. Buktinya, setelah lawatan wakil Maharaja China iaitu Laksamana Yin Ching pada tahun 1404 serta Laksamana Cheng Ho pada tahun 1405 dan 1409, kerajaan Melaka telah diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat dan hasil daripada hubungan dua hala ini, banyak kelebihan yang diperolehi oleh kerajaan Melaka. Contohnya, kuasa Siam dan Majapahit tidak lagi menjadi ancaman kepada Melaka berbanding sebelum terjalinnya hubungan dengan kerajaan China. Selain itu, Parameswara juga mendapatkan bantuan Orang Laut bagi memastikan keselamatan perairan Melaka

dikawal. Tuntasnya, kegemilangan dan kestabilan kerajaan Melaka semasa era pemerintahan Parameswara dapat dikecapi kerana kerajaan yang diasaskan mempunyai sistem pentadbiran yang sistematik, angkatan tentera yang berwibawa dan hubungan yang baik dengan kerajaan China. Stuktur pemerintahan Melaka diteruskan lagi dengan era pimpinan Sultan Muzzaffar Syah (1445-1459M). Sewaktu pemerintahan baginda, tampuk pemerintahan dan keselamatan Melaka banyak dibantu oleh Bendahara Tun Perak. Contohnya, sewaktu Melaka diserang oleh kerajaan Siam pada 1445M, serangan itu berjaya dipatahkan oleh Tun Perak yang mengetuai pertahanan Melaka. Selain itu, baginda juga mempunyai sifat terbuka yang harus dipuji apabila baginda sanggup melepaskan permaisuri baginda yang bernama Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Tun Ali sebagai balasan, jawatan Tun Ali sebagai bendahara dilucutkan dan digantikan oleh Tun Perak. Tun Perak merupakan seorang bendahara yang bijaksana dan mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, iaitu beliau berjaya memimpin tentera orang Melayu bagi mengatasi serangan tentera Siam sehingga mereka berundur ke Batu Pahat. Sehubungan itu, Tun Perak yang juga seorang pencinta kedamaian iaitu dengan mengambil keputusan untuk memujuk baginda bagi menjalin hubungan persahabatan dengan Siam yang setelah sekian lama bermusuhan. Natijahnya, hubungan dengan kerajaan Siam dapat dijalinkan serta hubungan dengan kerajaan China dapat disambung semula dan aktiviti perdagangan dapat dijalankan seperti biasa. Tuntasnya, Sultan Muzaffar Syah berjaya mengukuhkan dan mengekalkan keamanan, kekuatan dan kemakmuran Melaka semasa era pemerintahannya. Pada tahun 1459, era pemerintahan Sultan Mansor Syah bermula setelah ayahandanya Sultan Muzaffar Syah mangkat. Hal ehwal pemerintahan diserahkan sepenuhnya kepada Bendahara Tun Perak kerana faktor usia baginda yang baru mencecah 17 tahun dan masih banyak yang perlu dipelajari bagi mentadbir kerajaan Melaka. Bagi mendapatkan pengiktirafan baginda sebagai raja Melaka, satu perutusan telah dihantar ke China. Sebagai timbal balik,

Maharaja China telah mengisytiharkan baginda sebagai Sultan Melaka dan menghadiahkan baginda, puterinya yang bernama Puteri Hang Li Po yang kemudiannya diperisterikan dengan baginda sultan. Di samping itu, baginda juga mengahwini Puteri Ratu Majapahit yang bernama Radin Mas Ayu. Hasil daripada kedua-dua perkahwinan ini, banyak manfaat yang diperolehi Melaka seperti pengiktirafan takhta, persahabatan, perlindungan, perdagangan dan sosial. Kegemilangan Melaka diteruskan lagi apabila Tun Perak meluaskan jajahan takluk ke seluruh Kepulauan Melayu dengan kekuatan pahlawan lima bersaudara Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tuntasnya, sepanjang pemerintahan baginda, Melaka telah menjadi sebuah negeri yang kuat hasil daripada jalinan hubungan diplomatik dengan kerajaan China dan Majapahit. Setelah kemangkatan Sultan Mansor Syah pada tahun 1477, baginda digantikan oleh puteranya iaitu Sultan Alaudin Riayat Syah. Zaman pemerintahan Sultan Alaudin merupakan zaman kepesatan Melaka dengan dasar meluaskan empayar yang dipelopori oleh Tun Perak dipergiatkan. Baginda didefinisikan sebagai sultan Melaka yang paling aktif kerana sering melakukan penyamaran sebagai rakyat biasa bagi meninjau keadaan pegawai kerajaan ketika menjalankan tugas dan mengetahui perasaan rakyat terhadap raja dan pemerintahannya. Baginda juga seorang yang bijak dalam menyusun corak pentadbiran Melaka dengan cara mengurangkan jawatan yang tidak perlu dan menggugurkan jawatan pegawai kerajaan yang kerap kali mengabaikan tanggungjawab. Selain itu, baginda juga dikatakan seorang pemerintah yang alim. Buktinya semasa baginda menyampaikan wasiatnya kepada puteranya iaitu Raja Mamad (Sultan Mahmud), baginda memetik beberapa potongan ayat Al-Quran yang meminta puteranya itu banyak bersabar dalam menjalankan pemerintahan. Menurut Tome Pires (1512) yang dipetik daripada Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1989), berpendapat bahawa

They say that the king was more devoted to the affairs of the mosque than to anything else.

Berdasarkan kepada pendapat penulis diatas, Sultan Alaudin dikatakan seorang raja yang sangat memberi tumpuan kepada hal ehwal masjid berbanding perkara-perkara lain. Di sini, dapatlah kita simpulkan bahawa Sultan Alaudin merupakan seorang pemerintah yang alim dan berhati mulia serta sangat menitikberatkan hal ehwal masjid, meskipun beliau mempunyai taraf yang sangat tinggi ketika itu. Konklusinya, pemerintahan baginda merupakan pemerintahan yang adil dan saksama kerana kebijaksanaan dan kecekapan yang dimiliki oleh baginda telah diinterpretasikan dalam sistem pemerintahan Melaka.

