Anda di halaman 1dari 2

Rasuah rosakkan seluruh masyarakat PsK Ahmad Khusairi bin Yahaya, Ketua Cawangan Penerbitan - 28/10/2005 Berita Harian

Apakah kesan rasuah terhadap diri sendiri dan ahli keluarga individu yang terbabit dengan jenayah rasuah khususnya mereka yang pernah ditangkap oleh BPR dan didakwa atas kesalahan rasuah? Rasuah adalah suatu jenayah. Sudah tentunya seseorang yang selama ini dipandang tinggi masyarakat kerana status sosialnya sebagai pegawai kerajaan, pemimpin politik, ahli perniagaan dan tokoh korporat sekiranya didakwa dan disabitkan dengan kesalahan jenayah rasuah akan mengaibkan maruah diri dan keluarganya. Liputan media massa yang mendedahkan gambar sipesalah yang dibawa dengan tangan bergari ke mahkamah akan menjatuhkan maruah dirinya. Masyarakat memandang serong terhadap individu terbabit dan mula mempertikaikan punca kepada segala harta benda yang dimilikinya. Biasanya seseorang yang dijatuhkan hukuman penjara kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Seorang pegawai kerajaan akan dilucutkan jawatannya, seorang ahli perniagaan akan kehilangan perniagaan dan kepercayaan pelanggannya dan seorang tokoh politik akan hilang kuasa dan pengaruhnya disebabkan sabitan mahkamah. Seterusnya, keluarga yang bergantung kepada ketua keluarganya akan turut kehilangan sumber pendapatan. Sudahlah hutang sekeliling pinggang, ditambah pula dengan bebanan membiayai peguam bela dan wang persekolahan anak-anak. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kehidupan keluarga menjadi porak peranda. Pesalah rasuah akan dicop sebagai penjenayah dan bekas banduan oleh masyarakat setempat. Kesannya, ahli keluarga khususnya isteri dan anak-anak berasa terhina dan dipandang serong masyarakat setempat serta jiran tetangga. Si isteri yang dahulunya mengagung-agungkan si suami yang mampu memberikan kemewahan, akan hidup dalam serba kedaifan dan terpencil serta tidak sanggup keluar dari rumah untuk berhadapan dengan jiran tetangga. Sianak pula tidak lagi sanggup ke sekolah kerana sering diejek rakan sekelas. Akhirnya mereka mengambil jalan mudah, berpindah balik ke kampung halaman atau jauh dari segala bentuk kemewahan 'sementara' yang dimiliki selama ini. Semuanya kerana maruah diri yang sudah tercalar. Rakan taulan dan sanak saudara yang dahulunya menumpang kemewahan juga sudah mula menjauhkan diri kerana tidak sanggupn menerima tempias bala yang melanda keluarga si perasuah. Berdasarkan pengalaman BPR, si pesalah yang didakwa di mahkamah adakalanya terpaksa bercerai dengan pasangan masing-masing disebabkan rasa malu dan tekanan hidup selepas didakwa di mahkamah. Selain itu, ada juga yang terpaksa bergadai atau menjual rumah, kereta dan harta-benda semata-mata untuk mendapatkan khidmat peguam bela atau membayar penalti yang dikenakan mahkamah bagi mengelakkan hukuman penjara sebagai pengganti.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal yang kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." Sebagai panduan mengelakkan diri daripada terjebak melakukan jenayah rasuah, berikut adalah beberapa panduan umum yang boleh diikuti: * Jangan mengatakan YA bagi pelawaan pertama untuk sebarang bentuk keraian termasuk hadiah, berhibur, melancong dan sebagainya. * Hati-hati dengan pujian yang diberikan orang yang mempunyai kepentingan dengan tugas kita. * Jangan sesekali menampakkan perbuatan atau tingkah laku yang menggambarkan seolaholah kita yang dulu meminta-minta. * Jangan membiasakan diri menerima sebarang bentuk keraian orang lain walaupun sekadar minum. * Elakkan berurusan mengenai hal peribadi atau keluarga dengan mereka yang mengenali dan tahu akan kedudukan dan kuasa yang kita pegang. * Berkawan dengan orang yang dipercayai boleh menasihati dan membimbing kita. * Dapatkan rakan atau teman yang boleh mengawal atau memerhatikan tingkah laku atau perbuatan kita. * Tolak tawaran atau pujukan rasuah dengan tegas.

Anda mungkin juga menyukai