Anda di halaman 1dari 6

Zikri, andaikan kau seorang selebriti .

Apakah bakti yang akan kau curahkan kepada tanah air yang banyak berjasa ini? Saya memang gemar bermonolog sendirian.Biasanya sesi bermonolog ini subjeknya ringan dan santai. Tapi sesi monolog kali ini sememangnya menduga minda. Otak berfikir ligat. Seingat saya , selebriti pada definisinya membawa erti orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai terutamanya dalam bidang hiburan seperti bintang filem , pelakon dan penyanyi. Kalau segah itulah definisinya, manusia mana yang tak mahu bergelar seorang selebriti? Memetik hujah Faisal Tehrani dalam bukunya, Tuhan Manusia,katanya setiap manusia atas muka bumi ini gila akan harta , pangkat dan darjat. Saya bersetuju benar , cumanya terpulang kepada manusia itu untuk menggunakan gilanya untuk untung dia seorang atau untung bersama semua orang. Justeru,apakah sebenarnya yang boleh saya lakukan untuk memberi untung kepada Malaysia jika saya menjadi seorang selebriti? Pertama-tamanya saya akan menghasilkan karya patriotik yang sarat dengan mesej cinta akan negara. Usaha sebegini pada pandangan saya adalah sunnah. Kalau waktu Islam itu masih berdagang sifatnya, para pejuangnya diperdengarkan dengan qasidah dan puisi indah yang penuh puitis dan patriotik. Mereka terkesan, lalu penuh semangat berjuang atas nama menegakkan panji kegemilangan Islam. Sama juga halnya dengan perjuangan nasionalisme di negara kita. Tamsilnya, novel Anak Mat Lela Gila karya Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako yang sarat dengan kritikan sosial dan kesedaran membina negara merdeka. Dalam usaha menghasilkan karya patriotik, saya akan berganding bahu dan bersatu hati dengan golongan muda waima tua bagi memberikan impak pada takat maksimum.

Seterusnya, saya akan menghidupkan kembali prosa-prosa tradisional yang menjadi warisan bangsa sejak turun temurun. Masyarakat dinihari makin memandang enteng warisan nenek moyang kita ini. Berpegang kepada prinsip kalau bukan kita siapa, kalau bukan sekarang bila? saya berasa cukup terpanggil untuk memulakan gerak kerja memartabatkan prosa tradisional negara. Pementasan teater, percetakan semula dan sesi dialog yang menjadikan prosa tradisional sebagai tunjang utama akan saya usahakan. Saya yakin dan pasti, andai prosa-prosa tradisional kembali dekat dengan sanubari masyarakat, maka akan bertambah teguh dan mapanlah jati diri mereka. Negara juga akan turut terkesan dek keteguhan jati diri rakyatnya. Negara akan dianggap berjaya oleh masyarakat dunia dalam idea mengekalkan jati diri seiring arus perubahan semasa. Hal ini bertepatan dengan salah satu objektif utama Wawasan 2020 yang menyatakan impian mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Selanjutnya, saya akan menjaga identiti negara pada setiap masa. Seyogianya sebagai titik tumpu orang ramai, seorang selebriti perlu sentiasa menjaga adab dan tatasusila di hadapan khalayak. Saya rasakan sudah menjadi kewajipan untuk saya sentiasa berbudi pekerti mulia dan memelihara keindahan nilai ketimuran pada segenap masa dan ketika. Seandainya saya mengikuti sebarang program atau pertandingan yang dilangsungkan di luar negara, pastinya saya akan memperlihatkan ketinggian moral dan akhlak yang terpuji. Hal ini bagi memastikan nama negara kekal harum dan tidak tercemar dengan fiil buruk saya seorang. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Dalam konteks pertandingan, sekiranya sudah suratan untuk saya tidak memenanginya saya tidak akan sesekali berputus harap malah akan bersyukur atas peluang yang diberi untuk memperlihatkan bakat dan kemampuan serta keindahan budaya timur yang sudah sebati dalam diri.

