Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA DALAM MAJLIS PENUTUPAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN PUISI DAN LAGU DAERAH JELEBU

2012

Puisi merupakan medium penting yang berseni dan mempunyai daya tarikan serta mempunyai peminatnya tersendiri. Melalui penyampaian puisi khususnya sajak, seseorang penyair dapat melontarkan rasa hati melalui berbicara secara langsung dan tak langsung ke hati khalayak masyarakatnya bagi memperkembangkan semangat patriotisme. Hal ini membolehkan para pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan sebagaimana yang dihasratkan oleh kepemimpinan negara kita. Perkembangan puisi Melayu moden sudah memasuki lebih enam dekad. Puisi moden atau sajak adalah genre kesusasteraan yang popular dalam kalangan penyair Malaysia. Sebelum puisi moden berkembang luas, masyarakat Melayu sudah begitu akrab dengan puisi lama seperti pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah dan petitih. Namun, sejak kehadiran puisi Melayu moden dalam dunia kesusasteraan Melayu telah membawa pengayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa Melayu kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajaran. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Setiap menjelangnya bulan Ogos, penyair sering menulis puisi khususnya sajak bertemakan kemerdekaan dan rasa cinta terhadap tanah air. Sejak tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957 ratusan puisi dengan semangat patriotisme, cinta akan negara dan mengingat kembali pahit getir perjuangan menegakkan kemerdekaan menjadi semarak dalam puisi. Sebenarnya, peranan puisi terutamanya puisi Melayu moden dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina modal insan yang menjadi aspirasi setiap warga di bumi yang bertuah ini. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Tegasnya, puisi memiliki kekuatan untuk menginsankan manusia dan seterusnya menterjemahkan roh perjuangan anak bangsa untuk memartabatkan maruah negara dalam era dunia tanpa sempadan.

Memetik kata-kata Thomas Eliot, puisi sejati berkomunikasi sebelum dimengerti. Manakala menurut Wordsworth, puisi adalah teater, cara terbaik dalam susunan terbaik. Menurut A. Teeuw membaca dan menilai sastera mestilah mempunyai hubungan erat dengan ilmu bahasa dan ilmu sastera. Oleh sebab itu, penjelmaan bahasa yang khas ini tidak mungkin kita fahami sebaik-baiknya. Fungsi sastera atau fungsi puisi khususnya sajak dianggap salah satu fungsi bahasa antara beberapa fungsi lain, dan membawa definisi puitis. Puisi mempunyai peranannya yang tersendiri sejak dahulu lagi. Jika dahulu puisi lama seperti pantun dan syair memainkan peranan menyampaikan hasrat dan falsafah dalam masyarakat. Kini, puisi baharu iaitu sajak menjadi wahana penyampaian pemikiran yang berkesan. Sekadar ini sahaja yang dapat kita berkongsi maklumat berkaitan dengan puisi, khususnya sajak dalam melestarikan martabat bahasa kita dalam mengharungi cabaran global. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Puisi dan Lagu Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Daerah Jelebu Tahun 2012. Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.