2.0 Faktor-faktor pemangkin kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Kecekapan pemerintah

Faktor kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Sistem perundangan

Sosioekonomi

Sosiobudaya

Rajah 1 2.1 Kecekapan pemerintah

Berdasarkan kepada rajah 1 diatas, dapat kita gambarkan beberapa faktor yang menjadi pemangkin kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Faktor yang pertama ialah kecekapan pemerintah, dimana sepanjang era pemerintahan Melaka, terdapat beberapa orang pemerintah yakni sultan dan bendahara yang begitu menonjol sekali dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran Melaka. Seperti yang kita ketahui, semasa era pemerintahan Parameswara, baginda telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan China. Hal ini terjadi kerana kebijaksanaan baginda dalam mengambil kesempatan apabila rombongan kerajaan Ming yang melawat Asia Tenggara telah singgah di Melaka pada 1403M. Hasil daripada hubungan ini, Parameswara telah diiktiraf sebagai raja Melaka dan kerajaan China juga bersetuju untuk menaungi Melaka. Sejak terjalinnya hubungan diplomatik ini, keselamatan Melaka lebih terjamin daripada ancaman Siam dan kuasa-kuasa lain. Semenjak terjalinnya hubungan diplomatik ini, beberapa utusan telah dihantar ke China, bahkan Parameswara serta ahli keluarganya sendiri pernah belayar ke negeri China. Hal ini menunjukkan bahawa betapa seriusnya hubungan yang terjalin antara kedua buah negara ini hasil daripada kebijaksanaan pemerintah pada masa tersebut.

Selain itu, Sultan Muzaffar Syah juga tidak kurang hebatnya jika hendak dibandingkan dengan pemerintah yang sebelumnya. Salah satu faktor yang menyebabkan kemajuan dan keagungan Melaka ialah kebolehan baginda dalam menjalankan pemerintahan. Menurut Tome Pires (1512) yang dipetik daripada Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1989), berpendapat bahawa He was a great man of justice; he devoted much care to the improvement of Malacca;

Pandangan penulis tentang Sultan Muzaffar Syah ini menunjukkan bahawa kebolehan dan kesungguhan baginda dalam memberi tumpuan yang sepenuhnya keatas pembangunan Melaka. Pada zaman pemerintahan baginda, Melaka sudah cukup kuat sehingga dapat menangkis serangan-serangan daripada pihak Siam. Di samping itu, muncul seorang negarawan Melaka yang terulung iaitu Tun Perak yang dilantik sebagai Bendahara Melaka yang memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan kedaulatan Melaka daripada serangan pihak Siam. Tun Perak digelar sebagai Pembina Empayar apabila beliau berjaya menakluk hampir seluruh semenanjung termasuk Pattani. Ini membolehkan beliau mengawal selat Melaka dan menyebarluaskan agama Islam. Lantaran itu, Tun Perak berjaya memujuk baginda sultan supaya menjalinkan hubungan persahabatan dengan Siam disamping hubungan dengan kerajaan China diteruskan semula setelah sekian lama terhenti akibat pergolakan yang berlaku di negeri China. Seterusnya, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, utusan persahabatan telah dikirimkan ke negeri-negeri lain yang terdapat di sekitar Asia Tenggara. Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh A.Samad Ahmad, menyatakan bahawa utusan muhibbah telah dikirimkan ke Gowa (Sulawesi Selatan), Majapahit dan Siam. Hal ini menunjukkan bahawa kekuasaan Melaka begitu meluas seperti yang di ceritakan oleh Tome Pires (1512) yang dipetik daripada Ahmad Jelani Halimi (2008), menyatakan bahawa pelabuhan Melaka tidak ada tolok bandingnya di dunia pada masa itu dan semua jenis barangan dari Timur dan Barat boleh diperolehi disini. Pada zaman pemerintahan baginda juga, agama Islam telah berkembang pesat dan keadaan ini menarik minat para ulama yang datang dari Timur Tengah dan India untuk menetap dan mengajar mengenai agama Islam di Melaka. Menurut Sulalatus Salatin dan Sejarah Melayu, antara ulama yang pernah mengajar di Melaka ialah Maulana Abu Bakar, Maulana Yusuf dan Khadi Munawar. Baginda juga dikatakan seorang yang bermaruah dan mempunyai sikap serta pendirian yang baik yang mana sikap ini menjadi daya tarikan kepada

pedagang-pedagang luar. Menurut Tome Pires (1512) yang dipetik daripada Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1990) berpendapat bahawa

...Marmusa began to reign wisely over his kingdom, taking counsel of the old men, for virtuous government in matters of justice and the preservation of the country,

Berdasarkan kepada pendapat daripada penulis di atas, Sultan Mansor Syah dikatakan seorang pemerintah yang bijaksana, mengambil nasihat daripada orang tua dan mentadbir kerajaan dengan adil dan saksama. Sikap baginda inilah yang membuatkan para pedagang berminat untuk datang berdagang ke Melaka.

Seterusnya, apabila Melaka berada di bawah pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah, kekuasaan Melaka meluas sehingga ke Haru (Aru) di bahagian Utara Sumatera. Konflik tercetus apabila Sultan Muhammad Pahang dan Sultan Ibrahim Siak cuba membelakangkan Melaka dengan membunuh orang tanpa mendapat keizinan daripada kerajaan Melaka. Baginda kemudiannya bertindak memberi amaran kepada kedua-dua sultan ini kerana tindakan mereka ini melanggar peraturan dalam Hukum Kanun Melaka. Implikasi daripada peristiwa tersebut, Raja Menawar iaitu putera kepada Sultan Alaudin dilantik sebagai sultan di Kampar bagi mengukuhkan kedudukan Melaka ke sebelah pantai timur sumatera. Tindakan bijak dan pantas baginda ini menampakkan kecekapan baginda dalam menjalankan urusan pentadbiran dengan berkesan, seterusnya segala permasalahan dapat diselesaikan dengan segera.

