Anda di halaman 1dari 3

Dr Siti Mariah: Bunuh Tulisan Jawi, Bunuh

Bahasa Melayu..
Ibnu Hasyim:

Catatan Santai

BANYAK isu-isu yang dikemukakan oleh Dr Siti Mariah binti Mahmud, Ahli
Parlimen Kota Raja Selangor, dalam ucapan di Dewan Rakyat Parlimen ke 12
Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam jam
5.04 petang itu, tetapi kita muatkan sebahagian sahaja. Antaranya…

“Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bergerak kepada satu lagi topik iaitu isu bahasa.
Saya bekas tenaga pengajar UKM. Pada 18 Mei, UKM akan menyambut sempena
38 tahun penubuhannya. Universiti Kebangsaan Malaysia telah banyak berjasa
kepada negara. Di antara matlamat penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia
adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Selama 13 tahun saya di
sana, saya melihat sendiri dan terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu. Tidak ada satu subjek atau satu kursus pun yang tidak
dapat diajar di dalam bahasa Melayu.

Kita ada istilah bahasa untuk semua kursus dan setiap kursus mampu diajar
hampir 100% di dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan yang telah
diterima oleh semua bangsa di dalam negara kita sebagai bahasa Malaysia. Akan
tetapi langkah kerajaan kita meletakkan program pengajaran sains dan
matematik di dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa Inggeris itu adalah satu
bahasa yang penting untuk ilmu dalam dunia yang bersifat global ini. Saya tidak
menafikan kepentingannya, namun apabila kita menggunakan bahasa Inggeris
untuk mengajar sains dan matematik, ini bermakna apabila penuntut-penuntut
sampai ke peringkat universiti mereka sudah tak ada lagi kemampuan untuk
belajar, dan mungkin kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia tidak lagi boleh
mengajar di dalam Melayu.

Maka kita dengan sendirinya, UMNO dengan sendirinya seperti apa yang telah
mereka lakukan kepada tulisan jawi, telah membunuh tulisan jawi dan kini kita
dalam proses untuk membunuh bahasa Melayu itu…. [Tepuk] Yang Berhormat
sekalian, kita tidak menafikan bahasa Inggeris itu bahasa yang penting. Saya
sendiri sebelum menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia berfikir di
dalam bahasa Inggeris kerana saya datang daripada aliran Inggeris, tetapi oleh
kerana rasa di dalam hati patriotisme yang kita ada, saya sanggup mempelajari
semula semua istilah perubatan di dalam bahasa Melayu dan saya mampu
melakukannya.

Jadi saya harap, janganlah kita memberi apa yang dikatakan dengan izin, double
whammy atau double jeopardy kepada anakanak kita yang boleh memahami
sains dan matematik lebih baik dengan bahasa ibunda. Kajian telah menunjukkan
bahawa untuk kita belajar mata pelajaran yang abstrak seperti matematik dan
sains, adalah lebih baik kita belajar dengan bahasa ibunda dan bukan bahasa
asing, kerana anak-anak kita terpaksa daripada Darjah 1, pertama untuk
memahami, kedua menterjemahkan pula bahasa itu di dalam otaknya untuk
memahami apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua mata pelajaran ini.

Maka kita telah memberi kesukaran yang amat sangat kepada mereka, tambahan
di luar bandar ibu bapa tidak mampu untuk menolong mereka dalam sains dan
matematik, apa lagi di dalam bahasa Inggeris. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang
Berhormat sekalian kalau kita katakan, bahawa kita perlukan bahasa Inggeris
sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran matematik dan sains, supaya
sains dan teknologi kita capai kepada satu tahap yang tinggi, maka saya ingin
bertanya.. Adakah negara-negara maju lain seperti Germany, Perancis, Jepun,
Korea dan banyak lagi negara-negara lain China, Taiwan mengajar matematik
dan sains di dalam bahasa Inggeris?

