Anda di halaman 1dari 6

ARKIB : 11/08/2010

Lagi bayi baru lahir dibuang

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI utusanperak@utusan.com.my BAYI perempuan seberat 2.8 kilogram yang dijumpai sepasang suami isteri di Air Kuning, Gemencheh, semalam.

TAMPIN 10 Ogos Tidak sampai empat jam selepas dilahirkan, seorang bayi perempuan terpaksa menahan sejuk, lapar sambil menangis akibat ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Air Kuning Selatan, dekat Gemencheh hari ini. Amat menyedihkan apabila muka bayi itu terdapat kesan lebam, dipercayai akibat terjatuh. Bayi malang itu ditemui dibalut dengan kain batik kira-kira pukul 7.45 pagi. Mujurlah hayat bayi itu panjang apabila dia berjaya ditemui dan diselamatkan oleh sepasang suami isteri yang bertugas sebagai anggota polis, ketika kedua-dua mereka keluar dari rumah untuk bekerja. Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Hooi Cheng berkata, bayi seberat 2.8 kilogram yang masih bertali pusat itu ditemui ketika pasangan suami isteri tersebut melihat satu bungkusan yang cukup mencurigakan. Pasangan berkenaan kemudian menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk memeriksa bungkusan berkenaan. Namun mereka terkejut apabila menemui bayi berkenaan yang dipercayai baru dilahirkan kurang dari empat jam, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Kes buang bayi semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini apabila tiga kes dikesan semalam. Di Bercham, Perak, mayat seorang bayi yang berusia dua bulan ditemui di tempat pelupusan sampah, semalam. Dua lagi kes turut dilaporkan di Pulau Pinang dan Segamat, Johor semalam. Di Kompleks Pulau Mutiara, janin lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan ditemui dicampak dalam tong sampah, manakala seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di hadapan rumah seorang warga emas di Pekan Jabi, Segamat. Sementara itu, Hooi Cheng berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapat rawatan lanjut.

Katanya, bayi itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya yang memerlukan pemeriksaan rapi. Sehingga kini, kita dimaklumkan oleh pihak HTJ, bayi berkenaan dalam keadaan stabil meskipun dia mengalami lebam di muka dipercayai akibat terjatuh, katanya. Pada masa yang sama, kata beliau, polis sedang berusaha mengesan individu yang terlibat membuang bayi berkenaan. Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2010&dt=0811&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm&arc=hive

ARKIB : 07/08/2010

Bayi dalam lubang paip

Oleh ANGELINA SINYANG pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Di manakah sifat perikemanusiaan apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup meninggalkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate dekat sini hari ini. Bayi malang itu hanya muat-muat dalam lubang paip itu. Memang sukar untuk ditemui atau dilihat orang ramai yang melalui kawasan tersebut. Namun hayat bayi tidak berdosa itu panjang apabila tangisannya didengari oleh seorang remaja lelaki yang secara kebetulan bermain tidak jauh dari situ pada pukul 3 petang ini. Tangisan bayi terbabit menarik perhatian remaja berusia 17 tahun itu menyebabkan dia sanggup turun ke dalam longkang setinggi hampir tiga meter dan merangkak ke dalam longkang sejauh kira-kira dua meter sebelum menemui bayi berkenaan.

Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan bogel dan masih bertali pusat. Mujurlah bayi itu ditemui sebelum hujan kerana lubang paip tersebut merupakan saluran air ke dalam longkang semasa hujan.

Remaja terbabit, Jamaluddin Mawardi (gambar), 17, berkata, dia sedang bermain di kawasan semak berhampiran longkang itu apabila tiba-tiba terdengar suara bayi menangis. "Saya tercari-cari dari mana datangnya bunyi tangisan tersebut dan mendapati ia datang dari arah dalam longkang besar di situ. "Perasaan ingin tahu menyebabkan saya sanggup masuk ke dalam longkang dan mengintai ke dalamnya. Saya terkejut apabila mendapati bunyi tangisan itu datang dari seorang bayi dan terus merangkak masuk ke dalam terowong untuk menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini. Menurut Jamaluddin, sebaik sahaja sampai di lubang paiptempat bayi itu ditinggalkan, dia bertambah terkejut apabila melihat kaki bayi terbabit terjulur keluar namun kepala dan badannya tidak kelihatan kerana tersumbat di dalam lubang paip. Katanya, dia segera menarik keluar bayi itu yang diselaputi lumpur sebelum membawanya kepada penduduk kawasan berhampiran dan pemilik stesen minyak itu. Sementara itu, isteri kepada pemilik stesen minyak Petronas Klang Gate, Fadzilah Abd. Majid, 50, berkata, perkara pertama dilakukan sebaik sahaja mendapatkan bayi malang itu ialah menyusukannya kerana simpati melihat keadaannya yang pucat dan kelaparan. "Saya kemudian membersihkan badan bayi itu yang dipenuhi lumpur dan memakaikan pakaian sebelum menghubungi polis," katanya. Bayi tersebut kemudian dihantar oleh sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut. Beliau berkata, polis sedang mengesan ibu bayi terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Abdul Jalil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi ini agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. Kes buang bayi terbaru ini menyusul sehari selepas penemuan seorang bayi lelaki dalam kotak di tepi kereta berhampiran sebuah kedai serbaneka oleh seorang pelajar politeknik di Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2010&dt=0807&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm&arc=hive

