Anda di halaman 1dari 4

Kemahiran Membaca dan Pentafsiran Makna

Cara paling baik bagi memahami bacaan menurut pendapat pendidik bahasa (1960-an,1970-an dan 1980-an) adalah dengan mengenal pasti satu set kemahiran yang dikenali sebagai kemahiran kefahaman. Fokus pengajaran pembacaan dalam pengajaran Bahasa Melayu berdasarkan kemampuan membaca menguasai setiap bahagian kemahiran yang berasingan seperti membaca lantang, memberi makna perkataan atau frasa, mencari maklumat yang terkandung dalam bahan dan menjawab soalan yang dikemukakan. Pengajaran bacaan dijadikan alat untuk mengukur kemampuan pelajar mencapai matlamat memahami petikan yang dibaca secara berasingan,persiapan bagi memperkukuhkan kemahiran mereka menguasai bahasa dan kemahiran berfikir. Selain itu, ia dijadikan alat ganti untuk mengajar,dalam keadaan ini guru hanya melatih para pelajar mengetahui bahan yang diberikan pada mereka dengan bermatlamat mereka dapat mendekod setiap perkataan dan merapatkan jurang antara jawapan yang diberikan oleh pelajar dalam soalan pemahaman dengan jawapan yang telah disediakan oleh guru terlebih dahulu. Pencapaian pelajar dinilai berdasarkan kemampuan mereka mencapai kemahiran memahami petikan sebagai matlamat terakhir dalam sesuatu pengajaran pemahaman bacaan. Kemahiran bacaan dianggap tercapai sekiranya pelajar telah dapat memahami petikan apabila mereka data menjawab semua soalan pemahaman yang berkaitan atau menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat membuktikan bahawa mereka telah memahami petikan dengan jelas. Penilaian terhadap jawapan bagi soalan pemahaman pula berdasarkan kemampuan pelajar menulis atau mengucap semula kandungan petikan dalam bahasa atau ayat yang mereka bina sendiri. Jawapan yang hampir sama dengan atau menepati kehendak skrip jawapan yang telah disediakan oleh guru atau penulis buku teks akan mendapat markah yang tinggi manakala jawapan yang tiada kaitan dengan skrip jawapan atau tidak mempunyai isi seperti yang terkandung dalam petikan dianggap sebagai jawapan yang terpesong dan tidak menepati kehendak soalan serta tidak diberikan markah. Bagi kebanyakan guru, penulis buku teks atau penyedia kertas peperiksaan,solan pada tahap ini dianggap mudah dibentuk dan dinilai kerana pada kebiasaannya tidak menyimpang jauh daripada mengenal pasti maklumat yang terkandung dalam petikan. Soalan pada tahap ini dapat menguji kemampuan pelajar menggunakan kecekapan berbahasa bagi tujuan mengguna dan menyusun perkataan serta ayat bagi menemukan maklumat yang bersesuaian dengan kehendak soalan yang dikemukakan. Namun,soalan pada tahap ini tidak dapat membekalkan pelajar dengan kemahiran menggunakan bahasa bagi tujuan menyelesaikan masalah, komunikasi serta menggunakan daya pemikiran yang kritis dan analitik seperti yang diharapkan dalam mencapai matlamat pendidikan pada abad ke-20. Kemahiran membaca bukan sahaja terhad pada memahami sesuatu petikan semata-mata dan dapat menjawab pelbagai soalan pemahaman yang dikemukakan pada akhir pelajaran atau latihan pemahaman. Matlamat uatama pangajaran pemahaman bacaan adalah untuk membantu pelajar meningkatkan kemahiran berbahasa daripada terus terabai. Kemahiran berbahasa termasuk kemahiran menggunakan maklumat bagi menyelesaikan masalah, mengaitkan maklumat dengan

