Anda di halaman 1dari 23

HASIL KAJIAN

DEFINISI PEMBUANGAN BAYI


Kehidupan yang sejahtera, ketenangan hidup yang berpanjangan, rumah tangga yang kukuh, pasangan yang ideal dan keluarga yang bahagia adalah sentiasa menjadi idaman setiap individu. Hal ini kerana ianya adalah salah satu keperluan hidup manusia atau lebih tepat jika dirujuk sebagai fitrah hidup manusia. Dalam konteks perbincangan pada hari ini, manusia pada zaman sekarang semakin berani mencabar undang-undang negara malah lebih dahsyat lagi apabila mereka sanggup melanggar hukum-hukum atau peraturan yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Dinihari, negara banyak digemparkan dengan berita mengenai kes-kes pembuangan bayi. Bukan hanya dengan mendengar khabar angin, malah perbuatan terkutuk manusia ini sering menjadi hiasan di dada-dada akhbar dan topik perbincangan hangat di media massa.

Dari segi bahasa, pembuangan membawa maksud pebuatan di mana sesuatu itu ditinggalkan atau dimusnahkan apabila tidak lagi digunakan ataupun rosak. Manakala bayi pula merupakan anugerah Allah yang tiada nilainnya yang mana ianya adalah permulaan peringkat hidup manusia sebelum mencapai dewasa. Apabila bertanya kepada para ibu, mereka akan mengangguk sebagai persetujuan bahawa inilah saat yang sukar kerana terpaksa bertarung nyawa ketika bersalin. Namun, inilah saat yang pasti mewarnai hidup mereka menjadi lebih bermakna hingga akhir hayat. Namun demikian, kes pembuangan bayi ini kian menjadi-jadi dan lebih memalukan lagi apabila peratus golongan remaja yang terlibat adalah semakin meningkat. Dalam peringkat umur seperti ini, sepatutnya mereka perlu sentiasa sibuk mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menempuh hidup yang kian semakin mencabar dari segi ekonominya dan taraf hidup. Tetapi mereka tidak menyedarinya dan lebih gemar memilih jalan yang membawa mereka ke alam yang gelap. Lebih dahsyat lagi, golongan remaja yang terlibat adalah beragama Islam, seolah-olah mereka telah mempermainkan agama sendiri dan tidak takut

langsung dengan hukum-hukum Allah. Kalau difikirkan, hukum Allah itu lebih mengerikan dan lebih berat sekiranya dapat di lihat dengan menggunakan mata kasar berbanding dengan hukuman yang ditetapkan di dalam peraturan negara.

Jika dikaji dengan teliti, ternyata bahawa seks bebas atau pergaulan bebas yang berlaku di negara kita ini, adalah penyumbang kes-kes seperti ini. Ini juga terbukti bahawa ajaran yang dibawa oleh barat telah merosakkan minda golongan remaja sekaligus menghancurkan kehidupan mereka. Apabila sudah mengandung dan bagi megelak malu daripada keluarga, cara mudah ialah membunuh atau menbuang bayi itu. Hal ini menghayat hati apabila bayi yang baru dilahirkan yang sememangnya memerlukan kasih sayang di bunuh begitu sahaja. Pada hari ini, kehidupan manusia yang melakukan gejala pembuangan bayi ini sememangnya tidak berhati perut dan mereka lebih teruk daripada binatang kerana binatang tidak pernah membunuh anaknya tetapi membesarkan anaknya hingga boleh berdikari.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. (Surah Al-Israa ayat 32) Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal. Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa manusia.

Sudah terlalu kerap manusia semakin menganggap pembuangan bayi ini sebagai satu perkara biasa. Ternyata manusia di akhir zaman ini semakin bersifat kebinatangan malah lebih teruk daripada binatang. Tempat-tempat seperti tong sampah, kubur, tepian sungai atau tasik adalah destinasi bagi menyelesaikan masalah pembuangan bayi.

Dengan adanya bukti-bukti yang kukuh ini, lebih jelas bahawa manusia semakin tunduk kepada kehidupan yang berlandaskan nafsu. Nafsu telah mengatasi batas pemikiran manusia hinggakan sanggup melakukan perkara terkutuk tanpa mmikirkan panjang tentang kesan-kesan terhadap pelbagai aspek. Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu. Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai. (Surah al-Aaraf ayat 179)

Berdasarkan hadis tersebut, lebih jelas bahawa manusia adalah sama dengan binatang bahkan lebih teruk daripada itu walaupun manusia adalah istimewa kerana dikurniakan akal. Kehidupan manusia akan lebih teratur sekiranya kehidupan mereka ini sentiasa berlandaskan syariat Islam dengan berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

PUNCA-PUNCA GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Pepatah melayu ada berkata bahawa ada asap, ada apinya dan tak kan pokok bergoyang dengan sendirinya yang bermaksud sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa adanya faktor atau punca. Dalam hal ini, dapat dirungkaikan bahawa ada beberapa faktor major dan faktor minor yang menjadi pencetus utama permasalahan ini. Tambahan pula, menurut statistik, jumlah kes pembuangan bayi semakin bertambah setiap bulan.