2.2 Sistem perundangan

Kemakmuran dan keselamatan Melaka sebenarnya banyak disumbangkan oleh sistem pemerintahannya yang teratur yang berpandukan kepada undang-undang sama ada di darat mahupun di laut. Terdapat dua undang-undang dasar yang mengawal pentadbiran Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Undang-undang ini tidaklah disusun sekali gus tetapi peringkat demi peringkat. Kebanyakan perkara yang terkandung dalam undangundang ini dipengaruhi oleh agama Islam. Undang-undang ini menjadi panduan dan pengawal kehidupan kerajaan dan rakyat dalam segenap segi, contohnya dari sudut siasah, muamalah, jenayah dan munahakat. Hal ini bermakna, kesejahteraan dan keamanan kehidupan rakyat pada masa itu adalah salah satunya disebabkan oleh wujudnya sistem perundangan ini. Di samping itu, hukum-hukum yang berkaitan dengan pinjam-meminjam termasuk meminjam binatang peliharaan, memulangkan barang yang dibeli, kesaksian, mencuri, berzina, minum arak, muflis, liwat dan murtad juga terkandung dalam undang-undang Melaka ini. Selain itu, Kerajaan Melaka juga turut melantik pegawai penguatkuasa bagi memastikan undang-undang pelabuhan dilaksanakan secara adil dan saksama bagi mengelakkan penipuan, penindasan dan diskriminasi. Hal ini bagi menjamin suasana aman dan selamat kepada para pedagang sama ada pedagang dari luar mahu pun pedagang-pedagang asing untuk berdagang di negeri Melaka. Implikasinya, pedagang-pedagang dengan rela hatinya datang berdagang ke Melaka tanpa paksaaan seperti yang berlaku pada zaman kerajaan Srivijaya suatu ketika dahulu yang mana para pedagang di sana dipaksa oleh pemerintah tempatan untuk berdagang di pelabuhan Srivijaya. Ini membuktikan bahawa, kerajaan Melaka ini sebenarnya sangat mementingkan suasana perdagangan yang aman tanpa sebarang paksaan dalam menjalankan aktiviti perdagangan. Dengan adanya sistem perundangan seperti ini di Melaka , para pedagang berasa lebih selamat untuk menjalankan aktiviti perdagangan mereka kerana hal-hal yang melibatkan keselamatan kapal dan barang dagangan sama ada ketika di laut mahupun di darat lebih terjamin keselamatannya. Ini sekali gus akan menampakkan bahawa kerajaan Melaka ini sebenarnya sebuah pelabuhan yang menjadi pilihan para pedagang sama ada dari Timur mahupun Barat dan mencerminkan bahawa Melaka adalah sebuah kerajaan yang bertamadun tinggi pada zamannya. Tuntasnya, faktor perundangan inilah merupakan salah satu faktor yang membawa Melaka kearah era kegemilangannya sehingga ke seluruh pelusuk dunia.

2.3 Sosioekonomi Ekonomi kerajaan Melaka sebenarnya banyak bergantung kepada aktiviti perdagangan dan perkapalan. Kedudukannya yang strategik menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan dan perkapalan yang penting di Kepulauan Melayu.

2.3.1 Aktiviti perdagangan

Aktiviti perdagangan di Melaka berkembang dengan pesat kerana kedudukannya yang strategik dibahagian tengah Selat Melaka yang menjadi tempat pertemuan antara kapal-kapal dagang antara Arab-India dan China-Jepun. Sehubungan itu, Melaka juga menjadi pilihan utama tempat persinggahan kapal bagi pertukaran angin monsun Timur Laut dan Barat Daya kerana kedudukannya yang dilindungi oleh Banjaran Titiwangsa dan Pulau Sumatera. Melaka juga terletak berhampiran dengan pusat pengeluaran rempah, bijih timah, emas dan pelbagai hasil hutan di kawasan pedalaman. Kesemua barangan ini amat diperlukan oleh pedagangpedagang dari Arab, Parsi, India dan China untuk dijual kepada pedagang-pedagang asing di tempat lain. Hal ini akan memudahkan para pedagang asing untuk mendapatkan kesemua bahan mentah di atas pada satu tempat sahaja. Seterusnya, antara faktor yang merancakkan lagi aktiviti perdagangan di Melaka ialah berikutan pengislaman pemerintah Melaka iaitu Megat Iskandar Syah pada tahun 1414 yang menjadi titik tolak bagi saudagar-saudagar Islam dari Arab, Parsi, Gujerat, India dan Sumatera Utara untuk datang berdagang ke Melaka. Tumpuan pedagang Islam beramai-ramai di Selat Melaka menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan utama di Kepulauan Melayu bagi menggantikan Acheh yang terletak di Utara Sumatera. Selain itu, kecekapan pemerintah Melaka yang menyusun sistem syahbandar atau pegawai pelabuhan bagi menjaga kebajikan, keselamatan dan pengurusan perdagangan juga memudahkan saudagar-saudagar asing untuk berdagang di Melaka. Buktinya, sebanyak empat orang syahbandar dilantik bagi

mengendalikan urusan perdagangan yang berlainan, iaitu syahbandar yang pertama dikehendaki mengendalikan saudagar dari Gujerat manakala syahbandar yang kedua pula dikehendaki mengendalikan saudagar dari Benggala, Pegu dan Sumatera Utara. Syahbandar yang ketiga pula akan mengendalikan saudagar dari Kepulauan Melayu manakala syahbandar yang keempat pula perlu mengendalikan saudagar dari China, Indochina dan Luzon.

Selain itu, pelbagai kemudahan disediakan di pelabuhan antaranya ialah tempat membaiki kapal, tempat penginapan para pedagang, tempat menyimpan bekalan makanan dan air bersih serta gudang penyimpanan barang yang selamat. Penggunaan mata wang juga merupakan salah satu faktor yang melancarkan lagi aktiviti perniagaan di samping menarik minat para pedagang untuk berdagang menggunakan pelbagai jenis mata wang yang samasama dipersetujui nilainya. Sistem cukai yang digunapakai juga lebih teratur dan adil yang memberi faedah besar kepada pedagang asing dan tempatan di samping penggunaan timbangan bagi sesusatu barang yang memenuhi piawaian sejagat. Saudagar-saudagar asing juga optimis dengan keuntungan yang mereka perolehi hasil daripada pelaburan yang dijalankan kerana keadaan politik di Melaka yang stabil, pengurusan pelabuhan yang sistematik dan jaminan keselamatan perdagangan yang tinggi. Pun begitu, penggunaan Bahasa Melayu yang disifatkan sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan dalam aktiviti perdagangan turut dituturkan oleh pedagang asing seperti dari Arab, India dan China meskipun pada waktu itu terdapat banyak bahasa yang digunakan dalam aktiviti perdagangan. Menurut Tome Pires (1512) yang dipetik dari Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1990), berpendapat bahawa .dipelabuhan Melaka biasanya terdapat lapan puloh empat bahasa yang digunakan, tiap-tiap satu berlainan..

