Anda di halaman 1dari 2

Ketika aku menjumpainya aku tidak dapat berkata apa-apa. Aku memandang ke kiri ke kanan.

Ke mana mana sahaja untuk mencari siapakah yang telah meninggalkan nya di situ. Mengapa dia meninggalkannya di situ. Milik siapakah. Aku mencuba melihat persekitaran. Daun daun yang bergeseran berbisik-bisik tetapi aku bukan daun yang boleh memahami bahasa mereka. Aku cuba menyapa pepasir yang ada di situ. Mereka melagukan jawapan yang sama seperti daun. Siapa yang sampai hati tinggalkan kakinya di sini Sepasang kaki ? bukan sebelah sahaja kaki di tinggalkan di sini. Aku mahu mencari pemilik kaki tersebut. Kaki yang cantik, jinjang, tetapi ditinggalkan begitu sahaja oleh tuannya. Menjadi misteri kepada sesiapa sahaja yang menjumpai kaki itu. Masalahnya yang menemui kaki itu ialah aku. Kaki itu kelihatan masih boleh digunakan lagi. Masih elok. Tetapi aku tak akan menggunakannya kerana aku masih mempunyai kaki. Aku tidak mahu mempunyai kaki tiga. Kaki aku yang dua ini pun belum tentu dapat aku jaga. Mahu pula ditambah dengan seketul? kaki lagi. Aku tak tahu. Aku bingung melihatkan kaki itu. Mengapa pemilik kaki itu meninggalkan kakinya di situ. Mungkin dia sudah ada kaki baharu, lalu dia meninggalkan kaki lamanya di situ. Persoalan yang bermainmain difikiran aku tentang kaki tersebut masih menjadi persoalan. Mungkin tidak perlu jawapan jika aku tidak menemui kaki itu. Jadi aku judulkan cerpen yang akan aku tulis nanti ...Milik Siapapakah Kaki Ini? Adakah editor yang mahu menerima cerpen yang judulnya begitu. Habis itu apa tajuknya? Sebelah kaki ditemui di pantai , lalu menjadi persolan besar kepada orang yang menemuinya. Orang itu seorang penulis yang mahu kaki kaki itu berada di tempat yang sepatutnya. Penulis itu akulah. Bagaimana dengan tuan punya kaki itu? Bagaimana dia berjalan sekarang? Adakah dengan sebelah kaki atau ... atau dia sudah bosan dengan kakinya yang tinggal sebelah itu lalu dia membuang terus kakinya. Buat apa dengan sebelah kaki. Lebih baik kalau tidak berkaki langsung. Jimat belanja. Tidak perlu membeli seluar atau kasut. Lagi pun mana ada pekedai yang mahu menjualkan hanya sebelah kasut sahaja kepada pemilik kaki itu. Pemilik kaki itu pula sudah tentu tidak mahu membeli sepasang kasut. Buat apa beli sepasang kasut sedangkan kakinya hanya sebelah. Angin pantai yang meniup lembut membawa aku ke sebuah hikayat lama, anak raja yang mahu mencari tuan punya kasut yang tertinggal dalam satu majlis tari menari. Itu anak raja, aku bukan anak raja. Tambahan pula tak mungkin tuan punya kaki itu hadir dalam majlis tari menari. Mungkin ada orang menari dengan sebelah kaki, tetapi satu dalam sejuta mungkin. Lalu kaki itu masih ku simpan kerana kaki itu masih cantik, kemas, menggoda orang yang melihatnya. Mana tahu jika ada orang lain yang berkaki satu, lalu memerlukannya, aku akan memberikan percuma kepadanya. Tetapi padankah dengan tuan punya kaki yang baru itu. Nanti kakinya panjang sebelah, lalu berjalan terdengkut-dengkut, menyebabkan air yang dibawa oleh tuan punya kaki itu tumpah.

Tidak. Aku tidak jadi memberi kepada siapapun kaki itu. Aku mahu mencari siapa pemilik kaki itu. Daripada raut kaki itu aku amat pasti tuan punya kaki itu seorang yang jelita? Perempuankah dia? Sebab kaki itu masih belum berupaya menunjukkan pemilik asalnya seorang lelaki atau wanita. Mengenal jantina kaki. Itu suatu lagi masalah yang kini dihadapi. Kaki yang aku temui itu berbalut kemas. Sangat kemas, melambangkan kekemasan pemiliknya. Orang yang kemas mungkin sahaja lelaki, mestilah, siapa kata lelaki tidak kemas. Jangan jangan pemilik kaki itu seorang ****** . Sebab ****** juga biasanya seorang yang kemas. Kaki, kaki.... siapa mahu kaki? Aku menjaja kaki itu di sepanjang pantai. Aneh. Pantai itu tidak berorang. Mereka semua ke mana? Sibuk bermain facebook barang kali. Zaman ini orang lebih suka berfacebook daripada mendengar seorang yang mahu menjual kaki. Kini salah satu kerjaya aku ialah penjual kaki. Seronok juga bila ada orang bertanyakepada ibu ku. Apa kerja anak kamu itu, kalau sesuai mahu aku jadikan menantu. Oh... dia seorang Penjual Kaki. Jawatan yang menarik juga, tetapi mampu kah dia menyara anak gadis saya dengan menjual kaki. Berapa banyak kaki yang telah dijual. Kalau ada satu mahu juga aku membeli buat menggantii kakiku yang sudah buruk akibat kencing manis ini. Tetapi aku tidak mahu jika anak kamu itu menjual kaki botol atau kaki bangku atau kaki ayam. Ha ha, ibu ku tertawa sambil menepuk nyamuk di kakinya. Sedang aku meneruskan perjalanan mencari tuan punya kaki itu, tiba-tiba aku ternampak seorang ibu yang menangis kesedihan. Katanya anaknya baharu sahaja ditimpa kemalangan. Tangannya putus akibat dilanggar oleh kenderaan. (?) aku mendapati suatu mentol menyala di atas kepalaku... idea... mak Cik ... mungkin saya dapat tolong. Saya ada satu kaki untuk menggantikan tangan anak makcik itu, makcik jangan bersedih. Ha... kaki? Iya lah jawabku. Akupun menunjukkan kaki tersebut untuk disambung pada tangan anak makcik yang putus itu. Terima kasih nak... budi baik anak hanya Tuhan sahaja yang membalasnya. Kini aku melihat anak makcik itu sudah mula menggunakan kaki tersebut untuk makan, menulis dan bersalaman dengan orang ramai. Tetapi makcik itu mula mengesan suatu keganjilan apabila anaknya mula mengorek lubang hidung menggunakan kaki tersebut. Tak jadi lah nak, ambil semula kaki itu. Kamu carilah tuan punya yang sebenar. Lucu benar apabila melihat anak makcik mengorek lubang hidung dengan kaki. Aku tidak putus asa. Aku pasti akan menemukan pemilik kaki. Aku berehat sebentar untuk mencari destinasi yang sesuai membawa kaki nan satu itu demi menyelesaikan siapakan pemilik misteri kaki tersebut. Biarlah aku meneruskan perjalanan walaupun aku tahu jika aku menemu pemilik kaki tersebut ketika itu aku mungkin sudah pun berusia dan jika kebetulan kaki itu aku perlukan, maka izinkan aku menggunakan kaki itu untuk menyambung perjalanan hidupku. Aku berehat sebentar walaupun ada tiga kaki, tetapi nampaknya lebih penat daripada ada dua kaki. Mohon istirahat.