Pertama, datang dari diri setiap pelaku iaitu kurangnya didikan agama. Agama adalah kepercayaan dan pegangan hidup seseorang. Tanpa agama, hidup seseorang itu dikatakan tidak lengkap dan tidak sempurna. Setiap agama samada Islam, Kristian, Hindu dan sebagainya menyuruh kepada kebaikan, malah melarang dari melakukan kejahatan sama sekali. Kurangnya iman dalam diri menyebabkan mereka hilang haluan dan arah sekali gus mendorong kearah gejala negatif. Bermula dari yang kecil seperti melepak tanpa menghiraukan muhrim, kepada budaya bercouple, dan seterusnya zina dan akhirnya pembuangan bayi. Sekiranya sejak kecil lagi mereka tidak diajar tentang hukum hakam islam dan halal haram, maka mereka akan melakukan apa sahaja yang dianggap seronok dan sesuai mengikut citarasa mereka. Mereka akan mengikut sahaja hawa nafsu dan dalam kata lain, bertuhankan nafsu dan amarah. Sebagaimana Firman Allah Swt :

Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf? (Surah Al-Jathiyah ayat 23.)

Seterusnya, faktor dalaman iaitu rohani yang lemah dan mudah terpengaruh dengan unsur-unsur berbentuk maksiat dari media massa dan capaian luar yang semakin canggih dan berkembang seperti internet saat ini. Propaganda segalanya di hujung jari anda mempunyai maksud tersirat yang turut menyumbang kearah maksiat yang bermula dengan maksiat kecil yang semakin berkembang dan serius. Kecanggihan ini yang menyumbang kearah kewujudan cd lucah, gambar lucah, penggunaan internet tanpa kawalan ibu bapa dan sebagainya yang dapat menaikkan syahwat remaja masa kini. Ditambah lagi dengan jaringan sosial yang banyak seperti facebook, twitter, skype dan sebagainya yang membolehkan seseorang berinteraksi dengan yang lain tanpa batasan. Tayangan filem-filem yang berunsur lucah yang gagal disekat oleh pihak berwajib turut mendedahkan cara hidup masyarakat barat yang bergaul bebas dan melakukan seks rambang. Hati mereka akan memberontak dan ingin kepada perubahan tersebut. Ini membawa mereka untuk terjebak ke kelab-kelab malam dimana terdapat juga aktiviti pelacuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan. Walau bagaimanapun, jika kecanggihan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya, tidak akan berlaku walau satu maksiat yang mengundang ke arah isu pembuangan bayi.

Rakan sebaya adalah kumpulan sasaran yang paling rapat dengan seseorang selepas ibu bapa dan keluarga. Mereka turut memberi impak kepada persekitaran dan gaya hidup seseorang remaja itu. Ini kerana masa bersama dengan rakan sebaya lebih lama daripada masa bersama ibu bapa. Oleh itu,memilih rakan yang baik amat penting supaya dapat mempengaruhi ke arah kebaikan. Jika tersalah memilih rakan, kesannya amat buruk terhadap diri sendiri. Sebagai contoh, rakan sebaya yang menghisap rokok akan mempengaruhi seseorang yang tidak merokok sebelumnya dan lama-kelamaan, remaja tersebut akan turut merokok. Hal ini bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, hasilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.

Masyarakat turut menjadi salah satu sebab kes pembuangan bayi semakin meningkat di Malaysia. Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat akan menghina dan memandang jijik kepadanya dan keluarganya. Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik dan disisihkan oleh keluarganya dan masyarakat. Inilah satu-satunya jalan agar dia tetap diterima oleh masyarakat setempat dan keluarganya. Seharusnya, masyarakat perlu membimbing mereka supaya keadaan sebegitu tidak berlaku lagi.

Ada anak, sudah tentu ada bapanya. Isi kali ini ialah lelaki yang tidak mempunyai perassan tanggungjawab. Habis madu sepah dibuang inilah ungkapan yang sesuai dengan lelaki tersebut. Sebelum hamil, lelaki tersebut berjanji manis untuk memikat teman wanitanya. Malangnya, setela perempuan tersebut hamil, lelaki itu lesap dan tidak bertanggungjawab. Ini menyebabkan wanita yang mengandungkan anak luar nikah itu berasa tertipu dan seterusnya perasaan benci meluap-luap kepada lelaki dan bayi dalam kandungannya. Tanpa sokongan, wanita adalah seorang yang lemah dan justeru itu wanita yang terdesak itu terpaksa membuang bayi tersebut.

