Anda di halaman 1dari 5

Selasa, Januari 27, 2009

PROSEDUR UNTUK MENENTUKAN PEMENANG SESUATU PERLAWANAN


Jaringan gol di tempat lawan, masa tambahan dan membuat sepakan dari tanda penalti adalah cara-cara untuk menentukan pasukan pemenang di mana peraturan pertandingan berkehendakkan sesuatu pasukan itu sebagai pemenang setelah perlawanan berakhir dengan seri. Jaringan Gol Di Tempat Lawan Peraturan pertandingan boleh membuat peruntukan di mana pasukan-pasukan bermain sesama sendiri di tempat sendiri dan di tempat lawan, dan jika jaringan gol adalah sama selepas perlawanan kedua, maka gol yang dijaringkan di padang pasukan lawan akan dikira berganda. Masa Tambahan Peraturan pertandingan boleh menentukan lanjutan dua bahagian tempoh masa yang sama, tiaptiap sebahagian tidak melebihi 15 minit untuk dimainkan. Syarat-syarat Undang-undang 8 hendaklah dipatuhi.

Sepakan Dari Tanda Penalti Prosedur Pengadil memilih gol untuk sepakan dibuat. Pengadil membuat lentingan syiling dan pasukan yang Ketua Pasukannya menang lentingan akan menentukan sama ada untuk membuat sepakan pertama atau sepakan kedua. Pengadil membuat catatan berkaitan sepakan-sepakan yang dibuat. Tertakluk kepada keadaan-keadaan yang diterangkan di bawah, kedua-dua pasukan akan membuat lima sepakan. Sepakan dibuat berselang-ganti oleh pasukan-pasukan itu. Jika, sebelum kedua-dua pasukan membuat lima sepakan, satu pasukan telah memperolehi lebih jaringan daripada pasukan lawannya walaupun jika kedua-duanya menyempurnakan bilangan lima sepakan itu, maka sepakan dari tanda penalti itu tidak perlu diteruskan. Jika, setelah kedua-dua pasukan membuat lima sepakan, jaringan oleh kedua-dua pasukan itu adalah sama atau belum membuat jaringan, sepakan adalah diteruskan mengikut urutan yang sama sehingga salah satu pasukan memperolehi lebih jaringan daripada pasukan lawan setelah jumlah sepakan yang sama dibuat. Penjaga gol yang cedera semasa sepakan dari tanda penalti dibuat dan tidak berupaya untuk meneruskan tugasnya sebagai penjaga gol boleh digantikan oleh pengganti yang dinamakan

dengan syarat pasukannya belum membuat bilangan maksimum penggantian yang dibenarkan mengikut peraturan pertandingan. Kecuali apa yang dinyatakan di atas, hanya pemain yang berada di dalam padang permainan pada tamat perlawanan, termasuk masa tambahan jika ada, dibenarkan membuat sepakan dari tanda penalti itu. Tiap-tiap sepakan adalah dibuat oleh pemain berlainan dan semua pemain yang layak mestilah membuat sepakan sebelum mana-mana pemain dibenarkan membuat sepakan kedua. Mana-mana pemain yang layak boleh bertukar tempat dengan penjaga gol pada bila-bila masa semasa sepakan dari tanda penalti dibuat. Hanya pemain-pemain yang layak dan pegawai-pegawai perlawanan dibenarkan berada di atas padang permainan semasa sepakan dari tanda penalti dibuat. Semua pemain mestilah berada di dalam bulatan tengah padang kecuali, pemain yang sedang membuat sepakan dan kedua-dua penjaga gol. Penjaga gol yang sepasukan dengan penyepak mesti berada di dalam padang permainan, di luar kawasan penalti di mana sepakan dibuat, atas garisan gol yang bertemu dengan garisan sempadan kawasan penalti. Kecuali dinyatakan sebaliknya, Undang-undang Permainan yang berkenaan dan keputusankeputusan Lembaga P.B. Antarabangsa adalah dikuatkuasakan semasa sepakan dari tanda penalti dibuat. Apabila suatu pasukan menamatkan perlawanan dengan bilangan pemain yang lebih dari pasukan lawannya, mereka mestiah mengurangkan bilangan pemainnya untuk menyamai pasukan lawan dan ketua pasukan mestilah memberitahu Pengadil nama dan nombor pemain yang dikeluarkan. Sebelum sepakan dari tanda penalti dibuat Pengadil hendaklah memastikan kedua-dua pasukan mempunyai bilangan pemain yang sama berada di dalam kawasan bulatan tengah dan mereka sajalah yang dikehendaki membuat sepakan.