Cadangan elak golongan muda terlibat zina

Saudara Pengarang, STATISTIK pembuangan bayi ketika ini amat membimbangkan iaitu 407 kes sehingga 22 Mac lalu. Angka ini tidak mustahil akan meningkat dari hari ke hari jika tiada tindakan tegas diambil oleh semua pihak sama ada kerajaan, ibu bapa dan setiap anggota masyarakat. Senang cakap, masalah buang bayi ini berpunca daripada maksiat dan perzinaan yang berleluasa dan kebanyakan yang terlibat pula adalah umat Islam sendiri. Sungguh memalukan! Al-Quran mengingatkan kita supaya jangan mendekati zina. Bermakna bukan setakat berzina yang sudah tentu diharamkan, bahkan mendekati unsur-unsur yang membawa kepada zina juga amat dilarang keras. Hari ini, kita sendiri tahu bagaimana bahan-bahan atau unsur-unsur yang menggalakkan perzinaan hari ini boleh didapati di mana-mana sama ada melalui Internet atau VCD haram dan sebagainya yang merupakan unsur-unsur membawa kepada maksiat dan zina. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita hari ini menjadi sesuatu yang biasa di kalangan masyarakat walhal ia ditegah oleh syariat. Apabila unsur-unsur maksiat bermaharajalela maka natijah kepada masalah itu, salah satunya ialah pembuangan bayi selain keruntuhan institusi keluarga. Cadangan penyelesaian ialah: 1) Memperkukuhkan penghayatan dan amalan ajaran Islam di kalangan anak-anak dan ahli keluarga. Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW mesti dibaca setiap hari di rumah oleh ibu bapa dan anak-anak pada waktu sesuai. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan semua tanggungjawab kepada sekolah kerana anak-anak banyak masa di luar sekolah atau di rumah. Di rumah juga ibu bapa dan anak-anak boleh membacakan kisah nabi, para sahabat nabi SAW atau kisah-kisah yang boleh meningkatkan keimanan anak-anak. Menekankan isi keluarga menunaikan solat dan yang lelaki yang sudah baligh seboleh-bolehnya secara berjemaah di masjid atau surau. Anak-anak yang tinggal di asrama atau rumah sewa perlu diziarahi oleh ahli keluarga secara berkala dan kerap selain diambil tahu kebajikan termasuk dari segi amalan agama mereka seharian.

Dengan pemahaman dan ilmu agama yang diperoleh di sekolah atau rumah termasuk amalan secara praktikal setiap masa terhadap ajaran itu maka mudahmudahan generasi muda terhindar daripada terjebak dengan maksiat yang semakin kuat godaannya di luar sana. 2) Pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan terhadap jualan bahan-bahan lucah. Ibu bapa perlu menyekat bahan-bahan dalam laman web yang berunsur lucah daripada dilayari anak-anak. 3) Menyokong sebarang usaha untuk menimbulkan kesedaran terhadap masalah ini termasuk yang dilakukan oleh Utusan Malaysia melalui kempen Kami Prihatin.

4) Cadangan kerajaan Melaka menggalakkan golongan muda berkahwin perlu disokong kerana ia salah satu cara untuk mengelakkan golongan muda terlibat dalam maksiat. Tidak seperti cadangan membina sekolah hamil, cadangan memberi bantuan untuk pasangan muda yang hendak bernikah amat baik dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah asalkan mengikut undang-undang. Undang-undang syariah di negara ini menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki atau bagi perempuan adalah 16 tahun. Jadi sekiranya jodoh seseorang telah ditemui maka disegerakan perkahwinan walaupun pasangan baru berusia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perkahwinan ini tidaklah menghalang untuk pasangan yang masih muda ini hendak bekerja atau melanjutkan pengajian misalnya ke institusi pengajian awam kerana di peringkat ini ramai yang sudah bernikah pun mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran. Ini hanya sekadar cadangan. TOK SIAK

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2010&dt=0803&pub=utusan_malaysia&sec=Johor&pg=wj_02.htm&arc=hive

ARKIB : 23/07/2010 Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas JOHOR BAHRU 22 Julai - Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku. Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.

Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya. Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya. Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan. "Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan. Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2010&dt=0723&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm& arc=hive

Anda mungkin juga menyukai