Walau besar manapun sesuatu masalah, sikap memainkan peranan paling penting. Sikap ibu bapa yang terlalu mempercayai anak-anak turut mengundang kes-kes ini. Ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja tidak mengendahkan sebarang perilaku anak-anak mereka. Seterusnya menyebabkan anak-anak bertindak melampaui batas seperti keluar rumah sehingga tengah malam dengan melepak bersama teman wanita dan sebagainya. Sikap mempercayai anak-anak perlu ada, tetapi haruslah bertepatan iaitu mengikut keadaan. Tidaklah seharusnya percaya membabi buta terhadap segala perilaku anak-anak. Punca lain yang pada logik akal tidak kurang juga sumbangannya pada masalah ini, adalah pemikiran masyarakat Melayu menjadikan perkahwinan itu sesuatu yang menyusahkan. Budaya Melayu yang mengutamakan kenduri yang besar-besaran, hantaran yang lumayan, jemputan yang ramai dan sebagainya menyebabkan masyarakat lebih merasakan bahawa

perkahwinan itu sesuatu yang menyusahkan. Akhirnya, individu yang perlu untuk berkahwin tidak dapat mengawal ghairahnya, mengambil jalan mudah dengan melakukan zina dengan pasangannya yang akhirnya melahirkan anak luar nikah. Dan seterusnya akibat tidak bersedia mempunyai komitmen berkeluarga terpaksa membuang bayi luar nikah tersebut.

KESAN GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini semakin menjadi-jadi dan bagaikan trend masyarakat hari ini. Sesungguhnya setiap perbuatan meninggalkan sesuatu yang dinamakan kesan atau impak. Bezanya hanyalah terhadap siapa impak itu kembali dan sebesar mana impak tersebut meninggalkan kesannya. Dalam kes pembuangan bayi ini, kesan dan impak yang begitu besar terkesan dalam masyarakat, diri pelaku dan keluarga pelaku. Remaja yang merupakan aset utama Negara pada masa akan datang, sepatutnya memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara tidak seharusnya terjebak dalam kancah masalah sosial sebegini. Kesan jangka panjang dan jangka pendek yang pasti akan berlaku akan membantutkan dan memberi 1001 kesan negatif kepada semua pihak termasuklah kerajaan.

Kesankesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian utama seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri atau badan-badan berkaitan seperti pengurus rumah kebajikan.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan yang begitu berat kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada sifat keperikemanusiaan, bayi yang dianggap akan merosakkan hubungan sosial mereka dengan masyarakat setempat dan keluarga kandung akan dibuang. Sekiranya bernasib baik bayi-bayi malang tersebut mungkin akan ditemukan oleh masyarakat setempat atau orang-oarang yang lalu lalang di kawasan tersebut. Sesudah besar, mereka

terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Apa yang lebih teruk, ada kes yang menemukan bayi selepas beberapa hari atau minggu dimana bayi tersebut sudahpun meninggal dunia akibat daripada perbuatan yang

dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan

kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat.

Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Terdapat tiga jenis kesan iaitu kesan terhadap mental, fizikal dan emosi. Pertama sekali ialah kesan terhadap mental. Mengikut data statistik yang dikeluarkan, kebanyakan kes pembuangan bayi berlaku kerana anak yang dikandung dilahirkan sendiri tanpa mendapatkan bantuan dari sesiapa mahupun pakar. Kesannya, mereka akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri rasa bersalah terhadap anak yang dilahirkan dan penderaan psikologi. Kedua iaitu kesan terhadap fizikal. Seperti yang pertama, mereka tidak mendapat bantuan dari pakar dan semestinya fizikal mereka tidak terurus. Sebagai contoh, tempat jahitan mungkin akan dijangkiti kuman selain kehilangan banyak darah semasa proses melahirkan bayi tersebut. Manakala dari segi emosi pula, mereka akan terganggu dengan perasaan-perasaan resah dan bersalah terhadap perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.

Seterusnya, akan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Setiap keluarga mahukan ahli-ahli keluarganya terdiri dalam ketegori yang alim, baik dan sopan. Oleh itu, berzina dan pembuangan bayi ini dianggap menjijikkan dan amat memalukan keluarga mereka lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut terkenal dan tergolong dalam keluarga yang alim. Ketidakharmonian dalam keluarga tersebut akan berlaku. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu iaitu pastinya menjadi bahan mulut jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan masyarakat setempat lagi. Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu menyalahkan bapa kerana tidak pandai menjaga anak, dan bapa menyalahkan ibu kerana anak-anak menconteng arang di muka mereka. Oleh itu masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai. Kes pembuangan bayi yang berlaku juga akan menjejaskan imej masyarakat setempat terutamanya yang rapat dengan keluarga remaja tersebut dan jiran-jiran terdekat. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini sama ada secara sukarela ataupun paksaan. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Peribahasa ini amat bertepatan sekali dengan situasi ini kerana dek perbuatan serong seseorang yang kurang

akhlaknya, semua orang sekitarnya yang mendapat calitan buruk yang dibawa bersamanya. Selain itu, kegiatan tidak bermoral ini secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi negatif terhadap orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat tersebut.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa pembuangan bayi turut memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah Negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi muda pada waktu sekarang. Ini kerana generasi sekarang adalah pemimpin yang bakal mencorak pentadbiran dan kewibawaan negara pada masa hadapan. Antara kesan yang akan berlaku ialah pembangunan Negara akan terbantut dan keadaan ekonomi Negara juga sukar berkembang dan lebih menyedihkan lagi jika ekonomi akan menurun kerana wujud gejala sosial ini. Ini terjadi apabila perbelanjaan kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk menampung kos pembangunan negara digunakan untuk membiayai kos penjagaan bayi yang diletakkan di rumah-rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya akan ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara. Dan pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut akan dicari dan sekiranya tidak dijumpai, rumah kebajikan masyarakat tersebut pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan. Turut tidak dilupakan, usaha kerajaan seperti menampal banner, poster dan flyer dianggap tidak memberi sebarang kesan dan impak dalam sanubari setiap remaja amat membazir.

CARA MENGATASI GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Hidup yang sempurna tidak akan pernah tidak dilanda masalah. Hidup dan masalah saling berkaitan dan saling menyempurnakan satu sama lain ibarat isi dengan kuku . Ada penyakit, ada ubatnya begitu juga dengan setiap masalah yang melanda kehidupan seharian. Dalam konteks permasalahan hari ini, masalah utama yang sedang negara kita hadapi ialah masalah kes pembuangan bayi yang kian meningkat dari hari ke hari ibarat pisang panas. Apakah langkah yang paling efektif dan berkesan kearah mewujudkan kes pembuangan bayi sifar? Tepuk dada, tanya selera . Setiap langkah pencegahan dan berjaga-jaga sebenarnya ada pada tanggungjawab setiap orang tanpa ada pengecualian. Walaupun semua pihak hanya menuding jari pada remaja yang terlibat, namun sebenarnya langkah-langkah pencegahan terletak pada bahu setiap orang. Antara langkah berkesan yang boleh diambil ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Ibu bapa adalah orang yang paling rapat dan orang yang paling banyak menghabiskan masa dengan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengawasi setiap pergerakan anak-anak. Dari bangun tidur, sehinggalah ke waktu tidur. Ibu bapa harus juga tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka keluar dan apa yang anak-anak mereka lakukan diluar. Sibuk dan percaya dengan anak-anak bukanlah alasan kukuh untuk tidak mengambil tahu tentang apa yang terjadi dengan anak-anak. Kebelakangan ini, kes-kes pembuangan bayi kebanyakannya terjadi apabila ibu bapa terlalu mempercayai anak masing-masing. Ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka pulang lewat, bergaul dengan kawan yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Ini semua hanya akan mengundang lebih banyak impak negatif. Anak-anak akan berasa bahawa mereka tidak diperhatikan dan berasa bebas untuk melakukan apa jua yang mereka mahu. Lebih-lebih lagi, peringkat remaja adalah peringkat dimana mereka ingin mencuba segalanya. Bermula dengan melepak sehingga ketengah malam, sehingga terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat.

Pesan Nabi Saw :

. Yang bermaksud: Setiap daripada kamu adalah pengembala (Pemelihara dan pembela), dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap belaannya. Sesungguhnya imam (pemimpin) itu adalah pembela dan bertanggungjawab terhadap belaannya (rakyat), seorang lelaki itu pengembala kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap mereka, wanita juga pembela di rumah suaminya dan bertanggungjawab (pembantu suami dalam urusan rumah tangga) terhadap gembalaannya, dan khadam juga pengembala (penjaga) akan harta tuannya dan dia bertanggungjawab untuk itu. Maka sesungguhnya setiap kamu adalah pengembala (penjaga) akan gembalaan (jagaan) kamu dan kamu semua bertanggungjawab untuk itu. Ibu bapa juga memainkan peranan yang begitu penting ketika usia mereka masih mentah. Ini kerana ibu bapa yang akan mencorak kehidupan masa hadapan anak-anak mereka kerana seperti itu acuan, begitulah kuihnya . Pendidikan agama perlu diajar sejak kecil lagi. Fardhu ain, dan fardhu kifayah hendaklah dijadikan asas dalam diri anak-anak mereka. Dengan iman kukuh, mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala dan persekitaran yang negatif. Ini kerana mereka sudah boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan yang halal dan yang haram. Segala perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas dapat dihindari sekaligus meminimakan kes pembuangan bayi. Seterusnya, pihak-pihak penerbitan terutamanya dalam bidang siaran seperti astro, tv3 dan sebagainya. Langkah pertama adalah menyekat penyiaran rancangan-rancangan berbenuk hiburan yang melampau dan apa sahaja siaran yang mempunyai unsur lucah dan ganas. Usaha SPMM untuk menyekat dan mengharamkan penyiaran filem-filem berunsur lucah dari luar sepatutnya diberi pujian. Kerana, usaha remaja untuk mendapatkan bahan-bahan lucah akan berkurang. Selain itu, syarikat-syarikat penerbitan hendaklah mengambil langkah untuk sejagat dengan memperkenalkan lebih banyak rancangan dan program realiti berbentuk ilmiah dan keagamaan seperti mari mengaji, Akademi Quran, Imam Muda dan lain-lain lagi. Dengan ini, remaja akan disajikan dengan paparan berbentuk inspiritual ataupun dalaman. Dengan ini, hati mereka akan mudah untuk mengatakan ya kepada kebaikan dan tidak kepada kejahatan sekaligus

dapat mengurangkan kes-kes gejala sosial. Difahamkan juga bahawa walaupun pendekatan untuk menyekat kemasukan cd lucah ke negara ini telah dipandang serius oleh pihak berwajib, namun cd tersebut masih mudah untuk didapatkan di pasar-pasar malam dan sebagainya. Oleh itu, pihak berwajib perlu mencari inisiatif supaya cd-cd seperti ini tidak wujud lagi di pasaran tempatan. Dari segi enakmen undang-undang pula, pihak kerajaan perlu mengkaji semula kegunaan dan logik hukuman Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda dan hukuman yang lebih berat dikenakan keatas pesalah. Sepatutnya, hukuman yang lebih berat dikenakan seperti hukuman penjara mandatori bersama bayaran denda. Seterusnya hukuman-hukuman ini perlu diperkenalkan dan diberitahu kepada umum agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi ekoran hukuman yang berat. Disebabkan itu mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan. Bagi badan-badan samada kerajaan atau bukan kerajaan yang membantu nasib masyarakat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya boleh menubuhkan pusat penjagaan dan pemulihan ibu-ibu muda yang mengandung tersebur. Dengan ini, pusat jagaan tersebut dapat menyelamatkan nyawa si bayi tersebut selain dapat mengajar ibu-ibu muda itu cara penjagaan anak yang betul. Mereka juga perlu diberi kaunseling dan bimbingan agar tidak lagi mengulangi kesalahan mereka itu. Langkah seterusnya ialah dengan menubuhkan bank. Seperti yang sedia maklum, sudah banyak terdapat bank di dunia ini seperti bank duit, bank sperma dan sebagainya. Walau bagaimanapun, masih tidak terdapat bank bayi. Oleh itu, bank ini perlu diwujudkan. Bank ini berfungsi untuk menjaga setiap bayi yang tidak diingini atau tidak mampu dibela oleh ibu mereka. Bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkenaan sehingga besar dan boleh hidup berdikari. Dalam tempoh tertentu pula, pihak bank bayi boleh memberi peluang kepada si ibu mengambil anak semula sebelum diberikan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dalam erti kata lain, sebagai anak angkat. Dengan cara ini, nasib dan masa depan mereka lebih terjamin berbanding tragedi yang menimpa diri bayi tersebut seandainya dibuang sewaktu dilahirkan. Sebagai contoh yang berlaku di luar negara, Jerman memperkenalkan Babys Craddle untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini

dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik. Pendekatan ini diadakan supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Babys Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya. Jika tidak dituntut, bayi tersebut akan diserahkan kepada keluarga angkat. Langkah terakhir yang wajar dilakukan ialah dengan mengadakan kempen secara besarbesaran. Tanggungjawab ini perlu mendapat usahajaya semua lapisan masyarakat bersama pihak media khususnya. Sebagai contoh, pihak media boleh membuat satu filem pendek atau grafik yang berbentuk Kisah Benar seseorang yang pernah membuang anak. Filem pendek ini, diharapkan agar dapat membangkitkan kesedaran para remaja tentang keburukan dan kesan buruk yang bakal dihadapi jika terjebak dengan serius dalam masalah sosial ini. Manakala, program motivasi kesedaran seperti Adab Bergaul dan Dosa-dosa Besar, misalnya mampu memperkuatkan lagi rasa insaf dan takut remaja akan dosa. Penceramah-penceramah jemputan seperti Ustazah Siti NurBahyah dan lain-lain boleh dijemput untuk mendapatkan hasil yang maksima menerusi soal jawab tersebut. Justeru, selepas menghadiri seminar atau motivasi ini, mereka akan sentiasa beringat dan berwaspada daripada melakukan noda dan dosa.

STATISTIK GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Gejala pembuangan bayi ini semakin menjadi-jadi dari masa ke semasa. Kebiasaanyya, apabila timbul satu atau dua kes yang terpampang di dada-dada akhbar dan media massa, ianya akan menjadi berita yang hangat yang mengambil masa hingga seminggu ataupun kurang. Kemudian, cerita atau berita mengenai perbuatan terkutuk ini akan terdiam dan tenang buat seketika. Tetapi akan timbul semula berita tentang kes pembuangan bayi setelah senyap buat seketika waktu. Ini menunjukkan bahawa pesalah tidak berasa serik atau takut daripada kejadian yang telah pun berlaku. Mereka ini seolah-olah tidak mengambil endah seperti melepaskan batuk di tangga tentang erti dosa dan implikasi yang bakal dihadapi oleh diri sendiri mahupun negara. Malahan mereka ini lebih berani melakukan perkara terkutuk ini dengan lebih teruk daripada sebelumnya. Terdapat sesetengah masyarakat yang hanya mendiamkan diri kerana mengamalkan sikap mementingkan diri mereka sendiri kerana bagi mereka si pesalah bukannya dalam kalangan ahli keluarga. Apabila terkena pada batang hidung sendiri, mulalah mereka seperti cacing kepanasan setelah dicemuh dan dicaci oleh orang sekeliling. Dalam konteks perbincangan ini, statistik kes pembuangan bayi hingga ke hari ini boleh dikatakan meningkat sepanjang tahun. Berdasarkan maklumat dalam statistik kes, ianya adalah kes-kes yang telah dilaporkan kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia(PDRM). Namun, terdapat juga kes-kes yang tidak dilaporkan kerana takut atau sebagainya. Tindakan ini boleh dikenakan hukuman yang berat kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran ataupun bersubahat. Di samping itu, lebih menyayat hati bagi manusia yang waras apabila terdapat bayi yang ditemui dalam keadaan tidak cukup sifat iaitu dilahirkan secara paksa dan ada yang ditemui dalam keadaan yang cukup sempurna dan comel. Besar kemungkinan bayi tersebut masih hidup ketika dibuang. Kejadian ini pasti akan menuntut jiwa siapa sahaja yang melihatnya sambil memikirkan siapakah yang tergamak memperlakukan terhadap bayi yang tidak berdosa tersebut sedemikian rupa. Statistik kes adalah bersumberkan data-data yang dikumpulkan oleh PDRM dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Statistik ini cuba diperkuatkan dengan melihat pada perangkaan daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes pada 2006 dan menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes pada 2008, 79 kes pada 2009 dan 91 kes pada 2010. Pada tahun 2011 pula, kejadian kes menjadi semakin parah apabila dalam bulan Januari sahaja sebanyak 34 kes pembuangan bayi dilaporkan di dada-dada akhbar utama Malaysia. Statistik kes ini tidak menentu kerana terdapat tahun yang mengalami penurunan dan kenaikan yang sedikit tetapi pada tahun 2011 menjadi saat yang kronik kerana mengalami kenaikan yang mendadak.

Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka. Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.

Berdasarkan data yang telah dikumpulkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari tahun 2004 hingga 2009, sebanyak 20.4 peratus sasaran utama tempat pembuangan bayi yang dilakukan di kawasan perumahan membabitkan 99 bayi, diikuti tempat pembuangan sampah yang membabitkan 77 bayi (15.8 peratus) dan bakinya dibuang di tempat-tempat seperti semak, masjid, sungai, tepi jalan dan hospital. Walaupun kini Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak memlebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, kes buang bayi terus berlaku di mana Selangor mencatat kes tertinggi sebanyak 127 kes, diikuti Johor 104 kes, Sabah 73 kes, Serawak 42 kes dan Negeri Sembilan 30 kes. Selain daripada dibunuh atau dibuang, berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tahun 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan lagi apabila bagi tempoh 1999 hingga 2003 sahaja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Hal ini membuktikan bahawa mereka yang trbabit dalam kes pembuangan bayi yang mencatatkan angka yang tertinggi adalah mereka yang beragama Islam. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan kerana mereka hanyalah Islam pada kad pengenalan tetapi tidak disemai ke dalam jiwa. Betapa ramainya bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa perbuatan terkutuk ini. Apabila bayi-bayi ini telah mencapai tahap dewasa pasti mereka ini menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa kerana statusnya yang tidak dapat ditentukan. Hal ini telah terbukti berdasarkan berita yang telah dibongkarkan di dalam akhbar-akhbar utama Malaysia. Mereka ini sepatutnya diberi harapan kerana meraka ini tidak bersalah dan perlu diberi bimbingan dan perhatian yang sama seperti orang lain. Malahan lebih baik jika mereka ini diberi perhatian lebih daripada orang lain kerana mereka ini perlu didikan agama yang sempurna, mempunyai matlamat hidup dan mampu berdikari.

KES-KES PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA

Sudah begitu banyak sekali kes-kes yang berlaku di negara kita ini. Berikut adalah keskes pembuangan bayi yang menyumbang kepada perubahan dari segi kenaikan dan penurunan statistik kes pembuangan bayi di Malaysia. Kes-kes adalah seperti berikut:

KES 1 Dalam kes ini, mayat bayi lelaki telah dijumpai terdampar di tepi sungai. Kejadian ini berlaku pada pukul 6.05 petang di Klang. Sewaktu kejadian, seorang suri rumah tidak menyangka objek yang disangkanya anak patung rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang baru lahir. Kejadian ini disedari oleh seorang suri rumah ketika sedang mencedok air di tebing sungai Klang. Tujuan beliau mengambil air tersebut adalah untuk menyiram air di kebunnya sebelum ternampak satu objek terapung-apung menghampiri tebing. Pada mulanya, beliau menganggap objek tersebut hanyalah anak patung tetapi sifat ingin tahu yang kuat mengakibatkan beliau ingin menghampiri objek tersebut dan terus menterbalikkannya. Berdasarkan kenyataan beliau, mayat bayi tersebut yang masih bertali pusat itu telah dihanyutkan mengikut arus sungai sehingga dibawa ke tebing. Lantas dengan itu, beliau terus memanggil suaminya serta orang-orang kampung yang lain bagi menyaksikan kejadian tersebut. Pihak polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian membawa mayat bayi malang itu ke hospital kira-kira pukul 8 malam.

KES 2 Negara pernah digemparkan dulu apabila kes pembuangan bayi ini turut membabitkan mahasiswa universiti. Dalam kes ini, salah seorang mahasiswa yang sedang menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah membuang bayi di belakang dapur di salah sebuah rumah di Taman Rasa Sayang. Kejadian ini berlaku pada 19 September 2005 di Kubang Pasu. Bayi yang ditinggalkan masih bertali pusat merupakan seorang bayi perempuan yang

masih hidup juga memiliki sifat yang sempurna.

Tidak cukup dengan itu, seorang gadis

dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya menemui seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam sewaktu hari kejadian berlaku. Gadis tersebut adalah berumur 20 tahun dipercayai melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayi tersebut di belakang rumah kerana takut diketahui umum. Hasil daripada siasatan polis, seorang lagi penuntut IPTA yang sama berumur 20 tahun telah ditahan bagi menjalani siasatan.

KES 3 Dalam kes yang ketiga ini, ianya lebih dahsyat apabila kes pembuangan bayi ini membabitkan pasangan yang masih terlalu mentah iaitu lelaki melayu dan perempuan melayu yang mana masing-masing berumur 19 serta 15 tahun di Melaka. Dalam usia sebegini sememangnya pemikiran manusia masih lagi dalam keadaan huru-hara kerana tidak mempunyai pemikiran yang matang. Seterusnya, tindakan pasangan ini lebih kejam lagi apabila siasatan mendapati mereka bukan sahaja membuang bayi berkenaan malahan menanam bayi tersebut hidup-hidup. Lelaki terbabit telah dikenakan hukuman penjara dua tahun akibat daripada perbuatannya itu. Majistret Muhamad Faizal Ismail turut menggenakan denda RM8,000 kepada Muhammad Safiuddin, 19, selepas remaja lelaki itu dan pasangannya, seorang pesalah juvenil berusia 15 tahun mengekalkan pengakuan bersalah mereka atas tuduhan tersebut. Beliau juga turut mengarahkan remaja perempuan itu membayar jaminan bon sebanyak RM2,000. Pesalah juvenil

terbabit turut dikenakan syarat wajib berada di rumah sebelum pukul 6 petang selama dua tahun dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali selama dua tahun. Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Hukuman yang dikenakan adalah berat dan setimpal bukan hanya kerana kesalahan tetapi sebagai satu pengajaran kepada pasangan dan masyarakat tentang seriusnya masalah ini. Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh bukan sahaja melakukan seks luar nikah tetapi telah merancang menyembunyikan kelahiran hingga sanggup membunuh bayi berkenaan. Perbuatan kedua-dua pasangan ini bukan sahaja memberi impak negatif kepada masyarakat malah lebih teruk daripada itu lagi.

KES 4 Satu lagi kes yang membabitkan seorang bekas pelajar yang menuntut di salah satu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu UiTM Chendering,Kuala Terengganu. Bekas pelajar terbabit mengaku bersalah atas tuduhan membuang bayi yang telah dilakukannya sejak dua tahun yang lalu. Pesalah terbabit, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus. Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu. Dia telah dituduh melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, antara pukul 11 malam dan 12 malam, pada 29 Jan 2008. Mahkamah telah memberikan tawaran ikat jamin sebanyak RM 3,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang jaminan lantas dia dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa bagi menjalani hukuman.

