Anda di halaman 1dari 5

Pembentukan Negara Dan Bangsa Malaysia : Satu Perjuangan Yang Masih Belum Selesai

Persoalan negara bangsa dan bangsa Malaysia menarik perhatian pelbagai pihak selepas bekas
perdana menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakannya pada
tahun 1991. Dalam ulasannya terhadap Wawasan 2020, beliau menegaskan bahawa dalam usaha
menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kita perlu berusaha ke arah
membentuk sebuah masyarakat yang liberal dan bertolak ansur tetapi pada masa yang sama
bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan pegangan agama masing-masing. Walaupun begitu,
rakyat Malaysia perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara. Reaksi
masyarakat terhadap konsep negara bangsa mahupun bangsa Malaysia kerap menimbulkan
pelbagai perbahasan yang menarik. Dari segi konseptual, ada yang menganalisis ‘bangsa
Malaysia’ secara legalities dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ manakala
ada yang melihatnya sebagai ‘ras’. Abdul Rahman Embong ( 2006 ) dalam Negara-Bangsa:
Proses dan Perbahasan mendefinisikan bangsa sebagai satu komuniti politik yang terbentuk
dalam sejarah yang ditautkan melalui perkongsian wilayah, budaya dan bahasa serra perasaan
sebangsa. Beliau turut membicarakan perbezaan pengalaman pembinaan negara bangsa di
Eropah dengan Malaysia.

Namun begitu, pembentukan negara bangsa di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru.
Proses ke arah itu, dikatakan telah bermula sejak era penjajahan British. Perubahan dasar British
selepas Perang Dunia Kedua dilihat sebagai titik tolak apabila Malayan Union diperkenalkan
pada tahun 1946. Di mana salah satu objektif Malayan Union ialah mewujudkan satu bangsa
ngkewarganegaraan berlandaskan prinsip ‘jus soli’ iaitu kerakyatan berdasarkan tempat kelahiran
diperkenalkan. Ini membolehkan semua warga asing yang dilahirkan di Tanah Melayu atau
Singapura serta mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di sana untuk
tempoh 10 daripada 15 sebelum 15 Februari 1942 mendapat kerakyatan mereka secara
automatik. Penentangan yang berterusan daripada orang Melayu serta sokongan yang berbelah
bagi daripada golongan imigran memaksa British untuk menggantikan Malayan Union dengan
Persekutuan Tanah Melayu 1948. Dalam kompromi Inggeris – Melayu, British bersetuju dengan
pembentukan sebuah kerajaan pusat yang kuat dan dipertanggungjawabkan ke atas semua
perkara yang penting termasuklah soal pembangunan, kebajikan , kerakyatan dan sebagainya.
1
Namun begitu, kuasa serta kedaulatan raja-raja Melayu dikembalikan dan kepentingan orang
Melayu terus dilindungi oleh British. Ia bertujuan mengelakkan orang Melayu menentang British
secara kekerasan dan pada masa yang sama timbul kekhuatiran akan tersebar pengaruh komunis
di kalangan orang Melayu.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mendapat reaksi negatif daripada
masyarakat imigran termasuklah AMCJA yang telah melancarkan hartal kerana beranggapan
perlembagaan baru itu menafikan hak golongan tersebut. Ia menyaksikan wujudnya kerjasama
antara kaum yang pertama dalam politik negara. AMCJA telah membentuk pakatan dengan
PUTERA, sebuah parti haluan kiri yang dianggotai oleh parti-parti radikal seperti PKMM, API
dan Awas. Perlembagaan Rakyat yang terdiri daripada 10 prinsip telah diluluskan pada April
1947 (James P. Ongkili. 1985, 63). Ia menampilkan konsep bangsa iaitu bangsa Malaya yang
terdiri daripada semua kaum yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya serta
menunjukkan taat setia terhadapnya. Namun begitu, British enggan berunding mahupun
mengiktiraf kerjasama AMCJA-PUTERA yang didalangi oleh PKM. Lantaran itu, British kekal
dengan persetujuan yang dicapai hasil rundingan dengan UMNO dan Raja-Raja Melayu.
Perlembagaan Persekutuan 1948 yang dilaksanakan pada Februari 1948 dan kemerdekaan Tanah
Melayu menjelang 31 Ogos 1957 telah merancakkan lagi usaha ke arah pembentukan negara
bangsa. Permuafakatan politik yang terbentuk antara UMNO – MCA – MIC bukan sekadar
mempercepatkan lagi proses kemerdekaan tetapi telah berjaya membentuk satu gandingan yang
mantap dan seterusnya menerajui negara ke satu dimensi politik yang baru.

Pembentukan Perlembangan Tanah Melayu 1957 hasil daripada tolak ansur kaum
membuktikan bahawa Tanah Melayu berada di landasan yang tepat dalam usaha membentuk
sebuah negara bangsa yang dikongsi bersama. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1957 telah mengambil kira pelbagai aspek yang melibatkan kepentingan kaum yang
berbeza. Di mana konsep negara bangsa turut didefinisikan dalam Perlembagaan 1957 yang
menekankan sekurang-kurangnya tiga elemen utama yang dapat menjelaskan sfat dan ciri
‘bangsa Malaysia’ iaitu berkaitan dengan kewarganegaraan, taat setia yang tidak berbelah bagi
kepada negara serta penguasaan terhadap Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan (Berita.
Harian. 12 Nov. 2008 ). Suruhanjaya Reid telah dipertanggungjawabkan dalam merangka sebuah
2
perlembagaan baru untuk Tanah Melayu. Ia telah menerima pelbagai pandangan, cadangan serta
bantahan dari pelbagai pihak dan memberi penekanan kepada beberapa aspek yang penting
termasuklah soal kewarganegaraan, kedaulatan sultan Melayu, kedudukan agama Islam, Bahasa
Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Proses pembentukan negara bangsa itu, tidak terhenti di situ tetapi terus dimantapkan
dengan pembentukan Malaysia pada September 1963 dengan kemasukkan Singapura, Sabah dan
Sarawak. Penggabungan tersebut telah membawa kepada satu perkembangan politik yang tegang
dan diwarnai oleh sentimen-sentimen perkauman yang teramat sempit. Pemimpin PAP yang
lantang memperjuangkan konsep negara ‘Malaysia-Malaysian’ dan secara terus terang
mengkritik kedudukan orang Melayu serta kuasa raja-raja Melayu ternyata mengenepikan
kontrak sosial yang telah dipersetujua sebelum ini. Ia terterusnya mengakibatkan penyingkiran
Singapura pada tahun 1965 namun begitu, bibit-bibit perkauman yang tercetus masih belum
mampu diredakan. Pilihan Raya Umum 1969 yang menyaksikan kehadiran DAP dan Gerakan
terus meniup sentimen perkauman apabila meneruskan perjuangan PAP yang mendesak
persamaan politik, ekonomi dan sosial bagi semua. Senario politik negara yang tidak menentu
serta sarat dengan unsur-unsur perkauman telah mencetuskan rusuhan kaum sejurus Pilihan Raya
Umum 1969 yang mengakibatkan parlimen digantung dan undang-undang darurat diisytiharkan.
Tragedi berdarah itu dilihat merencatkan proses pembentukan negara bangsa di Malaysia. Di
mana kepentingan diri serta sikap curiga antara satu masa lain dilihat melebihi kepentingan
negara dan seterusnya membantutkan usaha pembentukan negara bangsa mahupun bangsa
Malaysia.

Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang kemudiaan dimantapkan lagi
dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan
wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak gagal merealisasikan konsep ‘ Satu Negara Satu
Bangsa’. Ia jelas apabila kita masih dihantui pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman
walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan yang ke-51. Di mana masyarakat masih terikat
dengan identiti kaum masing-masing dan tidak wujud sebarang usaha yang proaktif ke arah

3
mewujudkan satu kesamaan di kalangan rakyat pelbagai kaum. Lantaran itu isu negara dan
bangsa Malaysia masih menjadi wadah yang kerap didebatkan oleh ahli politik dan juga
golongan akademik. Namun begitu, kesamaran terhadap kontroversi tersebut masih gagal
dirungkai. Justeru itu, ia hanyalah dilihat sebagai retorik semata-mata memandangkan tiada
usaha yang berterusan atau yang benar-benar ikhlas bagi menjayakan wawasan tersebut.

Isu negara dan bangsa Malaysia kerap dilihat dengan penuh prejudius di mana wujud
tanggapan bahawa ia merupakan kesinambungan daripada aspirasi perjuangan Parti PETIR
( PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang perjuangkan konsep ‘Malaysian-Malaysia’ dan menuntut
persamaan hak politik, ekonomi serta sosial bagi semua kaum tanpa mengira kaum. Dasar
tersebut jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan menimbulkan ketegangan
hubungan antara kaum. Kesinambungan perjuangan itu diteruskan oleh Parti Tindakan
Demokratik ( DAP ) selepas penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Oleh yang
demikian konsep bangsa Malaysia dianggap sebagai satu muslihat yang bertujuan merampas hak
serta keistimewaan orang Melayu dan ia ditentang kerana mencabuli Perlembagaan Malaysia
yang telah dipersetujui semua pihak semasa kemerdekaan. Ini seterusnya membawa kepada
cadangan bahawa pembentukan negara bangsa perlu selaras dengan perlembagaan negara yang
secara jelas memperuntukkan beberapa keistimewaan kepada orang Melayu dan ia seharusnya
tidak boleh dipertikai atau dipinda tanpa persetujuan 2/3 ahli parlimen serta perlu mendapat
keizinan Majlis Raja-Raja Melayu. Perkara-Perkara yang termaktub dalam fasa 153 yang
menyentuh kedudukan serta kebesaran Raja-Raja Melayu, hak keisitmewaan oarng melayu,
agama Islam serta peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dihormati ( Utusan
Malaysia. 17 Oktober 2008 ). Ia penting bagi memastikan asas pembentukan negara terpelihara
dan tidak menimbulkan kegusaran dan kereshan di kalangan rakyat jelata.

Dalam mengulas Gagasan Bangsa Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk
Seri Najib Razak yakin usaha ke arah itu mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat bersedia
mengubah persepsi dan minda mereka ( Berita Harian. 26. Mei 2008). Ia bakal menjadi
kenyataan kalau semua rakyat mengenepikan soal warna kulit, agama, keturunan dan budaya

4
sebaliknya menekankan pentingnya kerjasama serta perpaduan demi kemajuan serta kestabilan
bersama.

Pembentukan negara bangsa dan bangsa Malaysia merupakan satu perjuangan yang
masih belum selesai. Pelbagai persoalan yang perlu diungkai dan ia memerlukan komitmen dari
semua pihak bagi menjayakan wawasan tersebut. Namun begitu, ia bukan sesuatu yang mudah
memandangkan kewujudan masyarakat majmuk dan budaya politik perkauman yang masih
mengongkong perkembangan negara.

Anda mungkin juga menyukai