situasi yang dihadapi, mengulas dan membuat penilaian serta kesimpulan berdasarkan maklumat yang diperoleh serta menggunakan maklumat bagi mencipta sesuatu yang baru. Matlamat pengajaran pemahaman bacaan pada masa kini adalah untuk meningkatkan kemampuan pelajar menggunakan bahan bacaan bagi kepentingan meningkatkan kemampuan literasi pelajar pada tahap yang lebih holistik. Pengkaji-pengkaji di barat (Amerika Syarikat) dalam bidang bahasa, psikologi atau linguistik telah merangka pelbagai teori untuk mendalami fenomena seseorang pembaca memahami bahan yang dibaca dan mencapai tahap literasi yang diharapkan pada peringkat usia tertentu. Mereka cuba mengesahkan teori tersebut dengan menjalankan pelbagai kajian empirikal secara kuantitatif dan kualitatif serta mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul daripada teori tersebut. Kajian yang dijalankan pada masa tersebut kebanyakannya merujuk pada kajian awal yang dilakukan oleh beberapa tokoh bahasa dan kesusasteraan yang unggul di Amerika Syarikat. Loius Rosenblatt (tokoh bahasa dan kesusasteraan) menyuarakan saranan bahawa membaca merupakan satu proses transisi antara si pembaca dengan teks yang dibaca. Beliau juga memperkukuhkan kepercayaan bahawa si pembaca mempunyai hak mutlak untuk menentukan maksud yang terkandung dalam petikan yang dibaca. Hal ini bermaksud pembaca boleh menentukan makna yang ingin diinterpretasikan oleh mereka sendiri berdasarkan keupayaan dan pengalaman latarnya sendiri. Kajian yang telah dijalankan membuka perspektif baru terhadap pendidikan literasi bahasa dalam kalangan kanak-kanak yang dianggap tidak mempunyai peluang dan pendedahan yang cukup dengan alam bacaan. Pengajaran literasi tidak seharusnya menumpukan semata-mata pada empat kemahiran asas berbahasa secara terpisah antara satu sama lain. Pendekatan pendidikan literasi secara holistic mementingkan penggabungan keempat-empat kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, yang kemudiannya ditambah degan kemahiran be.rfikir. Hal ini bermaksud pengajaran pelbagai kemahiran tersebut perlu dibuat secara serentak dan saling berhubungan antara satu sama lain.

PENDEKATAN PENGAJARAN LITERASI


Satu Pendekatan Holistik
Literasi bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis dan berfikir. Kemahiran tersebut perlu dilakukan secara serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir mendampingi keempat-empat kemahiran asas tersebut. Setiap kemahiran seharusnya tidak diajar secara berasingan atau diajar dalam tajuk yang terpisah-pisah kerana semua aspek tersebut terbina secara bersepadu dan saling bertalian. Pada masa dahulu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal persekolahan. Kanak-kanak diajar menghafal huruf-huruf A hingga Z dan dilatih tubi dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan berdasarkan suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Kemahiran bacaan ini hanya tertumpu pada tahap mengenal huruf sematamata, mereka hanya mempunyai kemampuan menyebut perkataan yangditunjukkan menerusi carta atau kad imbas tersebut tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya dalam satu situasi yang lebih luas dan bermakna. Pada masa yang sama, perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah juga percaya bahawa kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajar menulis. Pengajaran penulisan secara bemakna hanya berlaku setelah pelajar memasuki tahun kedua persekolahan. Penulisan karangan hanya diperkenalkan kepada pelajar pada tahun tiga dan empat. Kelewatan mendedahkan pelajar pada pengalaman membaca dan menulis yang jitu akan menyebabkan kebantutan dalam proses menguasai kemahiran tersebut. Ada kajian yang dijalankan yang membuktikan sekiranya seseorang murid itu lambat didedahkan kepada kemahiran membaca dan menulis yang bersepadu serta tidak dapat menguasai kedua-dua kemahiran tersebut pada akhir tahun ketiga persekolahannya, dia akan terus ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis serta dalam semua aspek akademik yang lebih tinggi. Kanak-kanak pada awal usia persekolahan perlu didedahkan dengan pengalaman membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan menggunakan kad imbasan atau carta huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka dengan pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan pelbagai bahan bacaan yang diterbitkan dalam bentuk asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan mesej yang khusus, di samping mengandungi ilustrasi menarik. Mereka juga perlu diberikan peluang menyalurkan apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dalam bentuk penulisan dengan kemampuan yang ada pada peringkat usia mereka sendiri. Walaupun sebahagian daripada hasil penulisan mereka nanti ada yang berbentuk cakaran huruf yang tidak jelas dan tidak membawa makna yang tertentu tetapi ini merupakan langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih kukuh pada peringkat yang lebih matang. Ejaan ciptaan yang digunakan oleh kanak-kanak pada eringkat awal ini menjadi asas bagi memperkenalkan mereka dengan alam penulisan yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa.

Inilah yang dimaksudkan dengan peningkatan literasi bahasa menerusi pendekatan holistic dan bersepadu.

Anda mungkin juga menyukai