Di samping itu, saya akan mengubah tanggapan negatif orang ramai terhadap seni. Secara retrospektifnya, seni dari dahulu lagi dianggap kerjaya yang tidak menguntungkan dan mereka yang berkecimpung dalam arena seni dilabelkan sebagai golongan dangkal yang hanya membazirkan harta , masa dan hidup mereka. Pandangan itu kini berubah tapi masih ada unsur negatifnya. Anak seni kini dianggap manusia yang tidak bermoral dan hanya bersifat materialistik. Saya berasakan bahawa pandangan ini sekiranya tidak diperbetulkan segera maka akan wujud konflik dan krisis dalam arena seni tanah air. Oleh yang demikian, saya akan mengambil prakarsa mudah namun efektif dengan cara merakyatkan seni. Aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti gotong-royong , sukaneka dan rumah terbuka akan mendapat penglibatan aktif daripada golongan seni. Apabila semangat muhibah begini terjalin maka akan lenyaplah segala prasangka buruk masyarakat terhadap golongan seni. Terngiang-ngiang pula suara lunak seniwati Saloma yang menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru. Dalam bait-bait penuh makna itu terselit mesej buat semua, bukan sekadar buat si raja sehari, iaitu hidup mestilah rukun. Ya,itulah hakikat sebenar hidup, rukun dan damai. Selain itu, tiadalah gunanya pengaruh yang saya miliki sebagai seorang selebriti jika tidak dimanfaatkan untuk negara. Saya turut berhajat untuk berbakti kepada negara dengan metode membantu pertumbuhan ekonominya.Hajat ini akan saya lunaskan dengan cara menjadi duta produk-produk keluaran tempatan. Saya berpendapat bahawa sekiranya sering dipromosi dan diwara-warakan, barulah produk-produk anak watan ini akan mendapat sambutan memberangsangkan. Bukankah pepatah sendiri ada menyebut, tak kenal maka tak cinta ? Saya juga akan memberikan tumpuan khusus kepada sektor pelancongan negara. Hal ini sedemikian kerana seperti mana yang umum ketahui, pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya

berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Pelancongan inap desa akan diberi penekanan kerana pada saya, kehidupan di desa yang serba aman dan menepati fitrah manusia yang senantiasa dahagakan ketenangan pastinya menggamit kedatangan pelancong dari dalam mahupun luar negara. Tambahan lagi, saya akan berbakti kepada masyarakat melalui kegiatan seni secara amal. Konsert amal untuk mengumpul dana membasmi kemiskinan atau membantu mangsa yang dilanda musibah alam akan amat saya titikberatkan. Saya menjalankan semua ini atas dasar kepercayaan teguh saya kepada pendapat Thomas Hardy , seorang pujangga barat yang dipetik pernah berkata, Kita melihat kebahagiaan itu seperti pelangi, tidak pernah berada di atas kepala kita sendiri tetapi selalu berada di atas kepala orang lain. Dalam masa yang sama, saya rasakan inilah waktu yang sesuai untuk mengadakan jalinan usahasama dengan selebriti luar negara. Jalinan kerjasama yang sebegini amat diperlukan dalam arena seni tanah air kerana bukan sahaja dapat menghangatkan lagi iklim seni tempatan,malah mampu menambah nilai estetika seni melalui percambahan idea dari luar. Kepelbagaian yang sebegini sememangnya sudah lama dinanti-nantikan peminat seni tempatan. Dalam menelusuri kegemilangan hidup selebriti , saya tidak akan melupakan tanggungjawab kepada negara. Saya akan berusaha pula melahirkan lebih ramai lagi anak seni yang berjaya. Bertitik tolak dari itu, saya akan menubuhkan akademi seni. Akademi seni ini tiadalah lain tujuannya melainkan untuk melahirkan bakat seni yang berjati diri , berintegriti dan berkarisma. Tiada gunanya kita berbangga dengan seni tanah air andai semuanya celupan hedonisme barat. Melalui akademi ini saya akan membentuk selebriti yang mempunyai suri teladan yang baik dan mampu dianggap sebagai pejuang bangsa. Mereka juga akan sentiasa diberi peringat dan motivasi agar sentiasa menjadikan budaya bangsa dan adat timur sebagai gaya hidup sehari-hari.