Selasa, Januari 27, 2009


KAWASAN TEKNIKAL

Kawasan teknikal boleh berbeza di antara satu stadium dengan yang lain, seperti saiz dan lokasinya, dan nota-nota berikut dikeluarkan untuk panduan am. Kawasan teknikal menganjur keluar 1 meter (1 ela) dari tiap-tiap sisi tempat duduk khas dan menganjur ke hadapan sehingga 1 meter (1 ela) dari garisan tepi. Adalah digalakkan tanda-tanda dibuat bagi menentukan kawasan ini. Bilangan orang yang dibenarkan berada di dalam kawasan teknikal dinyatakan di dalam peraturan pertandingan. Mereka yang berada di dalam kawasan teknikal ini dikenal pasti sebelum permulaan perlawanan selaras dengan peraturan pertandingan. Hanya seorang saja pada satu-satu masa dibenar menyampaikan arahan taktik dan dia mestilah kembali ke tempatnya selepas memberi arahan tersebut. Jurulatih dan pegawai-pegawai lain mestilah berada di dalam sempadan kawasan teknikal kecuali dalam keadaan tertentu seperti fisioterapi atau doktor memasuki padang permainan dengan kebenaran pengadil untuk menilai kecederaan pemain. Jurulatih dan mereka yang berada di dalam kawasan teknikal mestilah berkelakuan penuh tanggungjawab.

Selasa, Januari 27, 2009


PEGAWAI KEEMPAT DAN PENOLONG PENGADIL SIMPANAN
Pegawai Keempat boleh dilantik di bawah peraturan pertandingan dan menjalankan tugas jika salah seorang daripada tiga pegawai perlawanan tidak dapat meneruskan tugasnya, kecuali seorang penolong pengadil simpanan dilantik. Dia akan membantu Pengadil pada setiap masa. Sebelum pertandingan dimulakan, pengelola akan menyatakan dengan jelasnya, jika Pengadil

tidak dapat meneruskan tugasnya, sama ada Pegawai Keempat mengambil alih tugas sebagai Pengadil perlawanan atau sama ada Penolong Pengadil Kanan mengambil alih sebagai Pengadil dengan Pegawai Keempat menjadi Penolong Pengadil. Pegawai Keempat membantu tugas-tugas pentadbiran sebelum, semasa dan selepas perlawanan seperti yang dikehendaki oleh Pengadil. Dia bertanggungjawab menolong melaksanakan prosedur penggantian semasa perlawanan. Dia mempunyai kuasa untuk memeriksa peralatan pemain gantian sebelum mereka masuk ke dalam padang permainan. Jika peralatan mereka tidak mematuhi kehendak Undang-undang Permainan, dia akan memberitahu Pengadil. Dia menyelia pertukaran bola apabila perlu. Jika bola perlawanan perlu ditukarkan semasa perlawanan, dia menyediakan bola lain atas arahan Pengadil, dengan itu mengurangkan kelewatan dengan kadar minimum. Dia mesti memberi petunjuk kepada Pengadil jika ada pemain yang tersalah diberi amaran kerana tersilap indentiti, atau apabila pemain tidak diperintah keluar setelah kelihatan diberi kad kuning kedua, atau apabila kelakuan ganas berlaku di luar penglihatan Pengadil dan Penolong Pengadil. Walau bagaimanapun Pengadil masih berkuasa untuk membuat keputusan di atas semua maklumat yang berkaitan dengan permainan. Selepas perlawanan, Pegawai Keempat mesti mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan tentang sebarang salahlaku atau insiden lain yang Pengadil dan Penolong Pengadil tidak melihatnya. Pegawai Keempat mestilah menasihat Pengadil dan Penolongpenolongnya tentang sebarang laporan yang dibuat. Dia mempunyai kuasa untuk memberitahu Pengadil sebarang kelakuan tidak bertanggungjawab oleh mana-mana penghuni kawasan teknikal. Seorang penolong pengadil simpanan boleh juga dilantik di bawah peraturan pertandingan. Tugasnya hanya untuk mengambil alih tugas penolong pengadil yang tidak dapat meneruskan tugasnya atau untuk mengganti pegawai keempat, seperti diperlukan.

Selasa, Januari 27, 2009


TAFSIRAN UNDANG-UNDANG PERMAINAN DAN GARIS-GARIS PANDUAN UNTUK PENGADIL
Tafsiran Undang-undang Permainan dan Garis Panduan untuk Pengadil sebagaimana yang dikeluarkan oleh FIFA untuk 2008/2009 telah diterjermahkan oleh Saudara Amir Sharifuddin Wong untuk faedah dan manfaat warga bolasepak yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai rujukan. Sebarang cadangan/pandangan untuk penambahbaikan dan pembetulan dari segi ejaan,

tatabahasa, dan ayat-ayat amat dialu-alukan. Walau bagaimanapun, jika ada sebarang kekeliruan dan pertikaian, Undang-undang Permainan dalam Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh FIFA hendaklah dirujuk.

Anda mungkin juga menyukai