Anda di halaman 1dari 7

Peranan Guru Dalam Menangani Masalah Kecelaruan Remaja Dewasa ini banyak berita dan laporan mengenai penglibatan

remaja dalam pelbagai kegiatan jenayah didedahkan di media massa. Remaja dikatakan menyalahgunakan usia muda dan peluang menuntut ilmu dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Hal ini disebabkan juga oleh pengalaman yang tidak mengembirakan yang dialami oleh para remaja semasa mereka belajar di sekolah menengah yang mana persekitaran bilik darjah yang lesu dan membosankan menjadikan remaja tidak menyukai bilik darjah dan sekaligus membawa pengalaman tersebut keluar apabila tamat sekolah nanti. Oleh itu, bagi menurunkan masalah kecelaruan tingkah laku remaja, para guru hendaklah menggunakan pelbagai pendakatan untuk menangani masalah ini daripadaa meruncing dengan lebih serius. Dapat kita lihat disini bahawa tugas guru marcapada ini memainkan peranan yang sangat penting bagi membentuk remaja yang mempunyai modal insane yang baik. Menurut Nurul Syahirah (2008), bagi seorang guru yang berjiwa pendidik dan pengajar, tugas mencurahkan ilmu perlualah diperkasakan lagi dengan keazaman untuk terus memanusiakan pelajarnya dengan nila-nilai murni yang menjadi teras dalam kehidupan.

1. Mempelbagaikan Strategi Mengajar Dewasa ini, guru gagal memilih dan menggunakan strategi dan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru. Oleh yang demikian, pelajar menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmd, 2007). Oleh itu, strategi yang berkesan diperlukan dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Menurut Mok Soon Sang (2008), strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada teknik mengajar berdasarkan sesuatu pendekatan untuk tujuan mencapai objektif pelajaran dengan berkesan. Oleh itu, seorang guru harus memikirkan pelbagai strategi ketika mengajar mengikut aras kebolehan pelajar bagi menarik minat dan menyeronokkan pelajar untuk terus belajar. Secara umumnya, menurut Mok Soon Sang (2008), strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis, iaitu

strategi pemusatan kepada guru, remaja atau pada bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru pula hendaklah bergantung pada situasi remaja. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana boleh diubah-ubah mengikut keadaan semasa remaja.

2. Hubungan Guru dengan Murid Membina hubungan yang baik dengan murid merupakan satu proses yang berterusan. Hubungan ini bukanlah terjalin dalam sekelip mata sahaja akan tetapi ianyan memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak. Hubungan ini akan terjalin dengan baik apabila murid-murid berasa gembira dan seronok menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Disamping itu, apabila guru berhubungan baik engan murid, murid akan lebih bermotivasi untuk belajar yang mana guru boleh membangkitkan motivasi intrinsic murid. Murid-murid yang mesra dan rapat dengan guru akan terdorong untuk belajar dengan lebih tekun.Oleh itu, para guru haruslah memahami tingkah laku murid agar persefahaman dan perhubungan yang baik antara guru dan pelajar dapat dicapai. Hal ini kerana guru yang memahami tingkah laku pelajar akan cenderung berempati seterusnya dapat mengurangkan masalah kecelaruan tingkah laku remaja masa kini. Hubungan yang baik dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi guru dan murid.

3. Meningkatkan penghargaan dan kepuasan diri remaja Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran berjalan, guru akan mengemukakan soalan yang berkaitan dengan pembelajaran yang lepas. Hal ini akan membentuk personaliti ego kerana remaja akan berusaha mengingat serta mengamati apa yang telah dipelajari pada minggu sebelumnya. Apabila persoalan dapat dijawab dengan lancar, maka akan timbul kepuasan dalam diri mereka. Menurut Robiah K. Hamzah (2006), guru perlu mengetahui bahawa terdapat empat perkara utama yang boleh meningkatkan sikap penghargaan diri dalam kalangan remaja iaitu rasa kekitaan, rasa keunikan, rasa berkuasa dan rasa ada model yang dicontohi.

3.1 Rasa kekitaan Rasa kekitaan bermaksud remaja merasai kepuasan yang sebenarnya daripada ikatan perhubungan dan pergaulan dengan kelompok di tempat dia berada. Dalam hal ini, guru haruslah pandai memainkan peranan sebagai pemudah cara ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan yang mana membuatkan remaja atau muridmurid merasa diri mereka berada dalam kelompok kelas mereka. Hal ini kerana, perasaan sedemikian tidak akan subur dalam diri remaja sekiranya guru tidak berusaha mengeratkan hubungan yang ada, disamping terus meransang dan membina situasi itu. Jika tidak, situasi renggang akan muncul dan akan membuatkan remaja berasa kehilangan harga diri dan tumpuan hidup.

3.2 Rasa keunikan Rasa ini adalah satu keadaan apabila remaja berasa mempunyai sesuatu keistimewaan dalam diri yang dapat dibanggakan. Ciri istimewa ini membuatkan remaja rasa dihormati oleh orang lain. Oleh itu, para guru berperanan untuk cuba mencungkil bakat atau keistimewaan dalam diri setiap pelajar agar dapat membantu remaja mengekalkan ciri-ciri istimewa tersebut da seterusnya mendorong mereka untuk menghargai diri mereka sendiri.

3.3 Rasa berkuasa Rasa berkuasa ini ialah keadaan apabila remaja berasa mempunyai kekuatan, kebolehan dan kuasa yang dikumpul daripada banyak sumber, kesempatan dan peluang yang diberikan kepadanya. Lazimnya mereka, iaitu golongan remaja ini merasa diri mereka berkuasa dan berhak untuk sama-sama menentukan sesuatau keputusan penting yang melibatkan kehidupan sehari-hari. Justeru itu, para guru hendaklah memberikan pelajar peluang untuk membuat keputusan ketika

mengadakan sesuatu perbincangan. Selain itu, guru juga boleh meransang pelajar untuk memberikan cadangan dan membuat keputusan dalam sesuatu hal. Dengan ini, mereka merasai diri mereka dihargai dan berguna kepada rakan-rakan mereka.

3.4 Rasa ada model (rujukan) Model atau contoh yang dapat dijadikan panduan, rujukan, membina tujuan hidup yang jelas dan praktis boleh membantu remaja membina satu corak kehidupan yang diidam-idamkan sesuai dengan keperluan diri dan alam sekitar. Lazimnya guru juga adalah model yang terdekat dan terbaik bagi remaja untuk dijadikan contoh teladan. Hal ini kerana menurut Ismail Abas (2007), jika ingin memperbaiki akhlak murid, maka guru juga perlu menunjukkan akhlak yang baik yang mana guru merupakan sumber kepada murid dalam semua perkara untuk mendapatkan ilmu dan semangat, juga sumber untuk dicontohi dalam pembinaan akhlak yang baik.

4. Guru perlu mengurus bilik darjah dengan baik Kerja guru dalam bilik darjah bukan sahaja mengajar, akan tetapi guru juga perlu mengelolakan pelajar-pelajar serta mengelolakan kemudahan dan keadaan fizikal yang terdapat di dalamnya. Dengan adanya pengurusan disiplin bilik darjah yang baik maka dapat mengurangkan masalah kecelaruan tingkah laku remaja. Hal ini kerana, tujuan utama pengurusan bilik darjah adalah untuk menjaga disiplin bilik darjah seterusnya dapat mewujudkan suasana yang kondusif.

4.1 Pengurusan keadaan fizikal bilik darjah Menurut Mok Soon Sang (2008), pengurusan keadaan fizikal bilik darjah yang baik dapat mengurangkan masalah disiplin pelajar yang mana keadaanya adalah bersih, susunan yang teratur, udara yang bersih dan nyaman dan ruang pergerakan pelajar yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka.

4.2 Pengurusan peraturan bilik darjah Peraturan dalam bilik darjah hendaklah ditetapkan dengan jelas, ringkas dan mudah dipatuhi serta dibuat dengan persetujuan ahli kelas agar semua orang berpuas hati dan mengikut peraturan tersebut dengan rela hati. Oleh itu, guru harus tegas dan adil semasa melaksanakan peraturan tersebut. Dengan itu, masalah disiplin dalam bilik darjah akan dapat dikurangkan.

4.3 Pengurusan Jadual bertugas pelajar Jadual bertugas harian kelas untuk menjaga kebersihan dan keselesaan bilik darjah hendaklah diaturkan secara adil supaya pelajar melaksanakan tugas mereka dengan hati yang terbuka. Dengan itu, kebersihan dan keselesaan bilik darjah akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat serta dapat mengurangkan masalah disiplin dalam bilik darjah.

4.4 Pengurusan pelajar bermasalah disiplin Kebanyakkan masalah disiplin yang ditimbulkan dalam bilik darjah berpunca daripada perasaan marah, bersalah, kecewa atau bosan dan memungkinkan perasaan yang timbul itu dibawa keluar dengan melakukan tingkah laku yang negatif. Perasaan ini biasanya berpunca dari gaya kepimpinan guru yang bersifat autokratik atau pengajaran yang kurang menarik. Oleh itu, guru haruslah menukar cara kepimpinannya kepada gaya demokratik dan merancang pengajaran yang lebih berkesan. Dengan itu, dapat menukarkan tingkah laku atau perasaan negatif kepada bentuk positif.

5. Menggunakan alat bantu mengajar yang pelbagai Menurut Kamarul Azmi dan Abdul Halim (2007), pengajaran dan pembelaajran (P&P) yang efektif dapat dilihat melalui sejauh mana kebolehan guru-guru dalam menghasilkan P&P yang interaktif. Menurut Mok Soon Sang (2008) pula, antara ciri-ciri guru yang efektif pula adalah guru yang menggunakan alat bantu mengajar dengan cekap untuk menyampaikan sesuatu konsep dan murid-murid pula boleh menggunakan alat bantu menagajar untuk menjalankan aktiviti pengajaran dengan berkesan. Menurut Mohd Izham et al, (2007), dalam Kamarul Azmi, Abdul Halim, Mohd Izham dan Mohd Faeez Ilias (2011) menyatakan bahawa pelajar akan menjadi lebih seronok dan tidak bosan dengan P&P guru kerana terdapat sesuatu yang baru setiap kali penyampaian P&P para guru. Oleh itu, adalah menjadi suatu keperluan terhadap bahan bantu mengajar (BBM) yang efektif dikendalikan oleh pengguna yang efektif. Hal ini kerana, secara tidak langsung para guru berkemahiran dan berpengetahuan dalam mengahsilkan kesan yang

efektif dalam penyampaian P&P mereka. Hali ini bersesuaian dengan pendapat Toth M. J. (et al. ,2010) dalam Kamarul Azmi, Abdul Halim, Mohd Izham dan Mohd Faeez Ilias (2011) yang menyatakan bahawa perubahan daripada pengajaran tradisonal kepada pengajaran berasaskan teknologi menghasilkan kesan positif ke atas diri pelajar.

Selain itu, menurut Noor Azlan b. Ahmad Zanzali & Nurdalina bt. Daud, guru haruslah menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kefaaman pelajar dan dapat menarik perhatian pelajar untuk lebih fokus dan memahmai konsep yang diajar. Hal ini disokong oleh Mohd Dahlan (1992) dalam Noor Azlan b. Ahmad Zanzali & Nurdalina bt. Daud, menyatakan bahawa penggunaan pelbagai alat bantu mengajar mengikut cara yang bersesuaian dapat meningkatkan mutu atau tumpuan murid-murid terhadap pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar juga tururt memudahkan guru dalam penyampaian konsep kepada pelajar dan ianya merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Kesimpulannya, guru bukan sekadar mendidik tetapi membimbing pelajar dengan membantu sekadar termampu Guru boleh membimbing dengan membantu memandu pelajar mengurus masalah yang dihadapi mereka. Guru perlu menunjukkan contoh teladan yang baik agar dapat diikuti oleh para pelajar dan secara tidak langsung dapat membendung kecelaruan tingkah laku remaja yang semakin meruncing dewasa ini.

Ismail Abas (2007). Peranan guru membina murid menghadapi cabaran Wawasan 2020. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor 10, 82-89 Kamarul Azmi, Abdul Halim, Mohd Izham dan Mohd Faeez Ilias (2011). Amalan penggunaan bahan bantu mengajar dalam kalangan guru cemerlang Pendidiakn Islam sekolah menengah di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education 3(1), 59-74. Mok Soon Sang (2008). Pedagogi untuk pengajaran dan pembelajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia. Sdn. Bhd. Noor Azlan b. Ahmad Zanzali & Nurdalina bt. Daud. Penggunaan bahan bantu mengajar di kalangan guru pelatih UTM yang mengajar matapelajaran matematik. Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia. Nurul Syahirah Mohd Jamel (Mei 16,2008), Guru Mendidik, Bukan Mengajar. Malaysia Kini Online. Diperolehi pada 20 April 2012 daripada http://www.malaysiakini.com/letters/82967. Robiah K. Hamzah (2006). Wah!Pandainya dia berkata-kata. Pahang: PTS Millennia. Sdn. Bhd. Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad (2007). Strategi dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professioanal Publishing Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai