Anda di halaman 1dari 4

MAKLUMAT ASAS TATACARA KESELAMATAN MURID PERGI DAN BALIK KE SEKOLAH SEKOLAH RENDAH ISLAM II FELDA MATA AIR

02100 PADANG BESAR (U) PERLIS

PENDAHULUAN Pergi dan balik merujuk kepada keadaan murid-murid dan guru-guru datang dan balik sekolah dengan selamat dari segi fizikal, sosial dan budaya. Keselamatan diri murid dalam perjalanan pergi dan balik sekolah memerlukan perhatian serius kerana banyak kemalangan boleh berlaku sekiranya semua pihak tidak peka memandangkan keupayaan pihak sekolah menangani isu keselamatan diri murid pergi dan balik adalah terbatas. Oleh kerana terdapat pelbagai cara murid pergi dan balik sekolah, maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama keluarga, pihak sekolah dan komuniti setempat untuk mewujudkan sekolah selamat. RASIONAL Mewujudkan budaya selamat semasa pergi dan balik sekolah dengan sokongan ibu bapa, penjaga dan komuniti setempat. Keupayaan sekolah dalam menangani isu-isu keselamatan amat terbatas tanpa sokongan keluarga dan komuniti. Meningkatkan kefahaman murid mengenai tatacara dan pentingnya keselamatan semasa pergi dan balik ke sekolah. Meningkatkan kesedaran pentingnya keselamatan kepada semua warga sekolah yang terdedah dengan bahaya akibat kecuaian ataupun tidak mementingkan aspek keselamatan. Tanggungjawab pihak sekolah untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk warga sekolah melalui pendidikan keselamatan diri dalam perjalanan pergi dan balik ke sekolah.

OBJEKTIF Mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan menyeronokkan dengan menyedia dan menyebarkan maklumat tentang tatacara tindakan keselamatan diri murid semasa pergi dan balik sekolah. Mengenalpasti dan menyelesaikan masalah yang timbul berkaitan penggunaan laluan perjalanan pergi dan balik sekolah. Memastikan semua pihak faham dan mengambil tindakan yang betul berdasarkan tatacara yang disediakan sekiranya melibatkan keselamatan diri murid pergi dan balik sekolah.

PERANAN MURID Memastikan kenderaan yang dinaiki ke sekolah selamat. Mematuhi arahan pihak yang mengawal kenderaan. Memahami dan mengamalkan peraturan mengenai keselamatan diri dalam perjalanan ke sekolah Mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Tidak menumpang kenderaaan orang yang tidak dikenali. Melaporkan kepada pihak pentadbir sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan berlaku. Mengayuh basikal dalam kumpulan dan menggunakan laluan yang selamat semasa pergi dan balik sekolah. Mengambil langkah keselamatan seperti sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan persekitaran dan mempelajari ilmu mempertahankan diri.

PERANAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING Menerima aduan murid dan mengambil tindakan susulan yang sepatutnya. Mengambil berat aduan murid berkaitan sesuatu insiden atau mereka yang disyaki berniat jahat dan merekodkan setiap aduan yang diterima. Memaklumkan kepada ibu bapa dan pihak yang sepatutnya berkaitan aduan murid. Memberi taklimat, kesedaran dan kefahaman kepada murid tentang pentingnya keselamatan diri melalui kaedah yang sesuai seperti ceramah, perhimpunan mingguan sekolah dan edaran. Merancang dan melaksanakan program-program berkaitan keselamatn murid. Memanfaatkan sepenuhnya Kelab Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan di sekolah dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak polis dan komuniti setempat.

PERANAN IBUBAPA Bekerjasama dengan pihak sekolah dalam merancang dan menguatkuasakan keselamatan murid pergi dan balik sekolah. Mementingkan keselamatan anak semasa pergi dan balik sekolah terjamin dengan cara memastikan kenderaan yang dinaiki adalah selamat dan dalam keadaan baik. Memastikan anak-anak mengayuh basikal dalam kumpulan dan menggunakan laluan yang selamat semasa pergi dan balik sekolah. Menasihati anak-anak supaya tidak menumpang dan berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali dan disyaki berniat jahat. Mengambil dan menghantar anak pergi dan balik sekolah pada masa yang tepat dan sesuai.