Seorang lagi penulis Portugis yang bernama Duarte Barbosa yang dipetik dari Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1990), berpendapat bahawa ..bandaraya Melaka ini adalah pelabohan yang terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia.

Jadi, berdasarkan pendapat kedua-dua penulis ini, dapatlah kita gambarkan betapa besar dan kayanya kerajaan Melaka ketika itu dan betapa ramainya para pedagang yang berdagang di Melaka. Hal ini ditambahkan pula dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi antara pedagang dan ini merupakan satu penghormatan tinggi ke atas Bahasa Melayu yang bersifat universal. Disini, dapatlah kita simpulkan bahawa mestilah kerajaan Melaka mempunyai sistem pemerintahan yang berkesan bagi mengawal aktiviti perdagangan supaya berjalan dengan lancar dan teratur agar pedagang-pedagang berpuas hati.

2.3.2 Perkapalan

Kebanyakan penduduk Melaka ketika itu rata-ratanya mempunyai perahu dan tuan-tuan kapal yang utama adalah terdiri daripada para sultan. Menurut Tome Pires (1512) yang seperti dipetik daripada Ahmad Jelani Halimi (2008) berpendapat bahawa

He was a great man of justice; he devoted much care to the improvement of Malacca; he bought dan built junks and sent them out with merchants, for which even today the old merchants of said kings time praise him greatly, especially as a very justman.

Di sini menjelaskan bahawa, Sultan Muzaffar Syah mempunyai banyak jong atau kapal dan baginda tidak berdagang tetapi hanya mengirimkan atau menyewakan jong-jongnya itu keluar untuk berdagang. Kapal-kapal atau jong Melaka ketika itu tidaklah sebesar kapal-kapal yang pernah dilihat oleh orang Cina di pelabuhan mereka ketika itu. Sebuah kapal hanya mampu memuatkan diantara 40-100 orang anak kapal sahaja pada satu-satu masa. Namun, kapalkapal inilah yang berperanan memajukan pelabuhan Melaka dengan membawa hasil-hasil dari seluruh Kepulauan Melayu untuk dilonggokkan dan diperdagangkan di Melaka.

Menurut Tome Pires (1512) yang dipetik daripada Ahmad Jelani Halimi (2008), berpendapat bahawa pelabuhan Melaka begitu baik kerana kapal-kapal boleh berlabuh dalam semua musim dan perdagangan boleh dijalankan dalam keadaan yang selesa. Ini membuktikan bahawa kebijaksanaan pemerintah Melaka amat penting bagi mewujudkan suasana perdagangan yang begitu sesuai di Melaka, lantas mempercepatkan pembangunan kerajaan Melaka. Sehubungan itu, sistem pembayaran bagi sewaan kapal yang digunakan tidaklah dibayar secara tunai. Pemilik kapal dibayar secara share atau perkongsian bersama barang dagangan yang dibawa oleh kapal tersebut. Nakhoda kapal itu juga mempunyai perkongsian bersama malah pegawai dan kelasi-kelasi kapal itu juga mempunyai perkongsian yang serupa.

Selain itu, kegiatan perdagangan yang melibatkan kapal-kapal dari Melaka ini juga bukanlah hanya tertumpu di Kepulauan Melayu sahaja, malah hingga ke negeri India dan China. Sejarah Melayu ada mencatatkan bahawa, sebuah kapal Melayu kepunyaan Hang Isap telah belayar untuk berniaga hingga ke benua Keling. Ini membuktikan bahawa faktor perkapalanlah yang merupakan titik tolak bagi pedagang dari Melaka sendiri untuk keluar berdagang ke kawasan yang lebih luas.

2.4 Sosiobudaya

Kedatangan Islam di Nusantara berkait rapat dengan aktiviti perdagangan. Jika dilihat daripada aspek sejarah, semua kerajaan di Nusantara pada zaman silam adalah terletak sama ada di pertengahan atau persimpangan jalan laut. Pedagang-pedagang dari India. Arab dan China datang ke Nusantara khusus untuk mendapatkan bekalan rempah ratus dan kapur barus untuk dipasarkan di Asia Barat. Aktiviti seumpama ini berlaku sejak sebelum tersebarnya Islam dan sehinggalah membawa kepada kedatangan Islam di rantau ini. Peranan Melaka di dalam menyebarkan agama Islam di Nusantara memang tidak dapat disangkal lagi. Melaka telah wujud sebagai kerajaan yang terunggul di rantau Nusantara telah memainkan peranan dalam perkembangan Islam selaras dengan perkembangan perdagangan. Peranan Melaka ini mula menonjol apabila Parameswara mula memeluk Islam pada abad ke-15. Tindakan Parameswara selaku pemerintah Melaka yang menerima Islam telah mempengaruhi rakyatnya. Ini bermaksud, pengislaman pemerintah Melayu Melaka juga bermakna pengislaman kepada seluruh keluarga dan seluruh rakyatnya. Hal ini akan mempengaruhi ulama-ulama untuk datang berdagang di pelabuhan Melaka dan mereka akan berasa lebih selesa untuk berurus niaga dengan umat-umat Islam di Melaka yang seagama dengan mereka. Kedatangan Islam juga telah memberi kesan yang begitu besar ke atas sosiobudaya masyarakat Melaka dari segi pemikiran, pentadbiran, perundangan dan nilai hidup masyarakat. Pemerintahan Melaka dipengaruhi oleh agama Islam, misalnya dalam urusan pentadbiran kerajaan. Contohnya, semasa era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, baginda sentiasa mengarahkan para pembesarnya berbincang dan bermuafakat terlebih dahulu dalam menjalankan tugas mereka. Ini bersesuaian dengan konsep musyawarah yang terkandung dalam ajaran Islam. Sehubungan itu, semasa pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah pula, baginda dikatakan sering menyamar sebagai rakyat biasa dan keluar pada waktu malam bagi mengetahui keadaan sebenar rakyatnya. Baginda dikatakan mencontohi pentadbiran Saidina Umar Al-Khattab bagi membasmi kegiatan mencuri di Melaka. Selain itu, amalan perkahwinan juga menjadi pemangkin kepada kegemilangan Melaka di samping menjaga hubungan baik antara kedua buah negara. Golongan diraja dan rakyat biasa telah berkahwin dan telah mengahwinkan puteri-puteri mereka dan anak-anak perempuan mereka kepada saudagar-saudagar Islam dengan harapan agar saudagar tersebut terus tinggal di Melaka. Hal ini akan memakmurkan Melaka dan menjadikan Melaka sebagai pusat tumpuan perdagangan dan keagamaan dari seluruh pelusuk dunia.