Lantaran itu, tidak akan timbul lagi isu selebriti yang bejat akhlaknya dan terlampau kebaratan fiilnya. Sebagaimana kata bapa revolusi Indonesia , Soekarno, Bangsa yang tidak percaya akan kekuatan diri tidak dapat berdiri sebagai bangsa merdeka. Saya juga akan mengangkat imej selebriti yang dilahirkan negara dengan menjadi selebriti berilmu. Saya percaya dengan ilmu , bermacam-macam lagi manfaat dapat saya berikan kepada negara. Menuntut ilmu juga mendatangkan kepuasan jiwa yang sejati kerana ilmu itu membuka pandangan seseorang terhadap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Orang yang bijaksana sememangnya dihormati dan dipandang tinggi masyarakat. Oleh hal yang demikian saya akan memanfaatkan sepenuhnya kelompangan waktu yang ada untuk mengejar ilmu pengetahuan. Apabila menjadi selebriti yang berilmu, saya sudah semestinya mempergunakan ilmu yang ada untuk sumbang saran pembangunan negara. Kepercayaan agama menjelaskan bahawa manusia makhluk yang termulia darjatnya di dalam dunia. Para penganut setiap agama mempercayai bahawa orang beragamalah yang paling mulia. Lantas, sebagai seorang muslim, saya juga percaya setiap manusia itu merupakan khalifah di atas muka bumi Illahi ini. Lantaran itu, saya akan mencurahkan bakti dengan cara menyebarkan dakwah agama rasmi negara ini melalui kerja seharian. Saya akan bergiat secara langsung mahupun tidak langsung dalam gerakan dakwah di negara ini. Melalui agama, setiap jiwa akan sedar akan tujuan hakiki kehidupan kita di dunia ini. Maka akan berkuranglah gejala sosial dan kebejatan moral dalam kalangan masyarakat dinihari.

Teringat pula saya pada pesan ayah, Orang yang bijak sentiasa membantu orang lain menjadi bijak. Dalam menelusuri jalan gemilang hidup seorang selebriti, saya tidak akan culas dalam mengimplimentasikan pesan ayah. Berkat rezeki yang ada akan akan saya manfaatkan dengan membina yayasan sendiri. Yayasan tersebut ditubuhkan atas dasar membantu anak watan yang kurang berkemampuan dalam mengejar impian mereka. Bantuan dari aspek kewangan dan khidmat nasihat diberi keutamaan. Mereka yang berpotensi untuk menyambung pelajaran ke luar negara akan ditanggung penuh perbelanjaannya. Pada hemat saya, apalah salahnya kalau kita menanggung susah dalam usaha membantu melahirkan modal insan yang berilmu dan berintegriti andai hal ini akan mendatangkan untung kepada semua. Masakan tidak untung? Saya percaya mereka-mereka inilah yang akan memacu pembangunan negara pada masa hadapan dengan jalur fikir dan gagasan idea yang kreatif dan kritis. Sebagai intiha, sudah terang lagi bersuluh bahawa sebagai seorang selebriti, terdapat berbagaibagai metode yang boleh dilaksanakan untuk mencurah bakti kepada tanah air.Selebriti seharusnya memanfaatkan setiap ruang dan peluang dalam membantu memacu pembangunan negara yang dinamik. Dengan hal yang demikian, ingin saya tegaskan bahawa tiada golongan yang lebih tanjak dalam membantu pembangunan negara melainkan insan yang bergelar selebriti. Sebagai akhir kalam, ingin saya nyatakan kata-kata hikmah daripada salah seorang pejuang hak golongan kulit hitam yang amat masyhur di bumi Amerika Syarikat, Martin Luther King. Katanya , Apa-apa pun tugas hidup anda, lakukanlah dengan baik. Seseorang itu harus melakukan pekerjaannya sebaik mungkin sehingga mereka yang masih hidup, yang sudah meninggal dunia, dan yang belum lahir tidak mampu melakukannya dengan lebih baik lagi. Kata-kata penuh makna ini akan saya pegang walaupun impian menjadi selebriti sudah berada dalam genggaman!

Anda mungkin juga menyukai