Anda di halaman 1dari 14

ISU DAN PERLAKSANAAN KOLEJ VOKASIONAL (KV)

OLEH: MOHAMAD FAIZUL BIN YUSOFF (HB100145) YAHYA BIN SEIKH SALLEH (HB100241) HUSIN BIN MUSANIB (HB100240)

PEMBIMBING: EN. JAMIL BIN ABD. BASER

MBE 13603 Perkembangan Sistem Pendidikan Dan Latihan Dalam PTV FAKULTI PENDIDIKAN TEKNIKAL UNIVERSITI TEKNOLOGI TUN HUSSIEN ONN MALAYSIA

Pendahuluan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (PLTV) merupakan salah satu cabang dalam pendidikan di Malaysia. Teknikal memberi maksud pelaksanaan sesuatu kerja atau berkaitan dengan sesuatu bidang pengetahuan yang tertentu (Dewan Bahasa, 1981). Manakala vokasional ialah pendidikan dan latihan yang akan menyediakan individu untuk pekerjaan tertentu (Websters New World Dictionary, 1991). Sistem PLTV ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sosial masyarakat sejajar dengan pembangunan ekonomi negara. Antara tujuan utama Pendidikan Teknik dan Vokasional adalah untuk membentuk kemahiran, kebolehan dan kefahaman dalam bidang pekerjaan kepada setiap pelajar supaya dapat digunakan secara berfaedah dan produktif. Sehubungan dengan itu, pekerja mahir dan separa mahir yang berkualiti dapat dihasilkan melalui sistem PLTV ini. Sejak diperkenalkan pada awal 1900-an, Pendidikan Teknik dan Vokasional telah melalui pelbagai transformasi dan perubahan dalam usaha menjadikannya relevan dengan kehendak semasa. Sehingga kini, Malaysia mempunyai kira-kira 7714 buah sekolah rendah, 2282 buah sekolah menengah termasuk 88 buah sekolah menengah teknik dan vokasional. Elemen teknik dan vokasional ini bukan hanya dipelajari di sekolah menengah teknik dan vokasional, malahan ianya telah diterapkan ke dalam kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah biasa juga. Menjelang tahun 2013, sekolah menengah vokasional akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional iaitu melibatkan 78 buah sekolah. Manakala 10 buah sekolah lagi dikekalkan sebagai sekolah menengah teknik. Latihan vokasional atau kemahiran pula adalah merujuk kepada program yang dikendalikan oleh pusat-pusat latihan industri atau pusat-pusat latihan di bawah kementerian dan agensi kerajaan. Antara kementerian dan agensi yang memainkan peranan penting dalam memberi latihan kemahiran adalah seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Amanah Rakyat. Latihan kemahiran di bawah kementerian dan agensi kerajaan ini dapat dilihat secara langsung berkait rapat dengan menyediakan persediaan memasuki alam pekerjaan bagi lepasan sekolah.

PLTV di Malaysia Sistem Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (PLTV) telah wujud sekian lama iaitu sebelum kedatangan penjajah lagi. Perkembangan ini telah merentasi masa sejak zaman berzaman sehingga ke hari ini. Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, pendidikan masyarakat Melayu adalah terhad kepada pembelajaran Al-Quran bersama imam atau ulama. Pada masa yang lain, masyarakat pada ketika itu menjalankan aktiviti harian seperti berkebun, bersawah, bertukang kayu dan logam, membuat keris dan kerjakerja kraftangan seperti anyaman (Emat, 2005). Semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu, British telah mengategorikan sistem pendidikan kepada lima peringkat iaitu pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan teknik dan vokasional, dan pendidikan tinggi. Secara rasminya pendidikan teknik dan vokasional bermula pada zaman ini iaitu pada tahun 1900, di mana orang-orang Melayu yang berkemahiran dalam seni menganyam, menyulam dan mengukir diambil untuk menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah Melayu yang berdekatan dengan Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1905, Sekolah Teknik Treacher Kuala Lumpur telah dibuka untuk memberi latihan kepada pembantu teknik di Jabatan Kerja Raya, Jabatan ukur dan Keretapi Tanah Melayu. Pada tahun 1918, Suruhanjaya Pendidikan Teknik dan Industri telah dibentuk untuk mengkaji keperluan pelajaran vokasional dan teknik di negeri-negeri Tanah Melayu. Pada tahun 1923, Pusat Latihan Pertanian telah ditubuhkan bagi memberi latihan kepada orang Melayu mengenai cara-cara berladang dan berkebun. Kemudian, pada tahun 1926, sekolah teknik telah ditubuhkan dan kemudian ditukar status kepada maktab teknik pada tahun1941 dan dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1972. Bagi memberi pendidikan yang lebih mendalam kepada pegawai-pegawai pertanian, Sekolah Pertanian telah ditubuhkan pada tahun 1931 di Serdang, Selangor dan dinaik taraf kepada Kolej Pertanian sebelum diiktiraf sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1972 dan hari ini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (Emat, 2005).