Tidak! Kalau kelemahan bahasa Inggeris itu adalah disebabkan oleh kelemahan
metodologi pengajarannya, maka perbaikilah metodologinya. Sekiranya
kelemahan dalam bahasa Inggeris itu tidak cukup gurunya, maka tambahlah
gurunya. Bukan kita mendaulatkan atau membesarkan bahasa Inggeris dan
kemudian membunuh bahasa Melayu. Kalau kita tidak melakukan sesuatu dari
sekarang, maka dalam 10 tahun lagi anak-anak Melayu, anak-anak Cina, anak-
anak India, anak-anak Kadazan tidak akan mengetahui istilah-istilah sains,
matematik, fizik dan sebagainya di dalam bahasa Melayu.

Jadi saya mohon Kementerian Pelajaran membuat perubahannya sekarang.


Janganlah mengambil 50 tahun seperti yang kita lihat, apa yang berlaku dengan
tulisan jawi. Walau banyak mana pun kita bagi naskhah Utusan Melayu dengan
percuma, kita tidak dapat menghidupkan kembali tulisan jawi itu sendiri….

Insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi adalah, saya nak sebut sedikit
mengenai doktor-doktor ataupun perkhidmatan kesihatan. Walaupun pun, saya
mendapat jawapan daripada Kementerian Kesihatan bahawa kerajaan tidak
berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan, namun
tindak-tanduk kerajaan sedikit demi sedikit yang kita tahu telah menswastakan
pembekalan ubat-ubatan. Telah menswastakan perkhidmatan kejuruteraan. Telah
menswastakan khidmat ambulan dan telah menswastakan kebanyakan
perkhidmatan-perkhidmatan hospital. Dan terakhir sekali ialah menswastakan
sebahagian daripada perkhidmatan doktor pakar itu sendiri.

Kita telah bermula di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. Jadi kalau kita
bayangkan doktor-doktor pakar ini, siapa jadi doktor dia tahu. Kalau dia jadi
pakar dia bukan sahaja merawat pesakit, dia juga mengajar doktor-doktor
pelatih, dia juga mengajar penuntut-penuntut perubatan. Bila masanya dia
hendak melihat pesakit-pesakit swasta ini? Jawabnya, selepas waktu kerja. Dan
kita tahu apabila seseorang itu mula bekerja daripada pukul 8.00 pagi hingga
pukul 4.30 petang, disambung sampai pukul 7.00 malam, maka dia mesti
mengekalkan endurance stamina dia. Maka, apa akan berlaku? Dia akan slow
down, dia akan perlahan di dalam aktivitinya daripada pukul 8.00 pagi hingga
pukul 4.30 petang.
Tanyalah di sini semua. Itulah sebabnya kita lihat kadang-kadang, pekerja-pekerja
kilang ataupun pekerja- pekerja kerajaan juga sedikit masa dahulu buat kerja
lambat semasa waktu pejabat kerana hendak ambil overtime kerana overtimenya
ada bayaran…. Jadi inilah sinonim atau analogi yang ingin saya berikan. Sekarang
ini, saya kena sebut ini, dengan penswastaan ataupun kita mengatakan dengan
promosi kerajaan untuk mewujudkan pelancongan kesihatan maka brain drain
ataupun dengan izin, doktor-doktor pakar ini akan berhijrah kepada pihak swasta
kerana ganjaran di sana lebih baik.

[Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee memberitahu masa


berucap untuk Dr Mariah sudah habis.] Baik! Sebenarnya kami telah
mengemukakan gerakan membantah perkhidmatan penswastaan. Perkhidmatan
kesihatan telah menyampaikan memorandum kepada Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri sebelum pilihan raya lagi, minta perkara ini dibincangkan
sehalus-halusnya, selumat lumatnya, tetapi Perdana Menteri yang selalu
berkata..

“Saya sedia mendengar, telinga saya besar!”

Tidak sekalipun mahu berjumpa gabungan NGO yang mempunyai 60 NGO…


Kalau inilah yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kami
menangis dahulu bagi pihak tuan-tuan dan puan-puan. Sebenarnya banyak lagi,
saya harap kawan saya akan sambung. Wabillahi taufik, wassalamualaikum
warahmatullaahi wabarakaatuh.”}

Begitulah pandangan, saranan dan keluhan Dr Siti Mariah mewakili rakyat jelata
kepada PM yang mengakui sendiri bertelinga besar.. Tetapi apa guna besar kalau
tidak mampu mendengar.. Sekian catatan dari Parlimen Malaysia.

Wallahu ‘aklam.

Anda mungkin juga menyukai