KES 5 Baru- baru ini, kes yang berlaku di Kota Tinggi pada hari Rabu bersamaan 20 Julai 2011 telah menjadi artikel jenayah di dalam sebuah akhbar tempatan. Seorang wanita yang sedang panik kerana terpaksa melahirkan anak luar nikahnya sbelum sempat tiba di hospital telah meninggalkan anaknya itu di atas but kereta penduduk kampung. Kejadian ini brlaku di ladang kelapa sawit Felda Air Tawar 3. Ketika itu, wanita berusia 20 tahun ini sedang dalam perjalanan dari Pengerang ke Hospital Kota Tinggi (HKT) juga bersama-sama teman lelakinya berusia 25 tahun. Menurut fakta kes, wanita tersbut berasa sakit untuk bersalin lalu berhenti di ladang kelapa sawit. Akibat panik melahirkan anak di luar nikah, dia meninggalkan bayi yang masih bertali pusat itu di atas kereta salah seorang penduduk kampung di situ. Bayi tersebut dijumpai dalam keadaan berbalut kain oleh seorang lelaki berusia 39 tahun ketika menghantar anaknya ke sekolah kira-kira jam 7 pagi. Lantas dia memaklumkan kejadian tersebut kepada isterinya dan menghantar bayi tersebut ke hospital. Sehari selepas kejadian wanita terbabit pergi menjenguk anaknya di hospital dan mengaku meninggalkan bayi berkenaan. Wanita tersebut bersama teman lelakinya ditahan polis untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan mendapati wanita terbabit pernah melahirkan seorang lagi anak luar nikah yang kini berusia lebih setahun dipelihara ibu bapanya. Bayi tersebut dalam keadaan sihat sementara ibunya masih di dalam tahanan bagi tujuan siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

KES 6

Kali ini pula kes buang bayi dilaporkan berlaku di Bachok, Kelantan. Sewaktu kejadian, seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi yang masih bertali pusat dibuang di celah-celah semak dalam kejadian di Kampung Pertama Machang. Kehadiran bayi tersebut disedari oleh lelaki berusia 49 tahun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membaiki motosikal. Beliau merasa pelik apabila apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika melalui kawasan semak tersebut dan apabila ditinjau, dia terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalam sebuah beg kertas di semak berkenaan. Ketika bayi tersebut ditemui, bayi lelaki itu masih bertali pusat dan dalam keadaan baik.

KES 7 Mayat seorang bayi lelaki yang sudah kembung ditemui terapung di Sungai Keroh berhampiran Masjid Qurtubi di Taman Seri Segambut, Kuala Lumpur. Mayat bayi lelaki dipercayai dibuang sebaik sahaja dilahirkan itu ditemui oleh seorang pekerja ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan. Mayat bayi tersebut terapung bersama di celah-celah sampah. Bayi tersebut dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Berdasarkan fakta-fakta kes yang telah dibincangkan , ternyata bahawa manusia di zaman ini tiada lagi nilai kasih sayang. Mereka lebih gemar akan kehidupan yang hanya tunduk kepada hawa nafsu masing-masing. Kes-kes pembuangan bayi ini paling banyak membabitkan golongan remaja malahan ada juga golongan tersebut yang bergelar mahasiswa universiti. Lebih mengejutkan lagi apabila kes buang bayi ini membabitkan remaja perempuan yang hanya berusia 15 tahun bersama pasangan lelaki berusia 19 tahun. Dalam peringkat umur ini, sepatutnya mereka perlu banyak menghabiskan masa dengan belajar. Mereka ini seolah-olah tidak berfikir dengan sedalam-dalamnya bahawa tanpa ilmu dan kelayakan, kehidupan akan lebih teruk kerana

kehidupan yang mencabar pada masa akan datang. Apabila Negara sudah mencapai status sebagai salah sebuah negara maju nanti, sudah pasti taraf hidup akan menjadi lebih tinggi. Tidakkah mereka fikir bagaimana ingin menyara sebuah keluarga di suatu hari nanti. Mereka ini hanya menginginkan keseronokan sahaja tetapi tidak berfikir akan impak yang mendatang.

Seterusnya, terdapat juga bayi yang bukan sahaja ditinggalkan, tetapi lebih menyayat hati apabila ada bayi yang ditanam hidup-hidup. Hal ini sudah jelas membuktikan bahawa sifat perikemanusiaan semakin hilang hinggakan sanggup membunuh kejam bayi yang belum kenal dosa dan pahala itu. Oleh itu, sepatutnya kerajaan mengambil langkah yang lebih drastik kerana gejala ini sudah mencapai tahap kronik. Undang-undang yang sedia ada sewajarnya diperketatkan, denda wang ringgit sepatutnya dihapuskan, apa yang penting ialah hukuman berat seperti sebat dan gantung sampai mati. Hukuman gantung bersesuaian kerana kes ini sudah menyerupai kes bunuh malah lebih teruk lagi. Hukuman yang berat pasti membuatkan golongan ini takut untuk melakukan kesalahan berulang kali dan yang sedang menjalani hukuman akan mendapat pengajaran setimpal.

Anda mungkin juga menyukai