Anda di halaman 1dari 4

Assalamualaikum w. b. t dan Selamat Sejahtera.

Yang Berusaha Puan Mahaya Bt Othman, Pengetua SMK Taman Hi-Tech Yang Berusaha NYDP , pengetua-pengetua, guru-guru besar, penolong-penolong kanan , AJK PIBG, para waris, guru-guru dan para pelajar sekalian.

Alhamdulillah segala puji kepada Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhamad S.A.W. Bersyukur kita kepada Allah kerana dengan rahmatnya dapat kita terus mengecapi segala nikmatnya yang tidak terhingga.

Saya berasa gembira kerana diberi peluang untuk berucap pada hari ini. Sesungguhnya PIBG merupakan satu agen penting untuk membantu menjayakan sesuatu program yang dirancang oleh pihak sekolah. Guru-guru sedar tanggungjawab masing-masing untuk mendidik anak bangsa tetapi ibu bapa juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab untuk membantu tugas tersebut agar matlamat kecemerlangan tercapai.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tidak dinafikan tugas guru amat berat apatah lagi pada masa kini anak-anak berada dalam dunia yang penuh cabaran. Minat belajar anak-anak kadang-kadang tergugat dan mereka cenderung ke arah perkara yang negatif. Guru-guru perlu lebih aktif dan bermotivasi dalam mendisiplinkan pelajar terutama sewaktu berada di sekolah. Teguran dan nasihat guru boleh memberi impak yang baik terhadap prestasi pelajar dan sahsiah diri pelajar.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tugas ibu bapa pula ialah memantau dan mengawasi anak-anak semasa di rumah dan di luar waktu persekolahan. Kita hendaklah meneliti kerja sekolah anak-anak dan memastikan mereka mengulangkaji pelajaran di rumah. Kita juga hendaklah sentiasa mengetahui perkembangan prestasi anak-anak meningkat atau menurun. Seterusnya mengambil langkah segera memperbaiki keadaan agar kejayaan berpihak kepada anak-anak kita.

Kerjasama erat ibu bapa dan guru amat perlu. Tanpa komitmen baik ini, banyak masalah akan timbul. Pihak sekolah perlu memberitahu waris masalah para pelajar di sekolah dan pihak waris perlu mengambil tindakan yang positif menyelesaikan masalah tersebut. Ibu bapa boleh menghubungi pihak sekolah pada bila-bila masa untuk mengetahui masalah anak-anak mereka di sekolah. Sekiranya hubungan baik ini wujud, maka anak-anak kita akan berjaya lahir sebagai seorang insan yang mulia dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Hadirin yang dihormati,

Masalah sosial, masalah disiplin dan pengaruh perkembangan ICT tidak dinafikan menguasai diri anakanak kita pada masa kini. Mereka mudah terpengaruh dengan kawan dan budaya asing yang tidak baik. Kerjasama ibu bapa dan guru-guru amat penting untuk menangani masalah ini dari terus berleluasa.

Pihak sekolah telah menyediakan kemudahan untuk menuntut ilmu,maka tugas ibu bapa pula mengawasi agar anak-anak belajar seperti yang diharapkan. Pelajar ialah insan yang amat bernilai kepada sesebuah negara untuk menjana kemajuan dan mengharumkan nama negara. Pihak sekolah dan ibu bapa akan mendapat nama yang baik dan disegani oleh semua pihak. Inilah harapan besar kita terhadap anak-anak pelajar sekalian.

Oleh itu sokongan padu dan kerjasama erat ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat amat penting untuk melahirkan pelajar yang cemerlang. Semua pihak perlu membentuk satu pasukan kerja yang mantap untuk mencapai kegemilangan dalam semua bidang. Doa restu ibu bapa dan guru-guru amat bermakna kepada pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan. Saya mengucapkan terima kasih atas jasa baik semua guru yang telah mendidik anak-anak pelajar di SMK Taman Hi-Tech. Saya berharap tahun 2011 akan memberi kejayaan yang lebih banyak kepada pihak sekolah dan kejayaan anak-anak lebih baik dan meningkat. Hubungan baik PIBG dan pihak sekolah diharapkan berterusan dan terjalin mesra.

Dengan ini saya dengan rasminya , merasmikan Mesyuarat Agung PIBG pada kali ini dengan jayanya.

Selamat bermesyuarat dan terima kasih.

TEKS UCAPAN YDP PIBG SMK TAMAN HI-TECH