Contohnya, seperti yang dilakukan oleh Sultan Mansor Syah yang mengahwini puteri Maharaja China yang bernama Puteri Hang Li Po serta Puteri Ratu Majapahit yang bernama Radin Mas Ayu. Hasil daripada perkahwinan ini, keselamatan dan perdagangan Melaka lebih terjamin dan berkembang pesat. Di samping itu, penggunaan bahasa dalam aktiviti perdagangan ketika itu ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara meluas oleh pedagang asing dan pegawai Melaka sendiri. Pengaruh Islam telah memperkukuh dan memperkayakan lagi Bahasa Melayu. Sebelum ini, dikatakan terdapat lebih daripada 84 bahasa yang sering digunakan oleh penduduk tempatan sebagai alat komunikasi mereka. Daripada bilangan tersebut, hanya dua bahasa sahaja yang cukup berpengaruh, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Jawa. Bahasa Melayu ini telah menjadi bahasa pertuturan utama yang bersifat lingua franca kerana cirri-cirinya yang sederhana, mudah menerima perubahan dan berkembang selaras dengan perubahan masa berbanding dengan Bahasa Jawa yang bercirikan hierarki yang menekankan penggunaan bahasa rendah dan bahasa tinggi yang digunakan dalam masyarakat. Hal ini menarik para pedagang untuk datang ke Melaka kerana mudah untuk berurusan dengan pegawai pelabuhan yang menggunakan Bahasa Melayu, kerana Bahasa Melayu ketika itu digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu ketika itu. Bahasa Melayu ini juga mudah untuk dipelajari oleh pedagang-pedagang asing. Pengaruh Islam pula telah memperkembangkan penggunaannya, khususnya pengaruh abjad Arab telah menyebabkan kemunculan tulisan jawi yang telah digunakan secara meluas. Penggunaan tulisan jawi ini telah digunakan sama ada dalam urusan surat menyurat antara kerajaan, rakyat dan pedagang-pedagang asing. Bahasa Melayu ini seterusnya menjadi bahasa rasmi negeri Melaka dan digunakan dengan meluas dalam sistem pentadbiran negara, sistem perdagangan, perundangan, pertuturan harian, kegiatan dakwah dan ilmiah.

3.0 Sebab-sebab kemerosotan

Kemerosotan dan kejatuhan kerajaan Melaka berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya ialah disebabkan oleh kelemahan pemerintah, masalah perpaduan, kelemahan askar Melaka dan serangan Portugis. Kelemahan kepimpinan dikatakan bermula semenjak tampuk pemerintahan Melaka diwarisi oleh Sultan Mahmud Syah. Faktor yang mempercepatkan lagi kejatuhannya ialah setelah pelantikan Tun Mutahir sebagai bendahara Melaka bagi menggantikan Tun Perak. Tun Mutahir berketurunan India Muslim dan beliau mengamalkan sikap pilih kasih serta melantik sanak saudaranya dan sahabat handainya sebagai pegawai Melaka. Golongan Melayu tidak berpuas hati dengan sikap tamak dan amalan rasuah yang dilakukan oleh Tun Mutahir dan juga pegawai istananya yang dilantik. Selain itu, Sultan Mahmud Syah juga dikatakan sebagai raja boneka yang sibuk dengan urusan peribadinya sehinggakan hal pentadbiran istana serta pemerintahan Melaka diserahkan kepada Tun Mutahir. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pembesar Melayu lalu mereka menghasut baginda sultan dengan mengatakan bahawa Tun Mutahir merupakan dalang pemberontakan untuk merampas kuasa sultan. Tanpa sebarang unsur periksa, baginda mengambil keputusan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Tun Mutahir sekeluarga kecuali kedua anak perempuannya yang masih kecil. Tindakan ini memberikan implikasi yang besar di kalangan kaum India Muslim dan kerajaan Melaka kerana saudara mara dan pedagangpedagang dari Gujerat dan India beransur keluar dari Melaka. Sehubungan itu, pentadbiran Melaka juga mula terabai apabila pegawai-pegawai mengenakan cukai yang tinggi ke atas para pedagang di pelabuhan Melaka. Hal ini menyebabkan para pedagang meninggalkan Melaka untuk berdagang di Acheh yang sedang berkembang pesat. Sultan Mahmud Syah menyedari kesilapannya membunuh Tun Mutahir, lalu menyerahkan pentadbirannya kepada Sultan Ahmad Syah. Malangnya, Sultan Ahmad Syah merupakan seorang pemerintah yang lemah dan tidak cekap. Pelantikan Tun Perpatih Putih sebagai bendahara bagi menggantikan Tun Mutahir melemahkan lagi sistem pemerintahan Melaka yang mana beliau merupakan seorang yang uzur, tidak bergigi dan tepok. Pentadbiran Melaka bertambah lemah apabila amalan rasuah dan fitnah-menfitnah berlaku dengan berleluasa. Sistem cukai berkeutamaan tidak diamalkan dan kadar cukai yang meningkat menyebabkan pedagang asing memilih pelabuhan lain seperti Acheh untuk berdagang.

