Anda di halaman 1dari 3

Fikrah: Hari kekasih boleh rosakkan akidah

KEDATANGAN 14 Februari setiap tahun dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi meluah atau menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Hari Valentine atau Hari Kekasih disambut dengan pelbagai cara dan acara dari kiriman kad dan bunga hingga parti tari menari.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini, turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikannya hanya suka-suka dan terikut-ikut untuk keseronokan tanpa mengetahui sejarahnya. Dalam The World Book Encyclopedia 1998 dijelaskan bahawa hari kasih sayang sebenarnya adalah budaya bangsa Rom Kuno (ancient Roman) yang diadakan setiap 13 hingga 18 Februari untuk menghormati Dewi Cinta. Acara ini bermula pada 13 Februari, iaitu setiap gadis akan menuliskan namanya pada sehelai kertas dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak. Kemudian pada 14 Februari setiap pemuda akan memilih satu lipatan kertas dalam kotak itu. Mereka akan hidup bersama perempuan yang ada namanya dalam lipatan kertas itu selama satu tahun. Jika dalam masa itu mereka menganggap diri masing-masing sesuai antara satu sama lain dan saling mencintai, maka keduaduanya akan dinikahkan. Upacara ini dikenali sebagai Lupercalia. Selepas agama Kristian memasuki Rom, maka mereka mengambil dan mewarnai upacara tradisi ini dengan unsur Kristian serta menjadikannya sebahagian daripada ajaran agama mereka. Menurut Encyclopedia Britanica, pada 496 Masihi, Gelasius I menjadikan upacara ini satu bentuk daripada perayaan gereja dan menukar Lupercalia kepada Valentine's Day. Ia untuk menghormati St Valentine, iaitu seorang yang dianggap suci dalam agama Kristian yang kebetulan mati pada 14 Februari. The Catholic Encyclopedia pula menjelaskan bahawa ada tiga orang suci (saint) dalam agama Kristian yang mempunyai nama Valentine. Mereka ialah orang yang dianggap memiliki jasa besar terhadap agama itu. Antara mereka ialah St Valentine yang hidup pada zaman Claudius II. Mengikut beberapa sumber, Valentine, seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rom. Pada masa pemerintahannya, Claudius II memenjara orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa dalam penjara. Dia walaupun berada dalam penjara, tetap berusaha mengajar dan menyebarkan agama itu di kalangan banduan. Valentine juga membantu tawanan penjara melepaskan diri dari penjara. Kegiatan ini diketahui Raja Rom dan dia diseksa. Akhirnya dia dihukum bunuh pada 14 Februari. Orang Kristian menganggap Valentine seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati antara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika dalam penjara, dia jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara. Pada akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis itu yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang Kristian mengambil sempena 14 Februari untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka, Valentine. Kebiasaan mengirim surat pada Hari Valentine dimulakan oleh The Duke of Orleans yang dipenjara di Tower of London pada 1415. Pada setiap 14 Februari, dia akan mengirimkan surat berupa puisi kasih sayang kepada isterinya di rumah. Perbuatan ini kemudian ditiru oleh masyarakat Barat. Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Hari Valentine dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang Islam menyertainya kerana ia adalah hari perayaan bagi orang Kristian. Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat. Hakikatnya, Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya. Dalam Islam ada tiga kategori kasih. Pertama, kasih Pencipta (Allah) kepada hamba-Nya. Kedua, kasih hamba kepada Pencipta dan ketiga, kasih makhluk sesama makhluk. Banyak ayat al-Quran dan hadis menyatakan mengenai hikmat dan besarnya faedah berkasih sayang. Allah menjelaskan keagungan nikmat-Nya kepada makhluk-Nya melalui nikmat kasih sayang yang tafsirnya: "Dan (Dialah) yang menyatupadukan antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan antara (hati) mereka." (Surah al-Anfaal, ayat 63). Firman-Nya lagi bermaksud: Lalu Allah menyatukan antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali Imran, ayat 103). Dengan penjelasan ayat di atas bahawa Allah sangat mencela dan mengingatkan dengan keras terhadap perpecahan sesama makhluk. Allah juga memerintahkan umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah dan dilarang berpecah belah dan bermusuhan. Kasih sesama makhluk pada sifatnya tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan. Tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa dan kasih Pencipta kepada hamba-Nya adalah berkekalan. Hal ini jelas seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad saw): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui." (Surah Ali Imran, ayat 31). Oleh itu, sebaik-baiknya hendaklah setiap orang Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya Hari Kekasih yang dicipta oleh orang Kristian. Sebaliknya, hendaklah menumpukan masa dan waktu kepada Allah dengan melakukan perkara yang mendatangkan manfaat, yang matlamat akhirnya menghidupkan cinta kepada Allah.

Hari Kekasih yang dibawa oleh orang Barat tanpa disedari bertujuan meleka dan merosakkan akhlak masyarakat Islam. Bagi menjelaskan masalah sebilangan remaja yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing, al-Quran memberi pengajaran dan ingatan kepada umat Islam, bahawa orang Yahudi dan Kristian akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut kehendak mereka. Allah berfirman bermaksud : "Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar." Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang yang kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar-belit maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya, maka mereka itulah orang yang rugi. (Surah al-Baqarah, ayat 120-121) Ayat ini memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa orang Yahudi dan Nasrani itu akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya orang Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka. Pelbagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian orang Islam. Malangnya, masih ada umat Islam yang tidak menyedari hakikat ini. Maka, bukan sedikit dari kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka. Kononnya, menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bersalahan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan akhlak dan budi pekerti mulia. Oleh itu, sebagai orang Islam kita hendaklah membuat sesuatu perkara itu dengan mengikut landasan Islam yang sebenar. Mengamalkan adat dan budaya Melayu yang sopan lagi tertib tidaklah salah, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam. Harus diingat mengamal dan mengikut budaya asing, terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perkara seperti ini bukan saja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.

Anda mungkin juga menyukai