Anda di halaman 1dari 2

Tuah Hasan Si Lurus Bendul

Pada suatu masa dahulu, hiduplah seorang anak lelaki yang bernama Hasan. Dia hidup bersama ibunya. Mereka sangatlah miskin. Ibunya yang sudah tua itu berkerja sebagai seorang penenun. Namun, Hasan adalah seorang anak yang sangat malas. Orang kampung memanggilnya Hasan si Pemalas. Ibunya sendiri gagal membuat Hasan melakukan sesuatu pekerjaan. Akhirnya, pada suatu hari si ibu berkata kepada Hasan bahawa apabila dia tidak mulai bekerja dan berdikari, ibunya itu tidak akan memperdulikan dia lagi.

Hal ini merisaukan Hasan. Lalu dia keluar rumah mencari pekerjaan pada hari berikutnya. Seorang petani tua mahu mengupah Hasan untuk bekerja. Selepas selesai kerja tersebut, Hasan diberi wang sebanyak RM20.00. Disebabkan selama ini dia tidak pernah pulang ke rumah sambil memegang wang, dia kehilangan wangnya ketika menyeberangi sebatang sungai.

"Anak bodoh," kata ibunya, "kamu seharusnya menaruh wang itu di dalam poket."

"Saya akan melakukannya lain kali," kata Hasan.

Hari berikutnya, Hasan kembali keluar untuk bekerja. Kali ini, dia diupah oleh seorang peniaga kedai runcit. Upahnya, Hasan diberi seekor kucing. Setelah selesai pekerjaannya, Hasan mengambil kucing tersebut dan membawanya dengan berhati-hati dalam pelukannya. Dalam perjalanan pulang, kucing tersebut mencakar tangannya sehingga dia melepaskan kucing tersebut. Kucing itu lari dan menghilangkan diri.

Ketika Hasan sampai di rumah, ibunya berkata kepadanya, "Kamu anak yang bodoh, seharusnya kamu mengikatnya dengan tali dan menariknya untuk mengikutimu."

"Saya akan melakukannya lain kali," kata Hasan.

Pada hari berikutnya, Hasan keluar dan bekerja dengan seorang peniaga roti. Peniaga roti itu memberikan dia hadiah berupa roti manis yang panjang. Hasan mengambil roti tersebut lalu mengikatnya dengan tali dan mengheret di sepanjang jalan ke rumahnya. Ketika dia tiba di rumah, roti tersebut telah rosak dan kotor. Ibunya kali ini tidak berkata apa-apa kepadanya. Pada hujung minggu, ibunya mengharuskan dia membawa pulang kubis untuk dimasak nanti.

"Kamu harus membawanya pulang dan memikulnya di belakang badanmu."

"Saya akan melakukannya di lain waktu," kata Hasan.

Pada hari Isnin, Hasan bekerja dengan seorang penternak. Penternak itu memberikan dia seekor keldai sebagai upahnya. Walaupun tubuh Hasan kelihatan sasa, dia masih berasa sangat letih dan penat untuk memikul keldai itu di belakang badannya. Namun disebabkan teringat kata-kata ibunya, akhirnya dia memikul keldai tersebut di belakang badannya dan berjalan perlahan pulang ke rumahnya.

Di tengah perjalanan, dia melalui sebuah rumah yang sangat besar. Rumah tersebut dihuni oleh orang kaya dengan seorang anak gadis satu-satunya yang sangat cantik tetapi bisu dan pekak. Gadis tersebut tidak pernah ketawa sepanjang hidupnya. Doktor juga pernah berkata bahawa gadis itu tidak akan boleh berbicara sehingga seseorang membuatkan dirinya ketawa.

Ayahnya yang berasa sedih itu berjanji bahawa dia akan menikahkan anak gadisnya itu dengan lelaki yang boleh membuatkan anak gadisnya itu ketawa. Disaat itu juga si gadis kebetulan melihat ke luar jendela. Dia terlihat Hasan lalu di hadapan rumahnya sambil memikul seekor keldai di belakang badannya. Keldai tersebut menendang-nendang kakinya ke udara secara liar. Kejadian itu begitu menggelikan hati sehingga si gadis ketawa terbahakbahak. Pada saat itu juga si gadis berupaya untuk mendengar dan berbicara. Ayahnya yang begitu gembira melihat anaknya boleh berbicara dan mendengar mahu mengotakan janjinya dengan menikahkan anak gadisnya itu dengan Hasan.

Hari-hari selepas itu, Hasan menjadi orang yang kaya. Mereka tinggal bersama-sama di sebuah rumah yang besar itu. Mereka hidup berbahagia hingga ke akhir hayat mereka.

Anda mungkin juga menyukai