Faktor yang seterusnya ialah kelemahan askar Melaka dalam pertahanan dan penggunaan senjata tradisional seperti keris, lembing, tombak dan panah ketika menentang pihak Portugis. Askar Portugis sebaliknya menggunakan senjata moden seperti pistol, senapang dan meriam yang berupaya untuk menyerang dari jarak jauh. Askar Portugis yang berada dibawah pimpinan Alfonso de Albuquarque bukan sahaja dilantik oleh raja Portugal, bahkan mendapat sokongan dari pangkalan tentera Portugis di Goa, India. Askar upahan Melaka pula yang terdiri daripada askar Jawa melarikan diri semasa Portugis menyerang Melaka. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Kemuncak kejatuhan Melaka bermula setelah kedatangan Portugis ke Melaka di bawah pimpinan Lopez de Sequeira. Faktor utama kedatangan mereka ialah untuk menguasai perdagangan rempah, menyebarkan agama Kristian, meluaskan empayar Portugis serta galakan daripada Putera Henry. Pada mulanya, rombongan Portugis disambut dengan baik dan mereka dibenarkan berniaga di Melaka di samping keselamatan mereka dijamin oleh Sultan Melaka. Malangnya, kedatangan Portugis sudah diketahui oleh pedagang Islam dari Jawa dan Gujerat, lantas mereka terus menyampaikan laporan kepada sultan Melaka bahawa Portugis sebenarnya bertujuan untuk menguasai perdagangan Melaka dan menetang agama Islam. Bendahara Tun Mutahir kemudiannya menasihati sultan agar menangkap orang-orang Portugis kemudiannya dibunuh. Lopez deSequeira dan beberapa orang pengikutnya berjaya melarikan diri lalu melaporkan tentang serangan Melaka kepada Alfonso de Albuquerque, iaitu wizurai Portugal di India. Setelah menerima arahan daripada raja Portugal, Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada tahun 1511, lantas mengemukakan tiga tuntutan iaitu memohon untuk membebaskan tawanan Portugis, menuntut bayaran ganti rugi dan meminta kebenaran untuk membina kubu di Melaka. Malangnya, Sultan Mahmud Syah telah menolak semua tuntutan tersebut dan ini membuka peluang untuk Portugis menyerang Melaka. Pada 25 Julai 1511, Portugis berjaya menguasai jambatan Sungai Melaka setelah melancarkan serangan pertama ke atas Melaka kerana Si Kitol memberi maklumat pertahanan Melaka kepada Portugis. Semangat perjuangan askar Melaka membara selepas mendengar kisah Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang mengisahkan seorang pahlawan yang gagah dan berani ketika itu. Kesannya, angkatan Portugis terpaksa berundur setelah mendapat serangan balas daripada askar Melaka. Seterusnya, pada 25 Julai 1511, serangan yang kedua ke atas Melaka dilancarkan. Portugis berjaya mengalahkan sebahagian besar angkatan tentera Melaka dan memusnahkan kubu-kubu pertahanan Melaka. Pada 24 Ogos 1511, Portugis menyerang Melaka untuk kali yang ketiga. Kali ini, Melaka secara keseluruhannya telah jatuh ketangan

Portugis kerana Portugis menggunakan segala persiapan peperangan, senjata canggih, kepakaran tentera dan mendapatkan sokongan daripada pedagang asing yang belot. Selain itu, kemerosotan Melaka juga disebabkan oleh kebangkitan kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Mahmud Syah setelah gagal mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis. Kebangkitan Johor ini bertujuan meneruskan kewibawaan dan keagungan Melaka. Setelah Sultan Mahmud meninggal dunia, pentadbiran Johor digantikan oleh puteranya bernama Raja Ali yang memakai gelaran Sultan Alaudin Riayat Syah II. 4.0 Kesan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Perubahan sistem pemerintahan Kesan Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka Kemunculan kerajaan baru Kemasukan agama baru

Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka telah meninggalkan banyak kesan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerajaan Melaka. Antaranya ialah perubahan sistem pentadbiran, kemasukan agama baru dan kemunculan kerajaan baru yang telah mengubah lanskap pentadbiran Melaka. Setelah Melaka ditawan oleh pihak Portugis, struktur pentadbiran Melaka dipelopori oleh pegawai-pegawai tentera. Portugis memperkenalkan corak pentadbiran yang baru dengan cara menubuhkan sebuah Majlis yang terdiri daripada Ketua Hakim, Datuk Bandaraya dan seorang Bishop yang bertanggungjawab mengawal pentadbiran awam, kewangan dan agama. Kapten Kota mengetuai pentadbiran Melaka dan bertanggungjawab kepada wizurai di Goa, India. Beliau dibantu oleh seorang Kapten Jeneral yang bertugas menguasai hal ehwal tentera darat dan laut. Sistem pentadbiran tempatan juga ditubuhkan bagi menguruskan hal ehwal penduduk tempatan. Jawatan seperti Bendahara, Temenggung, Syahbandar dan kapten-kapten tempatan dikekalkan untuk menjaga kepentingan kaum-kaum tempatan. Golongan bangsawan diberi jawatan penting oleh kerajaan Melaka yang digelar Fidalgo yang mempunyai kuasa yang tidak