TATACARA MURID a) MENGGUNAKAN VAN YANG DISEWA. Mengenalpasti van yang biasa dinaiki dengan cara mengenali pemandu, warna dan jenis kenderaan, nombor pendaftaran kenderaan dan sebagainya. Memastikan van yang digunakan dalam keadaan yang baik, selesa dan selamat untuk digunakan. Memastikan van betul-betul telah berhenti semasa hendak turun atau menaiki kenderaan dan tidak terburu-buru, berebut-rebut atau bertolak-tolak dengan rakan lain ketika hendak naik dan turun dari van. Menunggu van di dalam kawasan sekolah. Pastikan pintu van ditutup dengan sempurna sebelum van bergerak.

b) MENGGUNAKAN BASIKAL Cekap dan mahir menggunakan basikal dan pastikan basikal dalam keadaan baik. Pastikan basikal yang digunakan mempunyai peralatan yang sempurna seperti brek dan kemudahan untuk meletakkan beg sekolah. Murid hendaklah menuntun basikal melalui laluan basikal apabila memasuki kawasan sekolah. Murid hendaklah meletak basikal ditempat yang ditetapkan oleh pihak sekolah sahaja. Basikal hendaklah disusun dengan teratur. Mengayuh basikal dalam kumpulan dan menggunakan laluan yang selamat semasa datang dan pergi sekolah. Tidak berlumba, bergurau senda, bergandingan dan mengayuh basikal terlalu laju semasa pergi dan balik sekolah.

c) DIHANTAR OLEH IBUBAPA/PENJAGA Sekiranya menggunakan kereta atau van, perlu dipastikan pintu kenderaan telah ditutup dengan sempurna sebelum kenderaan bergerak. Gunakan tali pinggang keledar/topi keledar. Memastikan kenderaan berhenti sepenuhnya sebelum naik atau turun kenderaan. Memastikan kenderaan berhenti untuk mengambil atau menurunkan murid di kawasan yang ditetapkan oleh pihak sekolah sahaja. Tidak bermain atau bergurau semasa kenderaan bergerak. Menunggu ketibaan ibu bapa/penjaga di dalam kawasan sekolah.

TATACARA GURU/STAF PERGI DAN BALIK SEKOLAH Guru dan staf hendaklah datang ke sekolah menepati masa seperti yang telah ditetapkan dan balik sekurang-kurangnya lima minit selepas loceng terakhir berbunyi atau selepas murid keluar untuk mengelakkan kesesakan. Guru dan staf hendaklah meletakkan kenderaan di tempat yang telah dikhaskan sahaja. Guru hendaklah memastikan murid-murid datang ke sekolah menepati masa. Guru perlu mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh murid semasa pergi dan balik ke sekolah dan cuba menyelesaikan masalah tersebut. Guru mestilah memberi taklimat kepada semua warga sekolah tentang peraturan dan undang-undang keluar masuk yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Menyimpan rekod ibu bapa/penjaga murid-murid supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

RUMUSAN Situasi semasa pergi dan balik sekolah yang selamat akan membuatkan semua pihak rasa terjamin sepanjang perjalanan pergi dan balik sekolah. Oleh itu, keselamatan semasa pergi dan balik sekolah perlu diberi perhatian dan dititikberatkan memandangkan ia melibatkan semua pihak iaitu sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat demi keselamatan semua pihak terutamanya murid-murid. Tatacara pergi dan balik ke sekolah dapat membantu menyediakan persekitaran pergi dan balik ke sekolah yang selamat sekiranya semua pihak faham dengan tatacara masing-masing yang perlu diikuti.

Anda mungkin juga menyukai