Pada tahun 1964, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) ditubuhkan, yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Teknikal (JPTek). Peranan utamanya adalah menentukan pelaksanaan dan kemajuan pendidikan teknikal dan vokasional secara berterusan di Malaysia. Antara skop bidang tugas BPTV ialah merancang, melaksana, menyelaras, menyelia dan memantau perkembangan pendidikan teknikal dan vokasional di semua sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Pendidikan teknikal dan vokasional ini dihasratkan memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara. Bagi meralisasikan hasrat ini, BPTV menawarkan program-program yang membolehkan pelajar berpotensi menjadi separa professional dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan. Bermula 1 Mac 2008, berlaku satu penstrukturan menyeluruh di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia. JPTek ditukar kepada BPTV. BPTV terbahagi kepada empat fungsi utamanya iaitu pengoperasian sekolah, pengoperasian akademik, pembangunan PTV dan pembangunan kejurulatihan PTV (BPTV, 2011). Konsep Kolej Vokasional (KV) Menjelang tahun 2013, sebanyak 78 buah sekolah vokasional akan ditukarkan namanya kepada kolej vokasional. Hanya 10 buah sekolah sahaja yang dikekalkan sebagai sekolah menengah teknik. Sebagai permulaan, pada tahun 2012 Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) telah menyenaraikan 15 buah sekolah menengah vokasional yang akan menjadi perintis kolej vokasional. Perubahan nama ini akan melibatkan suatu rombakan kepada sistem pendidikan teknikal dan vokasional termasuklah kurikulum, tempoh pembelajaran, kursus-kursus yang ditawarkan serta pentauliahan yang akan dianugerahkan. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perubahan nama itu juga bukan sahaja menghapuskan stigma atau persepsi bahawa pendidikan teknikal dan vokasional sebagai pilihan kedua, selepas bidang akademik lain, malah akan memberi satu laluan kerjaya yang lebih jelas. Pentauliahan yang akan diperolehi di kolej vokasional ialah berupa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau dikenali sebagai Sijil Vokasional Malaysia (SVM). Selain daripada

itu, pelajar-pelajar juga berupaya mencapai tahap pentauliahan yang lebih tinggi iaitu diploma atau diploma lanjutan. Tempoh masa pengajian untuk memperoleh diploma ialah selama lapan semester (empat tahun) bermula pada umur 16 tahun. Sebelum memasuki kolej vokasional, pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga tiga akan mengikuti Program Pendidikan Asas Vokasional (PAV), di mana mereka akan diberi tauliah sehingga SKM tahap 2 setelah tamat tingkatan 3. Kurikulum kolej vokasional mempunyai 2 komponen iaitu 70% kemahiran vokasional dan 30% akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan. Antara modul akademik yang dipelajari ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Perniagaan (Bahasa Mandarin atau Bahasa Arab), Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Moral. Selain daripada modul akademik tersebut, KV juga akan memberi tumpuan kepada kemahiran keusahawanan, kemahiran kebolehpasaran dan menyediakan latihan industri (On Job Training) pada beberapa peringkat pengajian. Manakala kaedah pembelajarannnya adalah secara Production Based Education (PBE), Centre Of Excellence (COE) dan School Enterprise (SE). Bidang-bidang kursus yang ditawarkan di kolej vokasional adalah seperti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi, Pertanian, Perniagaan, Hospitaliti, Sistem Sokongan Seni dan Budaya, Sains Kesihatan, Pengangkutan, Teknologi Marin dan Industri Sukan. Jawatankuasa Penubuhan Kolej Vokasional Transformasi dari sekolah vokasional kepada kolej vokasional ini telah dikaji dan dirancang dengan teliti. Proses punubuhan kolej vokasional tersebut telah melalui beberapa prosedur yang begitu kompleks melibatkan pihak dalam negara dan juga luar negara. Berikut adalah kronologi penyediaan pelan transformasi KV:
i.

SEMINAR MKRA VOCTECH pada 1hingga 4 Disember 2009 di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Seminar ini melibatkan sejumlah pegawai dari

BPTV dan KPM, wakil dari agensi latihan yang lain seperti JPK, NATC, MTIB, MARA dan juga pengetua-pengetua dari SMT dan SMV seluruh Negara.
ii.

BENGKEL BLUE OCEAN STRATEGI melibatkan pelaksanaan 4 siri bengkel pada tahun 2009 dan tahun 2010 di Institut Aminudin Baki, Genting Highland. Bengkel ini dikendalikan oleh konsultan yang dilantik KPM iaitu Konsultan BOS. Pendedahan situasi SMV di Malsysia diberikan untuk pegawai BPTV dan juga KPM dan juga pengetua SMT dan SMV.

iii.

Lawatan pegawai BPTV dan KPM ke negara-negara yang terkenal dengan pendidikan vokasional pada 2009 dan 2010 seperti Jerman, Australia, Indonesia, Korea, Thailand, Indonesia dan Singapura dan Finland pada Mei 2010.

iv.

BENGKEL TRANSFORMASI VOCTECH pada 20 hingga 23 Jun 2010 di Hotel Vistana, Kuala Lumpur. Antara peserta yang terlibat ialah : a) Pegawai BPTV dan KPM b) Wakil agensi latihan awam (JPK, NATC, MTIB, MARA) c) Pengetua dan guru SMT dan SMV d) Wakil-wakil Alumni SMT SMV, Wakil-Wakil PIBG SMT SMV e) Wakil IPTA dan IPTS, Wakil-wakil industri

v.

MESYUARAT JK KHAS TRANSFORMASI VOCTECH pada 12 Julai 2010 yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia bersama dengan pengawai dari BPTV dan KPM.

vi.

Taklimat jawatan kuasa transformasi SMV kepada 32 wakil industri pada 29 Julai 2010.

vii.

Mesyuarat Board of Technologist pada 6-7 Ogos 2010 yang dipengerusikan bersama oleh mantan KPPM dan mantan KSU dan juga keahlian semua TKPPM dan TKSU.

viii.

MESYUARAT POST CABINET pada 10 Ogos 2010 bertempat di aras 6, E8 KPM bersama YAB Menteri Pelajaran, YB timbalan-timbalan menteri dan semua Ketua Bahagian di KPM.

ix.

MESYUARAT PENGIKTIRAFAN DAN ARTIKULASI pada 11 Oktober 2010 di BPTV yang dihadiri oleh wakil JPA dan MQA, wakil Bahagian KPM, IPTA, wakil industri.

x.

MESYUARAT JK KHAS PERLUASAN VOCTECH KPM pada 2 Disember 2010.

xi.

MESYUARAT JAWATANKUASA PERANCANGAN PENDIDIKAN KPM pada 20 Disember 2020. (Hj Ahmad Tajudin bin Jab, 2011)

Matlamat dan Objektif Kolej Vokasional Perubahan era globalisasi masa kini menjadikan pendidikan teknik dan vokasional salah satu agenda utama negara terhadap pembangunan negara melalui visi dan misi negara iaitu Wawasan 2020 di mana pada tahun tersebut negara mencapai taraf negara maju. Merujuk kepada negara-negara maju yang lain seperti Austria, Jerman, Perancis, Australia, Jepun dan lain-lain, memperlihatkan penceburan pelajar-pelajar mereka dalam bidang teknik dan vokasional adalah tinggi. Mereka meletakkan bidang teknik dan vokasional adalah sama taraf dengan bidang akademik, namun sebaliknya berlaku di Malaysia. Berasas kepada beberapa pertimbangan tersebut, maka matlamat transformasi kolej vokasional ini adalah seperti berikut: 1. Meningkatkan standard dan kompetensi pelajar. 2. Mendapat pengiktirafan industri tempatan dan antarabangsa.

3. Memperluaskan lagi bidang voctech. 4. Penjenamaan institusi voctech. Terdapat lima objektif khusus penubuhan kolej vokasional: 1. Menghasilkan lepasan pendidikan menengah rendah yang memiliki sijil kamahiran yang diiktiraf oleh badan-badan pensijilan kebangsaan dan kerajaan. 2. Menghasilkan lepasan pendidikan menengah rendah yang bersedia melanjutkan pengajian vokasional ke peringkat yang lebih tinggi. 3. Menghasilkan lepasan pendidikan menengah atas yang memiliki sijil atau diploma yang diiktiraf oleh badan-badan pensijilan kebangsaan dan kerajaan. 4. Menghasilkan lepasan pendidikan menengah atas yang berupaya menjadi usahawan oleh badan-badan pensijilan kebangsaan dan kerajaan. 5. Memperkasakan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan transformasi pendidikan vokasional. Di puncak kejayaan transformasi PLTV ini iaitu menjelang tahun 2020, Malaysia mampu menjana ekonomi berpendapatan tinggi .

Peringkat Perlaksanaan KV di SMV (sekolah perintis) Sebanyak 78 buah sekolah menengah vokasional akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional menjelang 2013. Manakala selebihnya 10 buah sekolah menengah teknik dikekalkan. Perlaksanaan kolej vokasional ini akan dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dengan 15 buah sekolah menengah vokasional yang terpilih akan dijadikan program rintis mulai tahun hadapan, 2012. Antara 15 sekolah perintis tersebut ialah: 1. SMV Arau 2. SMV Sungai Petani 1 3. SMV Balik Pulau 4. SMV Seri Manjung 5. SMV Shah Alam

6. SMV (ERT) Setapak 7. SMV Dato Seri Mohd Zin 8. SMT Dato Lela Maharaja 9. SMV Kluang 10. SMT Muadzam Shah 11. SMV Pengkalan Chepa 12. SMV Kuala Terengganu 13. SMV Kuching 14. SMV Beaufort 15. SMV Labuan Kumpulan Sasaran Kolej Vokasional Kumpulan sasaran kolej vokasional ialah pelajar-pelajar yang melepasi Penilaian Menengah Rendah (PMR). Pelajar perlu memohon secara atas talian melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau datang sendiri ke kolej vokasional pada hari dan masa yang ditetapkan. Kumpulan pelajar tersebut yang disasarkan adalah kerana selaras dengan objektif penubuhan kolej vokasional ini yang berhasrat melahirkan pelajar yang mampu mempunyai sijil atau diploma semasa berada di menengah atas, dan seterusnya berupaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau berupaya menjadi usahawan berjaya. Kurikulum Kolej Vokasional Kurikulum kolej vokasional mempunyai 2 komponen iaitu 70% kemahiran vokasional dan 30% akademik. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan adalah seperti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi, Pertanian, Perniagaan, Hospitaliti, Sistem Sokongan Seni dan Budaya, Sains Kesihatan, Pengangkutan, Teknologi Marin dan Industri Sukan. Dalam setiap bidang pengajian yang ditawarkan, pelajar-pelajar diwajibkan untuk mengambil beberapa subjek akademik seperti

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Perniagaan (Bahasa Mandarin atau Bahasa Arab), Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Moral. Kolej vokasional akan memberi tumpuan kepada kemahiran keusahawanan, kemahiran kebolehkerjaan dan menyediakan latihan industri (On Job Training) pada beberapa peringkat pengajian. Diwujudkan juga jawatankuasa kurikulum industri bagi setiap bidang pengajian. Manakala kaedah pembelajaran di KV pula adalah secara Production Based Education (PBE), Centre Of Excellence (COE) dan School Enterprise (SE). Selain dari itu, kerjasama dan rangkaian dengan institusi negara serantau (Thailand, Indonesia, Singapura) juga turut dilakukan. Kesemua komponen yang telah diterap ke dalam kurikulum di kolej vokasional ini seharusnya mampu melahirkan pelajar yang mempunyai tahap kebolehkerjaan yang tinggi. Antara komponen-komponennya ialah keusahawanan, kemahiran insaniah, bahasa, kemahiran vokasional, teori vokasional dan pengalaman industri. Persijilan dan Pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sentiasa memastikan kurikulum di semua pusat latihan kemahiran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS). Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan diguna pakai sebagai persijilan tunggal kebangsaan bagi pendidikan teknik dan vokasional. NOSS merupakan suatu dokumen yang menetapkan tahap kompetensi yang diharapkan daripada pekerja mahir yang mendapat pekerjaan di Malaysia dalam bidang tahap pekerjaan tertentu. Kolej vokasional menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma kepada para pelajar. SKM akan dikeluarkan setiap tahun bermula dari SKM tahap satu hingga SKM tahap empat. Setelah pelajar menamatkan pengajian sehingga ke tahun empat, pihak KV akan menganugerahkan diploma yang bersamaan tarafnya dengan SKM tahap empat. Selepas memperoleh diploma, pelajar diberi peluang selama setahun lagi untuk mendapatkan SKM tahap lima atau diploma lanjutan. Pelajar lepasan KV ini mampu menggunakan pentauliahan yang diberikan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang

lebih tinggi (universiti) atau mencebur diri ke alam pekerjaan. Berikut merupakan takrif kepada setiap tahap SKM: 1) SKM Tahap 1 Terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja, sebahagian besarnya adalah lazim dilakukan dan boleh dijangka. 2) SKM Tahap 2 Terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja dalam pelbagai konteks, sebahagiannya adalah tidak lazim dilakukan serta memerlukan tanggungjawab dan autonomi diri. 3)SKM Tahap 3 Terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja di dalam pelbagai konteks, kebanyakannya adalah kompleks dan tidak lazim dilakukan. Mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang tinggi, di samping mengawal dan memberi panduan kepada yang lain. 4) SKM Tahap 4 (DKM) Terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja teknikal dan profesional yang luas skop dan konteksnya. Mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang tinggi, di samping lazim bertanggungjawab terhadap kerja orang lain dan agihan sumber-sumber. 5) SKM Tahap 5 (DLKM) Terampil menggunakan pelbagai prinsip asas dan teknik yang kompleks, di dalam skop yang luas serta selalu tidak dijangka. Mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang sangat tinggi, serta bertanggungjawab terhadap kerja orang lain dan agihan sumber-sumber. Bertanggungjawab juga terhadap analisis, diagnosis, rekabentuk, perancangan, pengendalian dan penilaian. (Jabatan Pembangunan Kemahiran, 2011) Sumber Manusia

Pelajar lepasan kolej vokasional berupaya sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (universiti) atau mendapatkan pekerjaan di sektor awam atau swasta kerana mereka telah memperoleh SKM atau diploma yang di iktiraf. Kesemua komponen yang telah diterap ke dalam kurikulum di kolej vokasional ini seharusnya mampu melahirkan pelajar yang mempunyai tahap kebolehkerjaan yang tinggi. Antara komponen-komponennya ialah keusahawanan, kemahiran insaniah, bahasa, kemahiran vokasional, teori vokasional dan pengalaman industri. Seterusnya, sumber tenaga yang kompeten dikeluarkan oleh KV membolehkan negara mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Impak Kolej Vokasional Penubuhan kolej vokasional memberi impak yang lebih besar terhadap pelajar, staf yang terlibat, masyarakat dan peringkat global. Pelajar telah diberi peluang yang lebih luas dan berfokus terhadap pendidikan teknik dan vokasional ini sebelum memasuki kolej vokasional lagi. Pendidikan Asas Vokasional (PAV) telah diperkenalkan kepada pelajar semasa di tingkatan satu, dua dan tiga di semua sekolah menengah seluruh negara. Pendidikan asas ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk meminati bidang teknik dan vokasional dan seterusnya memilih bidang yang mereka cenderung. Staf yang terlibat dalam kolej vokasional ini termasuk pentadbir, guru, dan kakitangan sokongan turut mendapat impak yang besar terhadap transformasi ini. Pihak pentadbir sesebuah kolej vokasional semestinya menjadi orang yang bertanggung jawab mentadbir urus KV dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pihak kerajaan. Manakala guru atau seseorang yang mengajar di kolej vokasional di kenali dengan nama Pegawai Latihan Vokasional (VTO). VTO adalah terdiri daripada seseorang yang pakar dan bertauliah dalam sesuatu bidang yang diajar. Kakitangan sokongan termasuk juruteknik juga terlibat dalam melicinkan pembelajaran di KV termasuklah dalam memastikan kelengkapan atau peralatan yang digunakan dalam keadaan baik dan selamat.

Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa transformasi daripada sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional ini adalah antaranya bertujuan untuk menghapuskan persepsi masyarakat yang menganggap pendidikan teknik dan vokasional ini sebagai pilihan kedua selepas bidang akademik lain. Persepsi ini akan diperbetulkan setelah melihat pentauliahan yang diberikan kepada pelajar lepasan kolej vokasional ini sehingga ke tahap diploma. Dalam Rancangan Malaysia ke sepuluh (RMK 10) juga menitik beratkan berkenaan persepsi yang tidak betul ini iaitu pihak kerajaan akan mengadakan kempen secara besar-besaran melalui pelbagai media bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan persepsi terhadap PLTV ini. Pihak kerajaan telah membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk melakukan transformasi ini. Merujuk kepada negara-negara maju yang lain seperti Austria, Jerman, Perancis, Australia, Jepun dan lain-lain, memperlihatkan penceburan pelajar-pelajar mereka dalam bidang teknik dan vokasional adalah tinggi. Mereka meletakkan bidang teknik dan vokasional pada kedudukan sama taraf dengan bidang akademik lain. Dengan terlaksananya segala program yang dirancangkan di kolej vokasional khususnya, Malaysia mampu mengorak langkah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 bersaing negara-negara maju lain seluruh dunia. Halatuju dan Prospek / Masa Hadapan KV Kolej vokasional telah menggariskan lima strategi dalam usaha mencapai matlamat dan objektif KV. Antaranya ialah seperti berikut: Strategi 1: Menyediakan kurikulum pendidikan vokasional berasaskan industri. Strategi 2: Membangunkan institusi pendidikan vokasional bagi melahirkan modal insan berkemahiran. Strategi 3: Mempergiat usaha kolaborasi dengan rakan strategik bagi memperluas akses, jamin kualiti dan tingkat kebolehkerjaan. Strategi 4: Menyediakan mekanisme pentaksiran menjurus kepada pentauliahan dan pengiktirafan. Strategi 5: Mempertingkatkan daya upaya organisasi pendidikan vokasional KPM.

(BPTV, 2011) Rujukan: Yahya Emat (2005). Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia. Petaling Jaya, Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd. Hj. Ahmad Tajudin bin Jab (2011). Konsep Kolej Vokasional. Dicapai pada November 10, 2011 daripada slide pembentangan BPTV: http://www.slideshare.net/pengetuasmtjb/konsep-kolej-vokasional-kpm Hajah Zalihar binti Abdul Ghani (2011). Seminar Perkembangan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional, Transformasi Pendidikan Vokasional. UTHM: BPTV BPTV (2011, November). Profil Bahagian BPTV. Dicapai pada November 20, 2011 dari BPTV: http://www.moe.gov.my/bptv/ Jabatan Pembangunan Kemahiran (2011, Disember). Bahagian SKM. Dicapai pada Disember 9, 2011 dari JPK: http://www.dsd.gov.my/ Nur Husna binti Abdul Wahid (2010). Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional Malaysia: Cabaran Dalam Memperkasa PLTV. Dicapai pada November 27, 2011 di http://www.scribd.com.doc/40205360/memperkasa-pendidikan-teknik-danvokasional-malaysia-dalam-era-globalisasi Khairul Anwar bin Sharin dan Anas Syafik bin Zulkipli (2011). Sejarah Perkembangan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia. Dicapai pada November 27, 2011 di http://www.scribd.com/doc/47928732/SEJARAH-PERKEMBANGANPENDIDIKAN-TEKNIK-DAN-VOKASIONAL-DI-MALAYSIA