terhad. Alfonso de Albuquerque tidak menyukai Fidalgo lalu beliau melantik saudara maranya sendiri untuk menjadi penasihat pentadbiran. Pentadbiran Portugis di Melaka meninggalkan banyak kesan terutamanya dari segi sosiobudaya. Antaranya ialah Melaka kehilangan taraf sebagai pusat perkembangan Islam, penggunaan istilah bahasa Portugis dengan meluas, wujudnya masyarakat serani dan muncul tarian-tarian Portugis. Implikasi daripada perubahan ini, maka lenyaplah sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka yang menyebabkan kekuasaan sultan dan para pembesar terus terhakis. Kesan yang seterusnya ialah kemasukan agama baru, iaitu agama Kristian yang dibawa oleh penjajah Portugis bagi menyebarkan fahaman agamanya kepada penduduk Melaka. Perkembangan agama Kristian ini dipelopori oleh St. Francis Xavier dengan pembinaan gereja dan kota A Famosa yang kekal hingga ke hari ini. Kesan kejatuhan kerajaan Melaka juga menyebabkan muncul sebuah kerajaan baru iaitu kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Alaudin Riayat Shah II iaitu putera kepada Sultan Mahmud Shah. Baginda memperkukuhkan kuasanya dengan menguasai jajahan takluk Melaka serta meluaskan empayarnya sehingga merangkumi Sungai Kampar, Sungai Siak, Bengkalis, Bintan, Lingga dan pulau-pulau sekitarnya. Kemunculan kerajaan Johor telah menjadi pesaing kepada Portugis di Melaka dan kerajaan Acheh di Sumatera yang saling berusaha untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka. Portugis menjalankan pelbagai dasar bagi mengawal perdagangan di Selat Melaka. Pedagang yang melalui Selat Melaka dipaksa singgah di pelabuhan Melaka bagi mendapatkan surat kebenaran untuk berdagang. Terdapat segelintir pegawai Portugis yang mendesak mereka supaya diberi hadiah lumayan sebelum memberikan surat kebenaran. Pedagang yang enggan mematuhi arahan akan menyebabkan barang-barang mereka dirampas dan kapal mereka akan dibakar. Cukai yang dikenakan kepada pedagang-pedagang Melaka juga tinggi iaitu sebanyak enam hingga sepuluh peratus daripada jumlah nilai barangan dagangan mereka. Kesan yang seterusnya ialah kemunculan kerajaan baru iaitu Kerajaan Johor-Riau. Kerajaan Johor-Riau diasaskan oleh Sultan Alaudin Riayat Shah II iaitu putera kepada Sultan Mahmud Shah bagi menggantikan kerajaan Melayu Melaka yang telah ditawan oleh pihak Portugis. Baginda dikatakan sentiasa berusaha unrtuk menawan kembali Melaka seperti yang dilakukan oleh ayahandanya. Buktinya, baginda pernah menyerang Melaka tetapi disebabkan oleh adanya benteng pertahanan Melaka yang begitu kukuh iaitu Kota A Famosa, telah menyebabkan hasrat untuk menawan semula Melaka adalah mustahil. Akan tetapi, kewujudan Johor-Riau sedikit sebanyak memberi saingan kepada Portugis di Melaka dan Kerajaan Acheh di Sumatera yang saling berusaha untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka.

5.0 Warisan Kesultanan Melayu Melaka

Pada umumnya, sistem pemerintahan negeri-negeri Melayu seperti Johor, Perak dan Pahang berasaskan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Selain itu, warisan Kesultanan Melayu Melaka seperti adat istiadat Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu juga masih diamalkan pada masa kini. Umumnya, kerajaan Johor, Perak dan Pahang diasaskan oleh kerabat diraja Melaka. Semua pemerintah negeri tersebut menggunakan gelaran Sultan pada awal nama masing-masing yang ternyata mencontohi Sultan Melaka. Pada asasnya, sistem pewarisan takhta di negeri-negeri tersebutmementingkan jurai keturunan sebelah bapa. Menurut sistem ini, putera sulung sultan dengan permaisurinya berpeluang mewarisi takhta kerajaan dan sekiranya sultan tidak mempunyai putera, adik lelak sultasn boleh mewarisi takhta tersebut. Selain itu, Sistem Pembesar Empat Lipatan yang diamalkan di Melaka, juga diamalkan di negeri Johor, Perak dan Pahang. Perbezaan antara negeri-negeri tersebut hanya pada gelaran pembesarnya yang disebabkan oleh perubahan semasa dan juga penyesuaian dengan keadaan tempatan. Warisan Kesultanan Melayu Melaka juga dapat dilihat dalam kitab undangundang bagi negeri Johor, Perak dan Pahang. Ketiga-tiga undang-undang ini disalin dan dipinda berdasarkan Hukum Kanun Melaka untuk disesuaikan dengan unsur tempatan. Contohnya, Undang-undang Pahang yang disusun oleh Sultan Abdul Ghapur Muhaiyuddin Syah pada tahun 1596, sangat dipengaruhi oleh Hukum Kanun Melaka. Seterusnya, agama Islam yang menjadi pegangan majoriti penduduk Melaka pada masa dahulu juga merupakan warisan kepada masyarakat kita pada hari ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara ini. Kini, penganut agama Islam tidak lagi terhad kepada bangsa Melayu semata-mata, tetapi agama Islam ini telah berkembang dengan pesatnya sehingga dapat digelar sebagai agama yang bersifat universal iaitu boleh dianuti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit ataupun bangsa. Selain itu, Bahasa Melayu yang kita gunakan pada hari ini juga merupakan warisan daripada Kesultanan Melayu Melaka. Penggunaan Bahasa Melayu pada zaman sekarang juga telah berkembang dengan lebih pesat jika hendak dibandingkan dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Hal ini kerana, Bahasa Melayu pada hari ini tidak hanya terhad kepada tujuan untuk berkomunikasi sahaja, tetapi ia digunakan secara melaus dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pentadbiran, perundangan dan banyak lagi.

Rujukan

Buku

Abdul Latiff Bin Abu Bakar (1996), Melaka Dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Abdul Rahman Haji Ismail (2005), Sejarah Kenegaraan Dan Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Ahmad Jelani Halimi (2008), Sejarah Dan Tamadun Bangsa Melayu, Selangor: Utusan Publications And Distributors Sdn. Bhd.

Dr. Johdi Salleh (2007), Sejarah Perkembangan Negara, Selangor: Meteor Doc Sdn. Bhd.

Norizan Yusoff (2011), Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Marshall Cavendish Malaysia Sdn. Bhd.

Zainal Abidin Bin Abdul Wahab (1989), Kerajaan Melaka Dalam Hubungan Antarabangsa, Kuala Lumpur: Kertas Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu II

Jurnal

Abu Hasan Sham (1981), Jurnal Sejarah Melaka, Kuala Lumpur: United Selangor Press Sdn. Bhd.

Baharam Bin Haji Azit (1982), Jurnal Sejarah Melaka, Kuala Lumpur: United Selangor Press Sdn. Bhd.

Ensiklopedia

Abu Hasan Sham (1995), Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Selangor

Abdul Rahman Embong (1999), Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Selangor

Laman Sesawang

http://www.sejarahmgcm.files.wordpress.com, diakses pada 22 Februari 2012

http://www.resam-melayu.com.my, diakses pada 25 Februari 2012

http://www.melaka.gov.my, diakses pada 25 Februari 2012

http://www.kemuda.org.my, diakses pada 28 Februari 2012

Refleksi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi dengan izin dan limpah kurnianya dapat juga saya menyiapkan kerja kursus yang diberikan ini, iaitu di bawah tajuk Sejarah Politik Malaysia Sehingga Awal Abad Ke 20 dengan jayanya. Saya amat bersyukur kerana dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan ini dalam jangka masa waktu yang telah ditetapkan. Jadi, saya berharap agar segala apa yang telah saya nukilkan di sini memenuhi spesifikasi yang dikehendaki. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah pembimbing saya iaitu Encik Abdul Razak Bin Abu Kasim yang telah banyak memberikan tunjuk ajar, bimbingan dan sumbangan dari segi kaedah dan tatacara dalam melaksanakan kerja kursus ini. Tanpa bimbingan daripada beliau, sudah pasti saya tidak akan mampu untuk menyiapkan kerja kursus ini dalam jangka masa yang agak singkat ini. Saya seharusnya bersyukur kerana dengan segala input ataupun maklumat dan tohmahan yang diberikan oleh beliaulah yang membuatkan saya tergerak untuk memulakan penulisan kerja kursus ini. Jadi, sekali lagi ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Encik Abdul Razak Bin Abu Kasim, yang telah banyak berkorban masa dan tenaga dalam melayan karenah kami sekelas khususnya saya sendiri sepanjang tempoh pelaksaan dan kolaborasi yang dilakukan. Untuk pengetahuan semua, walaupun sesi kolaborasi yang dijalankan antara saya dan rakan-rakan sekelas dengan Encik Abdul Razak Bin Abu Kasim agak singkat, tetapi segala penerangan dan huraian yang diberikan oleh beliau sangatlah jelas. Saya amat berbangga kerana mempunyai seorang pensyarah yang begitu berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Hal ini kerana, beliau sanggup meluangkan masa kepada kami sekelas khususnya kepada saya sendiri pada bila-bila masa sahaja untuk melakukan sesi kolaborasi ini. Setelah melaksanakan kerja kursus ini, pelbagai pengetahuan yang dapat saya kecapi berbanding sebelum tugasan ini diberikan. Sebagai contoh, sebelum tugasan ini dilaksanakan, saya sendiri tidak dapat mendalami dan memahami sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini dengan mendalamnya. Tetapi, setelah kerap kali menganalisis dan melakukan sedikit pembacaan mengenai tajuk yang berkaitan, barulah saya mendapat gambaran yang lebih jelas tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka ini. Hal ini membuatkan saya tertarik untuk terus membaca dan menganalisis segala peristiwa dan kejadian yang berlaku dalam penceritaan mengenai Melaka ini. Ini sebenarnya merupakan titik tolak kepada saya untuk terus melaksanakan kerja kursus ini dengan secepat dan selengkap yang mungkin.

Selain itu, saya juga berasa lebih yakin untuk berhujah dengan rakan-rakan sekelas saya tentang sesuatu peristiwa atau isu-isu mengenai Kesultanan Melayu Melaka ini. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lepas, ada aura-ura yang mengatakan bahawa Hang Tuah itu sebenarnya tidak wujud. Ura-ura atau pendapat ini sebenarnya dikemukan oleh seorang sejarawan yang terkenal iaitu Profesor Khoo Kay Kim, yang mendakwa bahawa Pahlawan lima bersaudara itu sebenarnya tidak wujud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini membuatkan saya seronok untuk mencari bukti-bukti yang berkaitan dengan isu ini kerana isu yang dibangkitkan ini merupakan salah satu isu yang bersangkutan dengan tugasan yang saya laksanakan ini. Jadi, hal ini menjadi tohmahan untuk saya terus melakukan pembacaan yang lebih lagi supaya isu ini dapat dibetulkan ataupun sebaliknya. Secara jujurnya, pemberian tugasan ini kepada saya sangatlah wajar dan merupakan kaedah terbaik untuk saya menambahkan ilmu pengetahuan tentang sesuatu tajuk. Sekali lagi saya amat berterima kasih kepada Pensyarah Pembimbing saya iaitu Encik Abdul Razak bin Abu Kasim yang telah memberikan tugasan ini kepada saya sebagai salah satu alternatif untuk saya lebih mendalami tajuk-tajuk yang diberikan. Seterusnya, pelaksanaan kerja kursus ini juga telah melatih diri saya untuk menyemai sikap rajin membaca dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Hai ini kerana, jika tugasan ini tidak diberikan, mana mungkin saya akan dengan rela hati untuk membaca bahan-bahan rujukan seperti buku dan internet berkaitan dengan tajuk-tajuk yang dipelajari. Telah menjadi lumrah dalam diri bagi sesetengah manusia yang kurang rajin untuk membaca bahan-bahan ilmiah ini. Jadi, saya berpendapat bahawa, pelaksanaan kerja kursus ini telah menyedarkan diri saya tentang peri pentingnya membaca bahan-bahan ilmiah yang berkaitan dengan sesuatu tajuk yang dipelajari. Selain itu, saya juga dapat mempelajari cara penulisan esei yang mengikut spesifikasi yang dikehendaki. Hal ini kerana, ia merupakan sebagai salah satu persediaan kepada saya untuk melaksanakan penulisan tesis di peringkat ijazah kelak. Sehubungan itu, saya juga dapat mempelajari cara penulisan bahan-bahan rujukan yang mengikut format American Psycological Association (APA), yang mana ia sangat berguna kepada saya untuk dipraktikkan dalam sebarang penulisan kelak. Akhir kata, segala yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu merupakan kelemahan daripada diri saya sendiri iaitu sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang kudrat dan sentiasa melakukan kesalahan. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai